PERISTIWA KAMPUNG TANDUO, LAHAD DATU,SABAH
PERISTIWA KAMPUNG TANDUO, LAHAD DATU,SABAH
- Memori Hitam Setiap Bangsa Malaysia
Di dalam tempoh beberapa hari lagi iaitu pada tanggal 31 Ogos 2015, akan berkumandang laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka!...di segenap ceruk rantau bumi Malaysia. Tetapi pada tahun ini ianya agak istimewa kerana setelah sekian lama sedikit demi sedikit sejarah sebenar tentang tarikh kemerdekaan kita telah mula dihormati oleh segenap bangsa baik dari anak Sarawak atau anak Sabah mahupun anak Malaya sekalipun. 31 Ogos 1957 merdekanya Persekutuan Tanah Melayu dari menjadi jajahan Koloni British. 31 Ogos 1963 merdekanya North Borneo (Sabah) dan 22 Julai 1963 merdekanya Sarawak dari menjadi jajahan Koloni British Borneo. Walau dipisahkan oleh Laut Cina Selatan tetapi setiap roh dari 3 entiti pembentuk Gagasan Malaysia ini akan tetap “Sehati Sejiwa” walau dari apa jua etnik dan fahaman agama yang berbeza akan terus utuh sebagai satu roh yang sama yang menggelar dirinya Bangsa Malaysia.
Untuk artikel khas mengambil bersempena tarikh keramat Gagasan Malaysia ini, Borneo Oracle bersama-sama dengan penulis jemputan daripada Sabah iaitu rakan sepatriot, Encik Suhelmi A Majik, pendatang baru di dalam penulisan amatur akan berganding bahu memberi ruang kepada pembaca sekalian di dalam kita mengenang kembali satu memori hitam yang telah mencalar jiwa kita selamanya iaitu Peristiwa Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah 12 Februari 2013 dan memahami apakah “impian gila” satu puak yang mengelar dirinya Tentera Diraja Sulu yang dangkal sejarah sebenar.
Di dalam artikel yang ditulis oleh Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di dalam akhbar Sabah Times bertarikh 12hb Mac 2013 menyifatkan tindakan yang diambil kumpulan pengganas yang didalangi Jamalul Kiram III semata-mata atas dasar gagal memahami fakta sejarah, gagal menerima realiti sejarah, gagal membezakan konsep pemerintahan monarki pada masa lalu dengan konsep negara bangsa yang membentuk kerajaan moden pada hari ini, tidak menghormati hak kedaulatan negara asing dan tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan perundangan antarabangsa. Itulah tulisan pedas daripada seorang pakar sejarah serta peradaban maritim Kepulauan Borneo iaitu Professor Madya Dr Ismail Ali di dalam memperkatakan betapa dungunya Tentera Diraja Sulu itu.
Di ketika peristiwa hitam ini berlaku iaitu pada tanggal 12 Mac 2013, pelbagai reaksi diterima dari rakyat Malaysia mahupun dunia berhubung insiden pencerobohan yang terjadi. Rata-rata terkejut dan tidak menjangka kejadian seumpamanya akan berlaku di negara yang dianggap aman dan stabil dari sudut ekonomi dan politiknya sejak sekian lama ia ditubuhkan. Pelbagai rasa dan nada yang dimainkan sehingga ada yang bertindak melampaui batas hanya kerana fahaman politik memainkan isu ini sebagai satu sandiwara umpama sinetron yang sering kita tonton di drama minggu ini di televisyen. Inilah kita rakyat Malaysia yang kadang-kadang buta hati dan buta rasa hanya kerana fahaman politik yang berbeza.
Ini merupakan satu artikel yang panjang kerana sejarah itu tidak ada yang “short-cut” jadi bersama-samalah dengan Borneo Oracle menyelusuri sejarah sebenar Sulu dan seterusnya Kronologi Peristiwa Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah. Segalanya adalah untuk memberikan kita semua kefahaman sebenar di dalam memperkatakan apakah makna Merdeka bagi kita sebagai rakyat Malaysia.
Sejarah Kesultanan Sulu
Mengimbas kembali saat berdirinya Kesultanan Sulu yang pernah wujud di Selatan Filipina pada satu ketika dahulu, segalanya bermula apabila agama Islam tiba di Sulu pada abad ke 13 Masehi yang dibawa oleh dua orang tokoh pendakwah iaitu Tuan Masha’ika dan Tuan Maqbalu diikuti oleh Karim Al-Makhdum pada tahun 1380. Seterusnya usaha dakwah berkenaan disambung oleh Raja Baguinda yang berasal dari Minangkabau pada awal abad ke 15 Masehi.
Ironinya, pengasas kepada Kesultanan Sulu bukanlah anak jati tempatan daripada kalangan bangsa Sulu sendiri. Sebaliknya dibangunkan oleh Raja Baguinda yang berasal dari Minangkabau sebelum diperkukuhkan oleh menantu baginda, seorang pendakwah berketurunan Arab yang berasal dari Johor bernama Sayyid Abu Bakar. Baginda telah bernikah dengan anak perempuan kepada Raja Baguinda bernama Puteri Paramisuli sebelum dilantik menjadi Kadi serta Imam di Sulu. Apabila ayah mertua baginda iaitu Raja Baguinda mangkat, Sayyid Abu Bakar mengangkat dirinya sebagai pemerintah dengan gelaran Sultan Sharif Al-Hashim. Baginda menyusun kembali kerajaan dan memerintah dengan aman selama lebih kurang 30 tahun.
