KERAJAAN TANJUNGPURA, KALIMANTAN BARAT, BORNEO
KERAJAAN TANJUNGPURA, KALIMANTAN BARAT, BORNEO
Di dalam menyelusuri cerita sejarah mengenai berdirinya kerajaan-kerajaan kuno di bumi Borneo sudah semestinya akan sering kita lihat kaitan kerajaan kuno ini dengan satu kerajaan yang agak besar suatu waktu dahulu. Satu kerajaan kuno yang pernah wujud di Kalimantan Barat ini banyak memainkan peranan di dalam menentukan survival kerajaan-kerajaan kecil di Borneo dan ini termasuklah Kerajaan Sarawak Darulhana iaitu satu kerajaan yang pernah wujud di Sarawak.
Kerajaan Tanjungpura atau nama lainnya Kerajaan Tanjompuera adalah satu kerajaan kuno yang pernah bertapak di bumi Kalimantan Barat. Jika sekarang ianya terletak di provinsi Kabupaten Kayong Utara dan kerajaan ini dikatakan wujud sejak di abad ke-14 lagi. Di ketika Kerajaan Singhasari mendominasi bumi Borneo suatu waktu dahulu, kerajaan ini dikenali sebagai Bakulapura. Bakulapura bermaksud tumbuh-tumbuhan tanjung di dalam bahasa Sanskrit atau nama saintifiknya Mimusop Elengi yang banyak tumbuh di wilayah tersebut. Dikatakan lama-kelamaan berdasarkan lidah penutur di wilayah tersebut ianya dikenali dengan nama Tanjungpura.
Pulau Borneo suatu waktu dahulu telah terbahagi kepada 3 wilayah mengikut kekuasaan kerajaan kuno yang memerintahnya iaitu wilayah Kerajaan Brunei, wilayah Kerajaan Tanjungpura dan juga wilayah Kerajaan Banjarmasin. Dan untuk Kerajaan Tanjungpura pula kekuasaannya bukan kecil sebaliknya luas sekali bermula dari Tanjung Datu sehinggalah ke Tanjung Sambar.
Kewujudan Kerajaan Tanjungpura ini sebenarnya pernah diceritakan di dalam Kekawin Nagarakertagama iaitu satu manuskrip sejarah yang ditulis ketika pemerintahan Patih Gajahmada dan Hayam Wuruk. Di dalam kitab ini dikatakan bahawa jajahan takhluk Kerajaan Majapahit adalah sehingga ke nusa Tanjungnagara iaitu nama lain bagi Kalimantan ketika itu. Dan nama Tanjungpura pula dikatakan juga merujuk kepada pangkalan yang lebih strategik untuk memerintah keseluruhan nusa Tanjungnagara oleh Kerajaan Majapahit.
Jika merujuk kepada bukti sejarah, sudah tentu Kerajaan Tanjungpura juga mempunyai beberapa tinggalan sejarah bertulis yang dinamakan Prasasti Trailokyapuri yang ditemui di wilayah Tanjungpura suatu waktu dahulu. Di dalam prasasti ini ada mengatakan bahawa Bhre Tanjungpura adalah anak kepada Bhre Tumapel II iaitu abang kepada Suhita. Bhre Tanjungpura yang merujuk kepada nama ketua kerajaan adalah yang bernama Manggalawardhani Dyah Suragharini yang memerintah dari tahun 1429 Masihi sehingga 1464 Masihi. Dikala ini dikatakan bahawa Kerajaan Tanjungpura adalah dibawah pengaruh pemerintahan Hindu.
Perpindahan Ibukota Kerajaan Tanjungpura
Di dalam sejarah juga menyatakan bahawa Kerajaan Tanjungpura ini adalah antara kerajaan yang paling banyak melakukan perpindahan ke atas pusat pemerintahan. Ini kerana suatu waktu dahulu dikatakan Kerajaan Tanjungpura ini begitu terdedah kepada serangan lanun. Lanun-lanun ini pula adalah mereka yang kejam dan sering melakukan pembunuhan ke atas rakyat Tanjungpura tanpa belas kasihan walaupun sudah habis harta dirompak namun nyawa rakyat Tanjungpura juga jadi tagihan.
Hal tersebut telah memaksa pemerintah Kerajaan Tanjungpura untuk memindahkan pusat pemerintahannya beberapa kali. Dan apabila berpindah nama kerajaan juga turut bertukar dari Kerajaan Tanjungpura ke Kerajaan Sukadana dan seterusnya Kerajaan Matan.
