top of page

GERAKAN ANTI-PENYERAHAN SARAWAK (1946-1950)

GERAKAN ANTI-PENYERAHAN SARAWAK (1946-1950)


Mungkin ramai generasi muda Sarawak sekarang tidak mengenali atau pernah mendengar bahawa rakyat Sarawak suatu waktu dahulu pernah bersatu tidak mengira kaum dan agama untuk bangun bangkit menentang apa yang batil di Sarawak. Gerakan Anti-Penyerahan Sarawak ini adalah sebuah gerakan yang dipelopori oleh rakyat Sarawak pada waktu itu bagi menentang usaha Kerajaan Koloni British untuk mentadbir Sarawak sebagai tanah jajahan mereka.


Gerakan ini bermula apabila Rajah Charles Vyner Brooke yang sudah muak memerintah Sarawak Kingdom selepas kemusnahan yang teruk akibat Perang Dunia Ke-2. Kerana itulah rakyat Sarawak pada ketika itu telah bangun membantah dan gerakan pembantahan ini berlangsung dari 1 Julai 1946 hingga Mac 1950.


Terdapat beberapa punca yang menjadi sebab kepada tercetusnya Gerakan Anti-Penyerahan tersebut iaitu:


1. Tindakan Rajah Charles Vyner Brooke, Rajah ke-3 Negara Sarawak yang telah melanggar Perjanjian 1941. Di dalam peruntukan Perjanjian 1941 ada tercatit bahawa Rajah Brooke harus memerdekakan Sarawak Kingdom dan membiarkan rakyatnya memerintah sendiri secara demokrasi namun sebaliknya Rajah Charles Vyner Brooke yang sudah bosan memerintah memilih untuk memberikan Sarawak sebagai tanah jajahan Koloni British pada 8 Februari 1946 dengan sedikit imbuhan.


2. Selain daripada itu, rakyat Sarawak juga turut berang kerana tindakan Koloni British yang mengharamkan Rajah Muda Sarawak iaitu pewaris Rajah Brooke seterusnya iaitu Rajah Muda Anthony Brooke daripada kembali ke Negara Sarawak dan seterusnya menaiki takhta sebagai Rajah Sarawak yang Ke-4.


3. Tindakan Rajah Charles Vyner Brooke telah melanggar perlembagaan Sarawak kerana beliau hanya membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada persetujuan rakyat Sarawak. Sebaliknya Sarawak Kingdom terus diisytiharkan sebagai tanah jajahan Koloni British pada 1 Julai 1946 dengan hanya mendapat sokongan daripada pegawai-pegawai British yang bertugas di Sarawak.


Dikala inilah ramai masyarakat Sarawak telah bangun menyertai Datu Patinggi Abang Haji Abdillah dan Datu Patinggi Haji Mohammad Kassim untuk menentang penyerahan Sarawak kepada Koloni British. Banyak persatuan-persatuan tempatan juga ikut serta seperti Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) turut mengambil bahagian.


Pelbagai cara digunakan untuk membantah hal ini berlaku. Ahli-ahli pergerakan ini telah menghantar surat bantahan rasmi sebagai anti-penyerahan kepada Pejabat Tanah Jajahan di London namun usaha itu juga tidak mendapat maklum balas yang baik daripada mereka. Rakyat Sarawak tidak kira lelaki atau wanita daripada pelbagai peringkat umur seperti kaum ibu dan kaum bapa telah bersatu hati bangun mengadakan tunjuk perasaan serta mengibarkan poster-poster anti penyerahan di dalam kampung-kampung. Inilah semangat anti penyerahan yang telah membingungkan Kerajaan Koloni British pada waktu itu.


Melihat kepada kebangkitan rakyat Sarawak pada waktu itu, pentadbiran Koloni British telah cuba sedaya upaya untuk menghentikannya. Mereka telah bertindak mengeluarkan “Surat Pekeliling No. 9” iaitu surat pekeliling yang dikenakan kepada semua penjawat-penjawat awam di Sarawak yang rata-ratanya mendokong penuh gerakan anti-penyerahan tersebut.


