FROM LUNDU WITH LOVE
FROM LUNDU WITH LOVE
Lundu merupakan satu daerah kecil di Sarawak yang keluasannya kira 1,962.2 km persegi. Mengikut laporan census 2012 terdapat kira-kira 45,000 orang jumlah populasi di daerah Lundu, Sarawak yang terdiri daripada etnik Melayu, Iban, Bidayuh Selako, Cina dan lain-lain etnik kecil pribumi Sarawak Bumi Kenyalang.
Mengikut sejarahnya Lundu pada awal 1960an mendapat bekalan tenaga elektrik dan air bersih daripada Gunung Gading, iaitu salah satu kawasan peranginan yang terkenal di Daerah Lundu. Suatu waktu dahulu daerah Lundu hanya boleh dihubungi dengan menggunakan perkhidmatan bot daripada Kuching tetapi menjelang 1968 satu jalan yang menghubungkan Lundu dengan Bau telah siap tetapi pada ketika itu jalan tersebut hanyalah jalan batu kerikil dan setiap perjalanan disambungkan semula dengan perkhidmatan feri selepas itu. Namun sekitar tahun 1995, penaiktarafan jalan berturap telah memudahkan perhubungan Lundu dengan Kuching yang hanya memakan masa sekitar 1 jam telah memberikan seribu satu rahmat kepada warga Lundu ketika ini.
Terdapat 2 versi cerita bagaimana Lundu mendapat nama yang mana kedua-duanya adalah daripada cerita lisan orang-orang tua Lundu sendiri. Mengikut versi pertama, nama Lundu sebenarnya diambil daripada satu cerita yang pelik yang pernah terjadi di Sungai Batang Kayan, iaitu satu sungai terdapat di Lundu. Diceritakan suatu waktu dahulu terdapat satu spesis ikan yang dikenali sebagai ikan Lundu telah banyak terdapat di Sungai Batang Kayan ketika bulan penuh.
Maka pada setiap kali tarikh bulan penuh maka berduyun-duyunlah penduduk tempatan daerah Lundu menangkap ikan tersebut di sungai tersebut. Dan sejak daripada itu satu daerah yang tidak pernah mempunyai nama ini telah dinamakan Lundu iaitu mengambil sempena nama satu spesis ikan iaitu Ikan Lundu.
Untuk versi kedua pula mengikut cerita orang-orang tua tempatan, nama Lundu sebenarnya merujuk kepada satu etnik pribumi yang dipanggil Undu. Mengikut ceritanya suatu waktu dahulu etnik Undu ini merupakan peneroka pertama daerah Lundu namun begitu akibat daripada asimilasi melalui perkahwinan campur dengan Iban, Bidayuh dan Melayu maka etnik ini terus hilang di bumi Lundu. Walau bagaimanapun versi kedua ini sukar untuk disahkan ceritanya kerana tiada dokumen pra-sejarah dahulu yang boleh merujuk kepada kewujudan etnik Undu di Sarawak suatu waktu dahulu.
Menurut sejarah kedatangan etnik-etnik mendiami kawasan daerah Lundu berlaku sejak sebelum kedatangan Rajah James Brooke memerintah Sarawak lagi. Dikatakan bahawa etnik Iban yang ada menetap di Lundu sekarang adalah etnik Iban yang berhijrah daripada kawasan yang dipanggil Balau iaitu satu kawasan di Sungai Batang Lupar. Mereka kemudian dikenali sebagai Iban Lundu yang sebenarnya mempunyai sejarah perang dengan Iban di Saribas dan Paku yang akhirnya memaksa mereka untuk berhijrah daripada tempat asal mereka ke Sungai Batang Kayan untuk hidup lebih aman damai dengan bercucuk tanam dan sebagainya.
Untuk etnik Melayu pula dikatakan bahawa etnik Melayu yang ada di Lundu sekarang sebenarnya adalah mereka yang mempunyai asal keturunan dengan Melayu Pontianak dan Sambas memandangkan daerah Lundu adalah hanya bersempadan dengan Kalimantan Barat, Republik Indonesia jadi adalah tidak mustahil sekiranya hubungan nusantara ini berkaitrapat diantara satu sama lain.
Walau bagaimanapun apa yang menjadikan etnik Melayu di Lundu ini berlainan dengan etnik Melayu yang lain di Sarawak adalah adanya kewujudan etnik Melayu Lundu yang juga berasal daripada Kepulauan Natuna, iaitu salah satu di dalam jajahan Kabupaten Natuna, Riau. Penghijrahan ini berlaku pada suatu waktu dahulu berdasarkan kepada ketika itu Kepulauan Natuna sering diserang oleh orang-orang “bajak” atau lanun yang memungkinkan tiadanya keamanan yang dikawasan tempat asal mereka. Akhirnya penghijrahan ini telah membawa etnik Melayu Pulau Natuna ini membanjiri daerah Lundu untuk surivival kaum itu sendiri.