Ironinya pada setiap kali perpindahan ibukota Kerajaan Tanjungpura ini sudah pasti akan terdapat kesan-kesan sejarah yang menjadi bukti bahawa Kerajaan Tanjungpura pernah berpindah ke kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, ramai pengkaji sejarah kerajaan kuno di Indonesia tidak begitu sependapat di dalam mengatakan perpindahan ibukota Kerajaan Tanjungpura ini. Menurut apa yang ditulis oleh Ansar Rahman, penemuan kesan-kesan sejarah Kerajaan Tanjungpura di satu kawasan yang dinamakan Negeri Baru di Ketapang yang menjadi ibukotanya sebelum berpindah ke Sukadana.
Ansar Rahman juga berpendapat bahawa di ketika pemerintahan Sultan Muhammad Zainuddin yang memerintah dari tahun 1665 Masihi sehingga ke 1724 Masihi, akibat dari perang saudara berebut hak pemerintahan ketika itu telah memaksa Sultan Zainuddin memindahkan ibunegerinya ke wilayah yang dikenali sebagai Sungai Matan. Di ketika ini nama kerajaannya dikenali sebagai Kerajaan Matan.
Sekitar tahun 1667, Kerajaan Matan pula memindahkan ibukotanya ke wilayah Sungai Puye iaitu salah satu anak Sungai Pawan. Kemudian sekali lagi berpindah ke Kartapura dan seterusnya ke Desa Tanjungpura. Dan yang terakhir sekali perpindahan ibukotanya adalah ke Muliakerta dan disinilah istana Muhammad Saunan didirikan seperti yang kita lihat kewujudannya di Kalimantan Barat sekarang.
Lain pula pendapat yang diutarakan oleh Gusti Iswadi di dalam bukunya yang berjudul Pesona Tanah Kayong, Kerajaan Tanjungpura Di Dalam Perspektif Sejarah. Menurut beliau, Tanjungpura berpindah ke Sukadana sehingga disebut Kerajaan Sukadana dan kemudian berpindah lagi ke Sungai Matan iaitu sekarang dikenali sebagai Kecamatan Simpang Hilir.
Menurut beliau, Sultan Muhammad Zainuddin sekitar tahun 1637 telah berpindah ke Indra Laya lalu disebut sebagai Kerajaan Indralaya. Kemudian apabila berpindah ke Karta Pura iaitu sekarang dikenali sebagai Kecamatan Nanga Tayap dikenali sebagai Kerajaan Kartapura. Dari Desa Tanjungpura iaitu sekarang dikenali sebagai Kecamatan Muara Pawan telah berpindah ke Muliakarta sehingga adanya Keraton Mulia Kerajaan Matan-Tanjungpura.
Jika diungkai kewujudan Kerajaan Tanjungpura ini mengikut versi manuskrip sejarah pula, Sukadana pernah disebut di dalam satu lagi manuskrip sejarah lama yang bertajuk Hikayat Banjar. Bukan itu sahaja peta yang diolah oleh Oliver Van Noord seorang pengkaji sejarah Belanda pada tahun 1600 Masihi ada menggambarkan satu wilayah yang dinamakan Succadano, Tamanpure, Cota Matan dan Loue di dalam petanya.
Inilah versi-versi pendapat yang telah diutarakan oleh Ansar Rahman dan juga Gusti Iswadi serta kewujudan kerajaan ini di dalam Hikayat Banjar dan juga peta Oliver Van Noord iaitu di dalam memperkatakan kecelaruan menentukan nama-nama bagi Kerajaan Tanjungpura ini di bumi Kalimantan Barat. Walaupun begitu, bukti-bukti seperti kawasan permakaman raja-raja Kerajaan Tanjungpura tetap ada di setiap wilayah yang disebut dan inilah yang menjadi saksi bisu kewujudan Kerajaan Tanjungpura ini sebenarnya.
Salsilah Raja-raja
Apabila menjejaki salsilah pemerintahan bagi Kerajaan Matan-Tanjungpura yang merupakan nama kerajaan terakhir bagi merujuk kepada Kerajaan Tanjungpura ini, mahu tidak mahu ianya harus dimulai dengan salsilah raja-raja Kerajaan Tanjungpura pada awalnya kerana ianya sering bersangkutan antara satu sama lain.
Berikut merupakan salsilah raja-raja bagi Kerajaan Tanjungpura berdasarkan satu buku yang ditulis oleh Drs. H. Gusti Mohd. Mulia yang bertajuk Sekilas Menapak Langkah Kerajaan Tanjungpura terbitan tahun 2007.
a. Raja-raja Kerajaan Tanjungpura
1. Brawijaya (1454–1472 Masihi)
2. Bapurung (1472–1487 Masihi)
3. Panembahan Karang Tanjung (1487–1504 Masihi)
Di ketika pemerintahan Panembahan Karang Tanjung inilah Kerajaan Tanjungpura dipindahkan ke Sukadana dan bertukar menjadi Kerajaan Sukadana.