Umpama berpantang mati sebelum ajal, surat pekeliling itu tidak dapat menghentikan semangat rakyat Sarawak pada waktu itu apabila lebih daripada 338 kakitangan awam kebanyakkannya guru meletak jawatan pada 2 April 1947 sebagai protes kepada surat pekeliling tersebut. Tindakan guru-guru ini telah mengakibatkan penutupan 22 buah sekolah di Sarawak kerana ketiadaan guru untuk mengajar di sekolah-sekolah tersebut.


Selain daripada itu, tindakan berhenti daripada pengajian universiti juga dilakukan oleh 56 pelajar universiti sebagai satu protes dan dokongan penuh kepada gerakan anti-penyerahan Sarawak. Demostrasi secara besar-besaran berlaku pada 1 Julai 1947 apabila Sir Charles Arden-Clarke, Pesuruhjaya Residen Bechuanaland (Botswana) dilantik sebagai Gabenor Pertama Jajahan British di Sarawak. Bermula daripada tarikh itu, gerakan anti-penyerahan terus menerus mengadakan demostrasi tanpa henti walau ditentang dengan pelbagai cara oleh pentadbiran Koloni British.


Antara taktik yang diusahakan oleh Koloni British untuk menghentikan semangat patriotism rakyat Sarawak pada waktu itu adalah dengan mengadu-domba hubungan erat antara masyarakat Melayu dan masyarakat etnik Dayak seperti Iban, Bidayuh dan Orang Ulu pada waktu itu iaitu dengan bertindak meyakinkan masyarakat Melayu Sarawak bahawa Sarawak harus berada di dalam jajahan Koloni British bagi memartabatkan serta memberi penghidupan yang lebih baik kepada masyarakat Melayu pada masa itu.


Ahli-ahli gerakan anti-penyerahan telah ditawarkan untuk membentuk Kesatuan Melayu Muda yang sebenarnya bertindak sebagai doktrin untuk meresapi dan mempengaruhi ahli-ahli gerakan agar menerima penyerahan tersebut. Pelbagai tawaran diberikan seperti anak-anak pada sesiapa yang menyokong akan dapat belajar di sekolah kerajaan serta dengan senangnya menjawat jawatan di dalam kerajaan. Perang psikologi ini terus dilakukan tanpa henti dan ianya berjaya menurunkan semangat anti-penyerahan sekitar Disember 1947.


Kemuncak kepada gerakan anti-penyerahan ini adalah pada 3 Disember 1949, apabila Rosli Dhoby bersama-sama dengan rakan-rakannya di dalam sebuah pertubuhan radikal yang dikenali sebagai Rukun 13 telah bertindak membunuh Sir Duncan Steward, Gabenor Sarawak Ke-2 Koloni British yang datang membuat lawatan kerja di Sibu buat pertama kalinya.


Rosli Dhoby telah berjaya menikam Gabenor Sarawak ke-2 ini bersama-sama dengan Awang Ramli Amit Mohd Deli dan juga Morshidi Sidek serta Bujang Suntong. Sir Duncan Steward yang cedera parah telah diterbangkan ke Singapura untuk mendapat rawatan dan akhirnya seminggu kemudian telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Besar Singapura.


Gugurnya Sir Duncan Steward ini telah menyebabkan Koloni British melancarkan tindakan besar-besaran bagi menghentikan semangat anti-penyerahan pada waktu itu. Kesemua yang terlibat di pembunuhan itu telah ditangkap dan akhirnya pada 2 Mac 1950, Rosli Dhobi dan rakan-rakannya telah dihukum gantung sampai mati di Penjara Kuching dan beberapa yang lain telah dikenakan hukuman penjara.


Selepas itu gerakan anti-penyerahan semakin muram di Sarawak dan Koloni British telah memerintah Sarawak sehinggalah pada 22 Julai 1963, Sarawak merdeka daripada Koloni British bagi membenarkan Sarawak bersama-sama dengan Persekutuan Tanah Melayu, North Borneo dan Singapura membentuk apa yang dipanggil Gagasan Malaysia pada tanggal 16 September 1963.


Semangat seperti ini seharusnya terus ada pada setiap jasad Bangsa Sarawak di dalam mempertahankan tanahair tercinta Sarawak Bumi Kenyalang sekarang. Sejarah ini adalah sejarah Bangsa Sarawak dan mengetahuinya adalah perlu bagi kita mengenal apa yang telah dilakukan bangsa Sarawak yang terdahulu demi melihat kelangsungan kita sekarang.


bottom of page