FROM MIRI WITH LOVE
FROM MIRI WITH LOVE
Miri adalah salah satu bahagian di Sarawak yang terletak di utara Sarawak yang bersempadan dengan Negara Brunei Darussalam dan provinsi Kalimantan Timur, Indonesia. Semasa Sarawak berada di pemerintahan Koloni British antara tahun 1945 – 1963, Miri terletak di dalam Bahagian Ke-4 yang merangkumi Miri, Baram dan Bintulu.
Tetapi setelah Bintulu diistiharkan sebagai Bahagian Bintulu yang tersendiri pada tahun 1979 maka Bahagian Miri telah mencakupi Daerah Miri (Daerah Kecil Sibuti dan Daerah Kecil Niah) dan Daerah Marudi (Daerah Kecil Bakong dan Daerah Kecil Long Lama). Bahagian Miri meliputi kawasan seluas 26,777 km persegi.
Asal nama Miri dipercayai diambil bersempena dengan nama satu etnik minoriti iaitu Jatti Meirek yang merupakan etnik pertama yang mendiami Miri pada masa itu. Kawasan awal yang diterokai oleh etnik ini adalah di persisir Sungai Miri. Etnik Jatti Meirek mempunyai satu bahasa tempatan yang dikenali sebagai Tuttot Meirek. Dipercayai bahawa bahasa Tuttot Meirek ini adalah bahasa etnik yang tertua di dunia yang telah digunakan menjadi bahasa pertuturan sejak 300 ke 400 tahun dahulu.
Walau bagaimanapun penyelidikan tentang asal usul etnik Jatti Meirek dan bahasa Tuttot Meirek adalah amat berkurangan sama sekali. Tetapi apa yang pasti populasi etnik Jatti Meirek ini boleh didapati di sekitar Pujut, Bakan, Bekenu, Kuala Baram dan Bintulu. Setelah bercampur dengan dialek tempatan yang lain akhirnya perkataan Meirek telah menjadi sinonim dengan perkataan Miri sehinggalah sekarang.
Seperti kebanyakan bahagian-bahagian di Sarawak, Miri juga merupakan salah satu daripada tanah jajahan Kesultanan Brunei Darussalam sewaktu dahulu. Bermulanya era Miri menjadi milik Sarawak Kingdom dibawah pemerintahan Rajah Brooke adalah semasa pemerintahan Rajah Charles Brooke, rajah kedua Sarawak. Rajah Charles Brooke dikatakan seorang yang amat tegas di dalam pentadbiran Sarawak tetapi merupakan seorang Rajah yang senang untuk didekati kerana sikapnya yang merendah diri.
Rajah Charles Brooke dikatakan seorang rajah yang berjimat cermat didalam sumber kewangan Sarawak dan mempunyai satu impian iaitu memastikan bahawa kawasan pantai Sarawak mencakupi 100 batu panjang. Jadi, pada awal tahun 1868 Rajah Charles Brooke telah membuat tawaran kepada Sultan Brunei untuk menyerahkan Daerah Baram kepadanya dan sebagai imbalannya Sultan Brunei akan mendapat ufti setiap tahun daripada Sarawak Kingdom.
Walau bagaimanapun, permintaan Rajah Charles Brooke telah ditolak oleh Sultan Brunei malah baginda Sultan Brunei juga memohon perlindungan daripada Jeneral Konsul British di Borneo iaitu Gabenor Pope-Hennessy dengan mengatakan bahawa Brunei wajar dilindungi mengikut perjanjian yang telah dimeterai pada tahun 1847.
Aduan daripada Sultan Brunei ini telah menyebabkan Rajah Charles Brooke menjadi berang dan akhirnya ianya dapat diselesaikan secara baik dan Rajah Charles Brooke membatalkan niatnya untuk memiliki Daerah Baram buat sementara waktu bagi meredakan keadaan. Walau bagaimanapun pada tahun 1882, kaum Kayan yang mendiami Sungai Baram telah bangun memberontak pemerintahan Sultan Brunei di Baram.
Ini kerana mereka tidak berpuashati dengan sistem pentadbiran Sultan Brunei yang dikatakan terlalu menekan kehidupan masyarakat Kayan malah masyarakat Kayan Baram sendiri memohon agar Rajah Charles Brooke campurtangan. Melihat kepada peluang yang terbuka luas ini, Rajah Charles Brooke telah sekali meminta agar Baram diserahkan kepada Sarawak dan kali ini Sultan Brunei menyetujuinya memandangkan baginda tidak boleh mengawal pemberontakan di Baram.
