SIPUT SARAWAK
SIPUT SARAWAK
- Primadona Filem Melayu
Ramlah binti Mohamad, mungkin ramai yang tidak mengenali siapakah gerangan yang empunya nama tetapi jika disebut Siput Sarawak sudah tentu ramai yang teringat akan betapa berkesan setiap watak antagonis yang beliau bawakan sehingga mampu membuatkan kita membenci beliau pada dunia nyata. Jika memperkatakan tentang Siput Sarawak akan ada 2 lagi nama-nama besar iaitu Dollah Sarawak dan juga Anita Sarawak dan kedua-dua nama ini juga mempunyai kaitan secara langsung dengan beliau. Inilah Siput Sarawak seorang anak Sarawak sebenarnya yang merupakan seorang primadona perfileman dunia melayu sepanjang hidupnya.
Dilahirkan dengan nama Ramlah sebagai nama rasminya tetapi dikenali dengan nama Siput di kalangan keluarganya serta seantero Malaysia sepanjang hidupnya merupakan puteri sulung kepada seorang lagi pelakon lama yang tidak kurang hebatnya iaitu Mohammad bin Haji Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Dollah Sarawak. Menurut ceritanya Siput dilahirkan di dalam perahu di Sungai Sarawak pada tahun 1921. Pada ketika itu dikatakan kedua orang tuanya baru sahaja selesai membuat pementasan bangsawan di pedalaman Sarawak. Dan di dalam perjalanan pulang itulah, Siput dilahirkan.
Siput sebenarnya dilahirkan di dalam keluarga seni kerana ayahnya iaitu Dollah Sarawak merupakan seorang pelakon bangsawan, anak Melayu Pulau Pinang yang telah merentas Laut Cina Selatan suatu waktu dahulu untuk meneruskan kerjayanya sebagai pelakon bangsawan. Penghijrahan Dollah Sarawak ini adalah sekitar tahun 1920 kerana pada ketika inilah kegiatan bangsawan sedang rancak di bumi Sarawak Kingdom kerana adanya pengaruh daripada Rajah Charles Vyner Brooke yang gemarkan kesenian terus dipertingkatkan di bumi Sarawak Kingdom pada ketika itu.
Dollah Sarawak ketika di Sarawak telah diambil sebagai anak angkat kepada seorang Melayu Sarawak bernama Tuanku Syed Idrus dan beliaulah yang telah menukar nama Mohamad bin Haji Sulaiman kepada nama Dollah. Setelah hampir setahun berkelana mengikuti grup bangsawan Kuching mementaskan bangsawan dari kampong ke kampong di Sarawak akhirnya beliau bertemu jodoh dengan seorang gadis Sarawak bernama Dayang Aina.
Namun jodohnya dengn Dayang Aina tidak berpanjangan kerana setelah melahirkan puteri mereka yang kedua bernama Kuyung dikatakan Dayang Aina, ibu kepada Siput dan Kuyung sering tidak sihat dan akhirnya menghembuskan nyawanya di dalam waktu yang singkat. Akhirnya Siput dan Kuyung dibesarkan oleh ayahnya Dollah Sarawak tanpa kasih seorang ibu.
Kerana mereka hidup di kalangan keluarga bangsawan yang sering berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain memungkin Siput tidak pernah mendapat pendidikan dan beliau adalah seorang yang buta huruf. Tetapi itu semua tidak pernah menjadi satu alas an kerana Siput juga digambarkan sebagai seorang pelakon yang boleh mengingati setiap lirik dan skrip hanya dengan dibacakan oleh oranglain.
Di dalam dunia bangsawan Sarawak pada ketika itu, bakat Siput sebenarnya dicungkil oleh ayahnya sendiri iaitu Dollah Sarawak. Seringkali Siput diajak ayahnya untuk menjadi antara penyanyi, penari mahupun pelakon tambahan di dalam grup bangsawan yang dipimpinnya. Pada masa itu, usia Siput hanya sekitar 11 tahun. Dan setelah menjadi penari dan pelakon tambahan akhirnya kemuncak kepada kegemilangan bakat seni Siput sebagai pelakon bangsawan adalah ketika usianya menjangkau 15 tahun. Pada usia 15 tahun inilah, nama Siput Sarawak sering disebut-sebut oleh masyarakat Melayu Sarawak atas keberkesan wataknya di dalam setiap pentas bangsawan yang disertainya.
Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua 1945 dan ditengah-tengah kerancakan rakyat Sarawak Kingdom mengadakan gerakan anti-penyerahan, Dollah Sarawak iaitu ayah Siput telah mengambil keputusan nekah untuk berhijrah ke Singapura. Ini kerana di Singapura pada masa itu sedang rancak dengan industri perfileman dan penghijrahan bersama-sama dengan kedua-dua puterinya itu perlu memandangkan bakat Siput sebagai seorang pelakon tidak wajar dipersiakan.
Maka sekitar tahun 1946, berhijrah Dollah Sarawak bersama-sama dengan kedua puterinya iaitu Siput dan Kuyung ke Singapura dengan menggunakan kapal laut. Ini kerana hanya dengan pengangkutan air sahaja yang murah berbanding dengan pengangkutan udara pada ketika itu. Dan di awal penghijrahan keluarga Siput di Singapura itu, mereka juga tinggal di kalangan keluarga seni di Singapura. Tiada masalah untuk Siput dan keluarganya berkelana di Singapura kerana mereka mempunyai bakat anak seni. Pekerjaan pertama untuk Siput di Singapura adalah sebagai seorang penyanyi di sebuah kabaret ternama di Singapura.
Seperti di Sarawak, nama Siput juga terus meniti di bibir pengunjung kabaret di Singapura pada masa itu kerana kebolehannya menyanyi serta menari. Akhirnya kerjaya seninya telah beralih daripada hanya menyanyi di kabaret ke dunia lakonan filem. Sekitar tahun 1947, hanya setahun selepas penghijrahannya ke Singapura, beliau telah disunting oleh seorang pengarah filem tersohor iaitu B.S Rajhans untuk berlakon sebagai heroin di dalam filem berjudul Singapura Waktu Malam.
Di dalam filem Singapura Waktu Malam ini, Siput digandingkan dengan seorang pelakon tersohor dari Indonesia bernama Bachtiar Effendi. Dikatakan filem Waktu Malam tidak mendapat sambutan yang menggalakkan tetapi filem itu telah menjulang nama Siput Sarawak sebagai bintang filem baru yang gah namanya seantero Singapura dan Malaya pada masa itu.
Setelah beberapa filem dilakonkan oleh Siput Sarawak akhirnya beliau disunting untuk membintangi sebuah filem berjudul Chinta. Di kala inilah beliau digandingkan dengan seorang pelakon yang meningkat naik bernama Muhammad Toyib bin Salleh atau lebih terkenal dengan nama S. Roomai Noor. Dari hanya berlakon di dalam filem Chinta akhirnya cinta lokasi kedua-dua pelakon filem ini dilunaskan di dunia nyata apabila kedua-duanya melangsungkan perkahwinan selepas sahaja filem itu ditayangkan.
Hasil perkahwinan Siput Sarawak dan S. Roomai Noor inilah mereka dikurniakan dengan seorang anak perempuan yang dinamakan Ithnaini binte Mohd Taib yang dilahirkan pada 23 Mac 1952 di Singapura. Nama Ithnaini mungkin ramai tidak mengenali tetapi jika disebut nama Anita Sarawak sudah tentu ramai mengetahui betapa hebatnya penyanyi ini di dalam dunia seni suara tanahair mahupun di peringkat antarabangsa.
Selepas 7 tahun melayari alam perkahwinan dengan S. Roomai Noor akhirnya ikatan perkahwinan itu terlerai jua di tengah jalan. Seterusnya Siput Sarawak hanya menumpukan kerjayanya. Di sepanjang kerjayanya, beliau telah berlakon lebih kurang 50 filem terbitan Malay Film Production, Cathay-Keris serta Merdeka Studio. Antara filem-filem lakonan beliau adalah Naga Tasik Chini, Hujan Gerimis, Patung Chendana dan banyak lagi. Filem terakhir yang dibintangi oleh beliau adalah filem berjudul Layar Lara pada tahun 1997.
Siput Sarawak menghembuskan nafas terakhir di Singapura pada 3 Jun 1999, di ketika usianya 78 tahun. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Pusara Abadi, Kawasan Lim Chu Kang, Republik Singapura.
Inilah sekelumit ruang informasi di dalam kita cuba menjejaki satu lagi nama besar yang sebenarnya adalah anak Sarawak yang kemudiannya menjadi rakyat Singapura. Demi kecintaan kepada tanahair yang tercinta suatu waktu dahulu, legasi keluarganya terus menggunakan nama “Sarawak” di akhir nama mereka. Semoga roh Allahyarhamah Siput Sarawak dan ayahandanya Allahyarham Dollah Sarawak (meninggal pada tahun 1999) dicucuri Allah SWT.
Al-fatihah. Amin.