top of page

DATU PATINGGI ABANG HAJI ABDILLAH BIN DATU BANDAR ABANG HAJI MOHAMMAD KASSIM


DATU PATINGGI ABANG HAJI ABDILLAH BIN DATU BANDAR ABANG HAJI MOHAMMAD KASSIM

- Pelopor Gerakan Pra-Kemerdekaan Sarawak Sepanjang Zaman


“ Me and my people would never agree with the cession of Sarawak to the British Crown!. We cherish the independence of this state where we were born…” – Datu Patinggi Abang Haji Abdillah –


Inilah antara kata-kata yang diucapkan oleh Datu Patinggi Abang Haji Abdillah ketika beliau diminta untuk memberikan pandangannya di dalam satu mesyuarat bersama dengan penjawat Sarawak Kingdom. Satu kata-kata yang cukup berani dan sudah terang lagi bersuluh di dalam memperkatakan apakah yang beliau mahukan untuk tanahairnya.


Perjuangan beliau bukanlah dengan bangun menghunus senjata tetapi perjuangan beliau adalah dengan pemikirannya yang jauh ke depan di dalam memperkatakan tentang “jihad” beliau bagi memastikan bahawa tanahair Sarawak tidak dijadikan batu loncatan oleh Rajah CV Brooke yang muak untuk memerintah Sarawak sehingga memberikan Sarawak menjadi tanah jajahan Koloni British suatu waktu dahulu. Beliau antara legasi pewaris keperwiraan Datu Patinggi Abang Ali yang menjadi pelopor dan “mastermind” ke atas kebangkitan rakyat Sarawak di dalam Gerakan Anti Penyerahan 1946. Nasionalis yang dimaksudkan adalah anak Melayu Sarawak yang bernama Datu Patinggi Abang Haji Abdillah bin Datu Bandar Abang Haji Mohammad Kassim.


Nama Datu Patinggi Abang Ali atau Datu Patinggi Ali sudah tentu dikenali ramai kerana beliau juga merupakan nasionalis Melayu Sarawak sepanjang zaman yang bangun menentang pemerintahan Kerajaan Kesultanan Brunei sewaktu Sarawak menjadi tanah kuripan suatu waktu dahulu. Ketika itu penentangan Datu Patinggi Abang Ali lebih kepada penentangan sistem pemerintahan Pengiran Indera Mahkota yang juga merupakan Gabenor Sarawak yang dilantik oleh Brunei. Perjuangan Datu Patinggi Abang Ali ternoktah apabila beliau terbunuh ketika Perang Patusan 1844 namun begitu darah pejuang yang mengalir tetap ada pada legasinya yang seterusnya iaitu Datu Patinggi Abang Haji Abdillah bin Datu Bandar Abang Haji Mohammad Kassim.


Dilahirkan pada tanggal 13 Oktober 1862, Datu Patinggi Abang Haji Abdillah merupakan anak kepada seorang Datu Bandar Kuching ketika era pemerintahan Brooke iaitu Datu Bandar Abang Haji Mohammad Kassim bin Datu Bandar Abang Haji Bolhassan. Perkahwinan beliau dengan Datin Dayang Rabiah mengurniakan 4 cahayamata iaitu Abang Haji Taha, Dayang Safiah, Abang Ghazali dan Dayang Fatimah. Terkenal sebagai seorang yang lembut tutur katanya serta begitu lantang di dalam ceramahnya menyebabkan Datu Patinggi Abang Haji Abdillah begitu disegani baik oleh masyarakat Sarawak mahupun penjawat-penjawat Koloni British Borneo Sarawak suatu waktu dahulu.


Penglibatan beliau di dalam kancah pentadbiran Sarawak bermula sekitar tahun 1921 apabila ayahnya Datu Bandar Abang Haji Mohammad Kassim meninggal dunia di Mekah. Sekitar tahun 1924, beliau telah dikurniakan dengan gelaran Datu Muda dan seterusnya mewariskan jawatan Datu Bandar Kuching ketika itu. Selepas itu beliau terus mengorak langkah dengan terpilih untuk menjadi salah seorang ahli majlis tertinggi di Supreme Council Sarawak dan mendapat gelaran Datu Patinggi pada tahun 1937.


Adanya cadangan daripada Rajah Charles Vyner Brooke yang hendak memberikan Sarawak sebagai tanah jajahan Koloni British telah menyebabkan beliau membangkang berhabis-habisan. Bertindak daripada itu, beliau telah meletakkan jawatannya sebagai ahli majlis tertinggi Supreme Council Sarawak berdasarkan kepada tindakan Koloni British yang telah mengeluarkan Circular 9 yang menghalang mana-mana individu penjawat awam Sarawak menyertai Gerakan Anti Cessionist 1946.


Pada ketika inilah, Datu Patinggi Abang Haji Abdillah telah menggunakan rumahnya iaitu Darul Kurnia sebagai ibupejabat untuk gerakan anti cessionist ini. Ini kerana pada masa itu ramai penjawat awam Sarawak turut meletak jawatan mereka secara beramai-ramai dan mereka bangun membantah dengan mengadakan demostrasi di Bandar-bandar besar di seluruh Sarawak. Pada ketika ianya berlangsung, ramai antara mereka ini tidak mempunyai sumber pendapatan tetap dan dikala inilah selain daripada mengatur strategi untuk rakyat Sarawak bangun membantah, beliau juga harus memikirkan apakah kelangsungan penghidupan semua penyokong Anti Cessionist pada masa itu.