Akhirnya Daerah Baram dan semua kawasan sekitarnya menjadi milik Sarawak dengan bayaran ufti sebanyak 4,200 dollar setahun kepada Sultan Brunei. Rajah Charles Brooke juga mendapat keseluruhan kawasan Sungai Trusan secara percuma kerana baginda juga gagal untuk mencegah pemberontakan di kawasan tersebut. Sejak daripada itu Miri juga telah diurus selia pentadbirannya dengan perlantikan seorang Residen seperti bahagian-bahagian Negara Sarawak yang lain.
Miri yang sememangnya amat sinonim sebagai Bandar Minyak bagi Negara Malaysia malah disinilah bermulanya eksplorasi minyak cara moden bagi Sarawak bermula. Sebenarnya minyak telah digunakan oleh penduduk tempatan di Miri lebih awal daripada sejarah yang dicatatkan oleh Claude Champion de Crespigny di dalam catatan harian beliau bertarikh 21 Julai 1882, Residen di Baram.
Penduduk tempatan sebenarnya telah menggunakan cecair berwarna hitam bagi tujuan menampal perahu apabila dicampur dengan damar. Cecair hitam ini dikenali sebagai minyak tanah juga menjadi bahan bakar dan sebagainya. Walau bagaimanapun, pada ketika itu penduduk tempatan yang lebih mempercayai animesme telah menganggap minyak tanah ini mempunyai semangat atau hantu.
Ini kerana cecair hitam ini boleh membawa musibah atau malapetaka kepada tempat kediaman mereka apabila dipanah petir. Maka akan diadakan upacara penyembahan saban tahun agar semangat atau hantu ini tidak marah atas penggunaan cecair hitam ini di dalam kehidupan seharian mereka.
Eksplorasi minyak yang pertama hanya berlaku setelah Dr. Charles Hose, Residen Baram yang menggantikan Claude Champion de Crespigny yang bersara pada tahun 1888. Selepas persaraan beliau pada tahun 1907, Dr. Charles Hose telah menyerahkan beberapa lakaran telaga minyak yang digunakan oleh penduduk tempatan untuk mendapatkan minyak tanah ini kepada HN Benjamin, rakan beliau yang bertugas dengan Anglo-Saxon Petroleum (salah sebuah anak syarikat milik Royal Dutch/Shell Group).
Melihat kepada potensi besar ini, pihak syarikat telah mengusulkan kepada Rajah Charles Brooke dan akhirnya Rajah Charles Brooke bersetuju untuk menandatangani perjanjian konsesi dan pajakan dengan Syarikat Anglo-Saxon Petrolum. Setelah kajian dijalankan mala pada 10 Ogos 1910, kerja-kerja mencarigali minyak bermula dengan pembinaan sebuah ‘derrick’ yang strukturnya diperbuat daripada kayu dan menggunakan kabel yang ditiru daripada sistem membuat kerja-kerja garam di Negara China.
Carigali yang pertama ini dilakukan di Bukit Kanada (Canada Hill). Melihat kepada kaedah konvensional ini terlalu perlahan maka sekali lagi kaedah carigalinya telah diimprovise dengan menggunakan teknologi berasaskan enjin stim. Pihak syarikat carigali minyak juga telah membuka loji penapisan minyak pertama pada tahun 1914 di Lutong, Miri dan kemudiannya membina saluran paip dasar laut yang pertama di kawasan tersebut yang merupakan salah satu teknologi termoden pada abad itu.
Pada tahun 1963, Orient Explorer telah berjaya membuat ekplorasi minyak di perairan Baram dan ini merupakan ekplorasi minyak di kawasan perairan laut yang pertama di Sarawak pada masa itu.
Semasa Jepun meluaskan empayarnya di Sarawak, Miri adalah kawasan pertama yang menjadi kawasan pilihan angkatan tentera Jepun mendarat di Sarawak. Pada tanggal 16 Disember 1941, tentera Jepun mendarat di Miri dengan menggunakan pasukan laut mereka dari Cam Ranh, Vietnam. Kemudian pasukan tentera Jepun telah berpecah dua dan memulakan penaklukan mereka menuju ke Kuching dan Sibu dan satu kumpulan lagi mara ke Labuan dan Sandakan samada dengan jalan laut mahupun jalan darat.
Dan sejarah juga membuktikan bahawa Rajah Charles Vyner Brooke telah menjalankan “Operasi Bumi Hangus” yang pertama bagi persediaan Perang Dunia Kedua di Miri iaitu pada 8hb Disember 1941, kilang penapis minyak di Lutong, Miri dimusnahkan dan kemudiannya pada 9hb Disember 1941 lapangan terbang Miri juga turut dimusnahkan. Semasa penaklukan Jepun ke atas Sarawak ini, tiada tentangan sengit diberikan memandangkan Sarawak tidak mempunyai batalion pertahanan yang secukupnya.
Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.