top of page

BELACAN BEEHOON


BELACAN BEEHOON


Namanya tidaklah se gah Laksa Sarawak mahupun Mee Kolok namun begitu penangannya jika merasainya sememangnya sesuatu yang sukar untuk dikatakan. Jangan memandang sepi salah satu menu yang mengasyikkan ini walaupun ianya bermula daripada perkataan belacan. Keenakannya cukup membuka selera sehingga ada sesetengah individu tidak cukup memakannya sepinggan malah dua atau tiga pinggan. Inilah Belacan Beehoon salah satu daripada menu “wajib rasa” jika berkunjung ke Sarawak.


Yang uniknya apabila berbicara tentang menu Belacan Beehoon ini adalah ianya hampir tidak dikenali jika berkunjung ke Bandar seperti Miri atau Bintulu kerana di kedua-dua Bandar ini, Belacan Beehoon cukup asing TETAPI tidak jika berkunjung ke ibukota Kuching, Sarawak kerana di ibukota inilah menu ini cukup popular tidak kira apa latarbelakang masyarakat Kuching itu sekalipun.


Setakat ini belum ada lagi pensejarahan tentang dari mana asalnya Belacan Beehon ini tetapi yang pasti ianya merupakan salah satu daripada resepi makanan kaum Cina di Sarawak. Ianya sudah berabad lamanya dimakan oleh segenap lapisan di Kuching dan yang paling popular adalah satu gerai yang dahulunya hanya menjualnya di tepi jalan dengan menggunakan basikal beroda tiga tetapi sekarang sudahpun mempunyai gerai yang tetap. Gerai tersebut terletak di No 26, Song Kheng Hai Court berdekatan dengan Jalan Padungan.


Bagi sesetengah individu penggemar Belacan Beehoon ini yang menjadi keunikan pada menu ini adalah terletak kepada “telur padi”. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa telur padi atau “century egg” ini adalah telur itik masin. Dengan adanya telur itik masin di dalam Belacan Beehoon ini telah menambah seribu rasa jika memakannya.


Menurut apa yang difahami, menu ini agak simple kerana jika dilihat daripada luarannya hanya ada beehoon, sotong kembang yang diiris halus dan seterusnya ada taugeh serta timun. Namun yang menjadikannya special adalah pembuatan kuah belacannya yang dikatakan mempunyai resipi yang diwarisi zaman berzaman. Jika ianya sembarangan boleh membuatkan kuah tersebut menjadi sesuatu yang memualkan. Jadi hanya yang pakar boleh membuatnya mengikut kesedapan yang digemari oleh pelanggannya.


Menu ini tidaklah mahal hanya sekitar RM3.50 sepinggan dan sudah tentu dengan harga serendah itu tidaklah menyebabkan ramai yang tidak mampu memakannya. Dan dikatakan belacan beehoon ini jika dimakan bersama-sama dengan ABC akan lebih menambahkan kegilaan pada si pemakannya. Untuk itu, pada sesiapa yang belum lagi pernah merasainya cuba-cubalah menikmati satu lagi hidangan unik di Sarawak ini atau lebih mengkhusus di Kuching.


Dan sekiranya Kuching itu terlalu jauh dan bagi mana-mana rakyat Malaysia yang ingin merasainya bolehlah juga berkunjung ke Restoren Dapur Sarawak di Jalan Sarikei, Kuala Lumpur kerana hanya di restoren ini yang setakat ini diketahui mempunyai menu ini sebagai antara menu jualannya di bumi Semenanjung Malaysia.




bottom of page