top of page

ISU LIMBANG, RAJAH CHARLES BROOKE DAN NEGARA BRUNEI


ISU LIMBANG, RAJAH CHARLES BROOKE DAN NEGARA BRUNEI

- 1890 Jatuhnya Limbang Menjadi Sebahagian Sarawak Kingdom


Limbang merupakan salah satu bahagian yang lokasinya terletak nun jauh di utara Sarawak Bumi Kenyalang. Dengan keluasan kira-kira 3,978.1 kilometer persegi ianya tidaklah terlalu besar namun begitu keunikan Limbang lebih kepada geografikalnya yang diapit oleh Brunei Muara dan Temburong, kedua-dua daerah ini merupakan wilayah Negara Brunei Darussalam.


Sejak penubuhan Malaysia pada 1963, Brunei telah terbahagi dua dengan dipisahkan oleh Limbang. Sejak itu dikatakan Brunei menuntut wilayah Limbang daripada Malaysia. Dan sejajar dengan itu melalui Perjanjian 16 Mac 2009 di antara Malaysia dan Brunei sehingga menyebabkan Malaysia kehilangan medan minyak Blok L dan Blok M yang terletak di luar pantai Limbang / Brunei.


Berikutan itu Petronas menamatkan usaha carigali dengan syarikat Murphy Oil Corp dari Amerika Syarikat kerana ia bukan lagi milik Malaysia. Konvensyen Undang-undang laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982 menetapkan bahawa kawasan luar pantai Brunei itu milik Brunei. Kawasan itu yang selama ini bertindih sempadan akan dibangunkan secara usahasama dengan Malaysia.


Mengikut sejarahnya, Limbang suatu waktu dahulu merupakan tanah jajahan di bawah bidangkuasa Pengiran Temenggung Pengiran Anak Hashim yang menaiki takhta pada 1885. Dalam pada itu setahun sebelum baginda menaiki takhta, penduduk Limbang telah mengadakan pemberontakan yang dikenali sebagai Pemberontakan Limbang 1884.


Punca pemberontakan ini adalah kerana penduduk Limbang membantah cukai yang dikenakan dan juga kerana bentuk kekerasan yang dikenakan oleh pemungut cukai. Pemberontakan ini telah mengorbankan 2 orang pemungut cukai Brunai yang dibunuh di Limbang. Pengiran Anak Hashim gagal menyuraikan pemberontakan ini dan telah meminta Charles Brooke untuk menamatkannya namun ianya juga gagal dan kemudian baginda meminta bantuan daripada William Treacher iaitu Pemangku Konsul Agung Inggeris di Labuan dan akhirnya dengan bantuan beliau akhirnya pemberontakan itu dapat diredakan.


Setelah tamatnya pemberontakan Limbang, Pengiran Anak Hashim cuba untuk mengambil kembali daerah Padas, Trusan dan Limbang tetapi terpaksa mengalah kepada tekanan daripada Peter Leys, Syarikat Inggeris Borneo Utara dan Charles Brooke. Pada tahun 1885 Trusan dan Padas 1887 dengan rasminya menjadi hakmilik Inggeris.


Walau bagaimanapun Limbang tetap tidak diberikan kepada sesiapapun kerana Pengiran Anak Hashim masih berpegang kepada Amanat Sultan Abdul Momin yang tidak membenarkan mana-mana orang asing memiliki tanah jajahan Brunei lagi selepas satu demi satu Negara Brunei semakin mengecil. Dalam tempoh 1882 hingga 1888, wilayah Brunei telah semakin mengecil dengan hanya membiarkan Pengiran Anak Hashim memiliki Bandar Brunei dan Muara sahaja jadi Pengiran Anak Hashim berpendapat menyerahkan Limbang akan mengecilkan lagi kekuasaannya.


Dek kerana tiada seorang pun pegawai Inggeris yang berpihak kepada pemerintahan Pengiran Anak Hashim malah pegawai-pegawai ini telah cuba untuk membahagi-bahagikan wilayah Brunei yang semakin mengecil itu. Maka sekitar tahun 1887, baginda telah merayu kepada Baginda Queen England untuk menghentikan aktiviti pegawai Inggeris.


Namun tanpa diduga, tindakan baginda telah mengundang maut pada Negara Brunei pada waktu itu apabila Baginda Queen sendiri menyokong untuk membenarkan pegawai-pegawai Inggeris menghapuskan kuasa Sultan Brunei pada masa itu. Keadaan ini memaksa Pengiran Anak Hashim untuk menerima Perjanjian Artikel 8 yang menjadikan Negara Brunei sebagai Negara perlindungan Kerajaan Inggeris yang ditandatangani pada tahun 1888 oleh 3 negara iaitu Negara Brunei Darussalam, Syarikat Berpiagam Borneo Utara Inggeris dan Sarawak Kingdom.


Walau bagaimanapun, Rajah Charles Brooke yang sedang sibuk meluaskan empayar Sarawak Kingdom pada masa itu telah memungkiri perjanjian 1888 apabila Rajah Charles Brooke telah merampas Limbang pada tahun 1890 dan menaikkan bendera Sarawak di Limbang pada 17 Mac 1890 dan seterusnya mengistiharkan Limbang berada di bawah Kerajaan Sarawak Kingdom.


Perampasan ini adalah satu tindakan menconteng arang kepada baginda Sultan Brunei dan baginda telah mengutus surat kepada Baginda Queen tentang hal ini berdasarkan perjanjian 1888 yang ditandatangani itu dan menggesa Limbang dikembalikan kepada Brunei dan Charles Brooke harus segera meninggalkan bumi Limbang.


Namun hal sebaliknya yang berlaku apabila Baginda Queen enggan membantu malah hanya menghantar Konsul British ke Borneo yang baru iaitu Neil Penrose Trevenen (1890-1898) untuk membuat siasatan ke Limbang. Berdasarkan laporan N.P. Trevenen, kerajaan Britain bersedia untuk mengesahkan perampasan Limbang tetapi persetujuan hendaklah dibuat untuk membayar ganti rugi atau pampasan kepada Sultan Brunei.


Pada Mac 1892 wang pampasan dirundingkan dan Sultan Brunei dikatakan akan menerima $6000 setiap tahun. Dan menurut syaratnya, sekiranya baginda Sultan Brunei tidak menerima wang tersebut dalam masa tiga tahun sejak tarikh perampasan Limbang, maka wang tersebut hendaklah dikembalikan kepada Rajah Charles Brooke. Dikatakan Sultan Hashim dan pembesar-pembesar Brunei tidak mahu menerima walau sesen pun wang tersebut kerana mereka masih utuh memegang Amanat dari Sultan Momin yang.


Apa pun caranya untuk meyakinkan Baginda supaya menyerahkan Limbang kepada Sarawak, Baginda tetap tidak bersetuju. Usaha Trevenen gagal, dan tempoh selepas tiga tahun tamat dan sehingga tahun 1895, Baginda Sultan Brunei tetap enggan menerima wang tersebut.


Pada Ogos 1895 Pejabat Hal Ehwal Luar Great Britain telah mengistiharkan kes perampasan Limbang oleh Charles Brooke itu ditutup. Dan Limbang kekal sebagai salah satu empayar Sarawak Kingdom pada waktu itu. Keputusan ini telah mengecewakan Baginda Pengiran Anak Hashim. Isu perampasan Limbang masih tetap tidak diterima dalam hidupnya sehinggalah Baginda mangkat pada 10 May 1906.


bottom of page