Seterusnya dengan usaha baginda dari Sulu, syiar islam turut tersebar sehingga ke Manguindanao (nama lama bagi Mindanao). Sekitar tahun 1460, hasil usaha dakwah yang juga diperkembangkan oleh Sharif Awliya dan Sharif Maraja. Namun seperti mana halnya dengan Sulu, institusi kesultanannya bermula dengan ketibaan Sharif Muhammad Kabungsuan pada tahun 1515, seorang pendakwah berketurunan Arab yang berasal dari Johor iaitu anak kepada Sharif Ali Zain Al Abidin yang berkahwin dengan seorang Puteri Raja Johor. Beliau telah menikahi Tonina, puteri kepada Cotabato setibanya di Maguindanao.
Usaha dakwah turut dirancakkan sehingga ke Manila dan membawa kepada tertubuhnya Kesultanan Manila yang dipimpin oleh Raja Sulaiman sebelum tewas kepada penjajah Sepanyol pada tahun 1571. Kewujudan Kesultanan Sulu juga dibuktikan dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Kesultanan Brunei yang pernah menguasai keseluruhan Pulau Borneo sewaktu era pemerintahan Sultan Bolkiah yang juga bergelar sebagai Sultan Borneo pada masa itu dan memerintah dari tahun 1485-1524 Masehi.
Sejarah penguasaan Kesultanan Sulu ke atas wilayah Utara dan Pantai Timur North Borneo bermula apabila tercetus perang saudara yang pernah menjadi titik hitam kepada sejarah Kerajaan Kesultanan Brunei iaitu perang saudara yang berlaku antara Sultan Mohamad Ali dan Pangiran Bendahara Abdul Hakkul Mubin. Persengketaan ini terjadi apabila anakanda Sultan Mohamad Ali mati dibunuh oleh Pengiran Muda Bongsu sewaktu sedang bersabung ayam. Sultan Mohamad Ali mengambil tindakan dengan membunuh Pangiran Muda Bongsu mengakibatkan Pangiran Bendahara Abdul Hakkul Mubin bertindak balas sekaligus berhasrat mengambil alih takhta yang diterajui Sultan Mohamad Ali.
Terdapat juga versi yang lain menyatakan anakanda kepada Sultan Mohamad Ali iaitu Pangiran Muda Alam yang telah terlebih dahulu melakukan pembunuhan ke atas anakanda Pangiran Bendahara akibat merasa sakit hati dengan kata-kata ejekan yang keluar dari para penyokong anak Pangiran Bendahara yang girang bersorak sorai apabila ayam sabungnya tewas kepada ayam sabung anak Pangiran Bendahara. Akhirnya Sultan Mohamad Ali terbunuh dan Pangiran Bendahara Abdul Hakkul Mubin menaiki takhta dan berpindah ke Pulau Chermin, sebuah Pulau di Muara Sungai Brunei atas sebab keselamatan.
Baginda kemudian melantik anak saudara Sultan Mohamad Ali sebagai Pangiran Bendahara Brunei yang baru iaitu Pangiran Muda Muhyiddin. Dikatakan perang saudara sekali lagi tercetus di Pulau Chermin antara Sultan Abdul Hakkul Mubin dan Pangiran Muda Muhyiddin dan kali ini bantuan ketenteraan daripada pihak Kesultanan Sulu dipinta untuk membantu menangani pergolakan yang berlaku pada masa itu. Apabila peperangan tamat dan Pangiran Muda Muhyiddin menggantikan Sultan Hakkul Mubin yang mangkat sebagai pemerintah dengan gelaran Sultan Muhyiddin.
Baginda dikatakan tidak mengiktiraf penguasaan Kesultanan Sulu ke atas wilayah Utara dan Pantai Timur North Borneo disebabkan bantuan yang dipinta oleh pemerintah sebelumnya iaitu Sultan Hakkul Mubin sewaktu perang tercetus kononnya tidak pernah ikut bertempur di medan perang. Sebaliknya pasukan bantuan berkenaan dikatakan bersembunyi di Pulau Keingaran iaitu salah sebuah pulau kecil yang terletak di gugusan Pulau Chermin dan hanya muncul setelah peperangan tamat. Dan kemunculan mereka adalah semata-mata untuk mengambil habuan berupa harta rampasan perang yang banyak.
Lagi pula perjanjian itu hanya terjadi di antara Sultan Hakkul Mubin dan pihak Kesultanan Sulu. Bukan dengan baginda yang tidak ada kena mengena langsung dengan perjanjian tersebut. Sebenarnya terdapat banyak versi dan cerita berkenaan bagaimana Kesultanan Sulu boleh berkuasa di wilayah Pantai Timur North Borneo. Sungguhpun terdapat pelbagai spekulasi berkaitan hal berkenaan namun bermula dari tahun 1662, Kesultanan Sulu direkodkan mula berkuasa di jajahan Utara dan Pantai Timur North Borneo sehinggalah ketibaan imperialis barat.
