top of page

DEWAN UNDANGAN NEGERI SARAWAK

DEWAN UNDANGAN NEGERI SARAWAK

- Dewan Perundangan Tertua Di Gagasan Malaysia


DUN Sarawak merupakan lambang kepada sistem pentadbiran bagi Sarawak Bumi Kenyalang. Di DUN Sarawak inilah banyak perkara mengenai bagaimana Sarawak Bumi Kenyalang diurus-tadbirkan.. Mungkin ramai generasi Sarawak tidak mengetahui bahawa DUN Sarawak merupakan dewan perundangan yang tertua di Malaysia.


Mengikut sejarahnya dewan perundangan negeri Sarawak di awal penubuhannya telah ditubuhkan oleh Raja Muda Charles Brooke yang menurut perintah daripada ayahanda saudaranya yang juga merupakan Rajah Pertama Sarawak Kingdom pada waktu itu iaitu Raja James Brooke. Ianya berlaku pada 8 September 1867 yang mana mesyuarat tersebut telah diadakan di sebuah perkampungan nelayan kecil di Bintulu, Sarawak.


Di awal penubuhannya ianya lebih dikenali sebagai Majlis Umum (General Council) dengan jumlah ahli dipilih hanyalah seramai 21 orang. Pemilihan ahli-ahli Majlis Umum ini adalah dari kalangan ketua-ketua kaum tempatan yang difikirkan dapat membantu dalam mentadbir wilayah-wilayah di Sarawak Kingdom.


Pada masa itu empayar Sarawak Kingdom tidaklah sebesar Sarawak Bumi Kenyalang sekarang sebaliknya ianya meliputi kawasan-kawasan persisiran sahaja. Jika dilihat kepada tarikh penubuhannya maka adalah tidak syak lagi bahawa Majlis Umum atau DUN Sarawak merupakan Dewan Undangan Negeri yang tertua dan terulung sekali di dalam Malaysia.


Umum mengetahui bahawa Sarawak telah melewati 3 zaman pemerintahan yang berbeza bermula dariapada Sarawak dibawah pemerintahan keluarga Brooke yang memerintah Sarawak selama lebih kurang 100 tahun. Kemudian pada 1 Julai 1946 setelah Perang Dunia Kedua tamat, Sarawak telah diberikan kepada pemerintahan Kerajaan Mahkota British yang dikenali sebagai pemerintahan British Borneo.


Seterusnya pada 22hb Julai 1963, Sarawak telah merdeka daripada menjadi jajahan British Borneo dan bagi membenarkan Sarawak bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah (North Borneo) dan Singapura untuk bersama-sama membentuk Gagasan Malaysia yang ditubuhkan pada 16hb September 1963. Pada masa ini DUN Sarawak tetap berfungsi sebagai asas kepada pentadbiran bagi Sarawak pada ketika itu.


Sejajar dengan perubahan, keahlian Dewan juga mengalami perubahan. Di awal penubuhannya Council Negri hanya mempunyai wakil daripada kaum Bumiputra sahaja yang dilantik menjadi ahli dan seterusnya barulah ianya mempunyai wakil-wakil kaum cina. Dari 1946 hingga saat-saat sebelum merdeka, Dewan terus bergerak menempuh arus-arus perubahan yang banyak seiring dengan kedudukan negeri ditadbirkan oleh pejabat tanah jajahan yang berpusat di London melalui wakil-wakilnya di Sarawak.


Setelah Gagasan Malaysia ditubuhkan akhirnya semua ahli-ahli DUN Sarawak telah dipilih melalui sistem pilihanraya iaitu amalan demokrasi yang diamalkan oleh setiap negara merdeka sehingga sekarang.


bottom of page