FROM BALINGIAN WITH LOVE
FROM BALINGIAN WITH LOVE
Daerah Balingian juga dikenali dengan nama Baligian. Ianya terletak kira-kira 286.1 kilometer dari timur utara ibukota Kuching, Sarawak. Jaraknya daripada Bandar Mukah adalah kira-kira 60 kilometer. Sejarah kewujudan Daerah Balingian ini tidak dapat dipastikan dengan begitu tepat kerana tiada sebarang peristiwa besar yang berlaku di daerah ini namun begitu nama daerah ini dikatakan berasal daripada sebuah sungai yang mengalir di daerah ini yang dikenali sebagai Sungai Balingian.
Dikatakan suatu waktu dahulu penduduk di Balingian amat bergantung kepada Sungai Balingian untuk segala urusan samada untuk pengaliran padi di huma dan juga pengangkutan serta kehidupan harian. Jadi menamakan daerah itu sebagai Balingian merupakan sesuatu yang bertepatan kerana jasa sungai tersebut kepada penduduk setempat harus dihargai.
Walaupun tidak mempunyai sejarah besar peristiwa di daerah ini namun begitu keunikan Balingian terletak pada sejarah kewujudan etnik pribumi di Daerah Balingian yang mana rata-rata penduduk di daerah Balingian adalah daripada etnik Melanau. Seperti daerah-daerah di Sarawak yang majority penduduknya adalah dari kaum Melanau, maka Balingian juga mempunyai kaum Melanau yang beragama Islam dan Kristian.
Umum mengetahui bahawa dialek bahasa Melanau sebenarnya berbeza-beza mengikut daerah tempat mereka tinggal. Namun begitu untuk Melanau dari daerah Balingian perbezaan dialek Melanau mereka dengan melanau dari daerah Mukah, Oya dan Igan adalah amat jauh sekali. Menurut sejarahnya perbezaan ini adalah berkaitan dengan asal-keturuan Melanau Balingian itu sendiri yang mana sejarah mereka agak berbeza daripada Melanau dari daerah-daerah yang lain.
Dikatakan suatu masa dahulu, Melanau Balingian tiada bezanya dengan Melanau dari daerah-daerah yang lain namun jumlah mereka yang menghuni daerah Balingian adalah amat sedikit. Ketika zaman memburu kepala masih lagi diamalkan di bumi Sarawak, satu etnik yang sekarang memang jarang-jarang kita dengar kewujudannya iaitu etnik Baketan telah melarikan diri untuk survival sehingga ke Balingian.
Etnik Baketan ini adalah etnik Baketan yang mendiami Bukit Tengalat di Sungai Krian. Di dalam mencari kelangsungan hidup akibat sering diserang oleh kaum Iban, etnik Baketan telah bercampur gaul di dalam penghidupan masyarakat Melanau Balingian malah etnik Baketan telah tinggal bersama-sama dengan kaum Melanau Balingian di rumah-rumah panjang Melanau pada masa itu. Akibat daripada tinggal bersama-sama akhirnya etnik Baketan ini diadaptasikan menjadi Melanau Balingian seperti melalui perkahwinan campur malah mereka juga telah meresapi penghidupan Melanau Balingian baik dari segi budaya dan pertuturan.
Inilah sekelumit sejarah tentang Balingian dan juga asal-usul etnik Melanau yang menjadi penduduk majority di Daerah Balingian sekarang buat perkongsian informasi bagi kita Bangsa Sarawak sekalian. Dialek Melanau Balingian yang dikatakan agak berbeza daripada dialek Melanau lain juga mempunyai seribu satu cerita sejarahnya dan mengapa ianya menjadi sebegitu rupa. Etnik Baketan yang amat jarang kita dengar kewujudannya sekarang sebenarnya tidak pupus namun etnik Baketan telah meresapi penghidupan etnik-etnik pribumi yang lain.
Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.