Kaitan Kesultanan Sulu Dan North Borneo
Pada dekad-dekad selepas itu terjadi beberapa rentetan peristiwa yang membawa kepada penguasaan British sepenuhnya ke atas North Borneo dan menjadi sebahagian daripada bukti bahawa kesultanan Sulu benar-benar kehilangan hak ke atas jajahannya seperti yang dinyatakan. Tidak pernah timbul isu Kesultanan Sulu memiliki autonomi penuh ke atas North Borneo kerana bahagian Pantai Barat Sabah ini sebelum kedatangan imperialis barat masih berada di bawah naungan Kesultanan Brunei.
Pada tahun 1865 sebagai contoh, seorang konsul Amerika di Brunei bernama Claude Lee Moses telah berjaya menyewa jajahan baginda Sultan Brunei di kawasan Pantai Barat Sabah untuk tempoh selama 10 tahun. Kemudian beliau menjualnya kepada Syarikat Perdagangan Amerika (American Trading Company) yang dimiliki oleh J.W.Torrey, T.B. Harris dan beberapa orang pedagang Cina. J.W.Torrey kemudiannya memilih Kimanis yang hari ini berada di dalam daerah Papar sebagai pangkalan utama syarikatnya dan memulakan pembinaan penempatan lalu dinamakan sebagai 'Ellena'.
Usaha mencari bantuan kewangan bagi membiayai pembangunan penempatan tersebut gagal lalu ditinggalkan begitu sahaja. Ketika hampir menjelangnya tamat tempoh sewaan wilayah tersebut, J.W.Torrey akhirnya berhasil menjual haknya kepada konsul Austria-Hungary di Hong Kong iaitu Baron Gustavus Von Overbeck. Overbeck berjaya memperbaharui tempoh sewaan tersebut untuk jangkawaktu 10 tahun lagi dari Temenggong Brunei. Harris kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1866 dan Torrey pulang semula ke Amerika Syarikat pada tahun 1877. Beliau meninggal dunia di Boston, Massachusetts pada Mac 1884.
Berkenaan Pantai Timur North Borneo yang dikuasai Kesultanan Sulu suatu waktu dahulu. Terdapat beberapa cubaan daripada pihak barat untuk campur tangan di wilayah ini dan kelihatannya pihak Kesultanan tidak mempunyai sebarang halangan atau tindakbalas negatif ke atas usaha tersebut. Hal ini terbukti apabila pada tahun 1760 satu perjanjian telah ditandatangani antara Alexander Dalrymple dengan pihak Kesultanan Sulu untuk membuka Syarikat Perdagangan Hindia Timur British yang berpengkalan di Pulau Balembangan iaitu lokasinya kira-kira 20 Batu ke utara Kudat.
Nama Pulau Balembangan kemudiannya ditukar ke Felicia Island. Tetapi kemudiannya ditinggalkan pada tahun 1805 kerana penempatan berkenaan dikatakan gagal memberikan hasil yang diharapkan. Baron Gustavus Von Overbeck turut menunjukkan minat untuk menduduki bahagian Pantai Timur North Borneo, yang mana ketika itu diperintah oleh Kesultanan Sulu. Oleh itu suatu perjanjian bersama antara beliau dan pihak Kesultanan Sulu yang memerintah pada ketika itu iaitu Sultan Jamalul Alam telah diadakan bagi mengambil wilayah tersebut pada 22 Januari 1878.
Sebagai balasan daripada Overbeck kepada Sultan Sulu, Pihak Syarikat akan menyediakan bantuan pertahanan kepada Sultan bagi melawan imperialis Sepanyol serta diberikan pampasan sebanyak $5000 setahun (nilai dalam dollar Mexico yang mana pada ketika itu bersamaan dengan nilai emas). Selepas kekecewaan British terhadap Labuan, minat British terhadap North Borneo pudar sehinggalah pada bulan Julai 1881 apabila Alfred Dent dan adiknya Edward Dent menubuhkan British North Borneo Provisional Association Limited dan mendapat status Charter pada 1 November 1881.
Pada tahun yang sama Syarikat yang diterajui Overbeck menghadapi masalah kewangan. Beliau berhasil mendapatkan bantuan kewangan dari Dent bersaudara (Dent brothers - Alfred and Edward) bagi menampung perbelanjaan rancangan yang dirancang untuk North Borneo dengan syarat hanya wakil British dibenarkan untuk menguasai perniagaan di North Borneo. Memandangkan Overbeck bukan berbangsa British ditambah lagi dengan masalah kewangan yang dihadapi syarikat beliau akhirnya Overbeck bersama Count Montgelas dari Kedutaan Austro-Hungarian di London dan A.B. Mitford, seorang ahli politik yang juga rakan kongsi kepada Overbeck bersetuju memberi hak-hak mereka kepada Alfred Dent. Pada Mei 1882, sebuah syarikat perdagangan baru pimpinan Alfred Dent, Syarikat Berpiagam Borneo Utara British mula mentadbir North Borneo. SBUB dan menggelarkan Sabah sebagai "Negeri Di Bawah Bayu". Sir Rutherford Alcock dilantik sebagai Presiden pertama dan Alfred Dent sebagai Pengarah Urusan syarikat.
Termeterainya Protokol Madrid pada tahun 1885 antara Britain, Jerman dan Sepanyol adalah bertujuan untuk mengiktiraf kedaulatan Sepanyol ke atas jajahannya di Filipina yang turut merangkumi Kesultanan Sulu. Menerusi perjanjian ini pengaruh Sepanyol hanya terhad di bahagian jajahannya sahaja iaitu Filipina. Di dalam Artikel 3 Protokol Madrid khususnya telah mengesahkan bahawa Sepanyol melepaskan semua tuntutan ke atas mana-mana wilayah yang berada di Borneo. Kepunyaan atau bekas kepunyaan Sultan Sulu seperti Kepulauan Jolo juga dilepaskan termasuk semua kepulauan di bawah pentadbiran SBUB.
