ETNIK LAKIPUT, SARAWAK, BORNEO
ETNIK LAKIPUT, SARAWAK, BORNEO
Etnik Lakiput juga dikenali sebagai Kiput atau lebih mesra dirujuk sebagai “Lepo Pu’un” yang bermaksud “suku awal” atau “bangsa asal” di dalam bahasa Melayu. Masyarakat Lakiput ini adalah etnik minoriti dan mereka juga tergolong sebagai antara pembentuk Kaum Orang Ulu Sarawak. .
Mengikut sumber populasi tahun 2000, masyarakat etnik Lakiput dikatakan berjumlah sekitar 2000 orang dan majoriti masyarakat ini boleh didapati di sepanjang persisiran Sungai Baram, Kuala Tutoh dan Lubok Nibong di Miri, Sarawak. Menurut sumber juga menyatakan bahawa masyarakat etnik Lakiput juga berkongsi hampir kosa kata bahasa pertuturan yang sama seperti bahasa Lelak, Tutong, Belait, Narom dan Berawan. Secara asasnya bahasa Kiput adalah daripada rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, North Borneo, North Sarawakan, Berawan-Lower Baram, Lower Baram, Central, A.
Jika dilihat adanya perkaitan bahasa Belait di dalam etnik Lakiput maka tidak menghairankan menurut sumber sejarah, etnik Lakiput juga dikatakan mempunyai kaitan yang rapat dari segi sosio dan budaya dengan masyarakat Brunei yang tinggal di Belait dan Kiudang yang dahulunya menetap di Sarawak tetapi sudahpun berhijrah menjadi rakyat Negara Brunei Darussalam sekarang.
Mengikut sejarah asal-usul etnik Lakiput adalah berasal dari bahagian tengah Kepulauan Borneo. Mereka dikatakan antara peneroka terawal yang berhijrah dan menetap di sepanjang persisiran Sungai Baram. Mengikut sejarah lisan dari masyarakat orang tua-tua di dalam etnik Lakiput, suatu masa dahulu mereka yang terawal berhijrah ke Sarawak merupakan mempunyai kaitan dengan Kesultanan Brunei.
Seperti masyarakat Orang Ulu yang lain, etnik Lakiput juga tinggal di rumah-rumah panjang yang berada di sepanjang persisiran Sungai Baram iaitu sungai kedua terbesar di Sarawak selepas Sungai Rajang. Pada asalnya masyarakat etnik Lakiput mengamalkan agama pagan atau animisme tetapi setelah kedatangan agama sekitar tahun 1920an ramai mereka telah pun memeluk agama Kristian mahupun agama Islam.
Bagi etnik Lakiput yang beragama Kristian, mereka masih lagi tinggal di rumah panjang mereka dan bagi yang sudah memeluk Islam lebih gemar untuk memilih tinggal di perkampungan tradisional Melayu. Majoriti etnik Lakiput beragama Islam ramai menetap di Kampung Benawa.
Pekerjaan utama bagi masyarakat etnik Lakiput tidak jauh bezanya dengan masyarakat etnik yang lain di Sarawak iaitu mereka menanam padi, menangkap ikan di sungai dan kemudiannya menjual hasil tangkapan mereka ke Bandar Marudi. Ramai juga generasi muda masyarakat etnik Lakiput yang telah berpendidikan tinggi dan mampu berkerja sebagai penjawat awam kerajaan serta di syarikat-syarikat carigali minyak di Miri dan Bintulu malah ada yang sudah mencari rezeki sehingga ke Negara Brunei Darussalam.
Semasa di zaman pemerintahan Rajah Brooke yang pertama iaitu Rajah James Brooke, pemimpin-pemimpin dari etnik Lakiput dikatakan merupakan antara mereka yang menjadi sumber rujukan untuk hal-hal yang berkaitan dengan Orang Ulu Sarawak. Seringkali pemimpin etnik Lakiput ini dijadikan sumber pentadbir kerajaan terutama sekali di Daerah Marudi kerana ilmu pengetahuan mereka yang luas di dalam hal-hal di Baram memandangkan mereka merupakan “suku asal” yang telah lama bermastautin di kawasan Baram.
Antara pemimpin-pemimpin dari masyarakat etnik Lakiput yang telah gah namanya adalah seperti Jok Pengiran, Tinggang Jok, Manak Dapat, Penghulu Lejau dan Orang Kaya Temenggung Lawai Melayong.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.