PERKEMBANGAN SISTEM PENDIDIKAN DI SARAWAK
PERKEMBANGAN SISTEM PENDIDIKAN DI SARAWAK
“Tuntutlah ilmu itu walau sampai ke Negara China” itulah bidalan Melayu di dalam menzahirkan makna sebenar peri pentingnya masyarakat yang berilmu di seluruh dunia ini”.
Di dalam setiap agama di dunia juga mentakrifkan betapa pentingnya setiap penganutnya untuk mendalami ilmu samada ilmu duniawi dan juga ilmu akhirat. Masyarakat yang berilmu adalah pemangkin kepada kesejahteraan negaranya. Dan atas kata-kata azimat ini akan dikongsikan satu sejarah panjang mengenai perkembangan sistem pendidikan di Sarawak Bumi Kenyalang yang bermula dari 4 era iaitu:
i. Sarawak sebagai tanah kuripan kepada pembesar Kesultanan Brunei;
ii. Sarawak Kingdom di bawah pemerintahan Brooke;
iii. Sarawak semasa pendudukan Jepun Perang Dunia Ke-2
iv. Sarawak British Borneo di bawah pemerintahan Koloni British Borneo
1. Sarawak Sebagai Tanah Kuripan Pembesar Kesultanan Brunei
Umum mengetahui bahawa Sarawak dahulunya merupakan tanah kuripan kepada pembesar Kesultanan Brunei Darussalam dan ketika itu Negara Brunei Darussalam merupakan sebuah empayar besar Kerajaan Islam yang utuh di Kepulauan Borneo. Jadi akibat daripada perkembangan ini maka perkembangan sistem pendidikan di Sarawak pada masa itu banyak bertitik tolak kepada ajaran Islam itu sendiri.
Di ketika ini surau dan masjid menjadi “sekolah” untuk masyarakat Islam di Sarawak menuntut ilmu agama seperti belajar menulis huruf jawi, mempelajari bacaan Al-Quran dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan agama Islam itu sendiri. Namun begitu di ketika ini hanya golongan lelaki yang dibenarkan untuk menimba ilmu setinggi mungkin dan bagi golongan wanita pula hanya cukup sekadar kenal huruf.
Dan sekiranya ada yang sudah pandai dan ingin menuntut ilmu dengan lebih jauh lagi maka bolehlah bermusafir menuntut ilmu di Kabupaten-kabupaten Islam yang berdiri megah di tanah Kalimantan Barat seperti di Kesultanan Melayu Sambas yang telah mendapat jolokan “Serambi Mekah” di bumi Borneo pada ketika itu.
Bagi masyarakat pribumi Dayak Sarawak pula yang kebanyakannya masih lagi menganuti agama pagan atau animisme, perkembangan pendidikan mereka tidaklah banyak atau boleh dikatakan hampir tiada.
2. Sarawak Kingdom
Semasa lahirnya sebuah negara yang dikenali sebagai Sarawak Kingdom yang dipelopori oleh Rajah James Brooke sebagai Rajah pertamanya, sistem pendidikan di bawah Rajah James Brooke tidaklah berkembang secara rasmi. Hanya setelah kedatangan mubaligh kristian pada tahun 1848 barulah sebuah sekolah harian telah ditubuhkan yang dikhaskan untuk kaum lelaki.
Usaha itu dilakukan oleh Francis Thomas McDougall, seorang mubaligh dan juga seorang doktor. Hasil usaha bersamanya dengan rakan karibnya Reverend William Bodman Wright mereka telah berjaya menubuhkan sebuah sekolah di tingkat bawah Court House Kuching pada 5hb Ogos 1848. Selepas itu barulah sistem pendidikan yang berbentuk "missionary school" dikembangkan ke seluruh pelusuk pendalaman Sarawak.
Melalui kelas-kelas yang dibuka di gereja-gereja di pendalaman ini telah menyebabkan kedatangan agama semakin bertapak di kalangan masyarakat pribumi Sarawak. Pada saat ini barulah masyarakat pendalaman Sarawak khususnya masyarakat Dayak Sarawak telah belajar untuk menulis dan membaca serta diketengahkan ilmu-ilmu yang lain bagi memberikan mereka menjadi masyarakat yang ke hadapan. Antara sekolah terhasil daripada "missionary school" ini adalah SMK St Thomas di Jalan McDougall sekarang adalah hasil dari pengasasnya Francis Thomas McDougall yang diasaskan pada tahun 1848.