Ketiga-tiga negara juga berjanji untuk berdagang sesama sendiri tanpa sekatan di wilayah yang terlibat dalam perjanjian berkenaan. Secara tidak langsung Kesultanan Sulu yang menjadi sebahagian daripada jajahan Sepanyol turut ikut menerima bahana daripada perjanjian ini apabila kehilangan hak sama sekali ke atas wilayah jajahannya di Borneo Utara. Hal ini diperkuat menerusi perjanjian yang dimeterai antara Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBUB), Sarawak Kingdom yang diperintah oleh Rajah Brooke dan Kerajaan Kesultananan Brunei Darussalam pada tahun 1888 dengan Kerajaan Mahkota British menjadikan ketiga-tiga negara ini sebagai negara lindungan British (Protectrate Country). Signifikannya perjanjian berkenaan turut menekankan yang ketiga-tiga negara tidak akan meluaskan empayar negara masing-masing dan seandainya tercetus peperangan mereka hendaklah saling membantu antara satu sama lain.
Pada tahun 1888, North Borneo atau Sabah sepenuhnya sah menjadi sebahagian daripada pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBUB). Di bawah pentadbiran SBUB banyak pembangunan telah dijalankan di North Borneo bagi memenuhi standard perdagangan mereka. Pada amnya pentadbiran SBUB berjalan dengan aman, namun begitu terdapat juga beberapa penentangan daripada tokoh-tokoh masyarakat tempatan yang tidak berpuas hati dengan dasar pentadbiran SBUB. Penentangan yang serius termasuklah Perang Mat Salleh dari tahun 1894-1900 diikuti oleh penentangan Rundum yang dilakukan oleh suku Murut dalam tahun 1915.
Pihak SBUB berupaya memerintah Borneo Utara sehingga tahun 1942 selama 60 tahun sehinggalah Perang Dunia Kedua tercetus. Jepun mendarat di Labuan pada 1 Januari dan menduduki Borneo Utara sehingga ia dibebaskan oleh askar dari ‘9th Division Australian Imperial Forces (A.I.F)’ pada tahun 1945. Selepas Perang Dunia Kedua tamat, Borneo Utara telah ditadbir oleh Pentadbiran Ketenteraan British (British Military Administration) sehingga 15 Julai 1946 apabila kerajaan sivil disambung semula.
Pada 15 Julai 1946, North Borneo diletakkan di bawah Tanah Jajahan Mahkota British kerana SBUB tidak mampu membina semula kemusnahan North Borneo selepas Perang Dunia Kedua. Kemusnahan teruk yang dialami oleh bandar Sandakan telah menyebabkan Jesselton yang hari ini dikenali sebagai Kota Kinabalu dipilih sebagai pusat pemerintahan selepas era Perang Dunia Kedua dan status ini kekal hingga ke hari ini. Sistem pentadbiran penjajahan selepas perang adalah sama dengan sistem pentadbiran pada era SBUB. Pembinaan dan pembangunan semula North Borneo menjadi fokus utama para pentadbir.Gabenor pertama North Borneo yang dilantik dibawah sistem Jajahan Mahkota British ini adalah Edward Twining yang memegang jawatan bermula 5 Mei 1949. Pemerintahan British di North Borneo berlangsung dalam suasana aman sehinggalah pada tahun 1960-an apabila wujudnya kesedaran politik dalam kalangan rakyat North Borneo.
Sabah – Ke Arah Berkerajaan Sendiri
Tidak seperti di Sarawak yang pada awalnya mempunyai gerakan yang dikenali sebagai Anti-Penyerahan, di Borneo Utara proses pertukaran daripada Syarikat Berpiagam kepada Jajahan Koloni British agak santai dan aman. Walau bagaimanapun setelah timbulnya kesedaran daripada beberapa pertubuhan masyarakat yang rata-ratanya diasaskan oleh tokoh-tokoh tempatan yang kebanyakkannya daripada mereka yang berkerja sebagai guru dan pegawai kerajaan maka barulah ada perkembangan nasionalisme yang berlaku di Borneo Utara pada masa itu.
Antara pertubuhan masyarakat tersebut adalah Persatuan Kebangsaan Melayu Labuan, Persatuan Kebangsaan Melayu Jesselton dan Barisan Pemuda Labuan, Pasuk Momogun dan banyak lagi persatuan etnik di bumi North Borneo begitu lantang menyatakan pendirian mereka. Namun begitu usaha ini juga tidak begitu menyeluruh dan Koloni British tetap berkuasa ke atas Borneo Utara.
Seperti di Sarawak, pihak Koloni British yang telah mengeluarkan Pekeliling 9 (Circular 9) yang melarang mana-mana individu untuk terlibat dengan politik maka begitulah juga yang terjadi ke atas Borneo Utara pada waktu itu. Kesemua ini dilakukan bagi memperlahankan kesedaran politik di kalangan penduduk tempatan dan terbukti ianya berjaya sekali. Hanya pada tahun 1950, kerajaan Koloni British telah mula memberikan sedikit ruang kepada penduduk tempatan Borneo Utara untuk mempelajari selok belok pemerintahan sendiri.
