top of page

ETNIK MELANAU, SARAWAK, BORNEO

ETNIK MELANAU, SARAWAK, BORNEO


Etnik Melanau merupakan salah satu daripada etnik di Sarawak yang mempunyai keunikannya yang tersendiri, baik dari segi bahasa mahupun tradisi mereka. Selain daripada itu, terdapat juga suara-suara sumbang yang cuba mengaitkan etnik pribumi Borneo ini sebagai mereka yang berasal dari Mindanao, Filipina kerana adanya persamaan dari segi nama iaitu Maranau.


Untuk itu, Borneo Oracle akan memberikan satu ruang informasi untuk kita cuba mengenali sejarah asal-usul serta siapakah etnik Melanau lagi baik dari segi sejarah penghijrahan mereka sehingga kepada tradisi dan perkaitan mereka dengan etnik-etnik pribumi di Borneo. Ini merupakan satu artikel yang panjang serta komprehensif berdasarkan kepada kajian yang telah Borneo Oracle lakukan.



Melanau Berasal Dari Mindanao, Filipina?


Terdapat terlalu banyak pandangan skeptikal bila berbicara asal muasal etnik Melanau ini. Masih ada yang tidak memahami dan menyatakan bahawa etnik Melanau adalah berasal daripada Filipina berdasarkan kepada satu etnik di Filipina yang dinamakan etnik Maranao. Di dalam kita cuba memahami siapakah etnik Melanau ini maka terlebih dahulu kita akan memulakan bicara bagi memahami siapakah Etnik Maranao, Mindanao, Filipina ini.



Etnik Maranao, Mindanao, Filipina


Etnik ini juga dikenali dengan panggilan Meranaw atau Meranao dan Maranaw yang merujuk kepada satu etnik yang mendiami satu kawasan tasik yang dipanggil Tasik Lanao, iaitu tasik yang kedua terbesar dan paling dalam di Filipina. Dan oleh kerana itulah mereka juga terkenal di dalam kepakaran menangkap ikan serta bertani kerana pusat penempatan mereka adalah di kawasan yang bertasik serta mempunyai tanah pamah yang subur.


Menurut cerita sejarah asal keturunan Etnik Maranao merupakan pecahan kepada satu lagi etnik di Mindanao iaitu etnik Iranun. Dan dikatakan mereka berasal daripada kawasan persisiran Teluk Illana di Filipina. Suatu waktu dahulu apabila adanya letusan gunung berapi telah menyebabkan kawasan-kawasan di sekitarnya telah membentuk satu kawasan yang subur sehingga membenarkan ada sesetengah orang Illanun ini berpindah dari kawasan pantai ke kawasan yang lebih subur dan pedalaman seperti Tasik Lanao. Apabila mereka berpindah ke kawasan sekitar Tasik Lanao inilah mereka dikenali sebagai Maranao.


Maranao itu pula merujuk kepada bahasa Iranun “tao sa ragat” atau sekumpulan orang Illanun yang tinggal di Tasik Lanao. Ada juga versi mengatakan bahawa nama Maranao ini daripada perkataan Melayu iaitu “Malay” dan “Lanao” yang bermaksud sekumpulan masyarakat Melayu yang tinggal di Tasik Lanao. Lama-kelamaan akibat sebutan masyarakat tempatan menjadikan ianya dikenali sebagai Maranao.


Jika dilihat dari segi bahasa pula, bahasa untuk etnik Maranao ini dikenali dengan nama Bahasa Maranau atau Bahasa Ranao. Ianya diklasifikasikan dibawah rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, Phillipine, Greater Central Phillipine, Danao, Maranao-Iranun. Dan bahasa ini dipertuturkan di kawasan seperti wilayah Lanao Del Sur, Lanao Del Norte, Tasik Lanao, Matanoq, Bariya, Buldon, Utara Cotabato dan bahagian barat wilayah Bukidnon.


