GAGASAN MALAYSIA 16 September 1963
GAGASAN MALAYSIA 16 September 1963
- Suruhanjaya Cobbold 1962 Dan Reaksi Rakyat Sarawak
Hari ini, 16hb September 2015 genaplah 52 tahun penubuhan sebuah gagasan yang dibentuk oleh 4 entiti iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah (North Borneo) dan Sarawak dan gagasan itu dikenali sebagai Gagasan Malaysia. Dan sejarah juga mencatitkan iaitu sekitar bulan Ogos 1965, Singapura telah keluar daripada Gagasan Malaysia dan membentuk Republik Singapura seperti yang kita kenali sekarang.
Di dalam kita mengenang pembentukan Gagasan Malaysia ini, harus untuk kita mengetahui satu sejarah yang memainkan utama di dalam pembentukan Gagasan Malaysia ini kerana jika ianya tiada maka tiadalah Gagasan Malaysia sekarang. Suruhanjaya Cobbold 1962, itulah nama satu suruhanjaya yang telah ditubuhkan bagi mendapat maklumbalas daripada rakyat jelata khususnya Sabah (North Borneo) dan Sarawak pada suatu waktu dahulu.
Idea Gagasan Malaysia sebenarnya telah diusulkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj iaitu Perdana Menteri kepada Persekutuan Tanah Melayu di dalam satu ucapan beliau sewaktu di sebuah hotel di Singapura pada 27 Mei 1961. Beliau mengusulkan Gagasan Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah. Antara sebab-sebab beliau mengutarakan usul sedemikian adalah kerana:
1. Bagi menyekat pengaruh komunisme yang kian menular di Asia Tenggara pada masa itu; 2. Memberi keseimbangan kaum dan jumlah penduduk di kesemua negara yang disebutkan.; 3. Bagi meningkatkan serta memajukan ekonomi kepada negara yang terlibat kerana jurang ekonomi ketika itu terlalu tinggi sekali; 4. Persekutuan Tanah Melayu sudahpun merdeka pada 31 Ogos 1957 manakala Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei masih lagi menjadi tanah jajahan Koloni British dan dengan adanya satu Negara yang bergelar Gagasan Malaysia maka ketiga-tiga jajahan Koloni British ini akan dapat dipercepatkan kemerdekaannya bagi memudahkan negara ini membentuk Negara Gagasan Malaysia kemudiannya.
Apabila idea ini diusulkan kepada pihak British, ianya telah mendapat respons yang baik kerana pada ketika itu juga rancangan untuk pembentukan sebuah Gagasan Borneo yang dianggotai oleh Brunei, Sabah (North Borneo) dan Sarawak yang dirancangkan tidak mendapat sambutan lebih-lebih lagi daripada Negara Brunei.
Jadi cadangan daripada Tunku Abdul Rahman itu umpama seperti “Orang Mengantuk Disorongkan Bantal” kerana pada ketika itu juga pihak Koloni British dikatakan telah didesak oleh bangsa-bangsa di dunia untuk memerdekakan tanah jajahannya.
Setelah cadangan ini diusulkan ternyata Singapura menyambutnya dengan baik sekali manakala Brunei telah menolak cadangan tersebut manakala Sabah dan Sarawak pada mulanya menolak tetapi kemudiannya menerimanya dengan bersyarat iaitu Sabah dan Sarawak akan diberikan kuasa kerajaan berautonomi di dalam Gagasan Malaysia. Walau bagaimanapun, bagi memberikan penghakiman yang sama rata kepada penduduk di Sabah dan Sarawak, maka satu suruhanjaya telah ditubuhkan pada 17hb Januari 1962 dan dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold.
Suruhanjaya Cobbold 1962
Visi dan misi Suruhanjaya Cobbold ini adalah untuk meninjau pandangan dan respons daripada penduduk-penduduk di Sabah dan Sarawak mengenai cadangan Gagasan Malaysia.
Dan Suruhanjaya Cobbold ini dianggotai oleh:
1. Lord Cobbold, bekas Gabenor Bank of England. Pengerusi Suruhanjaya. 2. Wong Pow Nee, Ketua Menteri Pulau Pinang, Negara Persekutuan Tanah Melayu 3. Mohammed Ghazali bin Shafie, Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negara Persekutuan Tanah Melayu 4. Anthony Abel, bekas Gabenor British Borneo Sarawak 5. David Watherson, Bekas Setiausaha Malaya.
