FROM BINATANG TO BINTANGOR WITH LOVE
FROM BINATANG TO BINTANGOR WITH LOVE
Bintangor merupakan salah satu pekan kecil yang berada di dalam Bahagian Sarikei, Sarawak. Apa yang menjadikan pekan ini agak unik adalah kerana dahulunya ianya lebih dikenali dengan nama Binatang. Namun begitu kerana namanya itu agak sensitif maka pada tahun 1984, melalui Sarawak Gazette nama pekan ini telah ditukar kepada Bintangor.
Menurut cerita orang-orang tua masyarakat yang mendiami pekan Bintangor suatu masa dahulu pekan ini dinamakan Binatang kerana ada cerita disebalik nama tersebut. Dikatakan suatu waktu dahulu iaitu ketika musim buah “engkabang” telah terlalu banyak binatang yang datang ke kebun-kebun masyarakat Bintangor pada masa itu bagi memakan buah engkabang yang masak.
Oleh kerana ketika itu ianya masih tidak mempunyai nama maka penduduk tempatan sebulat suara untuk menamakannya “Binatang” iaitu bagi memperingati peristiwa yang pelik yang mana banyak binatang yang datang bertandang ke situ pada masa itu. Maka kekallah nama Binatang bagi pekan tersebut sehinggalah pada tahun 1935 terdapat usaha daripada masyarakat Cina, etnik Iban dan etnik Melayu untuk menukarkan nama tersebut kepada nama yang lain namun begitu akibat tiada permuafakatan yang tercapai akhirnya nama Binatang terus kekal digunapakai.
Sekitar tahun 1984, Kerajaan Negeri Sarawak melalui Sarawak Gazette telah mengarahkan untuk nama Binatang ditukar kepada Bintangor. Ini semua dilakukan bagi memberikan penghormatan kepada masyarakat Pekan Bintangor pada masa itu kerana makna “Binatang” itu agak sensitif kerana ianya merujuk kepada maksud haiwan. Jadi kesesuaian nama tersebut amatlah didokong kuat oleh masyarakat tempatan Bintangor pada masa itu sehinggalah sekarang.
Sebenarnya nama Bintangor itu pula merujuk kepada nama satu jenis pokok iaitu Pokok Bintangor yang banyak tumbuh meliar di Pekan Bintangor pada masa itu. Jadi adalah lebih sesuai menggunakan nama jenis pokok daripada menggunakan nama binatang bagi sesuatu daerah atau pekan di Sarawak.
Sejarah Bintangor sebenarnya telahpun muncul sekitar tahun 1896 lagi yang mana pada ketika itu ianya masih lagi dinamakan Binatang. Pada ketika itu, Binatang merupakan salah satu daripada tanah jajahan empayar Sarawak Kingdom dibawah Kerajaan Brooke yang memerintah Sarawak hampir 100 tahun. Pekan Binatang ketika itu merupakan salah satu daripada pekan yang penting bagi empayar Sarawak kerana ianya berada ditengah-tengah perjalanan antara Bandar Sibu ke Bandar Sarikei.
Dikatakan sewaktu dahulu, perompak-perompak amat bermaharajalela dan sering melakukan rompakan bagi pedagang-pedagang yang melalui kawasan tersebut dan kewujudan masyarakat di Pekan Binatang memungkin gejala rompakan itu dapat dikurangkan lebih-lebih lagi masyarakat tempatan di Pekan Binatang benar-benar menjaga keamanan di kawasan pekan mereka. Jadi Pekan Binatang diwaktu pemerintahan Brooke merupakan antara pekan pelindung bagi pedagang-pedagang diantara Sibu dan Sarikei pada waktu itu.
Pekan Bintangor sewaktu di awal penubuhan Gagasan Malaysia yang ditubuhkan oleh 4 negara iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, North Borneo (Sabah) dan Singapura yang bersama-sama membentuk Gagasan Malaysia pada tanggal 16hb September 1963 merupakan salah satu daripada pusat untuk melahirkan para-para pendidik di bumi Sarawak pada masa itu. Ini kerana golongan pendidik merupakan nadi bagi menterjemahkan masyarakat Sarawak yang lebih berilmu lebih-lebih lagi ketika itu kadar celik huruf di Sarawak agak besar berbanding dengan Negara-negara sejajar yang lain.
