top of page

KERAJAAN KUBU @ KOEBOE, KALIMANTAN BARAT, BORNEO


KERAJAAN KUBU @ KOEBOE, KALIMANTAN BARAT, BORNEO

- Hubungannya dengan komuniti Melayu Sarawak-Arab


Kerajaan Kubu atau dahulunya dikenali Langschap Koeboe merupakan satu kerajaan yang pernah berdiri dengan gah di Pulau Borneo. Lokasinya adalah sekarang dikenali dengan nama Kabupaten Kubu Raya, Kalimantan Barat Republik Indonesia. Mengikut sumber sejarah, Kerajaan Kubu telah didirikan disekitar kurun ke-18 Masihi oleh kumpulan saudagar Arab.


Menurut cerita sejarah berdirinya Kerajaan Kubu ini adalah diasaskan oleh salah seorang daripada 45 saudagar Arab yang datang ke Nusantara untuk menyebarkan ajaran Islam dan disamping untuk berniaga. 45 orang saudagar ini adalah dipercayai berasal daripada Hadaralmaut di wilayah Selatan Yaman. Mereka ini adalah daripada keturunan Bani Alawi yang mempunyai kaitan kepada Sayyid Alawi bin Ubaidullah bin Ahmad bin Isa Al-Muhajir. Ahmad bin Isa Al-Muhajir dikatakan telah meninggalkan Kota Basra di Iraq bersama-sama dengan keluarga dan pengikut-pengikutnya untuk berhijrah ke Yaman.


Sayyid Alawi bin Ubaidullah merupakan cucunda pertama yang dilahirkan di Hadaralmaut dan akhirnya membentuk Bani Alawi di dalam salsilah keturunan keluarga Arab di sana. Disinilah bermulanya penggunaan nama keluarga Sayid atau Sharif (lelaki) atau sharifah (perempuan) yang mengkhusus kepada keluarga bangsawan dan pembesar dari golongan Bani Alawi di Yaman. Hubungkait 45 saudagar bangsawan dari Bani Alawi ini dengan Kerajaan Kubu adalah pengasasnya iaitu Syarif Idrus yang menggunapakai Sayidis Syarif Idrus bin Abdurrahman Al Aydrus, Tuan Besar Raja Kubu yang pertama.


Sebelum mereka ini membentuk sebuah Kerajaan Kubu, mereka sebenarnya telah pun belayar dan berniaga serta berlabuh di Palembang, Semarang, Sukadana dan Mempawah. Kedudukan strategik Kerajaan Kubu yang terletak di Sungai Kapuas telah menarik minat untuk Syarif Idrus membina sebuah kerajaan di sana ditambah lagi mendapat sokongan daripada masyarakat pribumi seperti etnik Dayak di wilayah tersebut.


Kerajaan Kubu dikatakan telah berjaya menarik minat ramai saudagar dari Negara Atas Angin untuk berniaga dan hal ini telah memungkinkan kemakmuran dan kekayaan Kerajaan Kubu sebagai sebuah kerajaan yang kuat pada masa itu. Menurut cerita, Kerajaan Kubu sebenarnya diasaskan di dalam sebuah kubu yang diperbuat daripada kayu dan tanah liat sehingga menjadikannya sebuah kubu yang kuat dan mampu bertahan daripada serangan musuh pada waktu itu.

Sesuai dengan asal keturunan daripada Bani Alawi, Syarif Idrus telah sentiasa memberi sokongan untuk menjadikan Kerajaan Kubu sebagai hub pengembangan syiar Islam di seluruh kepulauan Borneo pada masa itu. Pembinaan Masjid Jamek Khairussadah telah memungkin perkara ini berlaku ditambah lagi baginda memohon bantuan daripada penyiar Islam dari Yaman untuk membantu baginda di dalam urusan pengembangan agama Islam.


Golongan pendakwah Islam ini telah dinaikkan menjadi pembesar di Kerajaan Kubu seperti nama-nama Syed Hamzah Al-Baraqbah, Syed Ali As-Shahbuddin dan Syed Ahmad Faluqa. Setelah Syarif Idrus mangkat kerana ditikam oleh pengikutnya sendiri yang menyangka baginda adalah musuh yang memecah masuk ke istana, Baginda mangkat pada hari Ahad, 26 Zulkaedah 1209 H (1794 M) dan dimakamkan berdekatan dengan Masjid Jamek Khairussa’adah.


Setelah itu Kerajaan Kubu kemudian telah diperintah oleh putera sulung baginda iaitu Syarif Muhammad. Di kala Syarif Muhammad naik takhta, penguasaan Belanda telah cukup kuat di Kalimantan Barat sehingga memaksa baginda untuk membuat perjanjian dengan Kerajaan Belanda dan tunduk kepada pemerintahan mereka. Perkara ini amat tidak dipersetujui oleh saudara kandungnya iaitu putera Syarif Alwi Al-Idrus.