Pada 20hb Februari 1962, panel Suruhanjaya Cobbold yang dianggotai oleh Lord Cobbold P.C, Sir Anthony Abell, Sir David Watherston, Dato Wong Pow Nee, Encik Muhammad Ghazalie bin Shafie dan Mr. I.R Harris telah menjejakkan kaki mereka di Kuching, Sarawak.
Reaksi Rakyat Sarawak Atas Penubuhan Gagasan Malaysia
Kedatangan mereka telah dialu-alukan oleh Gabenor Sarawak pada waktu itu iaitu Sir Alexander Waddel dan Ketua Setiausaha iaitu Mr. F.D Jakeway di Lapangan Terbang Kuching dengan kawalan polis. Walaupun pada masa itu Gagasan Malaysia hanya cadangan tetapi sudah ada reaksi-reaksi daripada penduduk tempatan di Seluruh Sarawak tentang cadangan tersebut.
Pertemuan pertama telah berlaku pada hari Selasa dengan mesyuarat panel Suruhanjaya Cobbold dengan Ahli Council Negri yang berlangsung selama lebih kurang 2 ½ jam. Di dalam jangkamasa itu, mesyuarat dimonopoli sepenuhnya oleh 2 parti politik iaitu Sarawak United Peoples Party (SUPP) dan juga Parti Negara Sarawak (PANAS).
Yang membezakan kedua-dua parti ini adalah SUPP lebih kepada Anti-Malaysia manakala PANAS Pro-Malaysia. Delegasi SUPP diketuai oleh Pengerusinya Encik Ong Kee Hui, Encik Stephen Yong (Setiausaha), Encik Chan Siaw Hee, Encik Song Thian Cheok, Encik Charles Linang, Puan Barbara Bey dan Encik Salleh Merican.
Delegasi SUPP telah menyerahkan memorandum parti yang mengandungi 21,451 tandatangan yang MENOLAK Gagasan Malaysia. Antara intipati kenyataan memorandum SUPP adalah:
1. That the people of Sarawak are overwhelming against the Malaysia Plan and it would be immoral to hand them over to foreign control. The Malaysia Plan should not be imposed upon the people of Sarawak.
2. The the people of Sarawak should be given the right of self-determination.
3. That if it is the wish of Her Majesty’s Government of the United Kingdom to relinquish control of Sarawak, the Government of the country should be handed over to the people of Sarawak and to any other government.
4. That Her Majesty’s Government should honour its pledge when it took over Sarawak and not abrogate the Nine Cardinal Principles which forms part of the Sarawak Constitution.
5. That the desire of the people is now for closer links with the adjoining territories of Borneo and North Borneo.
6. That in circumstances should the future of Sarawak be decided without referendum organized on democratic lines.
7. That the people of Sarawak have unequivocably signified their opposition to the Malaysia Plan in a signature campaign organized by SUPP within 3 weeks of the arrival of the Commission of Enquiry. The signatures will be submitted to the Commission by all the branches of the SUPP.
Bagi pertemuan hari pertama dengan PANAS, delegasi PANAS diketuai oleh Pengerusi PANAS iaitu Datu Bandar Abang Haji Mustapha dan Setiausaha PANAS, Abang Othman dan mereka telah menyerahkan memorandum yang menyokong sepenuhnya Sarawak sebagai salah sebuah negara yang membentuk Gagasan Malaysia.
Pada hari Rabu, 20 kumpulan telah mengadakan mesyuarat dengan panel Suruhanjaya yang berjumlah kira-kira 400 orang. 9 daripada kumpulan tersebut adalah kumpulan yang menyerahkan memorandum Anti-Malaysia manakala 8 adalah kumpulan yang menyerahkan memorandum menyokong Gagasan Malaysia. Selebihnya adalah orang perseorangan yang mewakili diri sendiri di dalam cuba memahami apakah itu Gagasan Malaysia. Antara individu yang mewakili diri sendiri adalah Puan Tra Zehder, satu-satunya wanita yang menganggotai Ahli Council Negri Sarawak pada masa itu.
