top of page

ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN KAUM CINA SARAWAK


ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN KAUM CINA SARAWAK


Di Sarawak, kaum Cina nya terbahagi kepada beberapa sub kaum iaitu Cina Hakka, Cina Foochow, Cina Kantonis, Cina Hainan dan banyak lagi serta ianya hampir menyamai sub-sub kaum Cina di Malaya mahupun Sabah. Walau bagaimanapun, sejarah penghijrahan mereka ke bumi Sarawak tidaklah sama dengan sejarah penghijrahan kaum Cina Malaya mahupun Sabah.


Melangkah kea lam perkahwinan bagi setiap kaum Cina merupakan satu titik tolak yang membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka. Perkahwinan penting untuk mengekalkan institusi keluarga dan melaluinya keturunan nenek moyang dapat diteruskan daripada satu generasi kepada generasi yang lain.


Untuk kaum Cina misalnya, sesuatu perkahwinan itu hendaklah dirancang dan diatur sebaik mungkin. Mengikut kepercayaan mereka juga, pasangan yang berkahwin tanpa mengikut aturan adat dianggap tidak sah. Terdapat dua bentuk perkahwinan yang diamalkan oleh mereka iaitu perkahwinan yang diatur samada oleh ibu bapa atau orang tengah (moi-ngin) dan juga perkahwinan di mana kedua-dua lelaki dan perempuan diberi kebebasan untuk memilih pasangan masing-masing.


Pada asasnya adat resam perkahwiwan masyarakat Cina merangkumi peringkat merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan.



Merisik


Adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang gadis yang dihajati. Setiap orang tua dari kaum Cina sebenarnya amat menitikkan berat tentang nama keluarga , keturunan, peribadi, watak dan tingkah laku si gadis. Ciri-ciri ini penting untuk mewujudkan perkahwinan yang berkekalan.


Cara merisik terpulang kepada ibu bapa kerana pada lazimnya ibu bapa pihak lelaki akan menanyakan kenalan dan rakan taulan yang kenal dengan keluarga si gadis. Sebahagian daripada kaum Cina lebih gemar mengadakan perbincangan tersebut di restoran-restoran dengan disertai saudara mara lain. Tradisi makan bersama ini amat penting dalam kerana ia dapat mengeratkan perhubungan di antara kedua belah keluarga. Perbincangan ketika merisik adalah berkenaan perkara-perkara umum terutama tentang latar belakang keluarga dan asal keturunan.



Meminang


Setelah kedua-dua pihak keluarga berpuas hati dengan latar belakang keluarga masing-masing maka adat meminang akan dijalankan. Seorang wakil akan dipilih untuk berkunjung ke rumah si gadis bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan.


Ibu pengantin perempuan pula akan berbincang dengan wakil tersebut berkenaan jumlah mas kahwin, peruntukan meja dalam jamuan makan dan memilih hari yang paling sesuai. Pihak lelaki tidak akan tawar menawar kerana bimbang akan menjatuhkan maruah.


Segala ketetapan yang telah dipersetujui, diberitahu kepada ibu bapa pihak lelaki. Ibu bapa pihak lelaki akan berbincang dengan anaknya untuk menyediakan segala permintaan daripada pihak perempuan.. Setelah kedua-dua pihak sudah saling mengenal dan bersetuju untuk berkahwin, barulah adat bertunang dijalankan.



Bertunang


Hari pertunangan dilakukan berdasarkan kalendar Cina dan ia hendaklah bersesuaian dengan bintang kelahiran kedua pasangan tersebut. Khidmat tukang tilik digunakan untuk penetapan tarikh tersebut berpandukan kepada sebuah buku iaitu Toong-Su.


Ini penting kerana jika dilakukan pada waktu yang tidak sesuai dipercayai akan ditimpa bencana dan perkahwinan akan menghalami kegagalan. Pada masa inilah bakal pengantin lelaki berkunjung ke rumah perempuan untuk menunaikan permintaan berian.


