top of page

LEGENDA JONG BATU


LEGENDA JONG BATU

- Anak Derhaka Disumpah Menjadi Batu


Di Malaysia sudah tentu kita begitu popular dengan cerita legenda si Tanggang manakala di Indonesia sudah tentu terbiasa dengan cerita legenda Malim Kundang. Ianya mempunyai jalan cerita legenda yang sama Cuma mungkin namanya berbeza dan juga lokasinya juga berbeza. Di Borneo juga ada dan namanya juga berbeza iaitu Legenda Jong Batu yang mana ianya merupakan satu cerita legenda yang diperturunkan secara oral dari satu generasi di kalangan rakyat Brunei Darussalam.


Cerita legenda ini ada kaitan dengan Kampung Ayer yang terletak di Sungai Brunei. Jika kita benar-benar mengenali Sungai Brunei sudah tentu kita akan biasa melihat satu lokasi yang dipanggil Jong Batu. Jong Batu ini adalah batu granit yang seakan-akan terbentuk seperti kapal tenggelam dengan panjangnya 20 meter dan kelebarannya 15 meter.


Cerita legenda ini bermula beratus-ratus tahun dahulu ketika pembukaan awal Kampung Ayer dan ianya tentang satu keluarga yang kaya raya di Kampung Ayer ketika itu iaitu Keluarga Dang Ambon. Dang Ambon merupakan seorang balu kaya yang dikatakan mewarisi harta yang banyak setelah kematian suaminya. Dang Ambon mempunyai seorang anak lelaki yang amat tampan serta gagah yang bernama Nakhoda Manis. Walaupun penghidupan Nakhoda Manis dilimpahi dengan serba-serbi kemewahan namun begitu segala kekayaan ini tidak boleh membendung sifat semulajadi Nakhoda Manis yang ingin mengembara meluaskan pengalaman melihat negeri orang.


Setelah dia dewasa keinginannya ini tidak dapat dibendung lagi sehinggalah akhirnya ibunya iaitu Dang Anom akur dengan keinginan anak tunggalnya untuk berlayar lalu dibelikannya sebuah bahtera yang agak besar untuk anaknya Nakhoda Manis pergi mengembara. Setelah segala kelengkapan sudah disiapkan maka pada hari yang sesuai maka berangkatlah Nakhoda Manis dengan anak kapalnya mengembara ke negeri orang. Dang Anom dengan berat hati melepaskan anak tunggalnya dengan penuh kesedihan dan sentiasa mengharapkan anak tunggalnya ini sentiasa di dalam keadaan selamat selalu.


Nakhoda Manis amat gembira kerana akhirnya cita-citanya untuk menjelajah ke negeri orang sambil mencari peluang perniagaan termakbul jua. Di arahkannya anak kapal untuk menuju ke Sulu kerana ketika itu dikatakan Sulu mempunyai peluang-peluang untuk berniaga. Setelah beberapa purnama meredah lautan yang luas akhirnya bahtera Nakhoda Manis tiba di Sulu. Tanpa melengahkan masa Nakhoda Manis terus membuka perniagaannya di Sulu dan setelah beberapa ketika perniagaannya semakin berkembang dan namanya agak gah di kalangan rakyat tempatan termasuk di kalangan pembesar-pembesar Sulu pada ketika itu.


Melihat kepada ketampanan dan kebijaksanaan Nakhoda Manis berniaga akhirnya ada seorang pembesar Sulu ingin menjodohkan puterinya dengan Nakhoda Manis. Nakhoda Manis yang masih bujang malah kaya raya itu tidak menolak cadangan daripada pembesar Sulu kerana dia sendiri sudah terpaut hati dengan kejelitaan puteri pembesar Sulu tersebut. Setelah kata sudah searah dan hati sudah bersatu akhirnya berlangsunglah perkahwinan Nakhoda Manis dengan puteri pembesar Sulu dengan majlis besar-besaran selama 3 hari 3 malam kemeriahannya. Maka hiduplah Nakhoda Manis dengan isterinya yang tercinta melayari bahtera perkahwinan dengan bahagia segalanya.


