TRAGEDI SERANGAN BALAI POLIS LIMBANG 1962
TRAGEDI SERANGAN BALAI POLIS LIMBANG 1962
Tragedi Bukit Kepong sudah tentu diketahui oleh rakyat Malaysia kerana ianya sememangnya sudah menjadi antara tragedi hitam ketika Persekutuan Tanah Melayu di dalam darurat akibat daripada pengaruh komunis yang cuba berakar umbi di bumi Malaya suatu waktu dahulu. Kita mengetahui, kejadian yang berlaku pada 23hb Februari 1950 ini telah menyebabkan 17 orang anggota polis Malaya gugur setelah berhabis-habisan bertahan daripada segerombolan 180 orang komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong.
Namun begitu, mungkin ramai rakyat Malaysia amnya dan rakyat Sarawak khususnya generasi muda tidak mengetahui bahawa ada satu lagi tragedi yang serupa yang pernah terjadi di bumi Sarawak iaitu yang dikenali sebagai Tragedi Limbang 1962. Ianya berkaitan dengan darurat di bumi Sarawak ketika itu iaitu akibat daripada pengaruh kebangkitan Tentera Nasional Kalimantan Utara atau TNKU yang didokongi oleh Salleh bin Sambas. Tragedi Limbang 1962 ini adalah pengisahan mengenai betapa pasukan Polis Sarawak khususnya di Balai Polis Limbang tidak pernah menyerah kalah walaupun diperangi oleh TNKU pada ketika itu.
Sekitar tahun 1962, Limbang iaitu bahagian di Sarawak yang paling utara lokasinya dan bersempadan dengan Brunei hanya mempunyai 1 balai polis yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga keselamatan keseluruhan bahagian Limbang. Pada ketika ini Sarawak masih lagi menjadi salah satu jajahan Koloni British Borneo. Walaupun dengan serba kekurangan baik dari segi senjata mahupun anggota, ini tidak bermakna anggota polis di Limbang hanya membuat kerja sambil lewa. Sebaliknya dengan kekurangan itulah yang menjadikan mereka cukup kuat untuk menjalankan tugas mereka.
Serangan daripada TNKU sememangnya tidak diduga oleh anggota keselamatan di Balai Polis Limbang malah keseluruhan sistem pertahanan Kerajaan Koloni British Sarawak yang berpusat di Kuching pada waktu itu. Pihak Koloni British Sarawak sendiri sudah mengetahui bahawa sememangnya Limbang pada waktu itu terdedah pada sebarang serangan namun akibat daripada kekangan kewangan dan sebab musabab yang lain terpaksa menyediakan keperluan yang seadanya.
Kesemuanya bermula pada 8 Disember 1962 apabila Balai Polis Limbang diserang oleh TNKU sekitar jam 2 pagi. Pada masa itu seluruh Limbang sedang lena diulit mimpi dan kejadian pada jam 2 pagi itu menyebabkan bumi Limbang dihujani dengan beratus-ratus peluru daripada pasukan TNKU. Dikatakan menjelang tengahmalam pasukan pimpinan Salleh bin Sambas dengan hampir seratus orang anggota TNKU telah menyusup masuk ke Limbang secara senyap-senyap dengan menyusuri kawasan di hilir Bazaar Limbang dan seterusnya menuju ke Gereja Roman Katolik di Limbang.
Kejadian ini tidak langsung disedari oleh rakyat Limbang mahupun anggota keselamatan yang sedang bertugas di Balai Polis Limbang. Setelah mengambil posisi seperti yang dirancangkan oleh ketua TNKU pada ketika itu, akhirnya anggota TNKU menunggu dengan sabar sehingga syif anggota polis Balai Polis Limbang bertukar. Tepat jam 2 pagi maka bermulalah bunyi bising di Limbang apabila Balai Polis Limbang dihujani dengan muntahan peluru oleh anggota TNKU pada masa itu. Di ketika itu, serangan bukan sahaja terhadap balai polis Limbang namun juga ke atas berek polis iaitu tempat kediaman anggota polis yang bertugas di Balai Polis Limbang. Malah rumah ketua polis juga turut diserang iaitu rumah kediaman Inspektor Latif yang juga berdekatan dengan Balai Polis Limbang.