Upacara bertukar cincin dilakukan mengikut masa yang ditetapkan . dan sesuatu yang menjadi adat wajib iaitu cincin pertunangan yang disarung di jari manis kiri oleh kedua-dua bakal pengantin tidak boleh dibuka sehingga hari perkahwinan.


Bagi membukitkan persetujuan, gadis berkenaan akan menyerahkan sekeping kertas merah atau nyen-sang yang tertulis nama gadis, umur dan tarikh lahirnya yang didapati daripada tukang tilik. Setelah nyen-sang diterima, pihak lelaki akan mengadakan persediaan.


Nyen-sang kepunyaan si gadis pula akan diberi kepada tukang tilik bersama-sama maklumat yang sama tentang dirinya. Tukang tilik akan menghitung hari dan masa yang sesuai berdasarkan kedua-dua nyen-sang dan dicatat pada sehelai kertas merah yang dinamakan nyik-kor.


Ketika menentukan hari yang sesuai, tukang tilik membuat ramalan berdasarkan tahun kelahiran kedua pasangan. Setelah mendapat tarikh dan masa yang sesuai, tukang tilik akan menyediakan dua keping nyik-kor dan diberikan kepada lelaki dan perempuan yang hendak berkahwin. Nyik-kor tersebut mengandungi peraturan-peraturan dan adat-adat yang perlu diikuti oleh kedua bakal pengantin merangkumi adat-adat tertentu.


Hantaran dan mas kahwin lazimnya diberi semasa upacara bertukar cincin perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat perkahwinan yang diadakan di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan. Di antara hantarannya ialah sebentuk cincin emas, sepersalinan pakaian, kain dan wang tunai.


Sekiranya pihak lelaki tidak menyediakan barang hantaran yang cukup kepada pengantin perempuan, sejumlah besar wang tunai akan diberi. Beserta dengan penghantaran mas kahwin, keluarga pengantin perempuan diberitahu tarikh perkahwinan dan rundingan akan dibuat dengan pengantin perempuan.


Di dalam masyarakat Cina, semakin besar mas kahwin yang diberikan, semakin tinggi martabat dan kedudukan pihak lelaki.



Perkahwinan


Hari perkahwinan biasanya akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari.Adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung kesedihan.


Pada hari perkahwinan tersebut pengantin perempuan dan lelaki akan dihiasi indah. Masyarakat Cina pada masa dahulu memakai pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas. Kemudian setiap pakaian dihias dengan pelbagai aksesori. Baju pengantin sebaik-baiknya berwarna putih, merah atau kuning. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.


Seterusnya pengantin lelaki akan bertandang ke rumah pengantin perempuan dan pada masa itulah pengantin lelaki dan perempuan akan duduk bersama buat kali pertama. Mereka akan diiringi oleh pengiring masing-masing. Seterusnya pasangan pengantin akan didudukkan di atas pelamin yang telah disediakan di ruang tamu.


Selepas acara bersanding, pasangan pengantin akan dibawa bertemu ahli keluarga masing-masing. Pengantin lelaki akan memperkenalkan keluarga dan sauadara maranya kepada isterinya dan begitulah sebaliknya. Serentak dengan edisi perkenalan kali pertama itu juga, kedua-dua pengantin akan meminta restu daripada keluarga mertua masing-masing.


Di dalam masyarakat Cina juga, upacara meminum teh sangat penting dan masih diamalkan. Ia merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang tersendiri. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki.


Kemuncak upacara perkahwinan ini berlaku pada sebelah malam iaitu jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran samada di rumah, dewan atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa ang-pau sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Pada masa yang sama kedua pengantin akan cuba mengenali dan beramah mesra dengan ahli keluarga kedua belah pihak.



Akhir sekali, sebagai bukti perkahwinan, pasangan pengantin akan menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi.


Pada hari ini kaum Cina amat kurang mengamalkan adat perkahwinan secara tradisi sebaliknya menjalankan perkahwinan secara sivil iaitu dengan mendaftarkan perkahwinan di pejabat pendaftaran mahupun gereja, bagi mereka yang beragama Kristian.


bottom of page