Selain etnik Iban dan Melayu, di Lundu juga terdapat etnik Bidayuh Selako yang juga mempunyai sejarahnya tersendiri. Menurut sejarahnya etnik Bidayuh Selako juga sebenarnya berasal daripada Kalimantan Barat. Terdapat 2 teori menyatakan penghijrahan untuk etnik Bidayuh Selako di Lundu iaitu teori pertama adalah etnik Bidayuh Selako merupakan satu etnik yang pakar di dalam bercucuk tanam lebih-lebih lagi padi bukit. Jadi didalam pencarian mencari tanah pamah yang subur akhirnya mereka menduduki secara tetap di bumi Lundu.
Untuk teori kedua pula etnik Bidayuh Selako pula dikatakan antara etnik daripada Kalimantan Barat yang berpindah untuk survival. Dikatakan sewaktu dahulu etnik Bidayuh Selako ini sering menjadi mangsa “pemburu kepala” di Kalimantan Barat yang memaksa mereka berhijrah untuk survival dan hidup aman damai di bumi Lundu sehingga sekarang.
Bagi kaum Cina pula mempunyai jalan cerita sejarahnya tersendiri iaitu mereka dikatakan antara saki baki pelombong Cina Hakka yang menjalankan aktiviti perlombongan emas di Bau. Kaum Cina Hakka ini dikatakan berasal daripada Pontianak dan Sambas dan kerana Lundu adalah daerah sempadan yang dekat dengan daerah asal mereka ada antara keluarga pelombong Cina ini lebih suka menetap di Lundu untuk menjalankan aktiviti perniagaan runcit kecil-kecilan.
Ketika di zaman pemerintahan Keluarga Brooke memerintah Sarawak, Daerah Lundu telahpun mempunyai Pegawai Daerah daripada kalangan bangsa Eropah sendiri iaitu Mr. Henry Fitzgibbon yang mentadbir Daerah Lundu pada tahun 1877. Dimasa pemerintahan Rajah Brooke ini, Daerah Lundu adalah pusat untuk latihan pegawai-pegawai daerah bagi Sarawak Kingdom sebelum dihantar untuk bekerja di daerah-daerah lain di Negara Sarawak pada ketika itu.
Disinilah pegawai-pegawai Eropah ini akan dididik tentang adat dan budaya serta warisan etnik-etnik Sarawak agar mereka akan lebih menjadi seorang pegawai Kerajaan Sarawak Kingdom yang berkebolehan dan mengetahui adat resam penduduk tempatannya. Menurut catatan jurnal-jurnal lama yang ditulis oleh Spencer St. John (1879) dan S. Baring-Gould & C.A Bampfylde (1909) ada menyatakan bahawa Rajah James Brooke pernah tinggal dan melawat sahabatnya yang juga merupakan pengikut setianya iaitu Orang Kaya Tumanggong atau Si Jugah di Lundu. Hubungan keakraban mereka berdua dikatakan amat baik sekali yang menyebabkan Lundu sentiasa mendapat perhatian daripada Rajah James Brooke secara peribadi.
Daerah Lundu selain kaya dengan sejarah tempatannya juga kaya dengan beberapa pusat peranginan yang boleh memberi impak yang positif di dalam industri pelancongan di Sarawak Bumi Kenyalang. Daerah Lundu ini mempunyai beberapa tarikan pelancongan yang istimewa seperti:
• Taman Negara Gunung Gading (Lundu) • Taman Negara Tanjung Datu (Sematan) • Taman Negara Hidupan Liar Semunsam (Sematan) • Kawasan pantai dengan pasir yang memutih seperti Pandan, Siar, Sematan & Telok Melati. • Program Homestay seperti di Telok Melano, Telok Serabang dan Rumah Panjang Pueh di Sematan. • Ulat Sutra di Silk Farm, Sematan. • Deer Farm dan Bird Nest di Kampung Siru, Sematan. • Industri Penternakan Ketam, Sematan. • Industri-industri desa: Keropok ikan, keropok udang, keropok ubi dan kuih tradisional, kraftangan dan sebagainya
Inilah sekelumit ruang informasi tentang Daerah Lundu yang telah pun berusia lebih daripada 135 tahun setelah dirasmikan menjadi Daerah Lundu melalui Pegawai Daerah pertamanya pada tahun 1877 buat sumber bacaan Bangsa Sarawak sekalian.
Daerah Lundu ini juga sekarang merupakan antara daerah di dalam sempadan DUN Tanjung Datu yang merupakan kawasan yang diwakili oleh Ketua Menteri Sarawak sekarang iaitu Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan bin Haji Satem dan dengan ini diharap Daerah Lundu akan terus mendapat tempias kemajuan yang berlipat kali ganda memandangkan ianya adalah kawasan yang diwakili oleh pemimpin no 1 Sarawak Bumi Kenyalang.
Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih-sayangnya.