top of page

MEE SAPI


MEE SAPI


Ada ramai yang bertanya apakah perbezaan antara Mee Sapi dengan Mee Kolok kerana kedua-duanya dikatakan sama. Hakikatnya kedua-dua menu yang popular di kalangan masyarakat di Sarawak ini mempunyai ketidaksamaan dari segi pembuatannya walaupun menggunakan mee jenis yang sama iaitu mee yang hanya boleh didapati di Sarawak iaitu mee kolok atau mee rangkai.


Jika mee kolok hanya terkenal di Sarawak tetapi untuk versi mee sapi pula ianya bukan sahaja memenuhi selera rakyat Sarawak sebaliknya ianya juga popular di Sambas malah kebanyakan daerah di seluruh Kalimantan. Perbezaannya mee sapi di sana menggunakan mee kuning sebagai asasnya dan dikenali dengan nama mi sup sapi.


Menurut sejarahnya, kedatangan mee sapi ke Sarawak adalah ada kene mengena dengan penghijrahan kaum Cina Muslim daripada puak Hui dari Dinasti Tang Tembok Besar China yang pada ketika itu telah dating berniaga dan seterusnya menyebarkan syiar Islam ke bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Kaum Cina Muslim ini terkenal dengan hidangan tradisional mereka iaitu mee daging yang mana supnya adalah ditumis merah. Ianya sehingga sekarang masih lagi menjadi antara menu “wajib rasa” jika berkunjung ke Negara Taiwan.


Jika kita melihat kepada isi kandungan mee sapi itu juga berbeza dengan mee kolok kerana mee kolok agak ringkas dengan irisan daging ataupun ayam. Berlainan pula dengan mee sapi kerana mee sapi isi kandungannya adalah hanya daging lembu semata-mata seperti tendon-tendon lembu malah tulang lembu juga diletakkan di dalam hidangan.


Selain daripada rasa juga berbeza dengan mee kolok kerana sup yang digunakan untuk mee sapi merupakan renehan sup lembu yang ditumis merah sehingga menyebabkan supnya agak merah berbanding dengan sup mee kolok yang kelihatan agak jernih. Bukan semua tempat di Sarawak ada menghidangkan mee sapi seperti sepopular mee kolok kerana dikatakan pembuatannya supnya agak rumit. Jika di Kuching, setakat yang diketahui Mee Sapi Haji Salleh dari Sepinang Sari Café, Jalan Satok merupakan antara tempat pilihan paling popular untuk warga Kuching merasai kenikmatan memakan mee sapi ini.


Untuk itu, jika ada yang sudah “kecur air liur” untuk merasai sendiri kenikmatan memakan mee sapi bersama-sama dengan tendon-tendon lembu yang lembut dan sedap ini, sekiranya berkunjung ke Sarawak khususnya di Kuching janganlah lupa untuk singgah sebentar di café yang disebutkan.



bottom of page