TUN DATUK PATINGGI TAN SRI TEMENGGUNG JUGAH ANAK BARIENG
TUN DATUK PATINGGI TAN SRI TEMENGGUNG JUGAH ANAK BARIENG
Di dalam sejarah Sarawak nama beliau banyak diwarnai dengan cerita-cerita lucu mengenai beliau namun sebenarnya individu ini merupakan tokoh negarawan Sarawak kerana walaupun beliau tidak berpelajaran tinggi malah dikatakan tidak mampu berbahasa Inggeris dengan baik tidak seperti mana-mana tokoh-tokoh ternama Sarawak yang lain, beliau sebenarnya adalah seorang anak Sarawak yang berjiwa Sarawak selamanya. Tokoh yang akan dipaparkan pada kali ini adalah seorang anak Iban yang ketokohannya terbukti kerana beliaulah satu-satunya anak Iban yang menjadi Pemimpin Iban selama lebih kurang 55 tahun sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggong Jugah Anak Barieng dilahirkan di Ulu Kapit, Sarawak pada tahun 1903. Di ketika umurnya 20 tahun, beliau telahpun dilantik sebagai Penghulu di kawasan rumah panjangnya. Sesuatu yang sudah tentu berlainan sekali dengan pemuda seusianya pada waktu itu. Inilah Tun Jugah atau lebih selesa dipanggil “Apai” dikalangan komuniti Iban.
Kepimpinan Tun Jugah sebagai seorang pemimpin masyarakat Iban sememangnya tidak boleh disangkal sama sekali. Ketika pendudukan Jepun di bumi Sarawak sewaktu Perang Dunia Kedua, kerana pengaruhnya sebagai pemimpin Iban di kawasan Rejang menyebabkan beliau juga mendapat kepercayaan daripada tentera Jepun untuk berkerjasama dengan beliau. Oleh kerana itulah beliau diangkat sebagai Sanji iaitu salah satu cara untuk Jepun mendapat sokongan daripada penduduk tempatan adalah dengan berkerjasama dengan pemimpin Iban tempatan pada masa itu.
Walaupun ramai yang mengwarnai beliau sebagai seorang yang pro-Jepun tetapi menurut sebuah buku yang bertajuk Voices From Borneo karangan seorang bekas tentera Australia yang pernah menjadi Komando Semut di dalam Operasi Semut di Sarawak iaitu Jim Truscott menyatakan bahawa banyak rahsia perang daripada pihak tentera Jepun disalurkan oleh Tun Jugah kepada mereka ketika mereka membuat serangan gerila di bumi Sungai Rejang pada ketika itu. Jadi apa yang dilakukan oleh Tun Jugah itu sebenarnya adalah untuk survival masyarakat Iban dibawah pimpinannya. Kenyataan ini sudah tentu benar kerana nama Linggi anak Jugah iaitu anak Tun Jugah sendiri adalah antara pemimpin Iban yang mendokongi sepenuhnya perjuangan Gerila Komando Semut suatu waktu dahulu.
Sekitar tahun 1953 iaitu ketika Sarawak telahpun diserahkan kepada Koloni British Borneo untuk menjadi salah satu jajahannya di Borneo pada waktu itu, khidmat Tun Jugah juga turut ditagih dan beliau diberikan peluang untuk menjadi wakil masyarakat Iban dan berkhidmat menjaga kesemua hal kebajikan masyarakat Iban pada waktu itu. Di kala inilah beliaulah orang tengah yang memainkan peranan untuk menyampaikan kesemua kehendak masyarakat Iban kepada pentadbiran Koloni British Borneo Sarawak pada waktu itu.
Di kala api kemerdekaan sudah mula menusuk ke sanubari setiap rakyat Sarawak, Tun Jugah tidak ketinggalan merasai nada yang sama. Ketika adanya tinjauan mengenai cadangan Gagasan Malaysia diadakan di Sarawak, Tun Jugah antara pemimpin masyarakat pribumi Sarawak yang bersama-sama dengan etnik-etnik yang lain pada mulanya membantah. Namun setelah beliau dijemput dengan beberapa orang pemimpin Sarawak yang lain untuk mengadakan lawatan ke bumi Malaya akhirnya kepulangan beliau telah menjadi “turning point”.
