ETNIK PUNAN, SARAWAK, BORNEO
ETNIK PUNAN, SARAWAK, BORNEO
PENAN / PUNAN… begitulah yang sering kita baca di dalam penulisan sesetengah individu apabila berbicara tentang satu etnik di Sarawak. NAMUN tahukah anda semua bahawa etnik Penan dan etnik Punan bukanlah nama etnik yang sama sebaliknya ia adalah dua etnik yang berbeza samada dari segi budaya, bahasa mahupun cara hidup. Jika Penan dikategorikan dibawah etnik yang penghidupan mereka berpindah randah ataupun nomad namun ianya tidak begitu pada etnik Punan kerana ternyata etnik Punan ini hidup tetap mengusahakan padi bukit dan sebagainya untuk kelansungan hidup mereka di satu tempat sahaja.
Punan atau Punan Bah adalah antara etnik minoriti yang mendiami Sarawak, Borneo. Kebanyakan daripada etnik ini mendiami kawasan sekitar Pandan, Jelalong, Kakus di Bahagian Bintulu, Sarawak serta di sepanjang Sungai Rajang di Belaga, Sarawak. Etnik Punan juga ada yang masih tinggal di Kalimantan Barat, Indonesia. Selain daripada digelar etnik Punan Bah, mereka juga dikenali dengan nama Mikuang Bungulan, Mikuang dan Aveang Buan namun nama-nama ini hanya digunapakai ketika acara keagamaan sahaja sehingga ke hari ini.
Punan Bah sebenarnya TIDAK PERNAH NOMAD kerana mereka tinggal tetap pada satu penempatan dengan mengusahakan padi bukit serta menanam sayur-sayuran yang lain seperti keladi, tebu dan sebagainya serta mereka juga keluar memburu di kawasan hutan yang berhampiran dengan penempatan mereka untuk kelangsungan hidup sejak dari dahulu lagi.
Mengikut laporan banci penduduk pada yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Malaysia pada tahun 2010 terdapat kira-kira 3,000 orang etnik Punan yang masih tinggal di Sarawak Bumi Kenyalang. Walaupun dikatakan sekarang ramai daripada etnik Punan Bah ini terutamanya generasi muda telah berhijrah ke luar kota untuk mencari rezeki.
Namun begitu apa yang pasti mereka ini tidak akan meninggalkan rumah-rumah panjang mereka berterusan kerana walau di dalam apa jua keadaan mereka akan tetap pulang ke rumah panjang lebih-lebih lagi apabila tiba masanya perayaan menuai padi bagi etnik Punan yang dikenali sebagai Bungan. Inilah keunikan dan warisan budaya daripada etnik Punan Bah yang masih utuh dipegang sehingga sekarang.
Dari segi bahasa pula bahasa yang dipertuturkan oleh etnik Punan adalah dari rumpun bahasa Austranesian, Malayo-Polynesian, North Borneo, North Sarawakan, Kayan-Kenyah, Kayanic. Seringkali dari segi bahasa juga ia sering dikatakan mempunyai persamaan dengan etnik Penan namun begitu sebenarnya bahasa Punan lebih dekat dengan apa yang dipetuturkan oleh etnik Sekapan dan Kejaman salah satu sub etnik dari Kaum Orang Ulu, Sarawak.
Rata-rata etnik Punan sekarang setelah kedatangan agama di kawasan mereka telahpun menganuti agama Kristian namun begitu masih ada juga yang masih lagi mengamalkan agama animisme mereka yang diwarisi sejak berkurun lamanya yang dikenali sebagai “Besavik”. Seperti etnik minoriti yang lain di Sarawak, etnik Punan dikategorikan dibawah kumpulan etnik Orang Ulu sub etnik Kajang bersama-sama dengan Sekapan, Kejaman, Lahanan dan Sihan.
Seperti etnik-etnik yang lain di Sarawak, etnik Punan juga mempunyai asal usul keturunan yang sangat unik. Etnik Punan adalah satu etnik yang mengamalkan masyarakat berstrata sosial iaitu mempunyai stratafikasi yang tersendiri yang bermula daripada “Laja”, orang kaya; “Panyen” orang biasa dan “Lipen”, hamba. Walaupun ianya mungkin tidak diamalkan lagi sekarang namun begitu mereka masih lagi menggunakannya di dalam upacara seperti perkahwinan, kematian dan sebagainya.
Menurut legendanya asal keturunan dan nama etnik Punan Bah itu sendiri sebenarnya berasal daripada satu penempatan di kawasan sungai yang dikenali sebagai Sungai Bah. Di hikayatkan mereka sebenarnya adalah keturunan Bua iaitu seorang yang dikatakan berasal daripada kawasan Sekapan yang kemudiannya telah berkahwin dengan seorang gadis bernama Lapan atau Jali. Bua dikatakan seorang yang “Etun Oa” iaitu seorang yang mempunyai kuasa sakti seperti ilmu ghaib. Sewaktu mengembara beliau telah menjejaki kawasan Bah dan disinilah beliau dikatakan telah mencipta Sungai Bah dan sesiapa yang tinggal di sepanjang Sungai Bah dikenali sebagai Punan Bah.
Diceritakan bahawa Bua hanya mendiami kawasan Sungai Bah hanya beberapa waktu sahaja kerana beliau dikatakan terlalu sibuk dengan peperangan bagi mempertahankan kawasannya. Di dalam perlarian peperangan tersebut dikatakan Bua telah tertinggal anak panahnya yang kemudiannya anak panah tersebut telah bertukar menjadi batu dan kewujudan batu seakan-akan anak panah di kawasan berdekatan Sungai Bah sekarang seperti membenarkan kewujudan Bua di bumi Bah sewaktu dahulu.
Hasil perkahwinan Bua dengan isterinya Jali telah dikurniakan dengan 2 anak iaitu yang diberikan nama Tadou dan Taga. Dikatakan kerana kehilangan Bua yang tidak kembali ke Sungai Bah lagi maka pewarisnya iaitu Tadou dan Taga tidak mewarisi sebarang kuasa ghaib seperti ayah mereka namun begitu etnik Punan Bah percaya bahawa generasi daripada Tadou dan Taga inilah merupakan penerus legasi dan merupakan asal keturunan etnik Punan Bah sekarang. Walaupun cerita legenda asal keturunan etnik Punan Bah ini hanya mencakupi daripada kasta Panyin iaitu daripada keturunan orang kaya namun begitu dipercayai bahawa disinilah bermulanya stratifikasi di dalam masyarakat etnik Punan Bah dahulu sehinggalah sekarang.
Inilah sekelumit ruang informasi tentang masyarakat etnik Punan yang sering disalahertikan sebagai etnik Penan. Banyak rujukan tentang etnik Punan masih lagi bertaut kepada jurnal-jurnal pengembaraan ketika di zaman Brooke malah etnik Punan yang dikatakan kaya dengan kesusasteraannya yang tersendiri juga amat jarang kita ketahui sehinggakan memungkinkan kita sebagai Bangsa Sarawak mahupun rakyat Malaysia KELIRU dengan kewujudan 2 etnik yang berbeza iaitu Penan dan Punan.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta!
#KamekSayangSarawakBah