SULTAN IBRAHIM ALI OMAR SYAH @ SULTAN TENGAH IBNU SULTAN MUHAMMAD HASSAN
SULTAN IBRAHIM ALI OMAR SYAH @ SULTAN TENGAH IBNU SULTAN MUHAMMAD HASSAN
Sememangnya di dalam sejarah Sarawak sendiri amat kurang penceritaannya mengenai satu lagi figura Brunei yang berhubungkait dengan sebuah kerajaan kuno yang pernah wujud di bumi Sarawak suatu waktu dahulu yang dikenali dengan nama Kerajaan Sarawak Darul Hana. Mengikut sejarah Brunei dikatakan bahawa ianya wujud sekitar tahun 1598 Masihi berdasarkan kepada penghijrahan seorang kerabat diraja Brunei yang bernama Pengiran Muda Tengah Ibrahim Omar Shah iaitu adinda kepada pemerintah Kerajaan Kesultanan Brunei yang ke-10 iaitu Paduka Sri Sultan Abdul Jalilul Akbar Ibnu Sultan Muhammad Hassan.
Walau bagaimanapun haruslah diketahui bahawa pada ketika itu Kerajaan Sarawak Darul Hana hanya mempunyai jajahan yang cukup kecil iaitu hanya sekitar persisiran Sungai Sarawak dan tidaklah sebesar Sarawak Bumi Kenyalang sekarang. Apa yang pasti ada segelintir para sejarahwan memperkatakan bahawa kewujudan sebuah kerajaan kuno ini sebenarnya adalah salah satu daripada pemangkin perkembangan syiar Islam di Sarawak selain daripada syiar-syiar Islam yang dibawa masuk oleh saudagar-saudagar Arab.
Adanya seorang figura Brunei di Sarawak ini adalah bermula apabila Paduka Sri Sultan Muhammad Hassan ibnu Sultan Saif ul-Rijal Nur ul-Alam , Sultan Brunei ke-9 yang memerintah pada tahun 1582 hingga 1598 mangkat, takhta pemerintahan telah jatuh kepada putera sulungnya yang kemudian bergelar Paduka Sri Sultan 'Abdu'l Jalil ul-Akbar ibnu Sultan Muhammad Hassan. Sultan Abdul Jalilul Akbar mempunyai seorang adinda bernama Pengiran Muda Tengah Ibrahim Ali Omar Shah atau lebih dikenali sebagai Pengiran Muda Tengah.
Dikatakan apabila kakandanya ditabalkan menjadi Sultan Brunei ke-10, Pengiran Muda Tengah turut berkeinginan untuk menjadi Sultan Brunei. Baginda membantah dengan menyatakan kakandanya dilahirkan ketika ayahandanya belum menjadi Putera Mahkota, sedangkan dia lahir ketika Sultan Muhammad Hassan dilantik sebagai Putera Mahkota.
Pengiran Muda Tengah berpendapat, baginda lebih layak untuk menjadi Sultan berbanding kekanda. Sultan Abdul Jalilul Akbar adalah seorang yang bijak dan baginda memahami keinginan adindanya. Dan kerana itulah daripada mengelak berlakunya perang saudara di istana Kerajaan Brunei pada waktu itu adalah perlu untuk Sultan Abdul Jalilul Akbar mencari satu kerajaan baru untuk adindanya berkuasa. Dan kerana itulah di dalam Salsilah Brunei ada dipetik titah daripada Sultan Abdul Jalilul Akbar kepada adindanya yang berbunyi:
“Akan adindapun pada pikiran kakanda jadikan raja di dalam negeri Sarawak sebabpun sama-sama juga kita anak Marhum. Raja Tengahpun menjawab titah baginda itu. Katanya, Ya Tuanku adapun patek ini dibawah perintah. Patek junjung tiada patek melaluinya..”
Menurut Salsilah Raja-Raja Brunei, Pengiran Muda Tengah berkenan menerima perlantikan tersebut dan baginda membuat persiapan untuk pergi ke Sarawak dengan ditemani oleh lebih daripada 1,000 perwira dari kaum Sakai, Kedayan and Pulau Bunut. Beberapa kaum kerabat diraja disamping beberapa orang-orang ahli agama Islam daripada Kerajaan Kesultanan Brunei juga turut berangkat bersamanya untuk membantu baginda mengurus sebuah negeri baru.