Maka pada bulan Oktober 1950, perlembagaan telah digubal dan ini memberi ruang kepada penduduk tempatan Borneo Utara untuk menganggotai Majlis Undang. Antara nama-nama besar yang pernah menjadi ahli Majlis Undangan Sabah tersebut adalah Donald Stephens dan Datu Mustapha bin Datu Harun.
Melihat kepada betapa perlunya penglibatan jumlah penduduk tempatan untuk menganggotai sistem pemerintahan North Borneo maka pada tahun 1960, Perlembagaan 1950 telah digubal semula dan ianya dilakukan bagi menambahkan jumlah bilangan ahli di dalam Majlis Undangan. Maka ramailah pemimpin-pemimpin anak tempatan yang dapat dilatih untuk menuju ke arah berkerajaan sendiri. Pada tahun 1962, pilihanraya yang pertama telah diadakan di Borneo Utara. Pilihanraya ini adalah bagi memilih pemimpin-pemimpin untuk menganggotai Majlis Tempatan.
Ianya adalah satu titik permulaan bagi memilih perwakilan secara demokrasi. Walaupun hakikatnya Majlis Tempatan telahpun ditubuhkan sejak dari tahun 1952 lagi namun begitu Majlis Tempatan didominasi oleh Koloni British kerana Majlis Tempatan ini bertanggungjawab kepada perkara-perkara seperti hal ehwal kewangan, pendidikan, kesihatan, bekalan air dan elektrik, pertanian serta ternakan yang menjadi nadi kepada penghidupan penduduk Borneo Utara pada waktu itu. Jadi mengadakan pilihanraya untuk memastikan adanya wakil-wakil penduduk tempatan di Majlis Tempatan merupakan sesuatu yang paling penting di dalam “road map” untuk kemerdekaan Borneo Utara.
Pada tanggal 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana menteri kepada Persekutuan Tanah Melayu telah mengwar-warkan tentang gagasan penubuhan negara Malaysia yang terdiri daripada 5 buah negara iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak. Antara sebab-sebab keatas cadangan pembentukan gagasan ini bagi menyekat pengaruh komunis yang mula menular di Asia Tenggara, mengimbangi jumlah penduduk dan meningkatkan kemajuan ekonomi serta mempercepatkan proses kemerdekaan terhadap Singapura, Brunei, Sarawak dan Borneo Utara yang masih lagi merupakan negara jajahan Koloni British pada masa itu sedangkan Persekutuan Tanah Melayu sudahpun merdeka pada 31 Ogos 1957.
Pada dasarnya Singapura menyambut baik idea pembentukan gagasan tersebut manakala Brunei enggan menyertainya sejak dari awal lagi. Sarawak dan Borneo Utara yang mulanya menolak cadangan tersebut akhirnya telah bersetuju apabila diberi jaminan mengenai pemerintahan sendiri iaitu yang mempunyai beberapa autonomi di dalam Gagasan Malaysia.
Walaupun secara dasarnya ianya telah dipersetujui tetapi bagi memberi keadilan kepada semua, pada 17 Januari 1962, sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan daripada penduduk-penduduk di Borneo Utara dan Sarawak. Suruhanjaya ini dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold (Cobbold Commission) yang dianggotai oleh 5 orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh dua wakil Kerajaan British, Sir Anthonv Abell dan Sir David Watherston, sementara wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari Datuk Wong Pow Nee dan Encik Mohamed Ghazali Shafie. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.
Sepanjang Februari-April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada parti-pati politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan dan undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan. Akhirnya pada 1 Ogos 1962, Laporan daripada Suruhanjaya Cobbold telah siap dan diserahkan kepada Kerajaan British. Antara intipati laporan tersebut adalah:
- Persekutuan yang ditubuhkan bersetuju dan sesuai dengan nama “Malaysia”. - Pemberian Kuasa menentukan hal ehwal agama dan dasar imigresen di beri kuasa pada Majlis Undangan Negeri Borneo Utara dan Sarawak. - Kaum pribumi Borneo Utara dan Sarawak diberi kedudukan istimewa dan di kekalkan. - Perwakilan Borneo Utara dan Sarawak akan diwujudkan dalam Parlimen Malaysia. - Bagi memudahkan pengendalian hal ehwal kewangan, kewarganegaraan, kedudukan bumiputra, kebebasan beragama,dan pendidikan, penubuhan sebuah jabatan persekutuan di cadangkan ditubuh di Sarawak dan Borneo Utara. - Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) hendaklah ditubuhkan dan jawatankuasa ini bertanggung jawab menjamin hak dan kepentingan rakyat Borneo Utara dan Sarawak agar tidak tergugat apabila menyertai Gagasan Malaysia kelak.
