top of page

KINGDOM OF SARAWAK Since 1841

KINGDOM OF SARAWAK Since 1841


24hb September 1841, itulah tarikh yang penting di dalam memperkatakan tentang satu negara yang sekarang lebih dikenali sebagai Sarawak Bumi Kenyalang. Mungkin ramai bangsa Sarawak sendiri tidak mengingati pentingnya tarikh ini untuk diingati kerana kurangnya pendedahan mengenai pensejarahannya. Kingdom Of Sarawak itulah nama yang biasa kita dengar di dalam dokumen sejarah lama dan ianya berkaitan secara langsung dengan dinasti Keluarga Brooke yang memerintah hampir 100 tahun di bumi Sarawak Kingdom.


Menurut jurnal-jurnal pengembaraan warga Eropah contohnya daripada Portugis, Sarawak suatu masa dahulu dikenali dengan nama Cerava iaitu jika merujuk kepada atlas yang dikeluarkan sekitar abad ke 16. Dan menurut sejarah itu dinyatakan bahawa Portugis pernah cuba untuk bertapak di bumi Cerava namun atas sebab-sebab tertentu mereka tidak meneruskannya.


Dari sejarah kuno Sarawak juga kita mengetahui bahawa di bumi Sarawak pernah ada satu kesultanan melayu yang bertapak yang dinamakan Kesultanan Sarawak Darul Hana yang mempunyai sultan yang pertama dan terakhirnya iaitu Sultan Tengah yang mangkat ditikam oleh pengikutnya sendiri sehingga dikebumikan di kaki Gunung Santubong pada awal abad ke-17.


Dari sejarah juga kita mengetahui bahawa Sarawak dahulunya merupakan wilayah atau tanah kuripan bagi pembesar Kesultanan Brunei Darussalam yang mana pembesar-pembesar Brunei membangunkannya mengikut pemerintahan mereka sendiri dan Kuching yang merupakan ibu negeri bagi Sarawak Bumi Kenyalang sekarang adalah juga dipanggil Sarawak suatu waktu dahulu yang dibangunkan oleh seorang gabenor dari Brunei iaitu Pengiran Indera Mahkota pada abad ke 18.


Di ketika Sarawak dibawah pemerintahan Pengiran Indera Mahkota dikatakan bahawa Sarawak di dalam keadaan huru-hara akibat daripada rakyat tempatan Sarawak ketika itu bangun menentang pemerintahan Pengiran Indera Mahkota yang dikatakan mengamalkan pemerintahan kuku besi dan mengamalkan penghambaan.


Ini tidak dapat diterima oleh rakyat tempatan Sarawak ketika itu sehingga membenarkan rakyatnya bangun menentang dan penentangan ini dipelopori oleh Dato Patinggi Ali yang mendapat sokongan sepenuhnya daripada etnik-etnik pribumi Sarawak yang lain. Hal ini tidak dapat dibendung oleh Pengiran Indera Mahkota sehingga Sultan Omar Ali Saifuddin II yang memerintah Brunei dari 1827 hingga 1852 menghantar ayahanda saudaranya Pengiran Muda Hashim pada tahun 1839 untuk meredakan penentangan di Sarawak.


Walaupun Pengiran Muda Hashim telah menasihatkan cara pemerintahan Pengiran Indera Mahkota namun segalanya ini tidak lut kepada beliau dan akibatnya penentangan penduduk tempatan semakin memuncak. Seperti orang yang mengantuk disorongkan bantal, Pengiran Muda Hashim melihat kedatangan seorang pelayar berbangsa Eropah yang bernama James Brooke yang tiba di Sarawak bagi menghantar utusan terima kasih mewakili British Singapura atas pertolongan Pengiran Muda Hashim yang membantu beberapa orang British yang terdampar di bumi Sarawak akibat kapal mereka yang karam telah menjadi satu titik sejarah di dalam geo politik Sarawak ketika itu.


Permintaan pertama Pengiran Muda Hashim telah ditolak dengan baik oleh James Brooke kerana beliau tidak mahu terlibat di dalam persengketaan tempatan di Sarawak ketika itu. Namun pada tahun 1841, kedatangan James Brooke untuk kali ke-2 telah memberi seribu satu harapan kepada Pengiran Muda Hashim untuk keamanan di bumi Sarawak pada ketika itu. Kali ini, James Brooke bersetuju untuk membantu dengan syarat Sarawak menjadi galang gantinya.


