LABUAN DAN HUBUNGANNYA DENGAN BROOKE DAN BRUNEI
LABUAN DAN HUBUNGANNYA DENGAN BROOKE DAN BRUNEI
Sekitar tahun 1841, kedatangan seorang pelayar berbangsa Inggeris bernama James Brooke ke Sarawak yang ketika itu masih lagi menjadi tanah kuripan kepada Kesultanan Brunei Darussalam telah memungkinkan wujudnya Sarawak Kingdom yang diperintah oleh seorang rajah putih di bumi Borneo. Selepas itu sedikit demi sedikit empayar Sarawak Kingdom semakin membesar dan akhirnya membentuk yang kita ketahui sekarang iaitu Sarawak Bumi Kenyalang.
Mungkin satu lagi sejarah ini tidak begitu dikenali oleh rakyat Malaysia bahawa ada satu lagi wilayah yang nun jauh di utara Pulau Borneo yang sekarang bernama Wilayah Persekutuan Labuan juga sebenarnya mempunyai kaitan secara langsung dengan rentetan sejarah Rajah James Brooke dengan Negara Brunei Darussalam. Inilah artikel yang menjadi paparan wacana ilmu untuk pembaca pada kali ini iaitu kita akan mengungkai sejarah Labuan Dan Hubungannya Dengan Rajah James Brooke Dan Negara Brunei Darussalam.
Setelah James Brooke berjaya membantu Pengiran Muda Hashim mengawalkabn pemberontakan di Sarawak akibat daripada pemerintahan Gabenor Sarawak yang lama iaitu Pengiran Indera Mahkota, akhirnya janji ditunaikan untuk menjadikan James Brooke sebagai Gabenor Sarawak pada ketika itu. Mulai daripada itu, hubungan persahabatan terus terjalin antara James Brooke dan juga Pengiran Muda Hashim sehingga ianya menimbulkan rasa kurang senang dikalangan pihak istana Kesultanan Brunei.
Bertindak daripada itu, titah untuk memanggil pulang Pengiran Muda Hashim sekeluarga dikeluarkan maka pada tahun 1845 Pengiran Muda Hashim dengan ditemani oleh sahabat baiknya iaitu James Brooke dan juga Kapten Sir Edward Blecher tiba di Brunei. Namun perasaan gembira pulang ke tanahair menjadi satu yang sedih bagi Pengiran Muda Hashim apabila setibanya di tanah kelahirannya barulah diketahuinya bahawa jawatan Pengiran Bendahara yang sememangnya menjadi hak beliau sebelumnya sudahpun dilucutkan dan diberikan kepada Pengiran Usop.
Sahabat manalah yang sanggup melihat seorang sahabat karibnya hiba dan ini menyebabkan James Brooke telah mempersoalkann Sultan Brunei pada masa itu dan terus mendesak agar jawatan itu dikembalikan kepada Pengiran Muda Hashim. Sultan Brunei pada masa terdesak dan akhirnya memberikan semula jawatan tersebut kepada Pengiran Muda Hashim. Setelah keriangan ada pada sinar wajar Pengiran Muda Hashim akhirnya James Brooke dan Kapten Blecher kembali ke Sarawak meninggalkan Pengiran Muda Hashim di Brunei.
Peristiwa pemulangan jawatan Pengiran Bendahara kepada Pengiran Muda Hashim itu telah membuatkan seribu rasa di kalangan pihak istana Brunei termasuk pembesar-pembesarnya. Ianya menjadi kemuncak apabila sekitar tahun 1846, Pengiran Muda Hashim dan seluruh keluarganya telah terbunuh yang mana dikatakan plot pembunuhannya sudahpun dirancang dengan teliti. Berita pembunuhan Pengiran Muda Hashim dan seluruh keluarganya ini sampai juga ke telinga James Brooke.
James Brooke yang berang dan ingin menuntut bela atas kematian sahabat karibnya telah menggunakan segala pengaruhnya dengan Kerajaan Koloni British. Akhirnya bantuan armada perang diberikan kepada James Brooke maka bertolaklah armada perang Brooke ke Brunei pada Julai 1846. Sekitar 8hb Julai 1846, satu pertempuran antara armada Brooke dan juga Brunei berlaku sehingga memaksa Sultan Omar Ali Saifuddin II dan keluarganya berserta pembesar dan rombongan tenteranya mengundurkan diri ke Damuan.
