top of page

BUAH TAMPOI

BUAH TAMPOI


Tampoi atau Tampui atau Larah atau Ngeke atau Merkeh, inilah nama-nama tempatan yang kebiasaannya merujuk kepada satu lagi buah yang dikeluarkan oleh satu pokok yang dipanggil Pokok Tampoi. Sebenarnya pokok tampoi ini hidup tumbuh meliar di hutan hujan Tropika di seluruh Malaysia mahupun di Asia Tenggara lebih-lebih lagi di Kepulauan Borneo. Buah Tampoi atau dengan nama saintifiknya Baccaurea Macrocarpa adalah hasil daripada pokok Tampoi yang merupakan tumbuh-tumbuhan nadir hutan dari pokok saka Dioceous iaitu salah satu spesis di dalam keluarga Phyllanthaceae.


Di Sarawak, buah tampoi sememangnya sangat popular dan sentiasa menjadi dambaan masyarakat Sarawak itu sendiri tetapi jika di Semenanjung Malaysia, dikatakan buah tampoi tidak popular langsung malah generasi baru misalnya sememangnya tidak mengetahui langsung mengenai keberadaan buah tampoi ini. Hanya Orang Asli sahaja yang dikatakan mengetahui tentang kelebihan buah tampoi ini yang dikatakan kelat dan masam rasanya sebelum ianya mencapai waktu matang. Dan kerana itulah sejak dahulu lagi, masyarakat Orang Asli telah menjadikan buah tampoi ini antara enzim utama di dalam membuat minuman tapai mereka.


Sebenarnya untuk mendapat buah tampoi ini bukanlah menunggunya ranum masak dan gugur ke bumi sebaliknya buah tampoi ini apabila ianya sudah cukup masak maka hendaklah dipetik. Dan tanpa ramai mengetahui jika sekiranya banyak buah-buah yang lain akan diserang oleh makhluk perosak tetapi sebaliknya untuk buah tampoi ini tidak memerlukan mana-mana agen penyembur serangga perosak kerana ianya sendiri merupakan tumbuh-tumbuhan organik.


Ada yang mengatakan bahawa rasa buah tampoi ini seakan-akan rasa buah rambai iaitu ada rasa-rasa masam manis dan kelat sedikit. Namun begitu ada juga yang mengatakan rasanya akan menjadi manis apabila terlalu matang. Walau apa jua rasanya samada masam manis atau manis seumpama gula sekalipun, buah tampoi ini tetap menjadi antara buah-buah pencuci mulut bagi masyarakat Sarawak yang berbilang bangsa sejak dari dahulu lagi.



bottom of page