Di Sarawak, Sultan baru dan anak buahnya mula membina sebuah istana dan benteng untuk mempertahankan istananya. Sultan Tengah kemudian melantik orang-orang besarnya. Antaranya ialah Patinggi Datuk Seri Setia, Indera Wangsa Shahbandar Datu, Datu Amar Setia Di-raja dan Datuk Temenggong Laila Wangsa.
Setelah semuanya selesai, Sultan Tengah mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Ibrahim Ali Omar Shah, Sultan Sarawak yang pertama. Menurut versi sejarah di Sambas yang mempunyai perkaitan secara langsung dengan Sultan Tengah ini, dikatakan nama Sultan Tengah ini juga menggunapakai nama Sultan Abdul Jalil.
Sekitar tahun 1599, Sultan Tengah melawat Pahang yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada taklukan Kerajaan Johor, untuk melawat Raja Bonda yang merupakan ibu saudara Sultan Tengah yang telah berkahwin dengan Sultan Abdul Ghafur Muhyiddin Shah ibnu Sultan Abdul Kadir Alauddin Shah. Walau bagaimanapun tercalit onar ketika baginda di Pahang kerana dikatakan baginda diminta untuk meninggalkan Pahang serta merta. Dan di dalam episod ini ada 2 versi penceritaan yang berbeza mengapa ianya terjadi.
Menurut versi sejarah Brunei pula dikatakan bahawa ketika di Pahang, Sultan Tengah telah diminta untuk menari di satu acara keramaian istana Pahang. Semasa menari ini dikatakan secara tidak sengaja pasangan tarian baginda terpukul wajah baginda dengan saputangan. Akibat daripada itu menyebabkan Sultan Tengah naik berang dan terus menampar muka pasangan tariannya.
Hal ini diadukan kepada Sultan Pahang pada ketika itu kerana tindakan Sultan Tengah itu umpama tidak menghormati adat istiadat istana Pahang memandangkan baginda sendiri bukan Orang Pahang.
Insiden ini menyebabkan Sultan Pahang pada ketika itu menjadi sangat kecewa dan bagi menjaga airmuka Raja Bonda, iaitu ibu saudara Sultan Tengah, baginda telah disarankan untuk meninggalkan Pahang serta-merta.
Lain pula versi penceritaan melalui sejarah Sambas kerana dikatakan Sultan Tengah diminta meninggalkan Pahang pada masa itu kerana Raja Bonda murka atas penolakan Sultan Tengah. Pada ketika itu dikatakan bahawa Raja Bonda teringin benar hendak menjodohkan Sultan Tengah dengan seorang puteri daripada Kerabat Diraja Pahang yang bernama Encik Zohra. Namun Sultan Tengah menolak cadangan tersebut tanpa berfikir panjang.
Setelah diminta keluar daripada Negeri Pahang itu, Sultan Tengah memulakan pelayaran pulangnya ke negerinya sendiri yang bernama Sarawak Darul Hana. Semasa pelayaran untuk kembali itulah dikatakan kapal Sultan Tengah telah dilanda taufan yang menyebabkannya terkandas di Sukadana.
Sukadana ketika itu diperintah oleh Penambahan Giri Mustika atau Sultan Muhammad Saifuddin, yang baru sahaja memeluk Islam dan dibantu oleh Syeikh Syamsuddin dari Mekah. Kerana tertarik dengan ajaran Islam yang dibawah Syeikh Syamsuddin ini menyebabkan baginda turut sama menjadi penuntut kepada ulama Islam itu sehingga membenarkan baginda tinggal lama di Sukadana.
Bagi mengikat tali silaturrahim antara Kerajaan Sarawak Darul Hana dan Kerajaan Sukadana pada ketika itu, Sultan Tengah telah berkahwin dengan adinda Sultan Muhammad Saifuddin yang bernama Puteri Surya Kesuma. Kerana kesungguhan Sultan Tengah untuk memperkembangkan syiar Islam pada ketika itu memungkinkan baginda memohon izin daripada Sultan Sukadana untuk ke Sambas.
Maka sekitar tahun 1600, Sultan Tengah meninggalkan Sukadana melalui Sungai Sambas dengan diiringi 40 buah perahu yang lengkap bersenjata. Di Sungai Sambas, mereka mendarat di Kuala Bangun dan Puteri Surya Kesuma kemudiannya melahirkan seorang putera bernama Raden Sulaiman. Dua putera lain kemudian turut lahir. Putera kedua ini dikenali sebagai Pengiran Badaruddin yang kemudiannya bergelar Pengiran Bendahara Seri Maharaja sementara putera ketiga, Pengiran Abdul Wahab kemudiannya bergelar Pengiran Temenggong Jaya Kesuma.
