ETNIK LAHANAN, SARAWAK, BORNEO
ETNIK LAHANAN, SARAWAK, BORNEO
Etnik Lahanan merupakan salah satu sub etnik yang dikategorikan di bawah etnik Kajang dibawah masyarakat yang membentuk Kaum Orang Ulu di Sarawak. Kebanyakan daripada mereka ramai mendiami kawasan di utara Sarawak iaitu di Daerah Belaga, Sarawak lebih-lebih lagi di satu penempatan semula yang dinamakan Skim Penempatan Semula Bakun di Sungai Asap, Belaga.
Menurut sejarahnya Etnik Lahanan adalah salah satu etnik yang berasal daripada Apau Kayan, Kalimantan Timur yang merupakan penempatan legenda bagi setiap masyarakat yang membentuk kaum Orang Ulu di Sarawak. Untuk etnik Lahanan sebelum Sarawak bersama-sama membentuk Gagasan Malaysia pada tahun 1963, mereka ramai mendiami di Sungai Balui. Menurut sejarahnya juga sejak 150 tahun dahulu, etnik Lahanan telah berpecah-pecah kerana adanya pertikaian kepimpinan yang mana mereka telah berpecah kepada 2 iaitu satu sebagai Lahanan Long Pangai manakala satu lagi Lahanan Long Belepeh.
Dikatakan juga Lahanan Long Pangai lebih mengikut kepada adat istiadat serta bahasa seakan etnik Kayan memandangkan mereka tinggal dekat dengan etnik Kayan dan perkahwinan campur antara etnik Lahanan dan etnik Kayan telah memungkinkan hal ini berlaku manakala Lahanan Long Belepeh lebih memilih untuk mengekalkan adat istiadat dan bahasa Lahanan sendiri.
Seperti masyarakat Orang Ulu yang lain di Sarawak, etnik Lahanan juga dahulunya mempunyai sistem strata sosial yang diamalkan di dalam penghidupan mereka terutama sekali di dalam memperkasakan adat istiadat warisan budaya mereka seperti di dalam adapt istiada kelahiran, perkahwinan mahupun kematian. Sistem strata social etnik Lahanan juga terdiri daripada 4 peringkat strata sosial yang dimulai dengan Laja, Ki’ Laja, Panyin dan Lipen.
Laja dikategorikan sebagai mereka yang berasal daripada golongan pemimpin ataupun “tilung” iaitu mereka yang boleh menjadi raja di dalam etnik Lahanan. Ki’ Laja pula merupakan keluarga yang mempunyai darah keturunan yang sama dengan Laja tetapi tidak dibenarkan memerintah atau menjadi pemimpin. Panyin pula adalah golongan yang bekerja dengan Laja tetapi mereka merupakan golongan yang bebas untuk berbuat apa sahaja dan mengikut sejarahnya mereka adalah golongan yang sangat patuh kepada setiap arahan Laja mereka.
Golongan Lipen pula adalah daripada strata social bawahan yang dikategorikan sebagai hamba, Mereka suatu zaman dahulu tidak mempunyai hak ke atas diri mereka dan akan diwarisi keturunan tersebut sehinggalah ke anak cucu mereka kecuali ada golongan Laja, Ki’Laja dan Panyin memerdekakan mereka dan akhirnya mereka boleh masuk menjadi golongan Panyin di dalam strata penghidupan etnik Lahanan.
Buat masa sekarang, etnik Lahanan sudah lama meninggalkan strata berkelas-kelas di dalam penghidupan mereka lebih-lebih lagi selepas kedatangan Rajah Brooke memerintah Sarawak Kingdom selama lebih 100 tahun dahulu lagi.
Jika dari segi bahasa atau dialek, etnik Lahanan juga mempunyai bahasanya yang tersendiri tetapi banyak meminjam bahasa atau dialek yang berada di dalam persekitaran penghidupan mereka seperti Kayan, Kenyah dan banyak lagi. Terdapat satu cerita legenda yang diperturunkan secara oral dari satu generasi ke generasi yang lain di etnik Lahanan dan mengapa etnik Lahanan mempunyai bahasa yang pelbagai lalu membentuk bahasa yang dipanggil sebagai bahasa Lahanan.
Diriwayatkan suatu waktu dahulu etnik Lahanan di Apau Kayan merupakan etnik yang dilahirkan paling terakhir dari sebatang pokok gergasi di Apau Kayan. Laja atau raja etnik Lahanan iaitu Lake Galo telah menitahkan bahawa etnik-etnik yang terawal harus mempunyai bahasa tersendiri tetapi tidak pada etnik Lahanan. Jadi sebagai memberikan penghargaan kepada etnik Lahanan yang merupakan etnik yang terakhir maka Lake Galo telah membenarkan kesemua etnik Lahanan untuk menggunapakai apa sahaja bahasa etnik yang lebih awal seperti etnik Kayan dan Kenyah sebagai bahasa pertuturan mereka. Dan kerana itulah jika diamati bahasa pertuturan etnik Lahanan mempunyai kesamaan samada daripada etnik Kayan dan etnik Kenyah itu sendiri.
Seperti etnik-etnik yang lain di bumi Sarawak, suatu waktu dahulu etnik Lahanan juga antara etnik yang mengamalkan agama animisme ataupun Bungan iaitu mereka yang mempercayai kewujudan semangat namun setelah kedatangan agama sekitar abad ke 1900an, etnik Lahanan juga telah memeluk agama Kristian sebagai salah satu pendirian penghidupan mereka. Walaupun sudah menempuh era modenisasi, etnik Lahanan masih lagi mengekalkan adat istiadat mereka yang unik seperti adat perkahwinan, adat pertunangan dan sebagainya bagi memastikan kelestarian budaya mereka tidak hilang dek zaman.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta