PERANG PENGHULU MUNAN KE ATAS RUMAH JIMBAU
PERANG PENGHULU MUNAN KE ATAS RUMAH JIMBAU, ULU ENGKARI, JULAU 1902
Jika dilihat dari segi sejarah perang di Sarawak, memang tidak dinafikan etnik Iban merupakan etnik yang paling berani melawan pemerintahan Brooke malah juga paling berani melawan pemerintahan pembesar Brunei di bumi Sarawak suatu waktu itu. Dan sudah tentu etnik Kayan mahupun Kenyah juga antara mereka yang tersohor di dalam lipatan sejarah perang di Sarawak. Untuk kesekian kalinya, Borneo Oracle akan memaparkan satu sejarah perang yang sudah tentu amat kurang ceritanya buat pengetahuan Bangsa Sarawak sekalian. Perang Penghulu Munan Ke Atas Rumah Jimbau, Ulu Engkari, Julau 1902 itulah tajuk artikel pada kali ini.
Sekitar tahun 1902, Penghulu Bantin dari Ulu Ai dan Kana dari Engkari telah membuat bangun memberontak pemerintahan Brooke. Mereka dikatakan telah menyerang jiran-jiran mereka seperti Iban Lemanak bagi memastikan penguasaan mereka terus berkembang di kawasan itu. Pada ketika itulah Rajah Brooke telah memohon bantuan daripada sekutu Brooke iaitu Munan, Penghulu Dalam Dari Sibu, Penghulu Insol dari Padeh, Saribas dan Penghulu Banta daripada Skrang bagi memerangi mereka di Engkari.
Rajah Brooke ketika itu telah menyusun satu strategi perang berdasarkan kepada apa yang difahami dan setiap seorang daripada pemimpin Iban ini akan memerangi Penghulu Bantin dan Kana pada tarikh-tarikh yang ditetapkan. Namun sesuatu yang diluar daripada rancangannya apabila Penghulu Insol dari Padeh, Saribas dan Penghulu Banta daripada Skrang telah pergi dahulu memerangi mereka tanpa pengetahuan Penghulu Munan Dalam Dari Sibu.
Apabila Penghulu Munan Dalam Dari Sibu mula bergerak ke wilayah yang bergolak itu di tengah perjalanan mereka itulah mereka telah melihat banyak mayat-mayat bergelimpangan iaitu mayat kepada pahlawan-pahlawan Penghulu Insol dari Padeh dan Penghulu Banta dari Skrang yang sudah kalah di tangan pahlawan-pahlawan Iban di pihak Penghulu Bantin dan Kana. Jumlah mereka yang terbunuh adalah kira-kira 15 orang semuanya. Di kala inilah baru Penghulu Munan Dalam Dari Sibu mengetahui bahawa Penghulu Insol dan Penghulu Banta telah pergi terlebih dahulu daripada tarikh yang ditetapkan oleh Rajah Brooke.
Melihat kepada jumlah mereka yang terkorban itu, Penghulu Munan Dalam Dari Sibu mengetahui bahawa mereka yang hendak diperanginya merupakan bukan calang-calang panglima Iban. Berkat pengaruhnya maka beliau telah pergi ke Rajang dan seterusnya ke Kanowit memohon bantuan. Ternyata bantuan itu mendapat respons yang positif apabila Iban Rajang dan Iban Kanowit juga sanggup menghulurkan bantuan. Maka berkumpullah pahlawan Iban Rajang dan Kanowit seramai 900 orang dari segenap pelusuk rumah panjang di Rajang dan Kanowit menyertai tentera Penghulu Munan Dalam Dari Sibu.
Tiba pada hari yang sesuai, akhirnya Penghulu Munan berserta dengan lebih 1000 orang pahlawan Iban bersatu menuju ke Hulu Katibas dan seterusnya ke Hulu Engkari. Di Engkari ini sekali lagi mereka menjumpai mayat-mayat bergelimpangan iaitu kira-kira 20 orang pahlawan Iban turut terkorban. Ternyata pahlawan Iban dari Penghulu Insol dan Penghulu Banta tidak berpatah arang malah terus memburu pahlawan iban daripada Penghulu Bantin dan Kana sehingga ke Engkari. Sesuatu yang membuatkan Penghulu Munan Dalam Dari Sibu kagum dengan semangat berani pahlawan-pahlawan Iban dari Padeh dan Skrang ini.
Apabila menghampiri Engkari, Penghulu Munan telah mengarahkan kesemua tenteranya untuk berhimpun di satu kawasan hutan yang tidak jauh daripada sebuah rumah panjang yang dikenali sebagai Rumah Panjang Jimbun, Ulu Engkari, Julau. Ini kerana Penghulu Munan mengetahui bahawa di rumah panjang Jimbun inilah tempat untuk semua pahlawan Iban dari Ulu Ai dibawah Penghulu Bantin dan Kana sedang merayakan kemenangan mudah mereka. Di kala inilah Penghulu Munan telah mengadakan satu upacara Perang bagi memilih 3 pahlawannya untuk membuat pengintipan ke atas aktiviti Rumah Panjang Jimbun.
Di kala inilah dipilih seorang Ajah dari Binatang, Ajah dari Entaih dan Ajah dari Melangan untuk menjadi pengintip di Rumah Panjang Jimbun. Diceritakan Penghulu Munan telah mencabar ketiga-tiga Ajah ini jika tidak membawa kepala musuh pulang, mereka bukanlah pahlawan Iban lagi. Walaupun hakikatnya kata-kata cabaran Penghulu Munan ini hanya satu jenaka tetapi sebaliknya bagi ketiga-tiga Ajah ini kerana ianya adalah satu cabaran yang serius.
