top of page

KEDATANGAN MASYARAKAT INDIA KE SARAWAK


KEDATANGAN MASYARAKAT INDIA KE SARAWAK


Mengambil kata-kata ucapan daripada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan bin Haji Satem di dalam satu majlis di Kuching,


“ Jika kaum Cina dan India dari generasi pertama tiba ke Sarawak, bolehlah mereka dikenali sebagai imigran Cina dan India, tetapi jika mereka sudah dilahirkan serta dibesarkan di Sarawak maka mereka bukan lagi imigran sebaliknya mereka adalah anak Sarawak. Sarawak ini cukup besar untuk sesiapa sahaja mendiaminya ..”


Sarawak Bumi Kenyalang sesungguhnya sebuah negeri yang mempunyai kepelbagaian kaum yang unik. Terdiri daripada lebih daripada 20 suku kaum etnik pribumi dan selain itu juga terdiri daripada kaum-kaum lain seperti kaum India yang juga antara etnik kaum minoriti di Sarawak. Jika di Semenanjung Malaysia kaum India mempunyai peratusan kaum yang tinggi sehingga amat senang untuk mengenali mereka namun di Sarawak, kaum India adalah amat sedikit.


Namun begitu, biarpun kaum India adalah minoriti di Sarawak, namun mereka juga adalah antara penyumbang kepada ekonomi dan kesepaduan kaum di Sarawak yang sehingga ke hari ini masih teguh diamalkan oleh rakyat Sarawak. Seperti kaum-kaum lain, kaum India di Sarawak juga mempunyai sejarah kedatangan mereka sendiri ke bumi Sarawak suatu waktu dahulu.


Jika melihat kepada konteks sejarah purba Sarawak, kedatangan agama Hindu di dalam sejarah kerajaan purba Sarawak telah lama berlaku. Ini mungkin dipengaruhi oleh sejarah Sarawak purba pada asalnya juga dipengaruhi oleh Kerajaan Majapahit dan Kerajaan Srivijaya yang sememangnya sebuah Kerajaan purba yang mempunyai pengaruh yang kuat di dalam Hinduism. Ini dapat dibuktikan melalui penemuan-penemuan arkeologi sejarah seperti rumusan yang telah dilaporkan oleh pengkaji sejarah Chang 1970 iaitu:


“Gold ornaments found in an archeological site at Santubong were associated with Hindu ornaments dated from about the 12th century. Besides a statue of the elephant –headed god, the Ganesa, was found in Limbang in 1921 and the second piece was discovered at Bukit Berhala in Samarahan in 1848. The third piece was found in Limbang at the site of its Residency in 1921. At the same site, a Batu Lesong which was a Symbolic Phallus of veneration of the Hindu Pallava in South India was also discovered at Bukit Berhala. Remains of a stone bull were found near Sempro, below the Bidayuh village of Kampung Benuk/ Segu, 21st Mile Penrissen Road, Kuching in the early 1840s which represented the guardian outside a temple of Siva. In the old days, the pagan Bidayuh disposed the dead by fire. Hence some Bidayuh elders believed that these were the traces of Hindu influence…. “ – Chang, 1970-


Penemuan artifak sejarah pengaruh Hinduism di tempat-tempat yang disebut seperti Santubong, Samarahan, Limbang dan lain-lain tempat di seluruh Sarawak membuktikan bahawa pengaruh Hinduism telahpun ada di Sarawak di dalam menentukan kepercayaan di dalam etnik-etnik pribumi Sarawak sudahpun berlaku berabad lamanya. Dan ini hanya melambangkan pengaruh agama Hindu tetapi bukanlah masyarakat India yang rata-rata menjadi penganut agamanya.


Dari konteks sejarah Sarawak moden, kedatangan masyarakat India ke Sarawak bermula pada ketika pemerintahan Rajah ke-2 Negara Sarawak iaitu Rajah Charles Brooke. Pada mulanya masyarakat India daripada Selatan India telah dibawa masuk ke Sarawak sebagai buruh. Pada masa itu lebih kurang 1,000 orang masyarakat India daripada negeri-negeri di Selatan India seperti Tamil daripada Madras, Malyalees daripada Kerala dan Telegus daripada Andhra Pradesh telah dibawa masuk ke Sarawak bagi menjadi buruh di kawasan penanaman teh dan kopi di kaki Gunung Serapi, Matang, Kuching Sarawak.


