ETNIK MIRIEK, SARAWAK, BORNEO
ETNIK MIRIEK, SARAWAK, BORNEO
Agak sukar sebenarnya untuk menjejaki cerita asal keturunan etnik ini kerana jika kita merujuk kepada laporan yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan, yang terakhir adalah hanya laporan populasi tahun 1988 yang menjadi sandaran. Menurut laporan tersebut hanya tinggal lebih kurang 2,000 orang etnik ini. Sebenarnya apa yang terjadi kepada etnik Miriek BUKANLAH mereka sebenarnya telah hilang dari bumi Sarawak sebaliknya etnik Miriek sejak dari dahulu lagi sebenarnya merupakan sub-etnik yang membentuk masyarakat Melayu Sarawak sekarang.
Etnik Miriek, mungkin ramai yang tidak mengenali mereka kerana amat kurang informasi mengenai mereka. Namun begitu etnik Miriek ini sebenarnya merupakan peneroka awal yang menerokai bumi Miri. Dan nama Miri itu sebenarnya adalah diambil daripada etnik pribumi yang paling awal menerokai iaitu etnik Miriek. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa etnik Miriek ini juga adalah sebenarnya mempunyai keunikan baik dari segi asal keturunannya malah juga sejarah bahasanya.
Menurut cerita sejarah, etnik Miriek ini adalah antara satu komuniti masyarakat yang juga berpindah daripada penempatan legenda masyarakat Kayan iaitu Apo Kayan. Beratus-ratus tahun dahulu mereka ini adalah antara pecahan etnik Kayan yang sama sekali tidak mengamalkan tradisi perang kayau. Oleh kerana itulah mereka dikatakan sering menjadi mangsa perluasan wilayah etnik Kayan sehingga membenarkan mereka hidup berpindah-randah.
Dari Apo Kayan, etnik Miriek ini berpindah sehingga ke kawasan Baram sehinggalah sekali lagi mereka berhijrah. Di ketika penghijrahan demi survival inilah mereka telah meneroka dan membuka kawasan Sungai Miri dan cabang-cabang anak sungainya. Dari sinilah mereka hidup dengan mengamalkan pertanian serta juga menangkap ikan menjadi nelayan dan sebagainya.
Etnik Miriek juga sebenarnya terbahagi kepada sub-sub etnik yang tersendiri yang mana mempunyai asal keturunan yang agak berbeza walaupun serumpun. 2 sub-etnik Miriek adalah Miriek Bahut dan Miriek Permaisuri. Miriek Bahut dikatakan adalah orang asli etnik Miriek yang mana ianya tidak mempunyai keturunan daripada masyarakat lain atau lebih dikenali sebagai Miriek Asli.
Manakala untuk Miriek Permaisuri pula adalah merujuk kepada perkahwinan campur yang telah dilangsungkan di antara seorang wanita Miriek Bahut yang bernama Timah dengan seorang putera raja daripada Sulewesi yang merupakan anak kepada Ratu Permaisuri bernama Tahir. Perkahwinan antara seorang putera Sulewesi dengan Timah inilah yang sebenarnya memperkenal keturunan Miriek Permaisuri.
Di dalam menyelusuri cerita sejarah etnik Miriek ini maka adalah ianya tidak akan sempurna jika tidak menyatakan satu cerita legenda bagaimana etnik Miriek ini memastikan kesinambungan survival etnik mereka. Menurut cerita lisan orang-orang tua di kalangan etnik Miriek, bagi memastikan bahawa masyarakat Miriek ini kekal aman dan sentiasa mempunyai legasi mereka di bumi Miri, 2 orang pemimpin etnik Miriek yang disegani iaitu yang bernama Deng dari Miriek Bahut dan Sureng dari Miriek Permaisuri akan sentiasa memastikan anak-anak buah mereka mengamalkan perkahwinan campur.
Perkahwinan campur ini tidak tertakluk antara etnik Miriek sahaja malah juga perkahwinan campur antara etnik-etnik pribumi yang lain seperti kayan, kenyah, iban dan sebagainya. Ternyata strategi perkahwinan campur dengan etnik-etnik pribumi yang lain ini betul-betul menyaksikan etnik Miriek sentiasa menjadi sahabat kepada etnik-etnik pribumi yang lain sehingga ketika mereka mendiami kawasan Sungai Miri, mereka sememangnya tidak pernah diperangi.
Dan pada masa sekarang di Sarawak, populasi etnik Miriek di Miri boleh dibahagikan mengikut sub-etnik mereka. Sub-etnik Miriek Permaisuri ramai mendiami di kawasan seperti Kampung Wireless, Miri manakala sub-etnik Miriek Bahut ramai mendiami di kawasan seperti Kampung Pujut Seberang, Kampung Pujut Padang Kerbau, Kampung Pangkalan Lutong, Kampung Bekam, Kampung Pujut, Lopeng dan Sungai Miri.
Seperti etnik-etnik yang lain di Sarawak, etnik Miriek juga tidak kurang dengan bahasanya sendiri. Jika di dalam bahasa tempatan etnik Miriek ianya dikenali dengan bahasa Tuttot Meirek. Dan menurut kepercayaan etnik Miriek dikatakan bahasa tuttot Meirek ini merupakan bahasa pertuturan yang berusia lebih 400 tahun. Namun pada asasnya menurut laporan ethnologue Malaysia pula secara amnya bahasa etnik Miriek ini dikenali dengan nama bahasa Murik. Bahasa Murik ini diklasifikasikan dibawah rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, North Borneo, North Sarawakan, Kayan-Kenyah, Kayanic, Muric.
Menurut sejarah juga menyatakan bahawa etnik Miriek yang mendiami kawasan berhampiran dengan pantai ini merupakan antara etnik pribumi Sarawak yang lebih dahulu menerima kedatangan Islam di dalam penghidupan mereka. Menurut sejarahnya jika etnik-etnik yang lain memeluk Islam berdasarkan kepada pengaruh Kerajaan Kesultanan Brunei namun tidak bagi etnik Miriek kerana mereka sebenarnya menerima Islam secara langsung daripada pendakwah-pendakwah dari Timur Tengah yang datang berniaga dan juga daripada Kesultanan Melayu Melaka.
Inilah keunikan bagi satu lagi etnik di Sarawak yang sudah tentu amat jarang-jarang bangsa Sarawak sendiri mengenali mereka iaitu etnik Miriek, Sarawak, Borneo. Mereka sekarang merupakan pembentuk kepada masyarakat Melayu Sarawak seperti juga etnik Narom, Tutong dan Belait. Berabad lamanya mereka telah meninggalkan segala budaya dan tradisi mereka dan seterusnya mengasimilasikan penghidupan sebagai Melayu Sarawak.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.