Sultan Tengah akhirnya tiba di Pekan Lama. Di sana, baginda disambut oleh pemerintah Pekan Lama, Ratu Sepudak, yang menyambutnya mengikut adat istidat Di-raja. Sultan Tengah mendapati Ratu Sepudak mengizinkannya untuk menyebarkan Islam di sekitar kawasan tersebut meskipun Ratu Sepudak bukan seorang Muslim. Semasa baginda tinggal di sana, putera sulung Sultan Tengah, Raden Sulaiman telah meningkat dewasa lalu dikahwinkan dengan puteri Ratu Sepudak bernama Puteri Mas Ayu Bongsu. Pasangan ini mempunyai seorang putera bernama Radin Bima yang kemudian bergelar Sultan Muhammad Tajuddin.
Ketika Ratu Sepudak mangkat, baginda digantikan oleh Prabu Pengiran Radin Kenchana yang kemudiannya melantik Radin Sulaiman sebagai salah seorang pembesarnya. Dikatakan bahawa Ratu Sepudak mahu menyerahkan takhta kerajaan kepada Sultan Tengah memandangkan baginda mempunyai pengalaman menguruskan negara, tetapi cadangan tersebut telah ditentang oleh keluarga diraja yang lain.
Sekitar tahun 1630, Sultan Tengah mengunjungi Kerajaan Matan yang juga merupakan antara kerajaan yang mempunyai kaitan dengan Kerajaan Sukadana. Di Matan, baginda berkahwin dengan salah seorang puteri kepada kerabat diraja Kerajaan Matan. Hasil perkahwinan itu dikurniakan dengan seorang putera yang bernama Pengiran Mangku Negara yang akhirnya menjadi salah seorang Sultan bagi Kerajaan Matan.
Setelah beberapa tahun tinggal di Matan, akhirnya Sultan Tengah merasakan telah tiba masanya baginda pulang ke negerinya sendiri iaitu di Kerajaan Sarawak Darul Hana. Dan ketika di dalam pelayaran pulang inilah baginda dan rombongannya telah berehat di satu tempat di muara Sungai Sarawak yang bernama kawasan Batu Buaya, Santubong. Di ketika baginda sedang tidur di khemah yang disediakan untuk baginda itulah, baginda dibunuh oleh pengikut baginda sendiri.
Ada cerita lisan mengatakan bahawa pembunuhan Sultan Tengah sememangnya sudah dirancang rapi memandangkan baginda pada ketika itu sudah mula berpengaruh di bumi Borneo dan ini tidak menyenangkan pihak istana di Kerajaan Kesultanan Brunei pada masa itu. Ketika berita kemangkatan baginda tersebar, Datu Patinggi, Datu Shahbandar, Datu Amar dan Datuk Temenggong datang ke Santubong untuk menguruskan upacara pengebumian mengikut tradisi kerabat diraja Brunei.
Berdasarkan kepada sejarah versi Sambas, dikatakan Sultan Tengah mangkat sekitar tahun 1641 iaitu berdasarkan tempoh pemerintahan anakanda baginda, Radin Sulaiman yang menjadi Sultan Muhammad Saifuddin I di Kerajaan Kesultanan Sambas. Pada ketika itu tempoh pemerintahan Sultan Mohammad Saifuddin I baru mencecah 10 tahun pemerintahannya.
Sultan Ibrahim Ali Omar Syah atau lebih dikenali sebagai Sultan Tengah merupakan sultan yang pertama dan terakhir bagi Kerajaan Sarawak Darul Hana yang wujud sekitar abad ke 16 Masihi. Semoga roh Al-Marhum ditempatkan di kalangan para syuhada.
Al-Fatihah. Amin.
Rujukan:
1. Ib Larsen, Buku Bertajuk ; The First Sultan of Sarawak and His Links to Brunei and the Sambas Dynasty, 1599-1826: A Little-known Pre-Brooke History
2. Terbitan Asiana; Sejarah Perkembangan Islam di Brunei, Sabah Dan Sarawak.
3. Hj. Rozan bin Yunus, The Brunei Times 28 Dec 2008; Sultan Tengah — Sarawak's first Sultan
http://www.bt.com.bn/golden_legacy/2008/12/28/sultan_tengah_sarawaks_first_sultan
4. Muhammad Natsir, “Kiprah Sultan Tengah Di Kerajaan Sambas, Kalimantan Barat”.
http://www.academia.edu/3833466/KIPRAH_SULTAN_TENGAH_DI_KERAJAAN_SAMBAS_KALIMANTAN_BARAT