RUMAH PANJANG MELANAU DI KAMPUNG SOK, MATU, MUKAH
RUMAH PANJANG MELANAU DI KAMPUNG SOK, MATU, MUKAH
– The One and Only Rumah Panjang Melanau Left In The World
Kaum Melanau di Sarawak terkenal dengan keunikan Lebuk Regau Melanau (Rumah Tinggi Melanau) yang mempunyai ketinggian luarbiasa iaitu dari 40 kaki (12 meter) ke atas. Ditambah pula dengan bahan binaannya yang kukuh seperti Kayu Belian (Ironwood) dan sebagainya. Walaupun sekarang ramai daripada komuniti Melanau telah tinggal dalam rumah bercirikan konsep tradisional Melayu Sarawak dan Brunei.
Replika asal Rumah Tinggi Melanau pada zaman sekarang boleh disaksikan di Kampung Budaya Sarawak. Namun yang menjadi keunikan pada kali ini adalah Rumah Panjang Kaum Melanau yang hanya satu-satunya tinggal untuk tinggalan anak Sarawak di dalam mengenali penempatan Kaum Melanau suatu waktu dahulu.
Rumah Panjang Melanau Islam di Kampung Sok terletak kira-kira tiga kilometer dari Kampung Sekaan dan satu-satunya rumah panjang Melanau yang ada di negara ini. Rumah panjang sering dikaitkan dengan masyarakat Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di Sarawak. Bagaimanapun, rumah panjang Melanau yang masih wujud sehingga ke hari ini membuktikan, rumah berkenaan juga dimiliki oleh masyarakat lain di negeri Sarawak. Jika di Kampung Budaya Sarawak, Kuching, identiti komuniti Melanau cuma ditonjolkan melalui pembinaan Rumah Tinggi dan mempunyai tiang sebesar satu pemeluk. Tetapi rumah panjang Melanau di Kampung Sok membuktikan kaum ini telah mempunyai rumah panjang sejak mula kewujudan kampung ini pada tahun 1872.
Mengikut sejarahnya, rumah panjang ini hanya bermula dengan empat pintu, keluasan rumah ini telah diperbesarkan sehingga memiliki 26 pintu pada tahun 1888. Pada asalnya, struktur asas rumah panjang ini diperbuat dari Kayu Belian dan atapnya pula menggunakan daun Rumbia atau Pokok Sagu. Kewujudan rumah panjang Melanau yang terletak tidak jauh dari Kampung Sekaan dan Jemoreng membuktikan proses asimilasi masyarakat di seluruh Sarawak telah wujud sejak zaman berzaman lagi. Boleh dikatakan, rumah panjang Melanau dibina dengan meniru gaya kehidupan masyarakat Iban yang mendiami di kebanyakan bahagian di Sarawak.
Meskipun keadaannya semakin uzur, rumah panjang Melanau Islam di Kampung Sok masih dihuni oleh sembilan buah keluarga. Disebabkan keunikannya, rumah panjang ini telah tersenarai antara 11 produk pelancongan di Bahagian Mukah. Pada tahun 1987, Jabatan Muzium Sarawak mengisytiharkan rumah ini sebagai salah satu warisan yang perlu dikekalkan. Ia bertujuan agar generasi akan datang mengetahui serba sedikit sejarah masyarakat tempatan di Sarawak.
Dan sekiranya ada yang berminat untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut tentang rumah panjang Melanau di Kampung Sok, silalah berkunjung ke kampung tersebut yang terletak di Daerah Matu di dalam Bahagian Mukah agar dapat merasai sendiri keunikan rumah panjang melanau ini yang juga merupakan satu-satunya yang masih wujud di dunia ini sekarang.
Lan Berambeh Ke Sarawak!