MASJID INDIA, JALAN GAMBIER, KUCHING SARAWAK
MASJID INDIA, JALAN GAMBIER, KUCHING SARAWAK
Berada ditengah-tengah 2 kawasan yang paling sibuk di Kuching menjadikan Masjid India, Jalan Gambier terlalu istimewa dan unik bagi setiap rakyat yang melaluinya. Masjid India yang berkeluasan 16,004 kaki persegi merupakan sebuah masjid yang dibina pada sekitar tahun 1837. Ianya dibina hasil inisiatif peniaga yang berketurunan India Muslim yang berasal dari Selatan India.
Pada asal binaannya, masjid ini di bahagian dinding dan bumbungnya hanya diperbuat daripada pokok nipah. Tetapi pada tahun 1876, segala binaannya telah ditukar kepada papan kayu belian bagi menggantikan bahagian dindingnya yang diperbuat daripada daun pokok nipah tersebut. Sekitar tahun 1960 namanya pula ditukar kepada Masjid Bandar Kuching memandangkan masjid tersebut betul-betul berada di tengah Bandar Kuching pada waktu itu.
Terdapat satu laluan kecil yang digelar Lorong Sempit bagi warga Kuching dan inilah keunikan yang terdapat pada Masjid India ini. Lorong sempit ini merupakan nadi penghubung bagi India Street Pedestrian Mall dan Jalan Gambir yang juga merupakan jalan pintas yang paling popular bagi pengunjung yang berkunjung untuk membeli belah di kawasan tersebut. Disinilah bermulanya warga Kuching mula membeli belah barangan keperluan sejak zaman berzaman lamanya sebelum kewujudan gedung-gedung membeli belah di Bandaraya Kuching sekarang.
Sewaktu dahulu ketika pengangkutan air merupakan pengangkutan utama di seluruh Sarawak, sudah menjadi kebiasaan kepada penduduk pedalaman Sarawak untuk melabuhkan bot-bot mahupun sampan-sampan mereka di tepi sungai Sarawak bersebelahan dengan pasar basah iaitu Cekor. Adalah menjadi satu kemestian kepada mereka untuk bersolat dan melepaskan lelah mereka di Masjid India sebelum memulakan tugasan harian mereka.
Bagi penduduk-penduduk dari persisiran seperti dari Pusa, Santubong, Sadong dan lain-lain sudah tentu mereka mempunyai kenangan di Masjid India ini. Walaupun sekarang jalinan pengangkutan darat telah ada, Masjid India masih lagi menjadi tumpuan kepada pengembara-pengembara dari luar Kuching melepaskan lelah mereka setelah menempuhi perjalanan yang jauh.
Masjid India bukan sahaja bertindak sebagai masjid untuk bersolat namun pada tahun 1940 an, masjid ini juga berfungsi sebagai sekolah agama yang pertama di Sarawak. Di sinilah ramai daripada warga Kuching menimba ilmu agama Islam daripada mubaligh-mubaligh Islam yang bertauliah di dalam mengembangkan ajaran Islam di Sarawak.
Dikala para pengunjung sedang sibuk membeli belah akan kedengaran azan berkumandang dari masjid ini sebagai tanda bahawa waktu solat sudah menjelma. Sebelum itu, akan kedengaran “beduk” dipukul yang telah menjadi lumrah bagi setiap masjid di seluruh dunia. Beduk yang berada di Masjid India sudahpun digunakan lebih daripada 50 tahun dan ianya masih lagi berfungsi sehingga ke hari ini.
Kerana lokasinya yang berada ditengah-tengah Bandar, jadi masjid ini menjadi tumpuan samada daripada warga yang bekerja di kawasan berdekatan mahupun daripada pengunjung yang membeli belah di kawasan tersebut. Pada hari Jumaat, dikatakan bahawa jumlah Jemaah yang bersolat sunat Jumaat di masjid ini boleh mencecah sehingga 1,000 orang dan pada hari biasa jumlah Jemaah sekitar 400 orang untuk setiap waktu solat.
Masjid India dari awal penubuhannya sehinggalah sekarang masih lagi ditadbir oleh Jawatankuasa Lembaga Amanah Khairat Masjid India dan dana untuk mengurus selia masjid ini masih lagi dikumpul daripada sumbangan 23 buah kedai-kedai yang dimiliki oleh peniaga India Muslim yang berabad lamanya menguruskan perniagaan keluarga mereka seperti menjual barangan runcit, rempah ratus, kain dan buku-buku. Selainn daripada itu 2 peniaga Kaum Cina yang perniagaan mereka beroperasi di kawasan Masjid India sejak dari zaman pembukaan Masjid India juga turut menyumbangkan dana untuk masjid ini.
Inilah keunikan sebuah masjid yang digelar Masjid India, Jalan Gambier di Kuching Sarawak yang merupakan antara ikon betapa teguhnya syiar Islam di bumi Sarawak amnya dan Kuching khususnya. Sesungguhnya masjid ini dan kawasan sekitarnya sentiasa mempunyai nilai sentimental serta dekat dihati kepada semua warga Sarawak yang pernah berkunjung di kawasan Masjid India tanpa mengira bangsa dan agama.