Antara mereka yang mewakili kumpulan adalah 21 orang Ketua Kampung yang mewakili 21,000 orang penduduk Sarawak yang menyokong Gagasan Malaysia. Mereka diketuai oleh Encik Hassan bin Kadir dari Kampung Astana, Encik Drahman bin Sahari dari Kampung Gita dan Encik Bismilla bin Agus dari Batu Kawa. Kesemua 21 orang Ketua kampung ini sepakat bahawa Gagasan Malaysia akan membuatkan rakyat Sarawak yang berbilang bangsa hidup di dalam harmoni dan keamanan akan sama-sama dikecapi.
Pada hari yang sama, Sarawak First Division Trade Union Congress yang mewakili kesatuan sekerja di Bahagian Pertama yang dianggotai oleh 6,000 orang ahli kesatuan sekerja daripada Bus Worker Union, Wharf Labourers Union, Printing Workers Union, Building Working Union. TUC telah menghantar 7 orang delegasinya diketuai oleh Setiausaha iaitu Encik Lim Kim Seng turut berjumpa dengan panel Suruhanjaya Cobbold. TUC adalah antara kesatuan yang TIDAK MENYOKONG Gagasan Malaysia seperti yang tercatat di dalam siding akhbar mereka iaitu:
“….such a plan will not help Sarawak to advance towards independence. But on the contrary this Plan as we see it tries to put Sarawak under the rule of foreign country"... …”
Pada hari Khamis, panel Suruhanjaya telah mengembara jauh ke Daerah Bau dengan panel suruhanjaya mengambil tempat di Banglo Majlis Daerah Bau. Ianya berlangsung selama 4 jam. Sebanyak 12 delegasi telah bertemu dengan panel Suruhanjaya.
Encik Remigius Durin yang merupakan Ahli Council Negri telah mengetuai delegasi yang mewakili 15,000 orang dari kaum Bidayuh dan Melayu Bau MENYOKONG GAGASAN MALAYSIA. Kemudian Delegasi daripada Mr Ong Guan Cheng, Pengerusi Majlis Daerah Bau telah menyerahkan memorandum MENOLAK GAGASAN MALAYSIA dengan tandatangan sebanyak 3,200 orang.
Pada sebelah petangnya sekali lagi panel Suruhanjaya telah kembali ke Kuching dan delegasi yang diketuai oleh Tuan Haji Awang Wal dan wakil Ketua Kampung Ali bin Bujang daripada Kampung Sungai Bedil Besar yang mewakili 1,000 orang penduduk telah menyatakan SOKONGAN GAGASAN MALAYSIA ditubuhkan. Di samping itu delegasi Encik Lam Teng Kui yang mewakili 12,000 orang daripada Ward 5 dan Ward 6 juga telah menghantar memorandum bertandatangan yang MENOLAK GAGASAN MALAYSIA
.
Pada hari Jumaat, panel suruhanjaya telah mudik ke Sematan yang mana mereka telah menemubual secara langsung penduduk-penduduk di Lundu dan seterusnya pada hari Sabtu ke Serian yang mana pandangan daripada penduduk-penduduk daripada Daerah Sadong telah direkodkan.
Setelah berada selama 5 hari di Sarawak akhirnya Panel Suruhanjaya Cobbold telah bertolak ke Jesselton, North Borneo pada 25hb Februari 1962 bagi memulakan peninjauan kaji selidik di North Borneo . Sessi untuk Sarawak seterusnya akan diadakan pada 9hb Mac 1962 dan akan berakhir pada 30 Mac 1962 sebelum kembali lagi ke North Borneo pada 1hb April 1962.
Suruhanjaya Cobbold sepanjang Februari 1962 sehingga April 1962 telah menemui lebih 4000 orang dan menerima memorandum daripada pelbagai pihak samada daripada parti politik, ahli mesyuarat Kerajaan Sabah & Sarawak, pemimpin-pemimpin masyarakat, pemimpin agama, kesatuan sekerja yang wujud di Sabah & Sarawak serta rakyat jelata Sabah & Sarawak sendiri.
Secara keseluruhannya Suruhanjaya Cobbold telah menyimpulkan bahawa secara asasnya rakyat Sabah & Sarawak telah bersetuju untuk sama-sama menubuhkan sebuah negara yang bergelar Gagasan Malaysia. Pada tanggal 1 Ogos 1962, Suruhanjaya Cobbold telah mengemukakan laporannya kepada Kerajaan British.
