SULTAN ABDUL MOMIN IBNU PENGIRAN SHAHBANDAR PENGIRAN ANAK ABDUL WAHAB
SULTAN ABDUL MOMIN IBNU PENGIRAN SHAHBANDAR PENGIRAN ANAK ABDUL WAHAB
Betapa sedikitnya pengetahuan anak Sarawak di dalam mengenal seorang lagi figura yang sering dicatatkan di dalam mana-mana dokumen sejarah Sarawak suatu waktu dahulu iaitu ketika Sarawak masih lagi menjadi tanah kuripan kepada pembesar Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam. Dan nama Sultan Abdul Momin sudah tentu kita kenali kerana sejak dahulu lagi sewaktu pemerintahan bagindalah satu demi satu tanah jajahan Brunei menjadi halmilik kepada Dinasti Brooke yang memperluaskan empayar Sarawak Kingdom.
Sultan Abdul Momin ibnu Pengiran Shahbandar Pengiran Anak Abdul Wahab merupakan pemerintah kepada Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam yang ke-24. Baginda memerintah selama 33 tahun dari tahun 1852 sehingga tahun 1885. Merupakan putera kepada Pengiran Shahbandar Pengiran Anak Abdul Wahab ibnu Sultan Omar Ali Saifuddin dan bondanya bernama Pengiran Babu Lawiah. Permaisuri baginda bernama Pengiran Anak Zubaidah ibni Sultan Omar Saifuddin II dan hasil perkahwinan baginda dikatakan tidak mempunyai zuriat.
Walau bagaimanapun ada juga cerita lisan daripada masyarakat di Brunei bahawa Sultan Abdul Momin juga pernah mempunyai seorang lagi isteri yang bernama Pengiran Dayang Fatimah @ Pengiran Anak Fatima Ibni Sultan Muhammad Kanzul Alam. Hasil perkahwinan mereka dikatakan mempunyai seorang putera yang bernama Pengiran Shahabuddin ibnu Sultan Abdul Momin. Dan nama puteranya ini tidak begitu dikenali kerana dikatakan sudah membawa diri sehingga ke North Borneo iaitu sewaktu North Borneo juga menjadi tanah kuripan kepada Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam suatu waktu dahulu.
Menurut sejarahnya, selepas mangkatnya Sultan Omar Ali Saifuddin II pada 18hb November 1852, Keris Si Naga iaitu satu keris yang menjadi lambang kepada kedudukan pemerintah seterusnya di dalam hirarki pemilihan Sultan di Negara Brunei seharusnya diserahkan kepada Pengiran Anak Muhammad Tajuddin ibnu Sultan Muhammad Jamalul Alam kerana baginda merupakan individu yang paling layak sebagai pengganti al-marhum Sultan pada masa itu.
Sebaliknya berlaku pencanggahan sehingga membenarkan Keris Si Naga itu diberikan kepada Pengiran Anak Abdul Momin ibnu Pengiran Shahbandar Pengiran Anak Abdul Wahab ibnu Sultan Omar Saifuddin I, yang merupakan legasi pemerintah Negara Brunei yang sah mengikut undang-undang. Hal ini dikatakan telah mengakibatkan Pengiran Anak Muhammad Tajuddin merasa kecewa dan malu sehingga membawa kepada tragedi hitam yang mana Pengiran Anak Muhammad Tajuddin membunuh diri.
Dan bagi meredakan suasana di dalam kancah istana Kesultanan Brunei pada masa itu, Sultan Abdul Momin yang baru ditabalkan menjadi pemerintah Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam yang ke-24 telah mengambil satu langkah yang bijaksana iaitu dengan segera beliau bertitah bahawa pewaris takhta kepada Brunei seterusnya tidak akan dipilih di kalangan anak-anaknya sendiri nanti. Titah baginda ini sememangnya telah meredakan semua pihak kerana selepas kemangkatan baginda yang ditabalkan adalah Sultan Hashim Jalilul Alam Aqmadin.
Di dalam konteks sejarah Brunei, Sultan Abdul Momin terkenal sebagai seorang pemerintah Brunei yang mempunyai sikap musyawarah yang terbaik kerana baginda mengikut sejarahnya seringkali bertindak ditengah-tengah di dalam memastikan tiadanya kancah perang saudara atas perebutan kuasa di istana di Brunei suatu waktu dahulu. Ini terbukti apabila bagindalah yang memainkan peranan agar permusuhan lama antara generasi Sultan Omar Ali Saifuddin II dan Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim diredakan dengan perkahwinan antara generasi mereka.
Selain daripada itu, Sultan Abdul Momin juga antara pemerintah Brunei yang memainkan peranan utama di dalam memperkatakan perkembangan Islam secara lebih teratur di Negara Brunei. Bukan itu sahaja baginda juga turut serta di dalam perincian ajaran Islam di Brunei. Dan tindakan baginda yang saban tahun menghantar rakyatnya ke Tanah Suci Mekah menunaikan haji menjadi salah satu ikutan sehingga sekarang.