Dengan kapal yang serba canggih, James Brooke melalui kesepakatannya dengan penduduk tempatan Sarawak juga telah berjaya meredakan penentangan tersebut. Seperti yang dijanjikan Pengiran Muda Hashim telah mengurniakan Gabenor Sarawak kepada James Brooke pada tahun itu. Sekitar bulan Ogos 1842, James Brooke telah mengadap Sultan Omar Ali Saifuddin II di Brunei dan mereka bersama-sama menandatangani perjanjian penyerahan Sarawak secara total kepada James Brooke maka jadilah James Brooke sebagai Rajah James Brooke, rajah berbangsa Eropah yang pertama kepada Negara Sarawak (Sarawak Kingdom).


Di ketika ini Sarawak Kingdom tidaklah sebesar mana iaitu ianya meliputi persisir pantai barat sungai Sarawak sehingga ke kawasan Lidah Tanah, Kuching. Selepas pemerintahan beliau dan seterusnya dilegasikan kepada 2 lagi rajah iaitu Rajah ke-2, Rajah Charles Brooke dan Rajah ke-3 dan terakhir, Rajah Charles Vyner Brooke barulah Sarawak Kingdom berkembang kepada apa yang dipanggil Sarawak Bumi Kenyalang sekarang.


Ketika Perang Dunia Ke-2 melanda seluruh dunia sekitar tahun 1941, Sarawak Kingdom juga mendapat tempias yang sama. Walaupun hakikatnya pada tahun 1888, Sarawak Kingdom menjadi negara perlindungan kepada Kerajaan Mahkota British namun ianya juga tidak dapat melindungi Sarawak Kingdom daripada dijajah oleh pendudukan Jepun.


Pada tanggal Disember 1941, Jepun telah mula-mula mendarat di bumi Miri, Sarawak dengan sedikit penentangan kerana ketika itu Sarawak Kingdom tidak mempunyai dana yang cukup serta kekuatan untuk berperang dengan Jepun. Akhirnya sedikit demi sedikit seluruh bumi Sarawak Kingdom jatuh ke tangan tentera Jepun. Pada ketika pendudukan Jepun ini, Rajah Charles Vyner Brooke telah kembali ke negara asalnya dan Kerajaan Sarawak Kingdom sementara telah dibuka di bumi asing suatu waktu dahulu.


Setelah Jepun menyerah kalah akibat daripada pengemboman Nagasaki dan Hiroshima oleh tentera perikatan, Jepun juga telah menyerahkan Sarawak kembali. Setelah perang dunia ke-2 itulah satu lagi sejarah tercoret di dalam calendar Sarawak apabila keinginan Rajah Charles Vyner Brooke untuk menyerahkan Sarawak menjadi jajahan secara total kepada Kerajaan Mahkota British. Keputusan Rajah C.V Brooke ini telah mengakibatkan rakyat Sarawak bangun menentang dan penentangan ini dikenali sebagai Anti Cessionist 1946.


Walaupun terdapat penentangan anti Cessionist ini namun ianya tidak dapat membendung kehendak Rajah C.V Brooke dan akhirnya pada tanggal 1hb Julai 1946, Sarawak Kingdom dengan rasminya menjadi tanah jajahan Kerajaan Mahkota British dan kerajaan yang memerintah Sarawak dikenali sebagai kerajaan British Borneo. Setelah penyerahan itu maka berakhirlah ceritera sejarah sebuah negara yang dahulunya bergelar Sarawak Kingdom dan hanya dikenali sebagai Sarawak sekarang.


Pada tanggal 22hb Julai 1963, Sarawak Kingdom telah mendapat kemerdekaan daripada Kerajaan Koloni British Borneo dan ini dilakukan bagi memenuhi kehendak Sarawak yang mahu merdeka sebelum pengisytiharan satu gagasan yang dibentuk oleh 4 negara iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan North Borneo (Sabah) pada tanggal 16hb September 1963. Walau bagaimanapun Gagasan Malaysia sekarang hanya dianggotai oleh 3 setelah Singapura menarik diri pada Ogos 1965.


Inilah sekelumit sejarah ringkas tentang satu negara yang bergelar Negara Sarawak atau Kingdom of Sarawak dibawah pemerintahan 100 tahun Dinasti Keluarga Brooke yang sejarahnya bermula pada 24hb September 1841. Sejarah berkaitan dengan Kingdom Of Sarawak inilah apa yang digelar sebagai Sejarah Moden untuk Sarawak kerana banyak sejarah sebelum kedatangan Brooke tidak begitu didokumenkan dan diwar-warkan buat pengetahuan anak bangsa Sarawak sekalian.



‪#‎KamekSayangSarawakBah!



bottom of page