top of page

LEGENDA SI TOKONG


LEGENDA SI TOKONG

- Pemburu Kepala Manusia Yang Pertama Di Borneo


“Land of the Head hunter “ itulah perumpamaan yang sering kita dengar dalam mengambarkan Pulau Borneo suatu waktu dahulu kerana adanya adat memburu kepala yang menjadi budaya di dalam masyarakat etnik Dayak di Kepulauan Borneo. Walau bagaimanapun sejajar dengan dunia moden sekarang malah sejak tahun 1840an lagi adat memburu kepala ini telahpun diharam oleh pemerintahan Brooke.


Masyarakat etnik Sebob atau Chebop merupakan salah satu etnik minoriti di Sarawak. Walaupun etnik ini dikatakan sebagai antara etnik yang cintakan keamanan namun ada cerita legenda yang dikaitkan dengan mereka setelah etnik ini berhijrah daripada daerah Usun Apau suatu ketika dahulu. Si Tokong begitulah nama seorang pahlawan dari etnik Sebob yang merupakan nenek moyang kepada etnik Sebob sekarang.


Si Tokong inilah dikatakan sebagai pemburu kepala yang terulung dan pertama di Borneo sehinggalah amalan ini menjadi warisan kepada etnik-etnik yang lain di Borneo. Dikatakan suatu waktu dahulu adat memburu kepala ini tidaklah sampai kepada memotong kepala musuh tetapi hanya sekadar memotong rambut di kepala musuh. Rambut musuh-musuh ini akan menjadi penghias di perisai yang digunakan untuk menangkis serangan sewaktu berperang. Inilah adat pertama yang dahulunya digunapakai.


Si Tokong adalah antara pahlawan masyarakat Sebop yang terkenal dengan perisainya yang dihiasi dengan rambut-rambut musuhnya. Pada suatu hari, tibalah masa si Tokong dan pengikut-pengikutnya pergi berperang dengan musuh-musuh mereka dan ketika beliau sedang sibuk menyediakan peralatan perangnya tiba-tiba menjelmalah seekor katak yang pandai berkata-kata.


Katak ini dengan nada menyindir telah bersuara dengan si Tokong. “Tetak Batok” berkali-kali. Si Tokong pun berhenti sekejap daripada tugasannya dan cuba untuk mencari apakah yang dimaksudkan oleh katak ajaib ini. Apabila diamatinya “Wong kok ka, tetak batok” di dalam bahasa etnik Sebop bermaksud “Untuk memotong kepala”.


Apabila katak itu menyedari bahawa si Tokong telah memberikan perhatian kepadanya maka dia terus memberitahu kepada si Tokong bahawa hanya dengan memotong kepala musuhnya maka kemakmuran akan terus terjamin baik dari segi hasil rezeki penanaman dan ladang yang diusahakan. Si Tokong pun memahami apa yang dimaksudkan oleh katak tersebut dan ingin mencuba apakah benar jika dia berbuat demikian akan terjadi sesuatu yang dimaksudkan oleh katak ajaib tersebut.


Setelah segala peralatan perang tersedia maka berangkatlah si Tokong dan pengikutnya menuju ke lokasi peperangan. Sebagai seorang pahlawan dan ketua sudah tentu arahan daripada si Tokong akan menjadi arahan yang wajar untuk diikuti oleh setiap pengikutnya maka sewaktu bertempur di medan peperangan itu, si Tokong dan pengikut-pengikutnya telah bukan sahaja membunuh musuh-musuh mereka tetapi juga menjalan adat memotong kepala dan seterusnya setiap kepala musuh itu akan disimpan di dalam satu bekas dan kemudian di dalam perjalanan pulang mereka akan menyalai kepala tersebut agar ianya tidak busuk. Sesampai di rumah panjang mereka, kepala-kepala tersebut akan diasap di dalam satu upacara ritual dan digantung di ruang rumah panjang sebagai satu tanda kemegahan kepada keperwiraan mereka.


Si Tokong dan pengikut-pengikutnya terus menunggu apakah kesudahan kepada maksud cerita si katak ajaib itu dan sememangnya pada tahun itu hasil penanaman padi dan rezeki si Tokong dan seluruh penghuni rumah panjang mereka telah berlipat kali ganda. Sawah padi menguning dengan penghasilan yang banyak malah amat kurang makhluk perusak seperti tikus dan lain-lain yang membuat onar seperti tahun-tahun yang sebelumnya.


Barangsiapa yang pergi mencari ikan di sungai akan pulang membawa hasil tangkapan yang banyak dan penghidupan di rumah panjang Si Tokong juga semakin baik, Melihat kepada impak ini, lalu amalan memotong kepala terus menjadi amalan yang berterusan di dalam masyarakat etnik Sebob dan akhirnya diikuti oleh masyarakat etnik yang lain seperti etnik Iban, etnik Kelabit dan banyak lagi.


Inilah cerita Legenda Si Tokong, pemburu kepala yang pertama di Borneo dan ini hanya satu cerita legenda yang diwarisi secara lisan dari satu generasi ke generasi di dalam etnik Sebop di Sarawak.



bottom of page