top of page

MISTERI SEGI TIGA BORNEO

MISTERI SEGI TIGA BORNEO

- Suratan atau satu kebetulan!!!


Bermuda Triangle atau Segi Tiga Bermuda, satu nama tempat yang mungkin tidak asing bagi rakyat di seluruh dunia. Misteri kehilangan kapal-kapal besar di kawasan yang dinamakan Segi Tiga Bermuda sudah tentu sering menjadi igauan ngeri bagi pelayar-pelayar yang melaluinya. Namun begitu, pernahkah kita terutama sekali rakyat Sabah dan Sarawak mengetahui tentang kewujudan sebuah tempat yang dinamakan SEGI TIGA BORNEO?


Segi Tiga Borneo sememangnya wujud di Pulau Borneo iaitu kedudukannya adalah antara Bario. Pa’Lungan dan Gunung Murud di Sarawak Bumi Kenyalang. Yang membezakan Segi Tiga Borneo dengan Segi Tiga Bermuda adalah Segi Tiga Borneo kedudukannya di atas daratan dengan diliputi oleh hutan belantara dan gunung ganang manakala Segi Tiga Bermuda merupakan hamparan lautan yang luas.


Dan apabila memperkatakan kedudukan kawasan bergunung ganang dan hutan belantara sudah tentu Segi Tiga Borneo adalah satu yang menggerunkan untuk juruterbang-juruterbang kapal udara yang merupakan antara pengangkutan yang paling cepat serta kedua popular di Sarawak Bumi Kenyalang.


Menurut sumber, sejak pengangkutan udara diperkenalkan di Sarawak Bumi Kenyalang telah banyak kejadian kapalterbang dan helicopter terhempas di kawasan yang dikenali sebagai Segi Tiga Borneo ini. Yang terakhir adalah pada tanggal 12hb Julai 2004 yang mana sebuah helicopter jenis Bell 206 Ranger kepunyaan Hornbill Skyways yang di dalam perjalanan untuk meninjau projek hidro elektrik yang membawa seorang Menteri Sarawak iaitu Yang Berhormat Dr. Judson Sakai Tagai telah terhempas di kawasan ini. Kejadian ini telah mendapat liputan yang meluas dari media massa samada dalam atau luar negara.


Ianya juga telah dibentangkan di Parlimen Malaysia pada masa itu dan hanya setelah 20 hari di dalam Operasi Mencari dan Menyelamat barulah bangkai helicopter ini ditemui. Yang menjadi misteri adalah di dalam Operasi ini bantuan kepakaran daripada luar negara telah diperolehi daripada luar negara namun segala peralatan canggih dan moden tidak juga dapat membantu malah dikatakan tidak dapat berfungsi langsung.


Inilah antara kejadian misteri yang terpaksa dihadapi oleh pasukan penyelamat. Dikatakan juga kejayaan operasi ini sebenarnya menemui noktahnya apabila bantuan mistik telah digunakan. Begitu “Keras” kawasan ini sehinggakan bantuan bomoh yang terkenal daripada masyarakat tempatan Ba’Kelalan telah digunakan dan akhirnya ia berjaya dilakukan.


Mungkin jampi serapah dan khidmat pengantara yang digunakan di dalam dunia mistik untuk berkomunikasi dengan penunggu hutan tebal di Ba’Kelalan telah membenarkan mata manusia biasa untuk melihat dimanakah kedudukan sebenar lokasi kemalangan. Hanya Tuhan yang maha berkuasa mampu mengungkaikannya…..


Bagi yang hanya mempercayai hukum logik daripada mistik, kawasan Segi Tiga Borneo dikatakan antara salah satu kawasan penerbangan yang cukup mencabar kerana ia menjanjikan 1,001 kemungkinan kepada juruterbang yang bakal melaluinya. Tidak ada apa yang boleh dijangkakan dengan tepat jika melalui laluan itu, baik dari segi cuaca mahu pun tiupan angin kerana kedua-dua fenomena alam itu boleh berubah dengan pantas.


Kedudukannya yang tinggi dari aras laut iaitu melebihi 600 meter, ditambah bentuk muka bumi bergunung-ganang menambahkan lagi kesukaran kerana ia menyempitkan ruang penerbangan yang ada. Sekiranya pesawat terhempas di kawasan tersebut, harapan mangsa untuk hidup adalah tipis jika lambat diselamatkan. Mangsa mungkin boleh bertahan beberapa hari dengan memakan serangga dan pucuk-pucuk kayu tetapi faktor cuaca yang tidak menentu serta sukar diramalkan akan menambah derita pada mereka yang masih hidup.


Di situ, suhunya adalah antara 14 hingga 16 darjah Celsius dan di dalam hutan tebal tentunya lebih sejuk. Bentuk geografi yang bertebing curam pula menyukarkan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR). Untuk sampai ke lokasi sejauh satu kilometer sahaja memerlukan masa sekurang-kurangnya empat jam. Bagi operasi dari udara, faktor cuaca yang berkabus dan pokok rendang menghadkan penglihatan juruterbang memantau lokasi kejadian.


Inilah sekelumit kisah Misteri Segi Tiga Borneo yang kedudukannya terletak di Sarawak Bumi Kenyalang yang telah banyak “memakan nyawa” manusia sejak di zaman Koloni British lagi. Segala kejadian mistik di dalam operasi menyelamat kemalangan mungkin juga adalah satu misteri atau mungkin juga satu suratan atau satu kebetulan di dalam kita memperkatakan hukum alam semulajadi di dunia ini.


Sesungguhnya hanya Tuhan yang maha berkuasa mengetahui segalanya dan kita sebagai hambanya haruslah bertawakal dan berusaha sahaja.


Jangan Biarkan Hidup Anda Diliputi MISTERI!!!!!!



bottom of page