top of page

LEGENDA BELAWAN BUREING


LEGENDA BELAWAN BUREING


Legenda Belawan Burieng adalah salah satu daripada cerita legenda yang menjadi cerita oral dari satu generasi ke generasi yang lain di kalangan entik Kayan, Sarawak. Ianya menceritakan tentang kehebatan seorang ikon pahlawan di kalangan Kaum Orang Ulu Sarawak yang bernama Belawan Bureing.


Al-sahibul hikayat diceritakan beratus-ratus tahun dahulu terdapat seorang pahlawan daripada masyarakat Kayan yang bernama Belawan Burieng. Diceritakan lagi bahawa pahlawan Belawan Burieng ini adalah seorang manusia jadian iaitu ianya adalah separuh manusia dan separuh dewa. Menurut asal keturunannya dikatakan bahawa pahlawan Belawan Burieng ini adalah anak kepada Belarik Ubong iaitu Dewa Guruh dan Langit yang berkuasa keatas kejadian guruh dan langit di cakerawala ini. Dikatakan juga bahawa kepahlawanan Belawan Burieng ini telah menyebabkan beliau masyhur sehingga beliau mampu mempunyai 11 orang isteri.


Diriwayatkan pada suatu masa dahulu telah terjadi pertempuran diantara Belawan Bureing dengan seorang pahlawan muda bernama Lidem Avang Kayo yang berasal daripada Rumah Panjang Ida Avang, salah satu rumah panjang masyarakat Kayan terletak di cabang Sungai Keliman. Seperti pahlawan muda yang lain sudah tentu kepahlawanan dan kekuatan Belawan Bureing serta kemampuannya mempunyai 11 orang isteri dicemburui oleh pahlawan muda seperti Lidem Avang Kayo.


Oleh itu Lidem Avang Kayo ingin memastikan bahawa kemasyhuran Belawan Bureing ini wajar dihentikan atau mereka yang masih muda tidak akan dipandang lagi oleh mereka yang lain. Maka dari situ timbullah niat beliau dan mula mengatur strategi untuk menculik 11 isteri Belawan Bureing. Sudah menjadi adat tradisi suatu waktu dahulu setiap pahlawan yang berjasa akan dinikahkan dengan gadis-gadis daripada kampung yang berlainan maka kerana itulah 11 isteri Belawan Bureing dikatakan tidak tinggal bersama Belawan Bureing sepenuhnya sebaliknya mereka masih lagi tinggal di rumah-rumah panjang dimana mereka berasal.


Maka pada suatu hari Lidem Avang Kayo dan juga sekutu-sekutunya telah mengatur langkah dengan menjemput kesemua isteri-isteri Belawan Bureing daripada 11 kampung yang berbeza untuk berkelah sambil bersukaria di suatu kawasan perkelahan. Motif sebenar Lidem Avang Kayo membuat idea seperti itu adalah untuk menarik perhatian Belawan Bureing agar beradu kekuatan dengannya bagi menunjukkan siapa yang lebih kuat sebenarnya.


Sebelum bertandang menjemput isteri-isteri Belawan Bureing ini. Lidem Avang Kayo telah terlebih dahulu mempersiapkan dirinya dengan mengenakan “Perisai Sakti” yang diperbuat daripada logam sakti dan dikatakan tidak lut senjata. Setelah siap segalanya barulah Lidem Avang Kayo dan rombongannya menjemput isteri Belawan Bureing untuk pergi berkelah dan tibalah giliran untuk isteri ke-11 Belawan Bureing dijemput.


Kebetulan pada masa itu Belawan Bureing ada di rumah panjang isteri ke-11nya. Sebenarnya berdasarkan kepada kesaktian yang ada pada pahlawan Belawan Bureing, beliau sudahpun mengetahui niat jahat Lidem Avang Kayo dari awal lagi. Beliau sendiri menerima rombongan tetamu Lidem Avang Kayo dengan senang hati dan melayan mereka seperti tetamu yang lain malah menjemput mereka untuk makan tengahari bersama. Selepas makan tengahari, pahlawan muda Lidem Avang Kayo dan rombongannya diajak oleh Belawan Burieng untuk bergusti “payu” iaitu salah satu sukan gusti tempatan masyarakat Kayan.