Ada juga yang telah ditempatkan untuk menjadi buruh-buruh di ladang ternakan lembu Kerajaan Sarawak Kingdom pada masa itu. Kedatangan pertama masyarakat India ini merupakan masyarakat India yang bukan muslim iaitu beragama Hindu. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa terdapat sebuah ladang kopi dan teh bersaiz besar di lokasi tersebut sehingga sewaktu dahulu Rajah ke-2 Sarawak iaitu Rajah Charles Brooke telah membina sebuah banglo untuk beliau dan keluarganya berehat yang dinamakan “Vellambrosa” pada tahun 1867.


Disamping itu lokasi Matang ini juga merupakan penempatan pertama masyarakat India berskala besar di Sarawak pada masa itu. Dan kerana adanya masyarakat India di lokasi Matang pada masa itu jadi tidak menghairankan masyarakat India Telegu yang rata-ratanya menjadi buruh di ladang teh dan kopi tersebut telah membina sebuah kuil Sri Maha Mariamman di lokasi Matang pada tahun 1860. Kesan keberadaan kuil ini telah ditemui semula oleh pengkaji sejarah pada tahun 1967. Sekarang masyarakat India Telegu telah tinggal bertaburan di Sarawak seperti di Kuching dan Samarahan.


Sekitar tahun 1910, Rajah ke-2 Charles Brooke telah membawa masuk masyarakat India Punjabi Sikh ke Sarawak. Kedatangan mereka adalah bagi memenuhi tuntutan keselamatan di Sarawak Kingdom. Ini kerana pada masa itu, India Punjabi Sikh sememangnya antara anggota keselamatan upahan terbaik pada suatu waktu dahulu. Kebanyakan daripada mereka telah dibawa masuk bagi menjadi anggota polis bagi Sarawak Kingdom dan akhirnya setelah Sarawak menjadi salah satu tanah jajahan Koloni British, anggota polis upahan Punjabi Sikhs ini juga turut meneruskan kontrak kerja mereka dengan Kerajaan Koloni British di Sarawak.

.

Pada tahun 1911, Sarawak telah menerima kedatangan daripada masyarakat India Muslim secara beramai-ramai. Pada ketika itu Rajah Charles Brooke sedang galak menjadikan Sarawak sebagai sebuah hab untuk perniagaan di rantau Borneo. Pada ketika inilah Sarawak menerima peniaga-peniaga India beragama Islam yang membuka kedai-kedai tekstil dan juga rempah ratus. Kawasan yang menjadi tumpuan adalah Kuching iaitu dikenali sebagai Keling Street dan Rajah Charles Vyner Brooke telah menukarnya menjadi Gambier Street dan Lebuh India, Kuching. Jadi tidaklah menghairan sebuah masjid yang dinamakan Masjid India atau Masjid Tambi dibina di kawasan tersebut.


Di kawasan inilah sehingga ke hari ini merupakan salah satu ikon untuk Bandar Kuching di dalam memperkatakan kawasan untuk membeli belah untuk barangan berbentuk agama Islam serta rempah ratus yang terlalu dekat dengan masyarakat Islam di Kuching khususnya dari awal penubuhannya sehingga sekarang.


Menurut laporan census 2008, terdapat lebih kurang 7,851 orang masyarakat India di Sarawak. Masyarakat India Sarawak sekarang telahpun mempunyai sosio budaya mereka sendiri dan mereka juga bersama-sama di dalam membentuk Sarawak sebagai sebuah negeri yang aman damai dan bertoleransi kaum yang amat tinggi. Profession mereka juga telah bertukar daripada mulanya hanya sebagai buruh atau anggota polis upahan namun sekarang sudah pun memegang profession yang tinggi seperti Peguam, Akauntan, Doktor dan banyak lagi.




bottom of page