Berbalik kepada cerita si ibu yang ditinggalkan berseorangan di Kampung Ayer iaitu Dang Anom. Diceritakan bahawa Dang Anom sepanjang ketiadaan anak tunggalnya Nakhoda Manis telah sering bersedekah dengan orang miskin malah sesiapa sahaja yang dirundung malang akan dibantunya. Semakin hari kekayaan Dang Anom dikatakan semakin berkurangan sehinggalah pada satu tahap Dang Anom bukan lagi menjadi orang yang kaya raya di Kampung Ayer tetapi sudah seperti masyarakat yang biasa-biasa sahaja.


Walaupun begitu, Dang Anom tetap juga bersedekah kerana ini semua dilakukan atas kepercayaan sedekahnya itu akan memastikan keselamatan dan kesihatan anak tunggalnya di perantauan si Nakhoda Manis akan dijaga. Kasih sayang seorang ibu sememangnya sukar untuk kita gambarkan.


Setelah beberapa ketika hidup di alam rumahtangga akhirnya Nakhoda Manis ingin pulang ke kampung halamannya sambil memperkenalkan isterinya yang jelita dengan ibunya Dang Anom di Kampung Ayer, Negara Brunei Darussalam. Setelah mendapat keizinan daripada ayahanda mertuanya akhirnya berangkatlah Nakhoda Manis bersama-sama isteri serta anak kapalnya menuju ke Brunei Darussalam. Setelah beberapa ketika dilambung ombak dengan pelayaran dari Sulu ke Brunei akhirnya sampailah Nakhoda Manis ke kampung halamannya.


Oleh kerana ianya sudah larut malam maka Nakhoda Manis mengambil keputusan untuk tidak naik ke daratan dahulu dan beliau berhasrat untuk melakukannya di sebelah siangnya. Namun begitu seperti kebiasaannya apabila ada sahaja kapal besar yang berlabuh sudah tentu orang tempatan akan cepat mengetahui beritanya dan akhirnya berita tentang kepulangan Nakhoda Manis telah sampai ke telinga Dang Anom. Dang Anom terlalu gembira kerana ternyata ibunya ini terlalu merindui anak tunggalnya yang telah meninggalkannya bertahun lamanya .


Keesokan harinya kerana tidak tertahan dengan kerinduan kepada anaknya itu, Dang Anom telah mengayuh sampan kecil sendiri menghampiri kapal anaknya Nakhoda Manis. Suara Dang Anom yang memanggil nama Nakhoda Manis telah didengar oleh Nakhoda Manis dan dia sendiri mengenali itu adalah suara ibunya. Namun begitu belum sempat Nakhoda Manis memperkenalkan ibunya kepada isterinya sudah kedengaran isterinya memandang jijik kepada ibunya yang dikatakan kotor dan miskin sedangkan sepanjang perjalananan Nakhoda Manis telah menceritakan kepada isterinya tentang betapa kaya raya keluarganya di Kampung Ayer, Brunei Darussalam.


Apabila mendengar isterinya memandang hina kepada seorang tua yang miskin dan tidak punya apa-apa itu akhirnya Nakhoda Manis sendiri berpaling kepada isterinya malah dia sendiri memaki hamun ibunya sendiri malah mengarahkan anak kapalnya untuk mengalihkan sampan kecil berserta Dang Anom untuk tidak dekat pada kapalnya.


Dang Anom berasa kecewa dengan sikap kurang ajar dan biadap anaknya Nakhoda Manis yang dijaganya dengan penuh kasih sayang selama ini sehingga dia sanggup tiada apa-apa asalkan anaknya selamat. Dengan penuh rasa sedih dan hampa, Dang Anom telah bertindak menyumpah anaknya Nakhoda Manis dengan seluruh anak kapal serta anak menantunya menjadi batu sebagai memberi pengajarannya kepada mereka.


Dengan tidak semena-mena langit yang cerah menjadi kelam, angin yang sepoi-sepoi bahasa menjadi kencang dan berpusar-pusar diiringi dengan halilintar dan pada ketika itulah kapal Nakhoda Manis dan seluruh isi kapal telah bertukar menjadi batu. Batu itulah yang dikenali sebagai Jong Batu sekarang yang terletak di Sungai Brunei.


bottom of page