Sekitar tahun 1965, Kerajaan Persekutuan Gagasan Malaysia bersama-sama dengan Kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk membina sebuah institusi pendidikan di Bintangor yang dikenali sebagai Maktab Perguruan Rajang, Bintangor, Sarikei. Apa yang menyebabkannya ia unik kerana Maktab Perguruan Rajang merupakan satu projek usahasama antara Kerajaan Persekutuan Gagasan Malaysia, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan New Zealand pada waktu itu dan usahasama ini dinamakan Rancangan Colombo.
Dibawah Rancangan Colombo inilah Kerajaan New Zealand telah menyuntik dana sebanyak RM 1.5 juta untuk membina dan memindahkan teknologi pendidikan di Maktab Perguruan Rajang agar bakal-bakal pendidik mempunyai teknologi pendidikan yang sejajar dengan dunia luar. Kerana pengaruh Kerajaan New Zealand di dalam pembinaan Maktab Perguruan Rajang maka kerana itulah Pengetua pertama Maktab Perguruan Rajang adalah seorang berbangsa New Zealand yang dikenali dengan nama K.J Hayr (1966-1967).
Hanya pada tahun 1968 barulah seorang anak tempatan bangsa Sarawak berketurunan Cina menjawat jawatan sebagai Pengetua pertama dari kalangan anak tempatan Sarawak iaitu En. Lau Kuok Ding. Maktab Perguruan Rajang dulu, kini dan sekarang masih lagi menjadi antara institusi pendidikan yang banyak melahirkan tenaga pengajar daripada kalangan anak bangsa Sarawak agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi melalui penguasaan ilmu dan seterusnya menjadi pewaris masa hadapan memimpin Sarawak Bumi Kenyalang.
Jika berkunjung ke Pekan Bintangor sekarang jangan lupa untuk membeli Limau Bintangor iaitu sejenis limau bali yang cukup terkenal di Bintangor. Ini kerana limau Bintangor ini dikatakan antara limau bali yang paling digemari walaupun sebenarnya limau barli ini masam-masam rasanya. Melihat kepada betapa popularnya Limau Bintangor ini maka maskot Pekan Bintangor adalah Limau Bintangor. Maskot ini sebenarnya terbina gagah ditengah-tengah Pekan Bintangor itu sendiri.
Berdasarkan statistik populasi Bintangor sekarang terdapat kira-kira lebih kurang 40,000 orang yang mendiami Pekan Bintangor yang mana hampir 14,000 orang adalah daripada etnik Iban dan diikuti oleh masyarakat Cina Foochow iaitu kira-kira 13,000 orang dan baki seterusnya adalah daripada etnik Melayu/Melanau. Di Pekan Bintangor ini kebanyakan daripada masyarakat Cina Foochow tidak menganuti agama Buddha sebaliknya mereka ramai menganuti agama Kristian Methodist seperti etnik Iban Bintangor.
Sejarah pengaruh agama Kristian Methodist dikalangan Cina Foochow di Bintangor ini banyak bertitik tolak daripada kedatangan masyarakat Cina Foochow yang datang berniaga di Bintangor ketika itu. Apabila pemimpin mereka iaitu Ling Doh Liong mendapat geran tanah pada tahun 1928 atas persetujuan Rajah Brooke. Oleh kerana Ling Doh Liong itu sendiri merupakan penganut agama kristian Methodist maka apabila mereka mula bertapak di Pekan Bintangor, mereka telah membina sebuah gereja bersejarah di pekan Bintangor yang dikenali dengan nama Ming Kwong Methodist Church.
Walaupun Pekan Bintangor mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai lapisan etnik dan agama namun begitu Pekan Bintangor tetap aman dan sentosa hasil daripada toleransi agama dan kaum yang dipraktikkan sejak di awal penubuhannya sebagai sebuah pekan di Sarawak suatu waktu dahulu sehingga sekarang.
Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.