Di ketika era pemerintahan Sultan Abdul Momin inilah juga James Brooke seorang pengembara bangsa Inggeris telah dinaikkan menjadi Gabenor Sarawak sekitar tahun 1840 atas bantuannya meredakan penentangan tempatan di Sarawak pada ketika itu. Kemudian sekitar Ogos 1842, sekali lagi James Brooke telah diberikan Sarawak secara total yang hanya pada ketika itu tidaklah sebesar Sarawak Bumi Kenyalang sekarang.
Sekitar tahun 1853, satu lagi perjanjian persefahaman telah dibuat antara Sultan Abdul Momin dan James Brooke. Dan perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1855 telah menyebabkan 7 wilayah tanah kuripan pembesar Brunei di Sarawak iaitu daerah Rajang, Kalaka, Saribas, Skrang, Lingga, Sadong dan Samarahan jatuh kepada Brooke dan menjadi empayar Sarawak Kingdom. Pada ketika itu dikatakan bahawa Sultan Abdul Momin menerima $1,500 saban tahun atas kehilangan 7 daerah itu daripada Brooke.
Apabila adanya kancah perang saudara di Mukah, ini telah membimbangkan Brooke kerana industri Sagu pada masa itu merupakan salah satu industri yang paling berharga. Ini menyebabkan sekali lagi pada tahun 1861, Brooke telah berjaya memujuk Sultan Abdul Momin untuk menyerahkan wilayah Rajang dari Sungai Bintulu sehingga ke daerah Mukah dan Oya kepada beliau. Sebagai galang gantinya Sultan Abdul Momin menerima pembayaran sebanyak $4,500 saban tahun.
Pada tahun 1868 apabila Rajah Charles Brooke menjadi rajah kedua Sarawak Kingdom, perluasan empayar Sarawak Kingdom semakin membesar. Pada ketika wilayah Sungai Baram pula menjadi cadangan pembesaran wilayah untuk Sarawak Kingdom. Dan akibat daripada penentangan daripada etnik Kayan di Baram pada tahun 1874 sehingga mereka melancarkan perang ke atas pemerintahan Kerajaan Kesultanan Brunei di Baram telah memungkin, wilayah Sungai Baram menjadi pembentuk Sarawak Kingdom pada waktu itu.
Kemudian pada tahun 1884, penduduk di Limbang pula memulakan penentangan ke atas pemerintahan Pengiran Anak Hashim di Limbang. Perang penduduk Limbang ini telah menular sehingga ke wilayah Brunei pada waktu itu dan akhirnya Limbang juga turut menjadi sebahagian daripada pembentuk empayar Sarawak Kingdom.
Pada ketika itu, Sultan Abdul Momin amat khuatir atas wilayah Brunei yang semakin mengecil dan Brunei bukan sahaja kehilangan wilayah kepada Brooke malah juga kepada Inggeris di North Borneo. Dan kerana itulah, baginda telah merekabentuk satu sumpah yang dikenali sebagai Amanah Sultan Abdul Momin pada tahun 1885. Sumpah “Amanah” ini adalah satu perjanjian antara Sultan Brunei, Wazir, Manteri dan juga pemegang hak tulin daripada menyerahkan atau memajak mana-mana wilayah yang tinggal di Brunei kepada kuasa asing.
Selesai sahaja Amanah Sultan Abdul Momin ini dipersetujui oleh kesemua yang berkuasa di Brunei akhirnya beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 29 Mei 1885 di Kampung Ayer, Kota Batu, Brunei-Muara, Brunei Darussalam. Jenazah baginda disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Kianggeh, Brunei.
Inilah sekelumit informasi di dalam kita cuba mengenal seorang lagi figura dari Negara Brunei Darussalam yang mana namanya sering disebut-sebut di dalam lipatan sejarah Sarawak lebih-lebih lagi ketika era pemerintahan keluarga Dinasti Brooke yang memerintah Sarawak Kingdom lebih kurang 100 tahun.
Rujukan:
1. Graham Saunders; Book Title: A History of Brunei
2. A History Under Its Two White Rajahs, 1839-1908
https://archive.org/details/historyofsarawak00bari
3. Sultan Abdul Momin restores peace by Rozan Yunus , December 14, 2008, The Brunei Times
http://www.bt.com.bn/life/2008/12/14/sultan_abdul_momin_restores_peace
4. History: Oath Of Amanah
http://9nss1.blogspot.my/2010/10/oath-of-amanat.html
5. Kesultanan Brunei Darussalam, Kerajaan Nusantara
http://www.kerajaannusantara.com/id/brunei-darussalam/sejarah