LEGENDA PUTERI JUNJUNG BUIH
LEGENDA PUTERI JUNJUNG BUIH
Puteri Lela Menchanai adalah satu nama yang tidak asing bagi masyarakat di Brunei Darussalam malah ianya juga salah satu daripada ikon legenda di dalam masyarakat Kedayan di Sarawak, Sabah mahupun Negara Brunei Darussalam sendiri. Puteri Lela Menchanai dikatakan nenek moyang kepada masyarakat Kedayan sekarang yang mana mengikut teori kedua masyarakat Kedayan sekarang merupakan berasal daripada pengikut kepada Puteri Lela Menchanai yang bersama-sama di dalam rombongan perkahwinan Puteri Lela Menchanai.
Puteri Lela Menchanai ini merupakan seorang puteri daripada tanah seberang yang berkahwin dengan baginda Sultan Bolkiah, sultan bagi Negara Brunei Darussalam suatu waktu dahulu. Ini dapat dipastikan melalui tulisan daripada Drg Marthin Bayer yang menyatakan bahawa Puteri Lela Menchanai adalah sama dengan Kameloh Putak Janjulen Karangan yang terkenal di dalam masyarakat Dayak di Kalimantan Barat yang juga dikenali sebagai Puteri Junjung Buih.
Al-sahibul hikayat diriwayatkan suatu waktu dahulu terdapat sebuah Kerajaan lama bernama Amuntai yang terletak di Kalimantan Selatan. Alkisahnya Kerajaan Amuntai ini diperintah oleh dua orang raja bersaudara. Raja yang sulung bernama Patmaraga atau lebih dikenali dengan julukan Raja Tua. Manakala adiknya pula bernama Sukmaraga dengan julukan Raja Muda. Dikatakan walaupun kedua-dua raja ini telah mendirikan rumahtangga namun kedua-dua raja ini tidak dikurniakan dengan sebarang cahayamata bagi mewariskan kerajaan mereka.
Dek kerana mengenangkan tiadanya waris maka kedua-dua raja ini telah mengambil kata sepakat untuk mendapatkan anak walau dengan apa cara sekalipun. Maka Raja Tua telah memerintahkan agar adindanya Raja Muda untuk mengusahakan apa yang perlu kerana ternyata Raja Muda lebih gagah dan lebih muda dari segi faktor usianya berbanding dengan Raja Tua. Dengan penuh tawakal, Raja Muda berserta dengan permaisurinya telah berusaha berjumpa dengan mereka yang pakar bagi mendapatkan zuriat dan pada suatu malam Raja Muda telah bermimpi didatangi oleh seseorang yang menyuruh baginda untuk pergi bertapa di sebuah pulau berdekatan dengan kota Banjarmasin.
Setelah terbangun daripada lenanya, Raja Muda pun menceritakan kisah mimpinya kepada permaisurinya dan tanpa ada berasa sangkal pada dirinya, permaisuri telah meminta Raja Muda untuk pergi ke lokasi yang diceritakan. Maka berangkatlah Raja Muda ke pulau yang dinyatakan untuk bertapa. Setelah sampai baginda pun mulalah bertapa seperti yang diajar di dalam mimpi baginda.
Di dalam pertapaan inilah, Raja Muda telah mendapat firasat iaitu jika hendak mendapatkan zuriat maka hendaklah permaisurinya memakan bunga Kastuba. Maka Raja Muda pun mencari bunga kastuba yang tumbuh meliar di kawasan pertapaannya dan diberikannya kepada permaisurinya untuk makan. Kemudian pulanglah mereka ke istana di Kerajaan Amuntai bagi menanti berita baik yang akan tiba pada bila-bila masa.
Setelah beberapa bulan berlalu, ternyata permaisuri Raja Muda telah hamil dan akhirnya setelah mengandung 9 bulan maka lahirlah putera kembar yang sangat elok rupa parasnya. Berbanggalah Raja Muda kerana ternyata Kerajaan Amuntai sekarang sudah mempunyai waris.
Berlainan pula kisahnya dengan Raja Tua yang mendengar perkhabaran gembira daripada Raja Muda juga mempunyai keinginan untuk mempunyai cahayamata sendiri. Maka Raja Tua dan permaisurinya pun berdoa dengan para dewa agar dikurniakan cahayamata juga. Pada malamnya, Raja Tua pula didatangi oleh seseorang di dalam mimpinya yang menyuruh baginda untuk bertapa di sebuah lokasi bernama Candi Agung yang terletak di luar kota Amuntai.
Raja Tua dan permaisurinya pun tanpa berlengah-lengah telah mengikuti arahan yang diberikan. Walau bagaimanapun di sepanjang pertapaan tersebut, Raja Tua tidak menerima apa-apa firasat dan setelah tempoh pertapaan selesai baginda dan permaisurinya pun berangkat pulang ke istana dengan penuh sebak di dada. Di dalam perjalanan pulang ini, permaisuri merasa dahaga lalu mereka pun mengambil keputusan untuk berehat di sebatang sungai yang agak jernih. Ketika permaisuri mencedok air bagi menghilangkan dahaganya alangkah terkejutnya permaisuri secara tiba-tiba berbuih-buihlah di tengah sungai tersebut dan dengan tidak semena-mena timbullah seorang bayi perempuan yang terapung-apung dan mula menghampiri permaisuri.
