PERANG PATUSAN 1844
PERANG PATUSAN 1844
Suatu masa dahulu ketika bermulanya era Brooke berjaya menjadikan Sarawak sebagai empayarnya di Borneo, umum mengetahui bagaimana beliau telah bersama-sama dengan Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim serta didokongi kuat oleh Datu Patinggi Ali dan etnik pribumi Sarawak yang lain menentang pemerintahan Pengiran Indera Mahkota daripada berkuasa di Sarawak. Dan ianya berlaku pada tahun 1840 di Seniawan, Kuching.
Namun begitu, walaupun berjaya sepenuhnya menidakkan penguasaan Pengiran Indera Mahkota sehingga Pengiran Indera Mahkota berkelana ke kawasan pendalaman Sarawak pada waktu itu seperti ke Mukah yang mana beliau telah mula menulis Syair Rakis pada waktu itu. Di kala sudah tidak lagi menjadi Gabenor Sarawak dan disisihkan maka Pengiran Indera Mahkota telah mula akrab dengan Sharif Sahap.
Apabila ini terjadi, menyebabkan Rajah James Brooke tidak senang duduk lebih-lebih lagi Sharif Sahap merupakan antara keluarga yang berpengaruh di Sarawak pada ketika itu iaitu dari Mukah sehinggalah ke Sadong. Mereka bukan sahaja mempunyai sokongan daripada Melayu malah juga pahlawan-pahlawan Iban Saribas, Skrang serta Undup yang terkenal dengan kegagahan mereka. Sekitar tahun 1842, dikatakan Sharif Sahap bersama-sama adiknya Sharif Mular telah cuba mengapi-ngapikan pembesar Melayu di Kuching, Sarawak untuk sama-sama menghalau Brooke di bumi Sarawak pada ketika itu.
Di samping itu dikatakan bahawa Sharif Sahap berserta dengan Iban Saribas, Skrang dan Undup sudah bersedia dengan bala tentera mereka untuk menyerang Kuching pada ketika itu. Akhirnya ianya dapat dihidu oleh Brooke lalu mengarahkan agar keseluruhan kawasan perkampungan di tebingan Sungai Sarawak diletakkan pagar. Beliau juga sudah bersedia dengan segala peralatan dan kapal perangnya di Sungai Sarawak pada ketika itu.
Mendengar kepada persediaan daripada Brooke itu akhirnya Sharif Sahap membatalkan niatnya untuk menyerang Kuching. Namun hal ini tetap menjadi dendam kesumat kepada Brooke dan lebih-lebih lagi beliau mengetahui bahawa Pengiran Indera Mahkota masih lagi di bumi Sarawak dan beliau amat takut untuk bekas Gabenor Sarawak terus memimpin rakyat Sarawak untuk menentangnya. Bertindak daripada itu beliau telah mengumpul segala kekuatannya dengan didokongi oleh Datu Patinggi Ali berserta etnik pribumi yang lain memerangi Sharif Sahap dan seluruh etnik pribumi yang bersekongkol dengan beliau.
Sekitar 1hb Ogos 1844, Brooke bersama-sama dengan Kapten Henry Keppel dengan seluruh tentera Kerajaan Sarawak Kingdom bersama-sama dengan Datu Patinggi Ali dan etnik pribumi Sarawak yang lain memulakan pelayaran mereka menuju ke kubu kuat Sharif Mular dan Sharif Sahap di Pemutus. Di kala ini Brooke menggunakan 2 buah kapal perangnya iaitu H.M.S Dido dan H.M.S Phlegethon memerangi musuhnya.
Kedatangan bala tentera Brooke menuju ke Pemutus telah diketahui oleh Sharif Mular dan tenteranya yang turut didokongi oleh Sharif Jaafar dari Lingga serta orang Iban Saribas, Skrang dan Undup. Mereka telah membuat persediaan yang mungkin. Untuk sampai ke Pemutus, bala tentera Brooke harus melalui Lingga dahulu jadi Sharif Jaafar dari Lingga telah membuat persediaan yang mungkin. Di kala inilah pahlawan Iban yang terkenal dengan taktik serangan sungai mereka telah menggunakan kepakaran mereka untuk melambatkan perjalanan tentera Brooke. Dengan belahan buluh-buluh runcing mereka letakkan di sungai Lingga.
Apabila kapal Brooke menghampiri iaitu HMS Phlegethon menghampiri di lewat malam hampir-hampir mereka karam kerana tidak menyedari taktik peperangan iban tradisional ini. Walau bagaimanapun mereka berjaya mengharunginya juga dan akhirnya sampai di Pemutus pada tanggal 7 Ogos 1844. Tanpa berlengah maka terjadilah peperangan di Pemutus. Brooke terpaksa berhempas pulas di sini kerana pahlawan-pahlawan Iban Skrang, Saribas dan Undup bersatu dengan Sharif Sahap. Walau dengan pelbagai alatan perang yang canggih, ianya merupakan peperangan yang berlaku selama beberapa hari.