Di dalam kegawatan serang hendap itu dikatakan 8 orang anggota polis sedang lena tidur di Berek Kediaman polis sementara 7 orang lagi sedang menjalankan tugas mereka di Balai Polis Limbang. Di dalam tempoh serangan itu, pasukan TNKU telah mula memotong pagar dawai yang mengelilingi Balai Polis Limbang dan kawasan sekitar untuk terus mara menyerang mereka. Di kala inilah diceritakan bahawa seorang anggota polis bernama Koperal Kim Huat yang tidak bertugas pada malam itu sedang beristirehat di bilik rekreasi Balai Polis Limbang yang agak jauh sedikit dari bangunan balai telah mula melakukan apa yang perlu dia lakukan.
Koperal Kim Huat telah melepaskan tembakan demi untuk menyelamatkan kawan-kawannya yang sedang terperangkap di berek kediaman polis. Anggota yang 7 orang itu juga bangun dari tidur dan di dalam tergopoh gapah cuba mempertahankan diri dari serangan. Dari berek kediaman itu juga mereka bertahan dengan melepaskan tembakan ke arah serangan TNKU itu. Kehadiran Koperal Kim Huat yang diluar daripada berek kediaman diketahui oleh tentera TNKU dan akhirnya beliau sendiri terkena tembakan dan kemudian dipukul oleh beberapa orang TNKU sehingga beliau menemui ajalnya.
Di ketika ini juga seorang anggota polis iaitu P.C Wan Jamaluddin bin Tuanku Alek cuba untuk menyelamatkan rakan-rakannya di berek kediaman. Beliau yang pada mulanya adalah orang yang pertama membangunkan rakan-rakannya yang sedang nyenyak tidur telah berlari untuk memperkuatkan pertahanan di Balai Polis Limbang. Ketika di dalam perjalanan menuju ke Balai Polis Limbang itulah dikatakan beliau telah bersemuka dengan 2 daripada tentera TNKU yang sudah berjaya masuk ke kawasan balai. Beliau berjaya membunuh kedua-duanya tentera TNKU dengan beradu kekuatan sahaja tetapi selepas itu beliau juga turut terkorban terkena tembakan tentera TNKU yang lain.
P.C Essa bin Maratim yang sedang bertugas dibalai pada malam itu turut bertahan sebaik mungkin. Di ketika beliau bertahan dengan berbalas tembakan itulah didapati ada seorang TNKU telah berjaya memecah masuk ke dalam balai dan dengan kudrat yang ada beliau telah beradu kekuatan dengan tentera TNKU itu sehingga tentera TNKU itu terkulai dan akhirnya mati. Apabila sudah kehabisan peluru, dikatakan P.C Essa bin Maratim telah memanjat ke siling balai polis dan menyembunyikan dirinya di atas siling tersebut.
P.C Insoll anak Chundang yang juga berada di dalam balai polis telah kehabisan peluru dan beliau ketika cuba untuk membuka rak simpanan senjata telah terserempak dengan tentera TNKU dan disitulah dia ditembak dan akhirnya rebah dan terkorban. Manakala P.C Bujang bin Mohammed yang bertahan dari bilik pejabat Sarjan di Balai Polis Limbang juga turut terkena tembakan tentera TNKU dari luar dan akhirnya menemui ajalnya.
Di dalam hanya 2 jam serangan hampir keseluruhan balai polis Limbang telah jatuh ke tangan tentera TNKU. Walaupun begitu ada 2 orang anggota polis yang masih berkubu dari bilik pejabat Sarjan iaitu Konstabel Bishop Kunjan dengan Konstable Sangga anak Jampang. Walaupun dikelilingi oleh tentera TNKU di dalam segenap sudut mereka terus bertahan sehingga jam 7 pagi dan akhirnya menyerah kepada tentera TNKU.