Antara intipati laporan tersebut adalah:
1. Persekutuan yang ditubuhkan hendaklah menggunakan nama “Malaysia”; 2. Pemberian kuasa menentukan hal ehwal agama dan dasar imigresen adalah hak mutlak kepada Majlis Undangan Sabah dan Sarawak; 3. Kaum pribumi Sabah dan Sarawak diberikan kedudukan istimewa dan dikekalkan; 4. Perwakilan Sabah dan Sarawak akan diwujudkan di dalam Parlimen Gagasan Malaysia; 5. Bagi memudahkan pengendalian hal-ehwal kewangan, kewarganegaraan, kedudukan bumiputera, kebebasan beragama dan pendidikan maka penubuhan sebuah jabatan persekutuan dicadangkan ditubuhkan di Sabah dan Sarawak; 6. Jawatankuasa Antara Kerajaan hendaklah ditubuhkan dan jawatankuasa ini bertanggungjawab bagi menjamin dan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak apabila membentuk Gagasan Malaysia nanti.
Secara ringkasnya Lord Cobbold sebagai Pengerusi Suruhanjaya Cobbold juga menyimpulkan seperti berikut di dalam laporannya iaitu:
The Commission released its findings, report and recommendations on 1 August, 1962. It concluded that the formation of Malaysia should be implemented. However, Lord Cobbold also stressed that all parties enter the federation as equal partners. The findings were summarised by Lord Cobbold as follows:
About one-third of the population of each territory strongly favours early realisation of Malaysia without too much concern about terms and conditions. Another third, many of them favourable to the Malaysia project, ask, with varying degrees of emphasis, for conditions and safeguards varying in nature and extent: the warmth of support among this category would be markedly influenced by a firm expression of opinion by Governments that the detailed arrangements eventually agreed upon are in the best interests of the territories. The remaining third is divided between those who insist on independence before Malaysia is considered and those who would strongly prefer to see British rule continue for some years to come. If the conditions and reservations which they have put forward could be substantially met, the second category referred to above would generally support the proposals. Moreover once a firm decision was taken quite a number of the third category would be likely to abandon their opposition and decide to make the best of a doubtful job. There will remain a hard core, vocal and politically active, which will oppose Malaysia on any terms unless it is preceded by independence and self-government: this hard core might amount to near 20 per cent of the population of Sarawak and somewhat less in North Borneo. — Lord Cobbold, Cobbold Commission –
Setelah adanya laporan daripada Suruhanjaya Cobbold inilah barulah pasca-pasca mesyuarat berlangsung diantara pemimpian Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura dengan Kerajaan British yang akhirnya segala konklusi telah menyebabkan Sabah merdeka daripada Koloni British pada 31 Ogos 1963 manakala Sarawak pada 22hb Julai 1963.
Hendaknya Sarawak memohon tarikh merdeka lebih awal kerana sudah menjadi undang-undang di dalam Sarawak Supreme Council untuk membawa usul pembentukan Gagasan Malaysia di dalam Council Negeri sebelum Gagasan Malaysia itu boleh diistiharkan.
Dengan mandate itulah Ketua Menteri Sarawak yang pertama iaitu Tan Sri Datuk Stephen Kalong Ningkan telah membawa usul ke Sarawak Supreme Council dan akhirnya teristiharlah sebuah Gagasan Malaysia yang dibentuk oleh 4 entiti iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak yang pada mulanya direncanakan pengistiharannya pada 31 Ogos 1963 namun kerana atas-atas kelewatan dokumen daripada United Nation pada masa itu maka ia dianjak ke tarikh 16hb September 1963.
Pengisytiharaan Gagasan Malaysia telah diadakan serentak di seluruh Gagasan Malaysia pada masa itu. Bagi Sarawak ianya telah diistisyharkan oleh Tuan Gabenor Sarawak yang pertama iaitu Tun Datu Patinggi Abang Haji Openg bin Abang Sapiee pada 16hb September 1963 bertempat di Padang Sentral, Kuching, Sarawak dengan bersaksikan ribuan rakyat Sarawak pada waktu itu.
SELAMAT ULANGTAHUN YANG KE 52 TAHUN GAGASAN MALAYSIA
(16/9/1963 – 16/9/2015)