Pada hari itu juga, armada James Brooke dan sekutunya telah berkuasa di kota Brunei. Kerana tidak mahu kemusnahan terus berlaku, akhirnya Sultan Omar Ali Saifuddin II terpaksa akur dengan permintaan James Brooke yang mahukan Sarawak sebagai miliknya dan Kerajaan Brunei tidak boleh mencampuri urusan Sarawak sama sekali. Pada 22 Ogos 1946, akhirnya James Brooke dengan rasminya menjadi Rajah James Brooke yang berkuasa sepenuhnya ke atas Sarawak Kingdom.
Di kala inilah Koloni British juga memainkan peranan untuk terus menghukum Brunei kerana mereka menginginkan Pulau Labuan diserahkan kepada mereka tanpa syarat. Pada awalnya Sultan Brunei sememangnya menentang dan memberi pelbagai alasan di dalam melambatkan permintaan Koloni British itu kerana Pulau Labuan itulah sahaja wilayah Brunei yang ada bagi memastikan perairan Brunei ke laut luas. Namun dikatakan tekanan demi tekanan diberikan oleh Koloni British pada masa itu seperti armada perang British sudahpun bersedia dengan meriam mereka di muara Brunei. Tujuannya hanya satu iaitu sekiranya Sultan Brunei enggan menandatangani perjanjian pada 18 Disember 1846 itu maka Brunei akan diperangi habis-habisan.
Akibat tidak mahu kemusnahan terus berlaku dan Brunei sememangnya tidak terdaya untuk berperang dengan Koloni British pada masa itu, maka Sultan Omar Ali Saifuddin bersedia menyerahkan Labuan menjadi tanah jajahan British tanpa syarat. Dan perjanjian itu dikenali sebagai Labuan Treaty 1846 yang a tandatangani pada 18 Disember 1846 di Brunei antara Koloni British dengan bersaksikan James Brooke, sekutu kuat British pada masa itu.
Pada tanggal 24 Disember 1846 iaitu ketika diambang perayaan Krismas bagi penganut agama Kristian di seluruh dunia itulah, Kapten Mundy iaitu pemerintah untuk Kapal HMS Iris telah berlabuh di Labuan buat pertama kalinya dan terus ke daratan dan menaikkan bendera British di Labuan buat pertama kalinya. Pada masa itu juga dikatakan bahawa nama Labuan ditukar kepada Victoria Island iaitu mengambil bersempena nama Queen Victoria, baginda Ratu England pada masa itu. Melihat kepada betapa perlunya Victoria Island dimajukan dan ditadbir-urus oleh orang yang dipercayai oleh Koloni British maka ketika itulah nama James Brooke menjadi sebutannya.
Pada tanggal 22 Januari 1848, James Brooke telah dilantik sebagai Gabenor Pertama dan Panglima Tertinggi Labuan. Sebelum itu sekitar Februari 1847 pula, James Brooke juga telah diangkat oleh British sebagai Pesuruhjaya dan Konsul Jeneral Borneo yang menyebabkan James Brooke sebenarnya antara orang yang paling berkuasa di Borneo pada masa itu. Tanpa berlengah masa, James Brooke terus menjadikan Victoria Island sebagai pulau bebas cukai. Beliau juga telah mula membuat eksplorasi arang batu yang juga merupakan antara kekayaan paling berharga di Pulau Labuan pada masa itu.
Walau bagaimanapun, akibat daripada kesibukan James Brooke yang terpaksa menguruskan sebuah Negara yang baru yang bergelar Sarawak Kingdom yang sudah tentu banyak penentangan-penentangan yang enggan menerima pentadbiran yang baru dan ditambahlagi banyaknya jawatan-jawatan penting menyebabkan James Brooke tidak mampu memberikan perhatian kepada Victoria Island.