Kemuncak kepada demonstrasi Gerakan Anti Cessionist Sarawak adalah sekitar April yang mana satu rapat umum telah diadakan di rumah beliau dengan kesemua yang terlibat di dalam demonstrasi Anti Cessionist Sarawak berhimpun beramai-ramai. Di kala inilah beliau memberi ucapan bersemangat untuk kesemua rakyat Sarawak bangun membantah. Dan sebelum itu, beliau juga bermesyuarat dengan pemimpin-pemimpin yang lain untuk bersama-sama menubuhkan sebuah syarikat koperasi bagi memastikan kelangsungan hidup kesemua penjawat awam yang sudah meletak jawatan. Ini perlu bagi memastikan bahawa tiada bekas penjawat awam yang kembali menganggotai pentadbiran Koloni British pada masa itu yang telah menggunakan segala tipu helah untuk memastikan bahawa gerakan ini terkubur.


Melihat kepada keberanian dan kepimpinan Datu Patinggi Abang Haji Abdillah ini telah membuat pihak pentadbiran Koloni British pada masa itu gentar kepadanya. Maka diketika itulah pihak Koloni British telah menggunakan taktik “pecah dan perintah” dengan cuba mengadu domba masyarakat Melayu Sarawak dengan etnik-etnik yang lain. Namun Datu Patinggi Abang Haji Abdillah bertindak lebih dahulu daripada Koloni British.


Dengan mendapat dokongan penuh daripada Kaum Ibu Sarawak yang dipimpin oleh Cikgu Lily Eberwein dan ramai lagi telah memungkinkan wanita Sarawak turut sama berganding bahu menyebarkan apakah makna Gerakan Anti Cessionist ini ke seluruh rumah-rumah panjang di pedalaman Sarawak. Pada ketika inilah mereka yang tidak menerima dana telah bergolok bergadai dengan emas mereka untuk memastikan bahawa biaya perjalanan mereka sentiasa ada. Inilah antara kecekalan orang-orang dahulu Sarawak yang tidak diketahui oleh generasi Sarawak sekarang bahawa perjuangan untuk merdeka itu terlalu murni.


Hasil daripada pertemuan dengan tuai-tuai rumah panjang di pedalaman Sarawak ini membuahkan hasil kerana dengan kefahaman yang ada itu membuatkan bukan sahaja masyarakat Melayu mahupun mereka yang tinggal di Bandar sahaja mengetahui perjuangan itu. Malah etnik-etnik yang tinggal di pedalaman juga turut sama menyokong Gerakan Anti Cessionist ini sehingga membuatkan pihak Koloni British pada ketika itu goyah buat seketika. Malah adanya individu berfikiran jauh seperti Datu Patinggi Abang Haji Abdillah telah menguatkan lagi silaturrahim antara etnik di Sarawak.


Sekitar November 1946, Datu Patinggi Abang Haji Abdillah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dan selepas itu kehilangan beliau amat dirasai kerana Gerakan Anti Cessionist pada masa itu sudah tiada pengatur strategi yang sebijak beliau. Seterusnya gerakan itu turut terkubur apabila Rosli bin Dhoby dan Rukun 13 ditangkap secara besar-besaran. Ada sesetengah daripada mereka dihukum penjara malah Rosli Dhoby dan 4 yang lain telah dijatuhkan hukuman mati pada Mac 1950. Selepas itu Gerakan Anti Cessionist ini terus muram dan akhirnya terkubur.


Bagi mengenang jasa beliau di dalam mempelopori semangat perjuangan rakyat Sarawak pada waktu itu, nama beliau telah diabadikan untuk sebuah sekolah yang bernama Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, Petra Jaya, Kuching yang mana merupakan antara sekolah berprestij tinggi di Sarawak sehingga sekarang kerana mampu melahirkan ramai bijak pandai anak Sarawak yang menjadi pelapis pemimpin untuk Sarawak Bumi Kenyalang.


Datu Patinggi Abang Haji Abdillah adalah nasionalis Sarawak yang banyak memainkan peranan di dalam penentangan untuk menyerahkan Sarawak sebagai tanah jajahan Koloni British. Jasa dan kepahlawanan beliau dilupa jangan dan julanglah nama beliau sebagai Pelopor Gerakan Pra-Kemerdekaan Sarawak sepanjang zaman.


Semoga roh Allahyarham Datu Patinggi Abang Haji Abdillah ditempatkan dikalangan para syuhada. Al-fatihah. Amin.





Rujukan:

1. Salam bin Ahmad: Book Title: Datu Patinggi Abang Haji Abdillah : Ketua dan Pemimpin Masyarakat Melayu Sarawak Pramerdeka

2. Sulaiman bin Haji Mohd Hasbie (1989): Book Title: Perjuangan Anti Cession Sarawak

3. Jeffrey, Jehom, Welyne : Kertas Kerja: Lily Eberwein: Her Life and Involvement in Anti-Cession Movement in Sarawak (2013)

4. Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah

http://www.kolejabdillah.com/

5. Awang Mohammad Razif bin Awang Yusuf, UKOM JASA Sarawak: 50 Tahun Sarawak Merdeka: Anti Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan British

http://www.jasa.gov.my/bm/gallery/lang-bm-arkib-lang-lang-en-archive-lang/2-uncategorised/102-lang-bm


bottom of page