Dikatakan juga akibat daripada adanya penghijrahan daripada masyarakat Cebuano ke Mindanao menyebabkan bahasa Maranau ini juga mempunyai campuran bahasa dengan bahasa Cebuano iaitu salah satu daripada bahasa masyarakat Visayan, Filipina.


Majoriti etnik Maranao adalah beragama Islam setelah kedatangan agama yang dikembangkan oleh Kesultanan Sulu sekitar abad ke 14 Masihi. Dan kerana mereka juga merupakan rakyat kepada Kesultanan Sulu suatu waktu dahulu maka mereka juga mempunyai pemimpin masyarakat yang dikenali sebagai Datu. Iaitu salah satu daripada panggilan untuk pemimpin-pemimpin masyarakat daripada Kesultanan Sulu.



Etnik Melanau, Sarawak, Borneo


Pada asalnya etnik Melanau ini adalah berasal dari etnik Kayan yang sebenarnya telah membuat penghijrahan daripada Dataran Apo Kayan suatu waktu dahulu. Dan mereka mengenal diri mereka sebagai “Likaw”. Dan jika dilihat hubungannya adalah etnik Melanau juga mempunyai agama pagan atau kaharingan yang sama seperti etnik-etnik yang berasal daripada Apo Kayan.


Penghijrahan etnik Melanau ini lebih mendominasi ke bahagian kawasan yang berpantai atau muara sungai yang dekat dengan lautan terbuka kerana itulah kepakaran mereka iaitu alam laut samada sebagai nelayan, pembuat kapal dan seterusnya sebagai pelayar lautan luas.


Kerana pusat penempatan mereka ini di kawasan pantai maka mengikut sejarahnya sememangnya etnik Melanau merupakan antara mereka yang mendominasi dunia lautan suatu waktu dahulu. Adanya hubungan mereka dengan pedagang-pedagang Arab, China akhirnya memungkinkan mereka juga antara pelaut yang disegani.


Dan tidak dinafikan bahawa etnik Melanau juga pakar di dalam membuat kapal dan mereka mempunyai kapal tradisional yang tersendiri yang dinamakan Badong. Dengan menggunakan kapal Badong inilah mereka telah mengembara dari Selat Melaka sehingga ke empayar besar Johor-Riau dan seterusnya ke kawasan Mindanao, Filipina.


Secara kolektifnya etnik melanau dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan tertentu yang berdasarkan kepada dari mana mereka tinggal di Sarawak iaitu:


  • Kuala Rajang – Melanau Rajang, Melanau Jerijeh, Melanau Belawai, Melanau Segalang, Melanau Paluh;

  • Sibu – Melanau Sibu, Melanau Kanowit, Melanau Tanjong, Melanau Igan, Melanau Banyuk

  • Matu-Daro – Melanau Matu, Melanau Daro, Melanau Pulau Bruit, Melanau Batang Lasa

  • Mukah-Dalat – Melanau Mukah, Melanau Dalat, Melanau Oya, Melanau Sungai Kut

  • Balingian – Melanau Balingian

  • Bintulu – Melanau Vaie, Melanau Tatau, Melanau Niah, Melanau Sungai Kemena, Melanau Sibiew



Etnik Melanau adalah rakyat Kerajaan Negeri Malano, Sarawak


Etnik Melanau dikatakan antara peneroka awal yang mendiami bumi Sarawak seperti apa yang dicatatkan di dalam peta pelayaran yang diterbitkan oleh Florence pada tahun 1595 yang mana nama “Melano” ada tercatat di dalam peta tersebut iaitu ianya dinyatakan berada di bahagian pantai barat laut Borneo.


Jadi jika diteliti kepada kebenaran bukti itu maka ianya tidak dapat disangkal kerana rata-rata etnik Melanau sekarang ramai mendiami kawasan di Lembah Sungai Rejang, persisiran pantai Igan, Oya, Dalat, Mukah dan juga Bintulu. Malah Melanau juga ada mendiami perkampungan-perkampungan kecil di Miri. Etnik Melanau juga ada mendiami Kuching dan Melanau yang tinggal di Kuching adalah pecahan Melanau Matu yang ramai mendiami kawasan dinamakan Bintawa, Kuching. Mereka ini mula mendiami kawasan Bintawa selepas Perang Dunia Ke-2.


Dan etnik Melanau ini adalah rakyat kepada satu kerajaan kuno yang pernah wujud di bumi Sarawak suatu waktu dahulu yang dikenali sebagai Kerajaan Negeri Malano. Mengikut sumber satu manuskrip sejarah kuno yang bernama Kekawin Nagarakertagama yang ditulis pada tahun 1365 ada menyebut Malano sebagai sebahagian daripada pembayar ufti kepada Kerajaan Majapahit iaitu ketika diperintah oleh Hayam Wuruk.


Apabila adanya pengaruh Kerajaan Majapahit daripada Tanah Jawa maka adalah tidak menghairankan sekiranya ada sesetengah busana etnik Melanau itu juga mempunyai pengaruh busana Jawa di dalam pemakaiannya. Tetapi ini tidak bermakna bahawa etnik Melanau itu berasal daripada Tanah Jawa.


Selain daripada itu Catalan Atlas yang diwartakan pada tahun 1375 ada menunjukkan peta Kerajaan Malano di dalamnya malah ianya disahihkan di dalam peta orang Portugis yang menyatakan bahawa wujud sebuah politi bernama Malao di dalam peta pengembaraan mereka. Malah kewujudan ini juga ada disebut dari jurnal perjalanan pengembaraan saudagar dari Negara Tembok Besar China apabila Nan-Hai-Chih menyebut Achen atau Igan sekarang sebagai sebuah pelabuhan besar pada satu kerajaan yang besar di bumi Sarawak suatu waktu dahulu.



Etnik Melanau Dan Kerajaan Kesultanan Brunei


Etnik Melanau suatu ketika dahulu iaitu ketika Sarawak menjadi tanah kuripan kepada Kesultanan Brunei adalah antara yang setia kepada pemerintahannya. Umum mengetahui bagaimana sejarah-sejarah perkaitan etnik Melanau dengan Kesultanan Brunei seperti figura-figura Pengiran Usin dan banyak lagi adalah antara penyeri di dalam rentetan sejarah Sarawak suatu waktu dahulu.


Dan kerana itulah terdapat satu legenda dari mana nama Melanau itu berasal kerana sebelum ini mereka hanya menggelar diri mereka sebagai “Likaw”. Suatu waktu dahulu semasa Bintulu masih lagi menjadi tanah kuripan kepada Kerajaan Kesultanan Brunei, kerap kali Baginda Sultan datang ke Bintulu untuk melihat keadaan daerah ini serta memungut hasil daripada penduduknya.


Pada suatu hari, sedang sebuah perahu kerajaan Brunei belayar menuju ke Kuala Bintulu, tiba-tiba bertembunglah perahu itu dengan beberapa buah perahu yang menuju ke destinasi yang sama. Nakhoda pun bertanya dengan seorang kelasinya, "Perahu siapakah yang banyak di hadapan kita?" Jawab kelasi itu, "Perahu orang memanau, Datuk."


'Panau', begitulah asal perkataan yang sebenar dalam dialek Bintulu yang mana ianya bermaksud salah satu pekerjaan yang boleh didapati dalam daerah Bintulu pada masa ini. Pekerjaannya ialah menangkap ikan duai, ikan jamah dan sebagainya. Pekerjaan ini dilakukan oleh enam hingga sepuluh orang serta lengkap dengan perkarangan yang dinamakan "Idus" dalam dialek Bintulu serta perahu yang besar sebab orang yang bekerja 'panau' harus pergi ke tengah laut sejauh enam atau tujuh batu.


Daun-daun 'mulong' dijadikan umpan. Di tengah-tengah laut inilah kadang-kadang terjadi ribut yang kencang dan gelombang besar yang datang dengan tiba-tiba. Sekiranya mereka memakai perahu yang kecil sudah tentu mereka karam dan boleh jadi nyawa mereka juga mungkin terancam. Akhirnya akibat daripada seringkali diucapkan dengan berkali-kali akhirnya perkataan “memanau” ini akhirnya bertukar kepada “melanau” oleh masyarakat setempat pada waktu itu.