Suruhanjaya ini menyimpulkan bahawa pembentukan Gagasan Malaysia harus dilaksanakan. Namun, Lord Cobbold juga menekankan bahawa semua negara yang membentuk Gagasan Malaysia sebagai rakan sejajar. Penemuan tersebut diringkaskan oleh Lord Cobbold sebagai berikut:
“About one-third of the population of each territory strongly favours early realisation of Malaysia without too much concern about terms and conditions. Another third, many of them favourable to the Malaysia project, ask, with varying degrees of emphasis, for conditions and safeguards varying in nature and extent: the warmth of support among this category would be markedly influenced by a firm expression of opinion by Governments that the detailed arrangements eventually agreed upon are in the best interests of the territories. The remaining third is divided between those who insist on independence before Malaysia is considered and those who would strongly prefer to see British rule continue for some years to come. If the conditions and reservations which they have put forward could be substantially met, the second category referred to above would generally support the proposals. Moreover once a firm decision was taken quite a number of the third category would be likely to abandon their opposition and decide to make the best of a doubtful job. There will remain a hard core, vocal and politically active, which will oppose Malaysia on any terms unless it is preceded by independence and self-government: this hard core might amount to near 20 per cent of the population of Sarawak and somewhat less in North Borneo.” —Lord Cobbold, Cobbold Commission –
Setelah kata sepakat dicapai antara Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut berlangsung selama 2 minggu. Pada 9 Julai 1963, satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London.
Perjanjian Penubuhan Gagasan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura. Kerajaan British telah diwakili oleh Perdana Menteri Encik Harold Macmillan, Encik Ducan Sandys dan Lord Landsdowne. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula telah diwakili oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Encik Tan Siew Sin, Datuk V.T. Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr. Lim Swee Aun. Borneo Utara pula telah diwakili oleh Datuk Mustapha bin Datuk Harun, Encik Donald A. Stephen, Encik W.K.H. Jones, Encik Khoo Siak Chiew, Encik W.S. Holley dan Encik G.D. Sundang. Wakil-wakil dari Sarawak pula terdiri daripada Encik P.E.H. Pike, Temenggung Jugah, Datuk Bandar Abang Haji Mustapha, Encik Ling Beng Siew dan Datuk Abang Haji Openg.
Sementara Singapura telah diwakili oleh Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Keng Swee. Kesemua negara gabungan berserta Kerajaan British bersetuju mengeluarkan kenyataan bersama pada 12hb Julai 1963 iaitu Kerajaan British bersetuju memberikan kemerdekaan kepada Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membenarkan negara-negara ini bergabung untuk membentuk Gagasan Malaysia dan Gagasan Malaysia hanya akan wujud pada 31hb Ogos, 1963. Jadi Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 dan Borneo Utara merdeka pada 31 Ogos 1963. Walaupun perancangan sebenar pengisytiharan akan dibuat pada 31 Ogos 1963, majlis tersebut terpaksa ditangguhkan. Lawrance Michelmore selaku wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mengadakan tinjuan pandangan penduduk Borneo Utara dan Sarawak. Pada 14 September 1963, laporan telah dikeluarkan yang mengesahkan majoriti penduduk North Borneo (Sabah) dan Sarawak tersebut menyokong untuk membentuk Gagasan Malaysia. Justeru, pada 16 September 1963, gagasan tersebut telah menjadi kenyataan dan lahirlah sebuah gagasan yang dikenali sebagai Malaysia.
Benarkah Sulu Memiliki Pantai Barat Dan Pantai Timur, North Borneo?
Prof.Emeritus Dr.Ranjit Singh dari Universiti Utara Malaysia dalam wacana bertajuk ‘The Lahad Datu Imbroglio : The Sabah Claim and Beyond’di Universiti Malaya pada Mac 2013 turut menegaskan fakta sejarah dan bukan sejarah? Di dalam wacana beliau turut menegaskan Sabah adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia dan ini menjadikan Kesultanan Sulu dan Filipina sudah kehilangan hak kedaulatan ke atas Sabah (atau lebih tepat lagi di kawasan Utara dan Pantai Timur Sabah) berdasarkan prinsip keberkesanan. Ianya harus dan wajar diterima dengan hati terbuka oleh pihak-pihak terbabit.
Hal ini wajar kerana sebenarnya sehingga ke hari ini isu tuntutan Sabah baik dari pihak-pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu mahupun Filipina sendiri yang juga menuntut Sabah atas alasan yang sama (Walaupun hakikatnya Kesultanan Sulu sekadar diperguna oleh Filipina sebagai alasan untuk menuntut Sabah) masih berkumandang dan tidak pernah mati sejak ia pertama kali disuarakan. Dalam tahun 1962 Sultan Esmail Kiram I pada mulanya menyerahkan surat rasmi kepada Presiden Macapagal untuk meminta bantuan kerajaan Filipina membantunya menuntut hanya sebahagian wilayah di Utara dan Pantai Timur Sabah yang pernah dikuasai mereka satu masa dahulu.
Namun demikian dalam tahun 1966 usaha menuntut hak kedaulatan oleh waris Kesultanan Sulu yang diterajui oleh keluarga Kiram berkubur apabila Presiden Ferdinand Marcos yang menggantikan Macapagal mengiktiraf secara rasmi Sabah adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia. Hal ini tidak bertahan lama apabila pada tahun 1974 isu tuntutan ke atas Sabah kembali menjadi “pisang goreng panas” apabila kerajaan Filipina di bawah Presiden Marcos melalui Presedential Memorandum Order 427 telah mengiktiraf semula Kesultanan Sulu apabila anak Sultan Esmail Kiram iaitu Datuk Mohammad Mahakuttah A. Kiram ditabalkan sebagai Sultan.
Seperti bermain tarik tali, Presiden Marcos sekali lagi menarik tuntutan Filipina ke atas Sabah pada tahun 1977 atas semangat ASEAN sewaktu berlangsungnya Persidangan Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur. Pada tahun 1989 sekali lagi Sultan Jamalul Kiram III mendesak agar kerajaan Filipina menuntut Sabah, tetapi ironinya pada kali ini bukan sekadar wilayah Utara dan Pantai Timur Sabah bahkan seluruh kawasan yang merangkumi Negeri Di bawah Bayu ini.