Diceritakan sedang asyik mereka bersukaria menikmati keseronokan gusti ini tiba-tiba rombongan Lidem Avang Kayo ini telah diserang oleh isteri Belawan Bureing yang telah siap siaga dengan pisau yang disembunyikan di dalam “tapey kanen” iaitu nasi yang dibalut dengan daun untuk makan tengahari mereka. Ketika itulah, Lidem Avang Kayo telah tinggal keseorangan kerana kesemua rombongannya telah mati dibunuh.


Lidem Avang Kayo yang terasa tercabar terus melompat dan sekarang harus berhadapan seorang diri dengan pahlawan Belawan Bureing namun untuk berundur bukanlah lagak bagi seorang pahlawan muda seperti beliau. Belawan Bureing yang mengetahui bahawa Liden Avang Kayo tidak boleh dibunuh dengan sewenang-wenangnya kerana mempunyai perisai sakti telah membuat hubungan batin dengan ayahandanya Belarik Ubong untuk memohon bantuan.


Dengan tidak semena-mena, maka datanglah bantuan dari langit dengan beribu-ribu logam gugur dari langit untuk menyakitkan Lidem Avang Kayo tetapi inipun tidak menjadi kenyataan kerana ternyata perisai sakti Lidem Avang Kayo masih berkuasa lagi. Kemudian sekali lagi Belarik Ubong telah menghantar Kabong iaitu sepersalinan pakaian perang untuk Belawan Bureing gunakan.


Diketika itu Belawan Bureing sudah tidak melengahkan masa dan terus bertempur dengan Lidem Avang Kayo sehinggalah beliau tumpas di dalam pertempuran itu. Selepas itu dengan bantuan Belarik Ubong juga, beliau telah menghantar api dari langit dan perisai sakti milik Lidem Avang Kayo juga cair apabila dibakar dengannya.


Berita bahawa Lidem Avang Kayo dan rombongannya yang telah tewas ditangan Belawan Bureing telah sampai kepada Bua Benyi, iaitu bekas isteri kepada Belawan Bureing. Beliau sendiri telah menawarkan diri untuk membangkitkan semula mayat Lidem Avang Kayo dan rombongannya yang telah mati tersebut menjadi manusia semula.


Dikatakan bahawa Bua Benyi ini mempunyai kuasa untuk berbuat demikian kerana sebelum beliau diceraikan oleh Belawan Bureing beliau telah dapat mengambil beberapa peralatan untuk membangkitkan orang mati hidup semula iaitu beliau mempunyai beduk ajaib, tuak ajaib dan bekas ajaib. Sebenarnya Belawan Bureing sendiri tidak sukakan pertumpahan darah diantara masyarakat Kayan sendiri pada waktu itu dan tujuannya beradu tenaga dengan Lidem Avang Kayo adalah untuk memberikan pengajaran kepadanya.


Ketibaan Bua Benyi untuk menghidupkan semula mereka ini sebenarnya amat disokong oleh Belawan Bureing sendiri. Dengan adanya ketiga-tiga barangan sakti tersebut kepada dia semula akhirnya Belawan Burieng pun menghunuskan senjatanya ke langit dan memohon pertolongan ayahandanya untuk menghidupkan kembali Lidem Avang Kayo dan rombongannya. Dengan tidak semena-mena langit yang cerah menjadi kelam dan akhirnya mengeluarkan guruh yang amat membingitkan telinga dan pancaran kilat menyambar kesemua mayat-mayat tersebut dan buat seketika kesemua Lidem Avang Kayo dan rombongannya telah hidup semula dengan izin Dewata.


Setelah dihidupkan semua, Lidem Avang Kayo dan rombongannya telah sedar akan niat jahat mereka itu boleh memusnahkan mereka dan akhirnya dengan dasar kesatuan sesama masyarakat Kayan mereka berdamai. Bagi memeriahkan perdamaian mereka ini satu majlis doa telah diadakan diantara Lidem Avang Kayo, Belawan Burieng dan kesemua masyarakat Kayan pada masa itu dan sejak dari itu dikatakan tiada lagi sengketa sesama masyarakat Kayan sehingga ke hari ini.



bottom of page