Di ketika inilah pihak pentadbir British sudah mula mempersoalkan komitmen James Brooke ke atas Victoria Island. Di dalam laporan yang dikeluarkan oleh penjawat Eropah di Victoria Island September 1854 telah mempersoalkan betapa kesibukan James Brooke telah menyebabkan beliau hanya berada di Victoria Island 39 hari daripada 12 bulan dalam tahun 1849. Ini sudah tentu membuatkan British kerugian kerana James Brooke dibayar 9,000 pound sterling setiap tahun atas perkhidmatannya sedangkan yang menjalankannya adalah timbalan dan petugas-petugasnya yang lain.
Akibat daripada laporan itu, setelah berdiskusi dengan British akhirnya pada akhir Oktober 1854, James Brooke telah meletak jawatan dan mereka bersama-sama bersetuju untuk menaikkan John Scott sebagai Gabenor Kedua Victoria Island. Perlantikan ini telah memberi sedikit sinar di dalam menjadikan Victoria Island sebagai pulau yang strategik di Pulau Borneo.
Pada tahun 1854 dikatakan Victoria Island terus gah sebagai pelabuhan yang penting untuk kapal-kapal yang berulang-alik antara Singapura dan Brunei. Sekitar tahun 1863, aktiviti import eksport dengan Singapura, Hong Kong dan gugusan pulau-pulau kecil terus meningkat terutama bagi barangan kapas, garam, candu, tembakau, peralatan tembaga, pakaian, kelapa, tikar, buah pinang, sirip yu, sarang burung dan alat-alat jentera. Barangan eksport Labuan sendiri selain arang batu ialah tepung sago, balak dan papan.
Setelah menjadi jajahan Koloni British pada tahun 1848 dan ditukar nama kepada Victoria Island, sekitar tahun 1890an akhirnya Labuan menjadi sebahagian daripada Borneo Utara. Kemudian pada tahun 1906 menyertai Negeri-Negeri Selat. Di ketika Perang Dunia Kedua berlaku, Labuan juga menerima nasib yang sama yang mana pada tanggal 2 Januari 1942, ianya menjadi jajahan takluk tentera Jepun. Pada ketika inilah Labuan sekali lagi bertukar namanya menjadi Meida Island iaitu mengambil bersempena seorang komander tentera Jepun iaitu Jeneral Meida yang terkorban di dalam nahas udara daripada Kuching ke Labuan pada masa itu.
Setelah tamat Perang Dunia Ke-2, Meida Island juga turut diserahkan kepada Kerajaan British Borneo dan akhirnya menjadi wilayah Labuan Borneo Utara British pada Julai 1946. Dan setelah Sabah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963 daripada jajahan Koloni British Borneo pada ketika itu, Labuan juga turut sama merdeka dengan menjadi wilayah North Borneo @ Sabah. Kemudian sekitar tahun 1984, Sabah pula telah menyerahkan Labuan kepada Kerajaan Persekutuan Gagasan Malaysia untuk dijadikan sebagai Wilayah Persekutuan Labuan. Dikala ini Wilayah Persekutuan Labuan dijadikan sebagai hab untuk perbankan persisir bagi Gagasan Malaysia.
Inilah satu informasi wacana ilmu untuk semua di dalam kita cuba untuk mengenali sejarah Labuan yang suatu waktu dahulu adalah milik Kesultanan Brunei Darussalam kemudian jatuh ke tangan British atas pengaruh James Brooke dan seterusnya rentetan sejarahnya sehingga menjadi Wilayah Persekutuan Labuan sekarang.
Rujukan:
1. Labuan In History – Labuan Web www.labuanweb.com/history.html
2. About Labuan - Official Website of Labuan Corporation
www.pl.gov.my/en/web/guest/mengenai-labuan
3. Loss of Labuan, a former Brunei island, The Brunei Times, 7 September 2008
4. Buku Bertajuk: The White Rajah: A History of Sarawak from 1841 to 1946 by By Steven Runciman
5. Kertas Kerja Bertajuk Perjanjian 1888: Suatu Harapan dan Kekecewaan. Oleh Ismail Haji Awang Nordin Jabatan Sejarah, Universiti Brunei Darussalam