b. Raja-raja Kerajaan Sukadana
1. Panembahan Karang Tanjung (1487–1504 Masihi)
2. Panembahan Sang Ratu Agung (1504–1518 Masihi)
3. Panembahan Bendala (1518–1526 Masihi)
4. Panembahan Pangeran Anom (1526–1533 Masihi)
5. Panembahan Baroh (1533-1590 Masihi)
6. Panembahan Sorgi (1590-1604 Masihi)
7. Ratu Mas Jaintan (1604-1622 Masihi)
8. Raden Saradipa (1622-1665 Masihi)
Raden Saradipa ini juga dikenali sebagai Sultan Muhammad Syaifuddin dan merupakan raja Kerajaan Tanjungpura yang pertama dan juga yang terakhir yang menggunakan gelaran Sultan. Pada ketika itu Kerajaan Tanjungpura sudah menjadi satu kerajaan Islam di bumi Borneo.
c. Raja-raja Kerajaan Kesultanan Matan
1. Sultan Muhammad Zainuddin (1665-1724 Masihi)
2. Sultan Muhammad Muazzuddin (1724-1738 Masihi)
3. Sultan Muhammad Tajuddin (1738-1749 Masihi)
4. Sultan Ahmad Kamaluddin (1749-1762 Masihi)
5. Sultan Muhammad Jamaluddin (1762-1819 Masihi)
Sultan Muhammad Jamaluddin merupakan Sultan terakhir kepada Kerajaan Matan dan dikatakan baginda tidak mempunyai zuriat untuk meneruskan legasi keturunannya maka pemerintahan telah diganti oleh keturunan daripada Sultan Ahmad Kamaluddin yang seterusnya memindahkan Kerajaan Kesultanan Matan ke satu kawasan bergelar Simpang dan dikenali sebagai Kerajaan Simpang-Matan.
d. Raja-raja Kerajaan Simpang-Matan
1. Sultan Muhammad Jamaluddin (1762-1819 Masihi)
2. Panembahan Anom Suryaningrat (1819-1845 Masihi)
3. Panembahan Anom Kesumaningrat (1845-1889 Masihi)
4. Panembahan Suryaningrat (1889-1920 Masihi)
5. Panembahan Gusti Roem (1920-1942 Masihi)
6. Panembahan Gusti Mesir (1942-1943)
Sekitar tahun 1942, bumi Borneo telah ditakluki oleh tentera Jepun dan pada ketika itu seperti yang diketahui, pemerintahan Jepun tidak pernah mengesahkan mana-mana kerajaan wujud di bumi Borneo dan oleh kerana itulah pemerintah terakhir Kerajaan Simpang-Matan iaitu Panembahan Gusti Mesir telah ditangkap dan dipenjarakan di Batavia.
Apabila Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Panembahan Gusti Mesir telah terlalu uzur lalu ditabalkan Gusti Ibrahim iaitu satu-satunya puteranya. Masalahnya ketika itu Gusti Ibrahim masih lagi terlalu muda iaitu 14 tahun usianya. Oleh kerana itulah pemerintahan Kerajaan Simpang-Matan adalah dibawah pemangku raja iaitu Gusti Mahmud atau digelar sebagai Mangkubumi. Beliau kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1952. Kemudian tiada lagi kerajaan-kerajaan kuno wujud selepas itu, apabila semuanya dibubarkan bagi membentuk sebuah Negara baru yang dinamakan Republik Indonesia.
Inilah satu sejarah panjang untuk satu kerajaan yang bernama Kerajaan Tanjungpura atau Kerajaan Tamjungpuera yang pernah wujud di bumi Borneo. Ianya mempunyai nama-nama kerajaan yang berbeza-beza malah versi dokumen sejarahnya juga berbeza-beza kerana adanya perpindahan ibukotanya sehingga muncullah nama-nama seperti Kerajaan Sukadana kemudian Kerajaan Kesultanan Matan kemudian Kerajaan Simpang-Matan. Bagaimanapun apa jua nama-namanya dan versi sejarahnya, ianya tetap Kerajaan Tanjungpura kerana raja-rajanya adalah dari salsilah yang sama keturunannya.
Rujukan:
1. Drs. H. Gusti Mohd. Mulia; Buku Bertajuk - Sekilas Menapak Langkah Kerajaan Tanjungpura terbitan tahun 2007.
2. Gusti Iswadi; Buku Bertajuk - Pesona Tanah Kayong, Kerajaan Tanjungpura Di Dalam Perspektif Sejarah.
3. Sejarah Singkat Kerajaan Tanjungpura
http://infopontianak.org/sejarah-singkat-kerajaan-tanjungpura-kerajaan-tertua-di-kalbar-abad-14
4. Sejarah Kerajaan Tanjungpura
https://studiomelayu.wordpress.com/2009/03/19/sejarah-kerajaan-tanjungpura/