Hujah beliau begitu mudah sekali hanya kerana Malaysia masih membayar pampasan tahunan kepada waris Kesultanan Sulu dan kononnya ini satu bukti kukuh bahawa Sabah sebenarnya masih sah berada di bawah kekuasaan mereka. Walhal hakikatnya pampasan berkenaan sebenarnya sudah tidak relevan kerana perjanjian pembayaran pampasan itu hanya termeterai antara pihak Kesultanan di bawah teraju Sultan Jamalul Alam pada masa itu dan Baron De Overbeck pada tahun 1878.
Hal ini diperkuat lagi oleh Prof Dr.Ranjit Singh dari Universiti Malaya dalam wacana bertajuk ‘The Lahad Datu Imbroglio:The Sabah Claim and Beyond yang menggesa agar kerajaan Malaysia menghentikan bayaran pampasan kepada waris Kesultanan pada masa hadapan dan menutup kes tersebut serta menjalankan dasar yang tegas melindungi kedaulatan Sabah dari sebarang anasir luar yang cuba menggugat keharmoniannya.
Fakta ini turut disokong oleh mantan pengarah Arkib Negeri Sabah Datuk Datu Tigabelas Datu Zainal Abidin yang menjelaskan mengikut rekod sejarah di Malaysia, Brunei bahkan Filipina sendiri, Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf iaitu Sultan Jamalul Kiram II yang mangkat pada tahun 1963 tidak mempunyai seorang anak atau waris lelaki pun. Baginda hanya memiliki tujuh orang anak yang kesemuanya perempuan. Walhal mengikut hukum Islam serta undang-undang monarki Sulu, seorang wanita tidak boleh dilantik sebagai waris atau pengganti. Dalam soal ini jelas menunjukkan Sultan Sulu hanya memiliki keturunan menerusi anak-anak perempuan baginda dan bukannya waris seperti yang dimaklumi apatah lagi pengganti.
Filipina bertindak drastik dengan mengemukakan petisyen tuntutan ke atas Mahkamah Keadilan Antarabangsa(ICJ)yang berpusat di Belanda ke atas Sabah namun tewas pada tahun 2002. Sejak itu usaha Jamalul Kiram III tidak mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan Filipina. Kemuncaknya pada 9 Februari 2013 beliau bertindak sendirian bersama pengikutnya meneruskan tuntutan itu dengan cara yang lebih drastik dengan melakukan pencerobohan ke atas Sabah menerusi Lahad Datu.
Kronologi Peristiwa Pencerobohan Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah Oleh Kumpulan Bersenjata Yang Menggelar “Tentera Diraja Sulu”
9 Februari 2013
Kumpulan penceroboh memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat-peringkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo,Lahad Datu.
11 Februari 2013
Sebahagian daripada anggota kumpulan itu dikesan oleh sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam. Para nelayan yang berasa was-was telah membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata api berkampung di Kampung Tanduo.
Terdapat juga sumber menyatakan maklumat diterima dari dua anggota penguatkuasa sebuah agensi swasta yang tidak bertugas dan sedang memancing di kawasan berhampiran.Identiti dirahsiakan atas sebab keselamatan.
12 Februari 2013
Kumpulan itu dikenal pasti berpecah di beberapa lokasi di kampung itu seperti di kawasan sungai bakau, sebuah surau dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali sebagai Mad bom,antara dalang yang dipercayai bersubahat dengan pihak pengganas.
14 Februari 2013
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan,bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum mengusir mereka keluar dari kawasan itu.
15 Februari 2013
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai kumpulan pembela kepada warisan Kesultanan Sulu dari Selatan Filipina. Ismail berkata kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyat mereka berketurunan Sulu yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dihantar pulang ke negara asal.
Laporan memetik salah seorang anggota bersenjata berkenaan yang merupakan pengikut setia Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzimudie Kiram sebagai berkata kedatangan kumpulan tersebut selepas mendapat jemputan pihak pembangkang? untuk membincangkan isu tanah di Sabah???
16 Februari 2013
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan kumpulan militan atau pengganas sebaliknya penyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah terkawal. Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai 'Askar Diraja Kesultanan Sulu'antara lain menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu kerana sebelum ia diambil oleh British dari Kerajaan Sulu.
18 Februari 2013
Hishammuddin berkata, kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang pertumpahan darah.
24 Februari 2013
Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.
26 Februari 2013
Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.
28 Februari 2013
Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu. Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul,Agbimuddin Kiram yang menegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 'tentera diraja' meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.
1 Mac 2013
Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo, menyebabkan dua anggota komando polis VAT 69,iaitu Insp Zulkifli Mamat dan Koperal Sabaruddin Daud gugur.
Insiden dilaporkan terjadi akibat tipu muslihat yang digunakan pihak pengganas yang konon berpura-pura menyerah kalah dengan mengibarkan bendera putih.Dua anggota keselamatan yang mempercayai tipu muslihat yang keji itu bangun dari posisi pertahanan mereka dan pada saat inilah pihak pengganas melancarkan serangan mengakibatkan mereka terkorban.Namun dalam insiden ini pihak keselamatan negara turut berjaya menghapuskan seramai 12 orang pengganas.