Di kala itu Tun Jugah sebenarnya lebih mahukan agar masyarakat Dayak terutamanya tidak ketinggalan dan harus maju ke hadapan dan kerana itulah beliau menyokong Gagasan Malaysia ditubuhkan. Mungkin ramai yang tidak mengetahui pada tanggal 15hb Februari 1962, Tun Jugah telah mengambil inisiatifnya sendiri dengan untuk mengadakan pertemuan dan bermesyuarat dengan 51 Penghulu dan Pegawai Daerah di Kapit. Disinilah beliau memainkan peranannya untuk meminta pemimpin-pemimpin membawa pengikut-pengikutnya bersama-sama mendokong Gagasan Malaysia ditubuhkan.
Tidak seperti pemimpin-pemimpin Sarawak yang lain yang sudah semestinya berpendidikan tinggi lebih-lebih lagi di dalam penguasaan Bahasa Inggeris, ini semua tidak pada Tun Jugah namun kelemahannya itu tidak pernah menjadi alasan untuk dirinya tidak disegani dan dihormati oleh pemimpin yang lain. Tun Jugah adalah individu penting yang telah terpilih untuk mewakili Sarawak ke Kota London dikala Sarawak menuju ke kemerdekaan daripada jajahan Koloni British Borneo pada waktu itu.
Pemahaman beliau yang mendalam di dalam apakah itu Gagasan Malaysia memungkin beliau antara yang menurunkan tandatangan beliau ke atas Perjanjian Malaysia 1963 yang ditandatangani di Kota London bersama-sama dengan 4 negara pembentuk iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan North Borneo pada waktu itu. Kerana itulah beliau sejak dari mula lagi sudah menyatakan frasa ini yang sering menjadi penanda aras kepada kemajuan Sarawak di dalam menjadi entiti pembentuk Gagasan Malaysia. Frasa itu adalah “Anang Malaysia Tok Baka Tebu, Manis Dipun Tabar Di Hujung”. Di dalam bahasa Malaysia bermaksud “Jangan sekali Malaysia ini seumpama tebu. Manis pada awalnya Tawar di akhirnya”.
Setelah penubuhan Gagasan Malaysia yang pengistiharannya dibuat pada 16hb September 1963, Tun Jugah merupakan ahli parlimen yang terpilih untuk menganggotai barisan cabinet Parlimen Gagasan Malaysia yang pertama. Di dalam barisan kabinet Parlimen Gagasan Malaysia ini, Tun Jugah dilantik sebagai Menteri Penuh yang menjaga hal-ehwal Sarawak di dalam Gagasan Malaysia.
Di dalam arena politik Sarawak, nama Tun Jugah juga turut mewarnai lipatan sejarah Sarawak kerana beliaulah Presiden Pertama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu salah satu parti politik yang masih kekal berkuasa peneraju Sarawak Alliance sehingga sekarang. Beliau juga merupakan Presiden PBB yang menjawat jawatan tersebut sehingga ke akhir hayatnya.
Di sepanjang hayatnya Tun Jugah merupakan seorang anak Iban Bangsa Sarawak yang terus-terusan menabur bakti hanya untuk memastikan etnik Dayak terutama sekali Iban sentiasa mendapat belaan yang secukupnya baik daripada pemerintah di Sarawak mahupun di Gagasan Malaysia. Perjuangan beliau tidak pernah menoktahkannya di dalam memartabatkan rakyat Sarawak didahulukan di dalam segenap segi sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 8 Julai 1981 dengan meninggalkan seorang isteri iaitu Toh Puan Tiong Anak Anding dan 5 orang cahayamata serta beberapa orang cucu.
Semoga aman di sisi yang maha Esa, Mendiang Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah Anak Barieng. Jasamu akan dikenang sepanjang zaman.