FORT JAMES, SKRANG, SARAWAK
FORT JAMES, SKRANG, SARAWAK
Kubu James atau Fort James sudah tentu nama kubu ini tidak sepopular Fort Margherita mahupun Fort Alice kerana kubu ini sudah tidak wujud lagi sebagai satu bangunan bersejarah. Walaupun tiada lagi bangunannya namun ini tidak bermakna kita harus melupakan sejarahnya kerana ianya juga memainkan peranan di dalam lipatan sejarah Sarawak suatu waktu dahulu.
Selepas sahaja Perang Beting Marao tamat, Tuan Muda Charles Brooke pada masa itu telah mengarahkan satu kubu dibina di Skrang. Ini adalah untuk memusatkan pentadbiran Brooke di wilayah Skrang pada masa itu dan juga bagi memerhati pergerakan kaum Iban Skrang daripada bangun memberontak ke atas pentadbiran Brooke di Skrang. Oleh itu sekitar tahun 1849, maka terbinalah sebuah kubu yang dinamakan Fort James mengambil bersempena dengan nama Rajah Pertama iaitu Rajah James Brooke.
Walau bagaimanapun, Fort James akhirnya menyembah bumi akibat hakisan tanah di Nanga Skrang kerana dibina di tanah rendah sekitar tahun 1864. Namun begitu dikatakan bahawa kesemua struktur kayu kayan yang digunakan bagi membina Fort James masih baik jadi bagi mengelakkan pembaziran maka ianya diguna semula. Pada ketika itulah ianya dipindahkan ke Simanggang yang mana ketika itu sedang sibuk membina satu lagi kubu.
Kubu yang terletak di atas bukit di Simanggang sememangnya satu kubu yang amat strategik untuk kegunaan kepada pentadbiran Brooke pada masa itu. Pada asalnya hanya dikenali sebagai Kubu Simanggang namun setelah kedatangan Ranee Sarawak pada tahun 1870 maka kubu ini dinamakan Fort Alice yang kita lihat sekarang masih utuh di bumi Sri Aman.
Ketika Fort James masih lagi beroperasi di Skrang, banyak rentetan sejarah yang berlaku di kubu ini. Antaranya adalah satu mesyuarat penting yang berlaku sekitar tahun 1863. Pada ketika itu Tuan Muda Charles Brooke yang baru sahaja memenangi Ekspedisi Kayan telah mengadakan mesyuarat dengan kesemua pemimpin Iban Skrang yang membantunya di dalam Ekspedisi Kayan seperti Orang Kaya Pemancha Nanang dan pengikutnya.
Atas tanda penghargaan kepada OKP Nanang itu, maka Tuan Muda Charles Brooke telah memulangkan semula 400 buah tajau milik kepada pengikut Iban Skrang pada waktu itu. Selain daripada itu, OKP Nanang dan seluruh iban di Skrang juga bersetuju pada masa itu untuk menerima beberapa peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Sarawak Kingdom.
Antara undang-undang yang telah dipersetujui adalah:
Kesemua urusniaga yang melibatkan timbangan hendaklah menggunakan chupak, gantang serta menggunakan timbangan dacing dan ukuran ela.
Duda atau Janda yang kematian pasangan mereka dibolehkan untuk berkahwin semula 6 bulan selepas kematian pasangan masing-masing.
Tempoh berkabung (adat Ulit) hanya dibenarkan selama 3 bulan sahaja.
Penggunaan tanda ulit (tanda berkabung) yang diletakkan di rumah panjang yang kematian komunitinya tidak digunakan lagi.
Inilah antara rentetan sejarah yang pernah berlaku di Fort James sebelum ianya roboh pada tahun 1864 dan kemudian menjadi asas kepada pembinaan sebuah lagi kubu di Sri Aman yang dikenali sebagai nama Fort Alice.