Rupa paras bayi perempuan tersebut terlalu indah dengan putih berseri-seri. Raja Tua dengan permaisuri percaya bahawa inilah zuriat yang diberikan kepada baginda lalu mengambil keputusan untuk mengangkat bayi perempuan tersebut sebagai puterinya. Dek kerana keindahan rupa paras bayi tersebut serta daripada mana asalnya maka bayi perempuan inipun diberikan nama Puteri Junjung Buih.
Setiba di istana Kerajaan Amuntai, Raja Tua telah memerintah menteri istana iaitu Datuk Pujung untuk membuat persiapan bagi Puteri Junjung Buih. Ketika diberikan kepada Datuk Pujung inilah tiba-tiba Puteri Junjung Buih yang masih bayi ini telah pandai berkata-kata iaitu beliau berkeinginan untuk diselimutkan dengan selembar kain tenunan yang harus dibuat dalam waktu ½ hari jika tidak kesaktiannya tidak akan berkesan. Mendengar atas perkara tersebut, Raja Tua pun bertitah untuk memanggil siapa juga wanita yang ahli di dalam membuat tenunan kain.
Pada masa itu, Puteri Junjung Buih hanya di dalam dakapan permaisuri Raja Tua tidak diletakkan di atas katil. Setelah mengadapnya 40 wanita Kerajaan Amuntai yang ahli menenun maka bertitahlah Raja Tua iaitu barangsiapa yang mampu menenun selembar kain seperti yang dimahukan oleh Puteri Junjung Buih di dalam masa ½ hari maka wanita itulah yang akan diangkat menjadi pengasuh utama Puteri Junjung Buih dan dikurniakan dengan segala hadiah daripada Raja Tua.
Ternyata hanya seorang sahaja wanita yang mampu melangsaikan selembar kain tenunan di dalam waktu yang dibenarkan iaitu seorang wanita bernama Ratu Kuripan. Tenunan yang dihasilkan pun bukannya calang-calang kerana tenunan yang dihasilkan amat indah sekali. Akhirnya Puteri Junjung Buih diselimutkan dengan selembar tenunan itu dan diserahkan kepada Ratu Kuripan untuk dijaga dengan seelok-eloknya di dalam istana Kerajaan Amuntai.
Apabila meningkat dewasa, Raja Tua dan Raja Muda ingin menyerahkan kekuasaan Kerajaan Amuntai kepada zuriat-zuriat mereka maka berpakatlah mereka untuk menyatukan putera sulung Raja Muda dengan Puteri Junjung Buih. Namun begitu mengikut ceritanya putera kembar yang bongsu Raja Muda juga menaruh hati kepada Puteri Junjung Buih.
Akibat tidak berpuashati kedua-dua putera kembar ini bertelagah di antara satu sama lain sehingga membenarkan Puteri Junjung Buih mengkhabarkan kepada ayahandanya Raja Tua bahawa jodohnya tidak boleh golongan bangsawan yang senegara dengannya kerana jika dilakukan kemudian malapetaka akan berlaku kepada Kerajaan Amuntai kelak. Jodoh Puteri Junjung Buih hanya pada golongan bangsawan atau raja daripada sebuah negara yang sedang berkembang dengan gah di Pulau Borneo.
Maka diceritakan akhirnya Raja Tua telah menjodohkan Puteri Junjung Buih dengan seorang raja daripada Pulau Borneo dan Puteri Junjung Buih sewaktu perkahwinannya telah dibekalkan dengan beberapa pengikut yang ahli di dalam serba serbi sebagai membantu Puteri apabila di bumi asing nanti.
Terlalu banyak versi Puteri Junjung Buih malah ada yang menyebut ianya juga puteri bangsawan daripada Kerajaan Banjar. Walau bagaimanapun ini hanyalah cerita legenda yang ada kebenarannya tetapi telah ditokok tambah bagi mencantikkan jalan cerita penglipurlara. Sebelum itu, bagi mencarikan kebetulannya di dalam mengatakan cerita legenda Puteri Junjung Buih ini adalah Puteri Lela Menchanai, permaisuri Sultan Bolkiah marilah kita bersama-sama menilai bait-bait indah daripada lagu melayu lama karangan Shukri Zain, seorang penyair daripada Negara Brunei Darussalam yang dihasilkan pada 10 Mac 1968.
Puteri Laila Mencanai
Puteri Laila Mencanai Serumpun kumpai di tengah lautan Dalamnya terkandung buih nan indah Darinya menjelma puteri rupawan Dijadikan isteri Sultan Bolkiah Puteri jelita Laila Mencanai Didapat baginda dalam pelayaran Kasih baginda tiada ternilai Hajar isterinya dapat ditunaikan Dalam Pelayaran isterinya menjahit Jarum emas penyulam-nyulam Baginda perhatikan begitu asyik Sehingga tertidur di dalam pangkuan Puteri pun terharu sulaman tak tentu Jarum tercucuk ke tangan baginda Bisanya jarum tawar tak selulu Mangkatlah baginda di tangan jelita Laila Menchanai berdukacita Akhirnya puteri menikam dirinya Meninggalkan wasiat bermakan sama Makam selarong bernisan tiga
- Syukri Zain, 10/3/1968, Brunei –
Apakah kedua-dua nama ini adalah puteri yang sama hanya Allah yang tahu segalanya. Di harap cerita legenda ini akan menjadi sumber cerita untuk kita perturunkan kepada generasi kita yang seterusnya. Sesungguhnya kita yang berada di satu pulau yang sama mempunyai perkongsian cerita legenda yang agak sama yang wajar kita lestarikan menjadi karya agung buat tatapan generasi mendatangkan.