Perkembangan pendidikan di Sarawak Kingdom semasa pemerintahan Keluarga Brooke hanya benar-benar mencapai kemuncaknya apabila rajah ke-2 memerintah iaitu Rajah Charles Brooke. Di kala ini hampir semua golongan dari Bangsa Sarawak yang turut serta di dalam sistem pendidikan tanpa mengira etnik, agama dan bangsa malah jantina sekalipun.
Walau bagaimanapun kebanyakan sekolah-sekolah ini banyak ditubuhkan di Bandar-bandar besar seperti di Kuching yang menjadi pusat pemerintahan Sarawak pada masa itu. Usaha Rajah Charles Brooke dengan didokongi sepenuhnya oleh isterinya Ranee Margaret Brooke sebenarnya mendapat banyak bantahan daripada masyarakat Melayu Islam setempat kerana masih lagi dengan dogma pemikiran konvesional iaitu golongan wanita tidak harus didedahkan dengan pengetahuan duniawi yang boleh merosakkan minda pada waktu itu.
Kelas tidak formal sebenarnya dimulai oleh kesungguhan daripada Dayang Sahada iaitu menantu kepada Datu Isa, Datuk Bandar Kuching pada masa itu telah memungkinkan segalanya. Dayang Sahada dan Abang Kasim telah membuka kelas persendirian dibawah tajaan sendiri untuk mengajar masyarakat Melayu Kuching pada masa itu membaca dan menulis.
Apabila melihat kepada sambutan yang menggalakkan akhirnya julung-julung kalinya sebuah sekolah kerajaan telah dibina yang dinamakan Sekolah Abang Kasim. Walau bagaimanapun setahun kemudian sekolah ini ditukar nama dengan Sekolah Kampung Jawa.. Penubuhan sekolah ini pada tahun 1883 telah menjadikan Inchi Sawal sebagai Guru Besar dan tenaga pengajarnya sendiri adalah Dayang Sahada dan Abang Kasim serta Ranee Margaret sebagai guru yang mengajar perihal bahasa Inggeris kepada bangsa Sarawak pada masa itu.
Dari setahun ke setahun akhirnya Sekolah Kampung Jawa tidak dapat memenuhi kehendak ramai anak-anak Sarawak yang inginkan ilmu dan akhirnya tertubuh sebuah lagi sekolah iaitu Sekolah Kampung Gersik. Sekolah Kampung Gersik dikelola sepenuhnya oleh seorang penduduk tempatan Kampung Gersik di seberang Sungai Sarawak iaitu Inchi Bakar.
Sistem pembelajaran di Sekolah Kampung Gersik ini juga sama dengan Sekolah Kampung Jawa iaitu ilmu agama Islam, membaca dan menulis, ilmu alam serta Bahasa Inggeris. Di kala Sekolah Kampung Jawa mendapat khidmat dari Ranee Margaret sebagai tenaga pengajar, Sekolah Kampung Gersik mendapat perkhidmatan tenaga pengajar bangsa Eropah yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak pada ketika itu. Selepas sekolah yang kedua ini maka barulah tertubuhnya Sekolah Inchi Boyang dan Sekolah Mekah di Kuching, Sarawak yang kedua-duanya dikhaskan untuk masyarakat Melayu Kuching pada masa itu.
Oleh kerana sewaktu di zaman rajah pertama lagi, kedatangan imigran-imigran Cina telah dibawa masuk ke Sarawak Kingdom maka sistem pendidikan yang berdasarkan sistem pelajaran aliran bahasa China juga turut sama berkembang. Namun semua ini adalah hasil usaha daripada persatuan-persatuan Cina itu sendiri dan sistem pendidikan mereka lebih menjurus kepada sistem pendidikan di Negara Tembok Besar itu sendiri malah guru-gurunya juga diimport dari Negara Tembok Besar China. Antara sekolah-sekolah persendirian Cina ini adalah Chung Hua Middle Schools No. 1.
Sekitar tahun 1901, Rajah Charles Brooke telah mewujudkan Dasar Pelajaran di Sarawak Kingdom dan ini semua dilakukan bagi memberikan keseragaman pembelajaran disemua sekolah. Melalui dasar pelajaran inilah barulah tertubuhnya sebuah kolej kerajaan yang dinamakan Government Lay School. Government Lay School ini merupakan asas kepada sekolah yang dinamakan SMK Green Road sekarang.
Government Lay School ini telah membuka kelasnya untuk semua etnik-etnik di Sarawak termasuk Cina dan India dan pembelajarannya lebih sistematik sehingga ke peringkat menengah tinggi. Government Lay School ini telah banyak mengeluarkan barisan penjawat awam bagi Sarawak Kingdom yang terdiri daripada masyarakat tempatan Sarawak itu sendiri tanpa bergantung kepada penjawat awam Bangsa Eropah.
