IKAN LUMEK SALAI
IKAN LUMEK SALAI
Lumi atau lelumik atau Lumek, itulah nama yang sering disebut-sebut tentang sejenis ikan laut dalam yang sememangnya antara jenis ikan yang paling popular dan disukai ramai di kalangan masyarakat Sarawak. Jika dilihat dari segi fizikal sememangnya ikan lumek mempunyai fizikal yang menakutkan. Dengan mulutnya yang mempunyai gigi-gigi yang halus serta rahang yang terbuka luas dan badannya yang lembik seringkali ramai yang pertama kali melihatnya akan tidak memilihnya sebagai satu santapan.
Namun begitu, ikan lumek ini mempunyai satu keistimewaan iaitu jika dimasak sup sekalipun, rasanya yang manis lebih-lebih lagi jika memperolehi ikan lumek segar. Sebenarnya ikan lumek ini bukanlah satu jenis ikan yang boleh diperolehi setiap masa kerana ianya juga bermusim. Dikatakan musim ianya banyak di laut dalam adalah antara bulan Mac hingga Mei sahaja saban tahun. Dan ianya bukan boleh didapati di perairan biasa sebaliknya di perairan laut dalam.
Ada pelbagai produk dari makanan laut hasil daripada Ikan Lumek ini selain daripada memakannya segar dengan dibuat sup ikan lumek. Ikan lumek salai atau di dalam bahasa Melayu Sarawak dikenali dengan panggilan Ikan Lumek Salei merupakan antara produk yang paling digemari oleh masyarakat Sarawak. Antara daerah di Sarawak yang paling gah namanya dengan industri Ikan Lumek Salei ini adalah Pulau Bruit. Dikatakan produk yang dihasilkan dari Pulau Bruit ini sememangnya “tiptop” dan harganya juga berpatutan.
Selain itu, industri Ikan Lumek juga sudah menjangkau waktu sekarang apabila di Pulau Bruit juga telah dihasilkan produk Ikan Lumek Merah iaitu yang sama seperti produk sotong kering merah. Harganya sedikit mahal daripada ikan lumek salei tetapi jika ingin merasainya tidak salah untuk membuat pelaburan sedikit.
Inilah sekelumit informasi tentang satu lagi antara menu yang menjadi salah satu menu “wajib rasa” ketika berkunjung ke Sarawak. Ikan Lumek Salei mahupun Ikan Lumek Merah sekarang adalah antara ole-ole popular jika berkunjung ke Sarawak. Jika ada sesiapa yang belum merasainya cubalah cari carian google kerana sudah ada penjualannya secara online sekarang.