Maka disinilah datangnya nama Melanau yang akhirnya menjadi rujukan kepada nama satu etnik yang dikenali sebagai etnik Melanau sekarang yang pada asalnya hanya mengenali diri mereka sebagai Likaw. Mungkin banyak versi cerita legenda tentang asal namanya Melanau ini dan apa yg diceritakan oleh Borneo Oracle adalah salah satu daripadanya.


Selain daripada itu perkaitan antara Kerajaan Melano iaitu kerajaan kuno di bumi Sarawak suatu waktu dahulu juga ada menyatakan perkaitan etnik Melanau dengan Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam melalui satu cerita sejarah lama iaitu ketika awal pemerintahan raja pertama Kerajaan Bo-ni iaitu sewaktu kemerosotan pengaruh kerajaan Majapahit ke atas wilayah di Borneo.


Di ketika pemerintahan Sultan Muhammad Shah iaitu sultan yang pertama Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam, wilayah Tutong yang ketika itu dibawah pentadbiran pembesar kerajaan Malano iaitu Mawanga telah diserang oleh orang-orang kanan Sultan iaitu Awang Semaun, Awang Jeramabak dan Pateh Damang Sari.


Pertempuran untuk perluasan kuasa Kerajaan Kesultanan Brunei ini telah juga sampai sehingga ke Igan iaitu satu lagi jajahan Kerajaan Malano dibawah Basiung iaitu ipar kepada Raja Tugau. Walau bagaimanapun, Basiung dan Raja Tugau yang mendapat bantuan daripada Kerajaan Sambas dan juga jajahannya yang lain tidak dapat menandingi jumlah tentera pimpinan Awang Semaun. Ditambahlagi pada ketika itu juga Kerajaan Brunei telah mendapat sokongan daripada masyarakat pribumi Sarawak yang lain. Setelah kekalahan di dalam pentempuran itu maka banyak wilayah Kerajaan Malano telah jatuh kepada kerajaan Kesultanan Brunei selepas itu.


Hubungan etnik Melanau dengan Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam juga boleh dilihat apabila munculnya gelaran Datu-datu daripada etnik Melanau sendiri yang membenarkan mereka juga antara pemimpin yang mendapat pangkat daripada Kerajaan Kesultanan Brunei sebagai pembesar. Malah di kalangan Melanau sendiri mempunyai asal-usul keturunan “Awang damit-damit” iaitu awang dan dayang yang dianugerahkan kepada mereka yang paling rapat dengan Kesultanan Brunei daripada kalangan orang biasa.



Bahasa Melanau


Bila berbicara tentang bahasa Melanau sebenarnya ia terlalu kompleks kerana bahasa Melanau mempunyai dialek-dialek yang berlainan mengikut kawasan penempatana mereka. Secara amnya bahasa Melanau dikategorikan dari rumpun bahasa Austranesian; Malayo-Polynesian, North Borneo, Melanau-Kajang, Melanau. Dan pecahannya mengikut dialek-dialek pula seperti yang merujuk kepada Malaysia Ethnologue Report adalah seperti berikut:


1. Bahasa Melanau, Kanowit -Tanjung

Lokasi: Bahagian Sibu dan Sungai Rejang

Dialek: Kanowit, Tanjung

Rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, North Borneo, Melanau-Kajang, Melanau


2. Bahasa Melanau, Central (Nama lain: Belana’u, Milanau, Milano)

Lokasi: Bahagian Mukah, Delta Rejang sehingga ke Sungai Balingian

Dialek: Balingian, Bruit, Dalat, Igan, Mukah-Oya, Prehan, Sarikei, Segalang, Siteng dan Balingian

Rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, North Borneo, Melanau-Kajang, Melanau


3. Bahasa Melanau, Sibu (Nama lain: Seduan-Banyok, Sibu, Siduan, Siduani)

Lokasi: Bahagian Sibu dan Sungai Rejang

Dialek: Banyok, Seduan

Rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, North Borneo, Melanau-Kajang, Melanau


