top of page

FROM BELAGA WITH LOVE

FROM BELAGA WITH LOVE


Daerah Belaga merupakan salah satu daerah yang terletak nun jauh di pedalaman Sarawak Bumi Kenyalang. Ianya terletak di kawasan Hulu Rajang dan dibawah jurisdiksi Bahagian Kapit. Terkenal dengan kawasannya yang terletak di dataran tanah tinggi dengan kebanyakan kawasannya melebihi daripada 4,000 kaki dari paras laut.


Selain daripada itu, Belaga juga terkenal dengan jaluran sungai-sungainya yang merupakan nadi penting untuk ke menerokai bumi pedalaman Sarawak Bumi Kenyalang dari dahulu sehingga sekarang. Sungai-sungai utama yang menjajari bumi Belaga sememangnya sentiasa disebut-sebut di dalam lipatan sejarah Sarawak sejak dari dahulu lagi memandangkan asal-usul masyarakatnya lebih-lebih lagi Kaum Orang Ulu Sarawak seperti etnik Kenyah, Kayan, Penan, Punan, Kajang, Baketan serta banyak lagi, seringkali akan menyebut nama-nama sungai mereka seperti Sungai Balui, Sungai Belaga, Sungai Linau dan Sungai Plieran berkaitrapat dengan penempatan mereka di sungai-sungai tersebut.


Kekayaan dan keunikan Belaga bukan sahaja pada sejarah masyarakat yang mendiami mereka malah juga faktor geografinya juga memungkinkan ianya sering menjadi gah seantero dunia. Empangan Bakun misalnya sehingga ke hari ini seringkali mewarnai cerita masyarakat seluruh dunia memandangkan ianya merupakan empangan buatan manusia yang terbesar pernah didirikan di Sarawak Bumi Kenyalang. Faktor geografi juga menyebabkan Belaga ini uni kerana Belaga sebenarnya hanya dipisahkan dengan Kalimantan Tengah, Republik Indonesia berdasarkan satu banjaran semulajadi yang dinamakan Banjaran Iran.


Jika diimbau dari sejarah bagaimana Belaga ini mendapat nama, buat masa sekarang belum ada dokumen yang mengkhusus yang mampu dijadikan rujukan di dalam memperkatakan nama Belaga ini. Tetapi menurut masyarakat setempat di Belaga sekarang, Belaga sebenarnya mendapat nama dari sebatang sungai yang juga mempunyai kepentingan kepada masyarakat di Belaga sejak dari dahulu lagi iaitu Sungai Belaga yang merupakan anak sungai kepada Sungai Balui. Ini kerana sejak daripada dulu lagi, komuniti di Belaga telahpun mendiami di sepanjang sungai tersebut dan kerana itulah nama sungai itu digunakan bagi merujuk kepada kawasan sekitarnya.


Di dalam rentetan sejarah Sarawak Kingdom juga, sejak dari dahulu lagi Belaga ini sememangnya menjadi salah satu pembentuk empayar Sarawak Kingdom. Dahulu ketika pentadbiran Sarawak Kingdom, Rajah Brooke sudah awal-awal lagi mempunyai posisi jawatan “Sarawak Native Officer” untuk Belaga. Hanya dengan cara ini sudah tentu sebarang yang berkenaan dengan bumi Belaga akan terus diperdengarkan ke pentadbiran Sarawak Kingdom.


Umum mengetahui, di sepanjang pemerintahan Brooke di bumi Sarawak suatu waktu dahulu sudah tentu akan dibina kubu atau Fort sebagai satu bangunan pertahanan dan pemusatan pentadbiran Sarawak Kingdom di sesuatu wilayah. Ini tidak terkecuali bagi bumi Belaga namun malangnya kubu tersebut tidak wujud lagi kerana dikatakan telah dirobohkan bagi memberi peluang kepada pembinaan sebuah bangunan kerajaan sekitar tahun 1965.


Kubu yang dimaksudkan adalah Kubu Vyner atau Fort Vyner yang dikatakan pembinaannya bermula pada November 1883 dan siap sepenuhnya pada Januari 1884. Mengambil bersempena dengan nama Tuan Muda Charles Vyner Brooke pada masa itu maka kubu yang terletak di Belaga yang menggunakan 100% kayu kayan sebagai material pembinaannya dinamakan Fort Vyner.


Dikatakan juga Fort Vyner ini dibina hasil jerih perih Kaum Orang Ulu dibawah pimpinan Aman Tipung Tului yang sememangnya satu nama pemimpin yang tidak asing lagi di bumi Belaga sejak dahulu lagi. Aman Tipung Tului inilah pemimpin Belaga yang telah membuat perjalanan keamanan sehingga ke Negara Brunei Darussalam suatu waktu dahulu dan di Brunei juga dikatakan kedatangan dan kepulangan beliau telah diraikan dengan penuh gilang gemilang kerana penghormatan Kerajaan Kesultanan Brunei pada seorang pemimpin di Belaga yang gah namanya ini.


Bumi Belaga ini penuh dengan rentetan sejarahnya baik dari keunikan masyarakatnya malah sejarah Belaga itu sendiri di dalam sejarah Sarawak sewaktu menjadi tanah kuripan Sultan Brunei, Sarawak Kingdom dibawah dinasti Keluarga Brooke, Sarawak di bawah pendudukan Jepun dan seterusnya Sarawak British Borneo dan akhir sekali Sarawak Bumi Kenyalang, Malaysia.


Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.



© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page