top of page

TAMAN NEGARA BUKIT LAMBIR, MIRI, SARAWAK


TAMAN NEGARA BUKIT LAMBIR, MIRI, SARAWAK


Jika anda mengunjungi Miri mahupun Bintulu, Sarawak jangan lupa untuk mengunjungi satu taman Negara yang hebat iaitu Taman Negara Bukit Lambir, Miri, Sarawak. Lokasinya hanya 36 km dari bahagian barat daya Bandar Miri. Dengan keluasan meliputi 6,953 hektar, Taman Negara Bukit Lambir ini diwartakan sekitar tahun 1975.


Di taman Negara ini terdapat kita-kira 1,173 spesis pokok, dengan 286 genus dan 81 keluarga pokok menjadikan Lambir sebagai salah satu hutan dengan pelbagai jenis tumbuhan di Malaysia. Haiwan liar juga boleh dijumpai di kawasan pedalaman taman, terutamanya monyet, beruang, tenggiling dan kelawar.


Untuk mengunjungi taman Negara ini adalah dinasihatkan pengunjung datang pada sebelah pagi. Ini kerana dengan cahaya yang terang di sebelah siang sudah tentu akan memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri alam flora fauna serta kicauan burung yang ada di taman Negara ini.


Dan sekiranya ingin merasa kesejukan serta kesegaran badan maka adalah digalakkan untuk cuba membuat eksplorasi di Air Terjun Latak yang mempunyai panorama yang memukaukan. Selain daripada itu ada juga air terjun yang lain seperti Air Terjun Pantu, Air Terjun Nibong, Air Terjun Pancur, Air Terjun Tengkorong dan Air Terjun Dinding. Namun begitu kesemua air terjun ini mempunyai denai yang berlainan iaitu antara denai Pantu dan juga Denai Bakam.


Dan untuk mereka yang gemar mengkaji habitat burung janganlah lupa untuk mencuba mengunjungi sebuah menara pokok setinggi 22 meter. Ianya terletak di Denai Pantu. Dan pengunjung yang berjaya memanjatnya sudah tentu kagum dengan pemandangan hutan Dipterocarp yang ada di Taman Negara Bukit Lambir ini.

Lan Berambeh Ke Sarawak!


bottom of page