Selepas itu barulah tertubuhnya sekolah-sekolah yang lain seperti Sekolah Merpati Jepang dan Sekolah Permaisuri pada tahun 1930. Yang menariknya tentang Sekolah Permaisuri ini ianya merupakan sebuah sekolah perempuan yang pertama di Sarawak dan ianya terletak di Kampung Bandarsah. Satok.
Perkembangan pendidikan yang lebih seragam ini bukan hanya berpusat di Kuching, Sarawak namun ianya juga menular ke seluruh pelusuk Sarawak Kingdom pada waktu itu. Antara tahun 1920an sehingga ke 1930an, sekolah-sekolah kerajaan telahpun ditubuhkan di Bau, Sadong, Sebuyau, Spaoh, Betong, Saratok, Mukah, Sibu, Bintulu dan Limbang. Kesemua sekolah-sekolah ini dibuka untuk kesemua jantina lelaki dan wanita tanpa mengira etnik dan agama.
3. Sarawak Sewaktu Pendudukan Jepun Perang Dunia II
Di ketika Perang Dunia Kedua, Sarawak telah jatuh ke tangan tentera Jepun pada tahun 1941. Di ketika pendudukan Jepun ini terdapat kira-kira lebih daripada 80 buah sekolah kerajaan yang telah dibina di seluruh pelusuk Sarawak pada masa itu. Walau bagaimanapun sepanjang pendudukan Jepun bermula dari Disember 1941 sehingga September 1945, pembelajaran di sekolah-sekolah ini hampir terhenti semuanya. Ini adalah akibat daripada tindakan pemerintahan Jepun yang cuba untuk menukar sistem pendidikan di sekolah tersebut dan ianya tidak menarik minat masyarakat tempatan Sarawak untuk bersekolah.
Lagipun sepanjang pendudukan Jepun boleh dikatakan rakyat Sarawak ketika itu hidup susah dengan banyaknya kengkangan yang digunapakai oleh tentera Jepun. Mereka lebih memilih untuk meneruskan survival penghidupan. Untuk golongan wanita pula sudah tentu sepanjang pendudukan Jepun, penghidupan golongan wanita lebih-lebih lagi anak dara sentiasa di dalam ketakutan kerana takut diapa-apakan oleh tentera Jepun.
Ini ditambah lagi semasa berlakunya perang Jepun itu banyak juga kemusnahan telah terjadi ke atas sekolah-sekolah kerajaan iaitu hampir 17 buah sekolah musnah sama sekali akibat perang dan banyak daripada sekolah yang terselamat telah kehilangan perkakas sekolah akibat aktiviti mencuri sewaktu perang dilakukan.
4. Sarawak British Borneo
Sekitar tahun 1946, Sarawak telah diserahkan oleh Rajah CV Brooke untuk menjadi tanah jajahan kepada Kolonial British Borneo. Di kala inilah timbulnya gerakan anti penyerahan oleh masyarakat Sarawak. Pada ketika ini akibat daripada gerakan ini yang rata-ratanya dianggotai oleh warga pendidik di bumi Sarawak pada ketika itu yang telah meletak jawatan secara beramai-ramai kerana membantah keputusan Sarawak menjadi tanah jajahan Kolonial British Borneo.
Pada masa itu hampir 82 sekolah kerajaan telah ditutup sepenuhnya kerana ketiadaan guru. Pelbagai cara telah digunakan oleh pemerintah Kolonial British Borneo untuk mengembalikan semua guru-guru ini kembali bertugas seperti kewujudan Circular 8 dan juga perang saraf iaitu memberikan apa jua janji bagi mereka kembali bertugas. Bagi yang tidak tahan sudah tentu guru ini akan kembali bertugas manakala bagi yang menggenggam api biar jadi bara mereka terus tidak turun mengajar.
Di dalam kerancakan anti penyerahannya, sesuatu yang luar biasa berlaku di dalam sistem pendidikan di bumi Sarawak pada waktu itu. Di ketika ini ramai guru-guru yang telah meletak jawatan telah berganding bahu membuka sekolah rakyat. Sekolah rakyat ini ditubuhkan semata-mata tidak mahu anak-anak bumiputera Sarawak ketinggalan dari arus pembelajaran.
