FORT VYNER, BELAGA, SARAWAK
FORT VYNER, BELAGA, SARAWAK
Fort Vyner atau Kubu Vyner adalah satu lagi kubu peninggalan Brooke yang ada di Sarawak. Namun sayangnya kubu ini sudah tidak ada lagi sebagai satu bangunan sejarah di bumi Sarawak sekarang. Terdapat kecelaruan di dalam memperkatakan tentang Fort Vyner ini kerana ada yang mengwar-warkan bahawa ianya sudah hangus dijilat api akibat kebakaran suatu waktu dahulu. Tetapi menurut sumber seorang pengkaji sejarha iaitu seorang arkitek, John Ting mengatakan bahawa sebenarnya Fort Vyner telah dimusnahkan bagi memberi laluan pembinaan bangunan kerajaan pada tahun 1965 di Belaga.
Mengikut sumber sejarah jika merujuk kepada Buku bertajuk “The White Rajahs” oleh Steven Runciman pada tahun 1960 mengatakan bahawa satu kubu telah dibina di Belaga atas arah Rajah Brooke. Pada ketika itu, terdapat banyak pemberontakan daripada masyarakat tempatan di sekitar Belaga sehingga Tuan Muda Brooke merasakan adalah perlu untuk membina kubu sebagai satu pusat pentadbiran Sarawak Kingdom pada ketika itu.
Memulakan pembinaannya sekitar akhir November 1883 dan siap sepenuhnya 6 minggu selepas itu iaitu sekitar Januari 1884. Dikatakan juga bahawa pembinaan kubu di Belaga ini adalah atas jerih perih masyarakat di Belaga itu sendiri lebih-lebih lagi oleh seorang pemimpin Orang Ulu yang terkenal iaitu Aman Tipung Tului. Senibina dan bahan binaannya adalah sepenuhnya atas pemberian masyarakat Orang Ulu di Belaga iaitu daripada kayu-kayan yang sememangnya banyak terdapat di Belaga.
Selain daripada itu, di pihak Kerajaan Sarawak Kingdom pula ada menyediakan beberapa bahan binaan yang dibawakan khas dari Sibu dengan menggunakan pengangkutan air pada waktu itu. Tukang-tukang daripada masyarakat Orang Ulu di Belaga telah menggunakan kepakaran mereka sebaik mungkin dan upah mereka juga dikatakan hanya berdasarkan kepada barangan makanan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak Kingdom.
Walaupun Fort Vyner sudah tiada lagi di bumi Sarawak namun begitu ianya tidak bermakna kita sebagai generasi Sarawak harus melupakan sejarahnya kerana sudah tentu Fort Vyner ini mempunyai hubungkait dengan kita bangsa Sarawak lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di Belaga, Sarawak.