Maka bermulalah pengintipan yang dilakukan oleh Ajah dari Binatang, Ajah dari Entaih dan Ajah dari Melangan menghampiri kawasan musuh dengan lebih dekat. Di kala itu dikatakan Rumah Panjang Jimbun sedang merayakan Gawai Enchaboh Arong, iaitu satu perayaan untuk merayakan kemenangan mereka di dalam perang kerana sudah mengalahkan Penghulu Insol dari Padeh dan Penghulu Banta dari Skrang serta banyaklah kepala-kepala musuh sudah dibawa pulang. Kerana asyik dengan pesta Gawai, pahlawan Iban dibawah Penghulu Bantin dan Kana tidak menyedari bahawa ada musuh mereka sedang mendekati.
Ajah dari Binatang dikatakan telah berjaya menyelinap masuk ke Rumah Panjang Jimbun dan menyembunyikan dirinya dibawah rumah panjang tersebut yang mana pada ketika itu dikatakan dimana Kana dari Engkari sedang duduk beristirehat sambil minum tuak dengan rakan-rakannya. Di kala itulah beliau mendengar seorang daripada gadis iban memberitahu Kana akan mimpi buruknya malam tadi iaitu segerombolan orang yang tidak dikenali telah menyerang Rumah Panjang Jimbau.
Mendengar kata-kata gadis itu, Kana dari Engkari dengan mendabik dada dan bercakap sombong mengatakan bahawa tiada sesiapa boleh mengalahkan mereka dan tidak mungkin pahlawan-pahlawan Iban Padeh dan Iban Skrang mampu lagi menyerang mereka melainkan mereka ini turun dari langit. Kata-kata Kana ini disambut dengan hilai ketawa pahlawan-pahlawan Kana dari Engkari yang lain. Setelah memastikan bahawa pahlawan Iban di bawah Kana dan juga pahlawan Iban Ulu Ai sebenarnya sedang leka dan lalai tentang perang yang berikutnya maka beredarlah ketiga-tiga Ajah untuk kembali ke tempat persembunyian mereka.
Hasil daripada intipan itu telah disampaikan kepada Penghulu Munan Dalam Sibu dan jelaslah kepada Penghulu Munan bahawa mereka yang berada di dalam Rumah Panjang Jimbun sedang bersukaria dan sudah tentu di dalam keadaan mabuk yang amat sangat. Maka, Penghulu Munan telah mengarahkan agar semua pahlawan Ibannya untuk bersedia dan menunggu sehingga ke dinihari untuk mereka melakukan serang hendap.
Apabila menjelangnya dinihari, maka pahlawan Penghulu Munan berserta 900 orang Iban Rajang dan Iban Kanowit yang juga diketuai oleh Banyi Apai Ibi mengetuai Iban Julau telah menyerang berhabis-habisan ke atas Rumah Panjang Jimbun. Di katakan Ajah dari Binatang, Ajah dari Meliang, Ajah dari Entaih serta Banyi Apai Ibi terlebih dahulu memasuki Rumah Panjang Jimbun. Di kawasan ruai Rumah Panjang Jimbun itulah mereka telah bertingkah dengan pahlawan Iban Ulu Ai. Kata-kata cabaran daripada Penghulu Munan disemat di dalam sanubari mereka dan akhirnya banyaklah kepala musuh yang bercerai daripada badannya.
Walaupun sekitar 70 ke 100 orang pahlawan Iban dari Penghulu Munan yang memasuki ke Rumah Panjang Jimbun namun ada beratus-ratus lagi hanya menunggu di kawasan luar rumah panjang tersebut. Di kala inilah dikatakan bahawa Kana berserta Penghulu Bantin telah berjaya menyelamatkan diri tanpa dapat dilihat oleh pahlawan Iban dari Penghulu Munan. Dikatakan kedua-duanya mempunyai satu ilmu ghaib yang dinamakan “Batu Lichin”. Hasil daripada kepandaian supernatural inilah mereka berdua agak sukar untuk dijejaki dan dicederakan.
Setelah perang itu tamat dan kemenangan berpihak kepada Penghulu Munan Dalam Dari Sibu, kesemua komuniti Rumah Panjang Jimbun termasuk wanita dan kanak-kanak telah dibebaskan dan yang bagi yang lelaki tidak sempat melarikan diri telah ditangkap. Rumah Panjang Jimbun selepas itu telah dibakar sehingga menjadi arang. Terdapat kira-kira 53 orang pahlawan Iban dari pihak Kana dan Ulu Ai telah terkorban.
Inilah salah satu daripada perang Iban di dalam rentetan sejarah Sarawak suatu waktu dahulu. Sesungguhnya perang masyarakat tradisional Sarawak sememangnya antara perang yang penuh dengan supernatural dan magis. Supernatural dan magis inilah bagi masyarakat moden sekarang adalah mustahil sama sekali.
Rujukan:
1. Articles “Souce Of Iban Traditional History”, Part 1, 2 & 3 written by Benedict Sandin & Professior Clifford Sather published by Sarawak Museum Journal Volume XL VI
2. Early Iban Migration – PART 3 by Iban Cultural Heritage https://gnmawar.wordpress.com/jerita-lama/iban-migration-peturun-iban/early-iban-migration-part-3/
3. The Expedition To Borneo Of H.M.S Dido: For The Suppression Of Piracy EBook http://www.gutenberg.org/files/22903/22903-h/22903-h.htm
4. The Early Ulu Ai, Skrang and Lemanak Iban by Ibanologi https://ibanology.wordpress.com/2013/06/28/the-early-ulu-ai-skrang-and-lemanak-iban/