Pada tanggal 12 Ogos 1844, akhirnya Brooke berjaya menawan kubu pertahanan Sharif Sahap dan juga akibat dendam kesumatnya, beliau juga mengarahkan agar kampong-kampung di sekitar yang mendokongi Sharif Mular dan Sharif Sahap juga dibakar. Sharif Mular dan Sharif Sahap berserta dengan pahlawan iban Skrang, Saribas dan Undup berserta dengan Pengiran Indera Mahkota yang menjadi penasihat strategi mereka turut berundur.
Tidak terhenti disitu sahaja, Brooke terus mengejar kesemua mereka ini. Pada tanggal 22 Ogos 1844, Brooke menambah lagi kekuatan armada tenteranya dengan H.M.S Semarang menyertai H.M.S Dido dan juga H.M.S Phlegethon. Bagi Brooke bantuan ini perlu kerana yang hendak ditentang bukanlah kawasan mereka yang sembarangan iaitu di sekitar Sungai Batang Lupar yang mana tempat dimana pahlawan-pahlawan Iban Skrang, Saribas dan Undup berserta Balau berada.
Ketika berada di satu kawasan bernama Grahu, Patusan inilah mereka bertembung berhabis-habisan dengan kesemua tentera dibawah Sharif Sahap serta Pengiran Indera Mahkota. Peperangan di Patusan ini juga mencapai tempoh yang berhari-hari kerana pahlawan Iban tiada yang mahu mengalah. Walaupun mereka tidak menggunakan segala peralatan secanggih Brooke namun bukan senang untuk mengalahkan mereka. Akhirnya akibat telah ada tanda-tanda kekalahan, mereka mengundurkan diri. Ketika di Patusan inilah, dikatakan perahu perang bangkong, iaitu perahu perang Iban telah dapat menghampiri kapal Brooke sehingga terbunuhnya Lieutenant Wade, Mr Steward Wade berserta Datu Patinggi Ali ditangan pahlawan Iban di pihak Sharif Sahap dan Sharif Mullar.
Kerana berang dengan terkorbannya orang-orang kuatnya, Brooke telah bertindak “membumi-hanguskan” kawasan penempatan Iban Undup di kawasan tersebut. Ini kerana kesemua pahlawan-pahlawan Iban yang bersekongkol dengan Sharif Sahap dan Sharif Mular dapat mengundur diri tanpa cedera yang teruk. Pengiran Indera Mahkota pula dikatakan bersembunyi di Lingga di kawasan Sharif Jaafar telah berjaya ditangkap dan disinilah dengan kuasa yang ada Brooke telah menghukum beliau sehingga di penjarakan. Akibat ada pengaruh Kerajaan Kesultanan Brunei pada masa itu, akhirnya pada tahun 1845, Pengiran Indera Mahkota dibebaskan dan dihalau pulang ke Kerajaan Kesultanan Brunei.
Manakala setelah tewas di Patusan, Sharif Sahap dan Sharif Mular telah berjaya melarikan diri sehingga ke ke Kapuas. Brooke mengejar mereka sehingga ke kawasan Kapuas sehingga memaksa mereka berundur ke Pontianak dan akhirnya meninggal dunia di sana. Sekitar tahun 1845, Sharif Jaafar juga turut dihukum kerana bersekongkol dengan mereka sehingga menyebabkan beliau dilucutkan jawatannya sebagai pentadbir di Lingga. Sharif Jaafar dibuang negeri ke Sadong. Manakala seluruh iban Skrang, Saribas dan juga Undup pada masa itu dilabelkan oleh kerajaan Brooke sebagai lanun yang harus diperangi.
Inilah satu lagi sejarah perang di Sarawak iaitu Perang Patusan 1844 yang menyebabkan terkorbannya satu nama besar di dalam rentetan sejarah Sarawak iaitu Datu Patinggi Ali. Datu Patinggi Ali di pihak Brooke kerana tidak mahu ada lagi saki baki pemerintahan Brunei di Sarawak pada masa itu iaitu Pengiran Indera Mahkota. Manakala untuk Iban Skrang, Saribas dan Undup yang sebenarnya mempertahankan tanahair mereka dilabelkan sebagai “Lanun” oleh Brooke. Hanya kerana mereka tidak mahu menerima pemerintahannya di Sarawak.
Rujukan:
1. Buku Berjudul - A History of Sarawak Under Its Two White Rajahs, 1839-1908
oleh Sabine Baring-Gould
2. Buku Berjudul - A Sarawak Anthology, diterbitkan oleh University of London Press, by Malaysia Printers Ltd., Singapore, 1965
3. Buku Berjudul - Fair Land Sarawak: Some Recollections of an Expatriate Official oleh Alastair Morrison;
4. Jurnal: The Life of James Brooke, The White Rajah
http://www.forgottenbooks.com/readbook_text/The_Life_of_Sir_James_Brooke_Rajah_of_Sarawak_from_His_Personal_Papers_1000578146/113
5. Iban : Dalam Kronolgi Sarawak
https://ibanology.wordpress.com/2013/06/02/iban-dalam-kronolgi-sarawak/