Kerana kecewa dengan tindakan kakandanya, Syarif Alwi Al-Idrus telah bertindak membawa keseluruhan kaum keluarganya serta beberapa pengikutnya yang setia berhijrah ke tempat lain. Menurut penceritaan lisan dikatakan bahawa kerana kebencian yang amat sangat Syarif Alwi Al-Idrus kepada Belanda, beliau telah bertindak menaikkan bendera Sarawak Kingdom di Gunung Ambawang bersama-sama pengikutnya.


Berang atas hal itu, Kerajaan Belanda telah memburu dan mengejar Syarif Alwi dan pengikutnya sehinggalah kumpulan Syarif Alwi dan pengikutnya ini memasuki wilayah Sarawak dan seterusnya menetap di Sarawak dan kemudian membentuk masyarakat Melayu Sarawak Arab yang berhijrah daripada kabupaten-kabupaten Kalimantan Barat.


Kerajaan Kubu ini pula sudahpun dibubarkan setelah diserahkan menjadi sebahagian Republik Indonesia pada kurun ke-19 Masihi. Berikut merupakan salsilah pemerintah Kerajaan Kubu daripada sejak ianya diasaskan sehinggalah ianya dibubarkan untuk memberi peluang sebuah kerajaan republik yang dikenali sebagai Negara Republik Indonesia.


1. Sayyid Idrus bin Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus (1772M— 1795M)

2. Sultan Syarif Muhammad bin Syarif Idrus (1795M — 1829M)

3. Sultan Syarif Abdul Rahman bin Syaril’ Muhammad (1829M — 1841M)

4. Sultan Syarif Ismail bin Syarif Abdul Rahman (1841M — 1864M)

5. Sultan Syarif Hassan bin Syarif Abdul Rahman (1864M— 1900M)

6. Sultan Syarif Abbas bin Syarif Hassan (1900M— 1911M)

7. Sultan Syarif Zin bin Syarif Ismail (1911M — 1921M)

8. Sultan Syarif Saleh bin Syarif ldrus (1921M — 1943M)

9. Sultan Syarif Hassan bin Syarif Zin (1943M — 1958M)


Dan yang menariknya di dalam menggodek sejarah Kerajaan Kubu ini telah ditemui satu salsilah keturunan yang berkaitan secara langsung dengan pemimpin ulung di Sarawak yang sudah tentu yang amat dikasihi dan dikenali ramai iaitu mantan Yang Dipertuan Negeri Gabenor Sarawak Tuanku Haji Bujang bin Tuanku Haji Othman. Menurut salsilah keturunannya dinyatakan bahawa mantan Gabenor Tuanku Haji Bujang bin Tuanku Haji Othman bin Syarif Mokhsin bin Syarif Alwi bin Syarif Idrus merupakan cicit kepada pengasas Kerajaan Kubu ini iaitu Sayidis Syarif Idrus bin Abdurrahman Al Aydrus, Tuan Besar Kerajaan Kubu yang pertama.


Dan hal ini disahkan lagi melalui pendapat pakar sejarahwan seperti Mahyuddin bin Haji Yahya pada tahun 1999 yang mengemukakan Kertas Kerjanya bertajuk “Islam Di Pontianak Berdasarkan Hikayat Al-Habib Hussin Al-Qadri” yang dibentangkan ketika di satu seminar “Brunei Malay Sultanete In Nusantara” anjuran The Sultan Haji Hasanal Bolkiah Foundation menyatakan bahawa komuniti Melayu Sarawak-Arab yang berpangkal nama Tuanku, Syed, Syarif, Wan dan Sharifah yang menpunyai marga nama keluarga Al-Idrus merupakan mereka yang berasal dari Kerajaan Kubu ini melalui Syarif Alwi dan juga pembesar-pembesarnya. Manakala bagi komuniti Melayu Sarawak-Arab daripada marga nama keluarga Al-Qadri pula merupakan mereka yang berasal daripada Kerajaan Kesultanan Qadriah Pontianak, Kalimantan Barat yang juga merupakan mempunyai susurgalur yang sama daripada 45 saudagar Arab yang berasal daripada Hadralmaut, Yaman. Allahualam.




Rujukan:


  • IU Lontaan. 1975. Buku Bertajuk Sejarah Hukum Adat Dan Adat Istiadat Kalimantan Barat, Pontianak.

  • Mahyudin Haji Yahya, 1999. Kertas Kerja “Islam Di Pontianak Berdasarkan Hikayat Al-Habib Hussin Al-Qadri”

  • Erwin Rizal, Kertas Kerja “Istana Mempawah Dan Kubu” Dalam Istana-Istana di Kalimantan Barat, Pontianak.

  • Musni Umbaran, 1995. Buku Bertajuk Sejarah Kerajaan-kerajaan di Kalimantan Barat, Pontianak.

  • “Sejarah Kerajaan Kubu” www.pontianakonline.com

  • Vivi Al-Hinduan. Buku Bertajuk “Peninggalan Dinasti Alaydrus di Kalimantan”.

bottom of page