4. Bahasa Melanau, Daro-Matu

Lokasi: Sungai Matu sehingga ke bahagian utara Sungai Rejang,

Daerah Matu-Daro

Dialek: Daro, Matu, Tamtlaih, Ngaleng, Phaneng

Rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, North Borneo, Melanau-Kajang, Melanau


5. Bahasa Melanau, Bintulu

Lokasi: Sibuti, Niah, Bintulu

Dialek: Bintulu, Vaie-Segan

Rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, Northwest, North Sarawakan, Bintulu


Perlulah diketahui bahawa walaupun etnik Melanau Bintulu atau Orang Bintulu yang dikategorikan sebagai sub-etnik Melanau Sarawak namun begitu bahasa mereka tidak difahami oleh orang Melanau lain. Mengikut pendapat yang diutarakan oleh Encik Zaini Ozea dari Dewan Bahasa Dan Pustaka Sarawak melalui kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Budaya Melanau 1988 yang bertajuk “Bahasa Melanau Satu Tanggapan Awal” menyatakan bahawa bahasa Bintulu mempunyai perhubungan yang dekat dan pengenalpastian Melanau Bintulu adalah berdasarkan adat resam yang sama.



Strata Sosial Etnik Melanau


Perkaitan etnik Melanau sebagai antara rumpun Apo Kayan dibenarkan lagi menerusi adanya system strata social di dalam etnik Melanau yang diwarisi berkurun lamanya yang dikenali dengan nama Adet Basa. Sistem strata social ini adalah pembentuk kepada pelbagai adat istiadat di dalam etnik Melanau yang digunapakai di dalam waktu pertunangan, perkahwinan, kematian dan banyak lagi.


Sistem strata social bagi etnik Melanau adalah seperti berikut:



1. A-Mentri

2. A-Bumi

3. A-Dipen


Kemudian di dalam pengklasan A-Mentri itu sendiri mempunyai bahagiannya tersendiri iaitu yang paling atas iaitu dikenali sebagai golongan aristocrat Melanau dimulai dengan 15 Pikuol, 12 Pikuol (A-Nyat) dan 9 Pikuol (A-Metehei). Daripada strata social A-Bumi pula bermula daripada 7 Pikuol (A Bumi Ateng) dan seterus 5 Pikuol (7 Bitireh). Dan untuk A-Dipen iaitu pengklasan untuk hamba sahaya pula 5 Betirih (Dipen Gak Luer) dan 2 ½ Betirih (Dipen Gak Lebok).


Selain daripada itu adanya satu lagi pengklasan yang dinamakan Tebuih Basa iaitu apabila adanya pertukaran pangkat dan darjat akibat daripada perkahwinan.


Walau bagaimanapun, buat masa sekarang amat kurang strata social ini digunapakai melainkan jika ada yang masih menjunjung adat dan warisan kerana dikatakan ianya terlalu kompleks sehingga boleh menyukarkan masyarakat Melanau pada masa kini.



Senibina Etnik Melanau (Rumah Tinggi Dan Rumah Panjang)


Jika diselidiki melalui senibina etnik Melanau, mungkin ramai yang mengetahui bahawa etnik Melanau terkenal dengan rumah tingginya. Contoh rumah tinggi Melanau sekarang boleh dilihat di Kampung Budaya Sarawak sekarang dan ianya dibina suatu waktu dahulu adalah semata-mata untuk keselamatan iaitu menghindarkan diri daripada serangan lanun yang banyak berleluasa suatu ketika dahulu kerana ramai etnik Melanau ketika itu tinggal di persisiran pantai.