2 Mac 2013
Negara sekali lagi dikejutkan dengan insiden pembunuhan enam lagi anggota polis yang terlibat dalam operasi serangan hendap di perkampungan Air, Simunul, Semporna. Kejadian yang berlaku pada pukul 8 malam itu turut meragut nyawa enam orang pengganas.
5 Mac 2013
Atas arahan yang dikeluarkan oleh pihak kepimpinan tertinggi negara. Satu gerakan serangan ofensif besar-besarran dilancarkan ke atas kubu pertahanan pengganas meliputi laluan darat dan udara dan mengorbankan hampir kesemua pengganas yang berkubu dalam kawasan yang dilabelkan sebagai zon merah.
7 Mac 2013
Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tiba di Sabah dan bertemu pemimpin tertinggi komuniti Suluk yang menetap di Sabah dan menzahirkan pendirian kerajaan yang tidak melihat komuniti Suluk berkenaan sebagai ancaman kepada kedaulatan negara sekaligus meragui kesetiaan mereka.
Dalam sidang media sempena lawatannya itu beliau juga mengumumkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.Ini disusuli dengan penubuhan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sebagai landasan perundangan kepada Esscom.
21 Mac 2013
Lapan rakyat Filipina dihadapkan ke mahkamah dan berdepan hukuman mati serta penjara seumur hidup atas tuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menganggotai kumpulan pengganas.Sehingga tarikh itu juga 443 orang dilapor ditahan kerana memasuki zon merah kawasan Ops Daulat dan pelbagai kesalahan manakala 173 ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Sebagai menghargai pengorbanan wira-wira yang gugur, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan pangkat kepada mereka.Inspektor Zulkifli dinaikkan pangkat kepada ASP dan Koperal Sabaruddin Daud kepada Sarjan. Enam lagi anggota keselamatan yang turut gugur iaitu Supritenden Ibrahim Lebar kepada ACP,ASP Michael Anak Padel kepada DSP, Sarjan Abdul Aziz Sarikon kepada Sarjan Mejar,Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran kepada Koperal,Sarjan Baharin Hamit kepada Sarjan Mejar dan Koperal Salam Tugiran kepada Sarjan.Dua anggota ATM yang terkorban iaitu Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, yang gugur semasa pertempuran dan Prebet Ahmad Farhan Ruslan, 21, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, masing-masing dinaikkan pangkat sebagai Koperal.
Secara zahirnya. Malaysia amnya dan Sabah khususnya walaupun kelihatan kembali pulih dari trauma yang pernah membadai dan memporak-perandakan keharmonian warganya beberapa tahun dahulu dan secara zahirnya juga kelihatan rakyat sudah mula mampu tersenyum ceria dan menjalankan aktiviti seharian seperti sebelum segalanya terjadi, namun jauh di sudut hati yang paling dalam, luka itu akan sentiasa diingati. Pedih dan perih itu akan senantiasa dikenang. Parut yang berbekas akan memahat satu memori yang duka betapa tanahair yang tercinta ini semestinya akan berkubur tanpa nisan, andai tiada insan-insan luar biasa yang sudi menjadikan nyawa mereka sebagai taruhan keamanannya.
Salam Merdeka Rakyat Malaysia 31 Ogos 2015
Rujukan :
1. Imelda Godon, Fakta Sebenar Isu Tuntutan Sulu Terhadap Sabah,Bahagian Penerbitan Dasar Negara,Jabatan Penerangan Malaysia,Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan,Cetakan 1 2013.
2. Ramlin Alim,Ketua Bahagian Pemeliharaan Arkib Awam Dan Kaji Selidik,Jabatan Arkib Negeri Sabah.
3. Datuk Datu TigaBelas Datu Zainal Abidin,Mantan Pengarah Arkib Negeri Sabah.
4. Prof.Dr Ranjit Singh.Pakar Sejarah Sabah dan Sarawak.Universiti Utara Malaysia.Wacana ‘The Lahad Datu Imbroglio : The Sabah Claim And Beyond
5. Mohd Ariff Bin Dato’ Hj.Othman,Tuntutan Filipina terhadap Sabah,Implikasi Dari Segi Sejarah,Undang-undang dan politik.
6. Rencana Bertajuk ‘Fahami Apa itu Fakta Dan Realiti Sejarah’ dalam New Sabah Times,Oleh Prof.Madya Dr.Ismail Ali,Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.
7. Rencana Bertajuk ‘Tragedi 923-Pencerobohan Berdarah Tentera Sulu di Lahad Datu’ dalam Utusan Borneo,Oleh Dr.Nordi Achie,Pensyarah Kanan Sejarah Malaysia Di Pusat Penataran Ilmu Dan Bahasa,Universiti Malaysia Sabah(UMS)
8. Mahayudin Hj.Yahaya,tamadun Islam,Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd,Edisi Kedua Cetakan Kedua 2001.
9. Abdullah Zakaria Ghazali,Azharudin Mohd.Dali,Azhar Haji Mad Aros,Suffian Mansor,Sejarah Asia Tenggara,Asia Selatan Dan Asia Timur 1800-1963,Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd,Edisi Kedua Cetakan Kedua 2003.
10. http://seribrunei.blogspot.com/…/perang-saudara-di-brunei-t…
11. http://apahell.blogspot.com/…/cerita-sejarah-sulu-sabah-dan…