top of page

ETNIK BERAWAN, SARAWAK, BORNEO

ETNIK BERAWAN, SARAWAK, BORNEO


Etnik Berawan merupakan salah satu etnik minoriti yang diklasifikasikan sebagai Kaum Orang Ulu, Sarawak. Populasi etnik ini ramai menduduki kawasan di sekitar Taman Negara Mulu lebih-lebih lagi di kawasan yang dinamakan Loagan Bunut, Miri, Sarawak sehingga ke Ulu Baram.


Di kawasan yang dikenali sebagai taman negara ini, Etnik Berawan mempunyai keistimewaan yang tidak terdapat pada mana-mana etnik di Sarawak yang mana hanya mereka daripada etnik Berawan yang boleh menangkap ikan di kawasan tasik yang begitu unik di Taman Negara Loagan Bunut. Hal ini telahpun digazetkan diantara etnik Berawan dengan Kerajaan Negeri Sarawak sejak dari tahun 1990 lagi memandangkan etnik ini adalah etnik pertama yang mendiami kawasan Tasik Loagan Bunut ini.


Menurut sejarahnya oral etnik Berawan yang disampaikan dari satu generasi ke generasi etnik Berawan ini dikatakan adalah pecahan daripada sub-etnik Kenyah namun begitu menurut perbezaan linguistiknya pula etnik Berawan ini pula lebih menyerupai etnik Kelabit. Inilah salah satu keistimewaan dan keunikan etnik Berawan ini yang mempunyai adat resam dan budaya yang hampir menyerupai etnik Kenyah dan etnik Kelabit yang juga antara etnik terbesar yang mendominasi Kaum Orang Ulu, Sarawak.


Jika dilihat dari segi bahasanya mengikut apa yang telah ditulis di dalam pengkelasan bahasa secara rasmi, bahasa etnik Berawan ini dikategorikan di dalam 3 rumpun bahasa yang berbeza berdasarkan kepada dialek-dialek mereka. Ianya adalah:


  • Berawan, Central juga nama lainnya Batu Belah dan Long Teru dengan dialeknya Batu Belah Berawan dan Long Teru Berawan. Klasifikasi bahasa adalah Austronesian, Malayo-Polynesian, North Borneo, North Sarawakan, Berawan-Lower Baram Berawan, Central-East Berawan.

  • Berawan, East juga nama lainnya Long Jegan Berawan. Klasifikasi bahasa adalah Austronesian, Malayo-Polynesian, North Borneo, North Sarawakan, Berawan-Lower Baram Berawan, Central-East Berawan.

  • Berawan, West juga nama lainnya Berawan dan Long Terawan. Klasifikasi bahasanya adalah Austronesian, Malayo-Polynesian, North Borneo, North Sarawakan, Berawan- Lower Baram, Berawan.


Tidak akan lengkap penceritaan mengenai etnik Berawan ini jika tidak menyelitkan satu cerita legenda mengenai keunikan etnik ini iaitu menerusi cerita legenda mereka. Pada suatu waktu dahulu etnik Berawan ini dikatakan antara etnik yang amat setia dengan pemerintahan Kesultanan Brunei Darussalam. Hubungan baik etnik Berawan dengan pemerintahan Brunei ini adalah kerana etnik Berawan dikatakan antara mereka yang pakar memasak ikan bakar.


Keenakannya ikan bakar hasil air tangan mereka dari etnik Berawan inilah yang memperkenalkan mereka dengan pemerintah Kesultanan Brunei sehingga memungkinkan pemerintah Brunei meminta mereka menghantar ikan bakar saban tahun kepada pemerintahan Brunei. Setelah beberapa lama melakukan hal ini akhirnya etnik Berawan telah jelak diperlakukan sebegitu rupa maka pada satu hari mereka dengan sengaja menghantar bekalan kepala babi hutan panggang kepada pemerintah Brunei.


Akibat daripada tindakan ini pemerintah Brunei pada masa itu naik radang dan terus menyumpah etnik Berawan akan diserang oleh sekumpulan babi hutan. Tidak semena-mena selepas sumpahan itu dilafazkan maka datanglah sekumpulan babi hutan menyerang penempatan etnik Berawan dan memusnahkan rumah mereka. Ini menyebabkan ramai etnik Berawan yang lari lintang pukang dan akhirnya mereka memohon kepada Sang Pencipta untuk menghantar ular-ular berbisa dan juga buaya-buaya untuk membantu mereka mempertahankan penempatan mereka daripada serangan babi hutan yang liar itu.


Permintaan mereka ini dikatakan telah dimakbulkan dengan banyaknya ular-ular berbisa serta buaya-buaya yang datang membantu mereka. Akibat daripada itu tiada babi-babi hutan yang berani menyerang penempatan etnik Berawan lagi dan sejak daripada itulah dikatakan etnik Berawan sehingga sekarang tidak akan membunuh mahupun memakan mana-mana ular berbisa dan buaya walau di dalam apa jua situasi.


Jika dahulu ramai daripada etnik Berawan masih lagi mengamalkan kepercayaan kepada agama pagan namun setelah kedatangan agama, ramai daripada mereka sudahpun memeluk agama kristian. Namun begitu banyak daripada adat tradisi mereka masih lagi dilestarikan asalkan ianya tidak bercanggah dengan nilai-nilai agama kristianiti yang mereka amalkan sekarang.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.




bottom of page