Namun begitu etnik Melanau juga mempunyai rumah panjangnya yang tersendiri dan ianya selari dengan asal keturunan mereka daripada etnik Kayan suatu waktu dahulu serta ianya juga untuk tujuan keselamatan juga. Umum mengetahui bahawa etnik Melanau suatu ketika dahulu adalah salah satu etnik yang sering dijadikan mangsa adat memburu kepala oleh etnik pribumi yang lain jadi mungkin dengan mendiami rumah panjang seakan-akan rumah panjang etnik Iban, Kelabit dan lain-lain akan memberikan keselamatan berbentuk penyamaran ke atas etnik Melanau pada masa itu.



Setelah kedatangan agama di Sarawak, ramai daripada etnik Melanau telah memeluk Islam dan juga Kristian namun begitu masih ada juga segelintir lagi yang masih lagi menganuti anismisme yang dikenali sebagai pagan. Apa yang uniknya mengenai etnik Melanau ini walaupun mereka telah mempunyai pegangan agama seperti Islam dan Kristian namun begitu mereka masih lagi kekal dan sentiasa berbangga dengan satu pesta yang telah dirayakan berabad-abad lamanya.



Pesta Kaul yang merupakan salah satu perayaan etnik Melanau yang telah dimasukkan di dalam kalendar pelancongan negeri Sarawak Bumi Kenyalang. Dan sejarah Pesta Kaul ini sebenarnya sudahpun berusia lebih daripada 1000 tahun yang telah diamalkan di Pulau Borneo oleh Etnik Melanau sejak dahulu lagi iaitu ketika mereka masih lagi mengamalkan agama kaharingan atau pagan.



Berdasarkan kepada apa yang ditulis di dalam artikel ini, sesungguhnya asal-muasal etnik Melanau adalah merupakan etnik pribumi jati Pulau Borneo dan mereka merupakan suatu waktu dahulu dikenali dengan nama “Likaw” iaitu salah satu rumpun bangsa yang berhijrah daripada Dataran Apo Kayan seperti etnik Kayan, Kenyah, Penan dan banyak lagi di Sarawak Bumi Kenyalang.


Asas etnik Melanau menjadi rumpun Melayu kerana adanya undang-undang sejak di zaman Brooke lagi yang telah mengatakan mana-mana etnik yang memeluk Islam, mengamalkan tradisi dan cara hidup Islam adalah etnik yang dikategorikan sebagai Melayu. Hal ini juga termaktub kepada etnik minoriti Sarawak yang lain seperti etnik Narom dan etnik Tutong, yang mana pada asalnya juga merupakan daripada etnik Kayan/Kenyah tetapi setelah memeluk Islam dirangkumkan menjadi Melayu Sarawak. Inilah yang diperkatakan oleh Dr Jeniri Amir melalui kertas kerja bertajuk Asal Melayu Sarawak: Mencari Titik Yang Tidak Pasti melalui tajuk kecil Masuk Islam Masuk Melayu.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.




Rujukan:


1. Dr Jeniri Amir; Book Title : Masyarakat Melanau Di Sarawak

2. Sanib Said; Book Title: Melayu Sarawak, Sejarah Yang Hilang

3. Graham Saunders; Book Title: A History of Brunei

4. Hendrik Freerk Tillema; Book Title: A Journey Among The People Of Borneo

5. Encik Zaini Ozea dari Dewan Bahasa Dan Pustaka Sarawak; Kertas kerja di Seminar Budaya Melanau 1988 yang bertajuk “Bahasa Melanau Satu Tanggapan Awal”

6. Dr Jeniri Amir; Kertas Kerja Asal Melayu Sarawak: Mencari Titik Yang Tidak Pasti

7. Dr. Tengku Intan Zarina Bt Tengku Puji (UKM); Tesis: Analisa Terhadap Adat Dan Keistimewaan Masyarakat Melanau Di Sarawak

8. Learn Melanau

http://learn-melanau.blogspot.com/2011/05/melanaus-caste-system-adet-basa.html

9. Utusan Sarawak 25 April 2015 Bertajuk Kaul Wujud Lebih 1000 Tahun

http://www.utusansarawakonline.com/news/13813/Kaul-wujud-lebih-1000-tahun/

10. Maranao, Lanao in Philippines

http://joshuaproject.net/people_groups/13531/RP

bottom of page