Di kala ini tokoh guru Sarawak seperti Abang Zawawi, Lily Eberwein, Othman Zainuddin telah membuka sekolah-sekolah rakyat dan mengajar anak-anak bangsa Sarawak dengan biaya sendiri. Dan sudah tentu antara individu-individu yang menjadi pengajar sekolah rakyat ini adalah Allahyarham Rosli bin Dhoby, pahlawan Sarawak yang terkenal dengan semangat nasionalisme. Antara sekolah rakyat yang dibuka atas kesedaran Gerakan Anti Penyerahan ini adalah Sekolah Rakyat Haji Bolhassan.
Setelah malapnya semangat gerakan anti penyerahan iaitu apabila Allahyarham Rosli bin Dhoby dan Rukun 13 ditangkap dan dijatuh hukuman oleh Kolonial British Borneo, pihak pemerintahan Kolonial British Borneo telah memperkenalkan Dasar Pelajaran “Self-Help”. Menurut dasar ini pembinaan sekolah akan diletakkan di bawah pihak Lembaga Tempatan.
Ini semua dilakukan kerana Sarawak pada masa itu sebenarnya kekurangan dana untuk mentadbir sekolah-sekolah lebih-lebih lagi kemusnahan teruk akibat Perang Dunia Ke-2 masih memberi kesan. Dengan kaedah “Self-Help” ini banyak sekolah-sekolah telah dibaikpulih dan memulakan operasi. Dan bagi setiap sekolah yang ditadbir oleh Lembaga Tempatan ini akan dijadikan Sekolah Daerah. Sekitar tahun 1948 sehingga 1954, lebih kurang 35 buah sekolah diambil alih oleh Lembaga Tempatan.
Pihak pemerintahan Koloni British Borneo telah cuba untuk menjadikan kesemua sekolah di Sarawak pada masa itu di dalam aliran Bahasa Inggeris. Maka pada tahun 1961 telah dikeluarkan pekeliling meminta kesemua sekolah-sekolah Cina menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sebelum 1 April 1962. Di dalam 18 buah sekolah persendirian Cina pada masa itu hampir keseluruhannya menerima baik saranan pemerintah Koloni British Borneo kecuali Chung Hua Middle School No.1, Chung Hua Middle School No.3, Chung Hua Middle School No.4, Guong Ming Middle School, Kiang Hin Middle School dan Kai Dee Middle School.
Di dalam adanya suara bantahan daripada masyarakat Cina Sarawak pada masa itu namun akibat daripada ketegasan daripada pihak pemerintah dengan menegaskan mana-mana sekolah Cina yang tidak mengikut arahan tidak akan diberikan sebarang bantuan daripada kerajaan akhirnya banyak sekolah persendirian Cina yang terpaksa berbuat demikian.
Sekolah-sekolah yang dibuka pada tahun 1957 seperti Sekolah Tanjong Lobang, Miri serta beberapa lagi sekolah menengah di Kanowit (1958), Simanggang (1958) dan seterusnya beberapa lagi buah sekolah peringkat menengah di Bau, Limbang dan Sibu telah memungkinkan anak-anak Sarawak pada masa itu tidak ketinggalan dari segi pembelajaran.
Dan ketika pemerintahan Koloni British Borneo ini jumlah pelajar sekolah menengah pada tahun 1948 yang seramai 1,058 telah menjadi 17, 727 pada tahun 1963 iaitu sebelum Sarawak bersama-sama membentuk Gagasan Malaysia bersama-sama dengan Malaya, Sabah (North Borneo) dan Singapura.
Inilah sekelumit informasi sejarah perkembangan sistem pendidikan di bumi Sarawak yang telah merentasi 4 era sebelum Sarawak menjadi salah satu gabungan yang membentuk Gagasan Malaysia sekarang. Sejarah ini mungkin tidak begitu diketengahkan untuk pengetahuan Bangsa Sarawak sekalian sedangkan ianya penting di dalam kita memahami betapa menjadi satu masyarakat yang berilmu untuk anak-anak Bangsa Sarawak adalah satu usaha yang wajib ada kerana disinilah kita akan mencorakkan diri kita sebagai anak Sarawak, Bangsa Sarawak.
#KamekSayangSarawakBah!
Rujukan:
1. The making of Malaysian solidarity: A historical look at education and social cohesion in Sarawak by Ong Puay Liu, Ong Puay Hoon, Sivapalan Selvadurai, Marsitah Mohd Radzi and Badariah Saibeh
2. The Brooke Era - Sarawak Portal Website
http://www.sarawak.gov.my/web/home/article_view/234/245/
3. Development of Education System in Malaysia : Pre-Independence by Norhidayu Rosman