Ketika siangnya keseluruhan balai polis Limbang adalah dibawah penguasaan tentera TNKU. Mereka telah menangkap keseluruhan anggota polis yang masih hidup pada ketika itu seperti Kostabel Zaini bin Titun dan Konstabel Muling yang bertugas di bangunan penjara Limbang juga turut berjaya ditangkap oleh tentera TNKU. Namun tanpa disedari oleh tentera TNKU ada seorang anggota polis yang tidak berjaya ditangkap iaitu Konstabel Essa bin Matarim yang bersembunyi di siling balai polis. Beliau dikhabarkan bersembunyi di atas siling tersebut selama lebih 4 hari tanpa makanan dan minuman.
Akibat daripada serangan tersebut, pihak Kerajaan Koloni British Sarawak telah menghantar komando untuk menyelamatkan keseluruhan balai polis Limbang yang dikuasai oleh tentera TNKU pada waktu itu. Pada tanggal 12 Disember 1962, akhirnya Balai Polis Limbang telah kembali ke tangan Kerajaan Koloni British Sarawak setelah berlaku pertempuran antara tentera TNKU dan juga pasukan Komando Kerajaan Koloni British Sarawak.
Di dalam tragedy serang Balai Polis Limbang 1962 ini, ada 4 orang anggota polis yang gugur mereka adalah untuk mempertahankan tanahair mereka iaitu:
Koperal Kim Huat, anak Sarawak berketurunan Cina/Bidayuh dari Quap. Kuching.
P.C Wan Jamaluddin bin Tuanku Alek, anak Sarawak berketurunan Melayu dari Kuching.
P.C Bujang bin Muhammad, anak Sarawak berketurunan Melayu, dari Kuching.
P.C Insoll anak Chundang, anak Sarawak berketurunan Iban dari Saribas.
Dan anggota polis yang terselamat daripada tragedi serangan ini yang sebenarnya telah berjuang sehingga ke titisan terakhir adalah:
Konstabel Sangga anak Jampang, anak Sarawak berketurunan Iban dari Kampung Tijireng, Lundu.
P.C Essa bin Maratim, anak Sarawak berketurunan Melanau dari Mukah.
Konstabel Zaini bin Titun, anak Sarawak berketurunan Melanau dari Mukah.
Konstabel Bishop anak Kunjan, anak Sarawak berketurunan Iban dari Rumah Jawa, Undup
Konstabel Muling, anak Sarawak berketurunan Iban dari Spaoh.
Hanya dengan anggota yang sekecil ini, para anggota Polis Sarawak ini terus bertahan sehingga ke titisan terakhir bagi tidak membenarkan tentera TNKU berkuasa di Balai Polis Limbang. Kesemua anggota polis Balai Polis Limbang ini merupakan satu contoh betapa perjuangan untuk mempertahankan tanahair adalah tiada tanda harga sehingga nyawa jadi taruhan. Tugu Limbang yang didirikan di Limbang adalah sebagai satu saksi tentang perjuangan mereka ini semua.
Perjuangan mereka ini harus kita ketahui dan sejarah mereka harus kita sebagai bangsa Sarawak hargai kerana gugurnya mereka adalah untuk tanahair yang tercinta dan kecekalan mereka mempertahankan balai polis Limbang walau dihujani dengan muntahan peluru adalah bukti bahawa anak Sarawak, bangsa Sarawak juga berani dan pejuang keamanan Negara.
Hargailah Pengorbanan Perwira-Perwira Negara!
Rujukan:
Eileen Chanin; Buku Berjudul – Limbang Rebellion, 7 Days In December 1962
Nicholas Van Der Burr; Buku Berjudul – The Brunei Revolt, 1962-1963
Limbang Raid 1962 by Army Rumour Service
www.arrse.co.uk › Home › Forums › Regimental HQ › Medals