ASALNYA NAMANYA KAMPUNG DI SEBERANG TEBINGAN KUCHING
ASALNYA NAMANYA KAMPUNG DI SEBERANG TEBINGAN KUCHING
- Kampung Gresik, Boyan, Semarang, Surabaya
Apabila kita melihat kepada perkembangan perkampungan di Kuching Sarawak mungkin kita akan tertarik dengan nama-nama kampung yang mana rata-ratanya adalah perkampungan masyarakat Melayu Sarawak terutama sekali yang sekarang terletak di seberang Tebingan Kuching iaitu yang berada di sepanjang Sungai Sarawak.
Jika dilihat kepada namanya sahaja mungkin ramai yang kehairanan mengapa ada perkampungan yang mempunyai nama yang sama dengan perkampungan masyarakat Jawa di Indonesia. Apakah kaitannya atau ianya hanya nama sahaja? Yang menariknya tentang kampung-kampung ini adalah pada setiap pengakhiran sempadan kampung akan ada satu jambatan dan satu masjid atau surau yang menjadikannya amat unik sekali.
Jika dahulunya untuk pergi ke kampung Melayu di seberang Tebingan Kuching memerlukan kita untuk menggunakan perahu tambang bagi kita singgah di pengkalan-pengkalan tambang contohnya ke pangkalan Kampung Boyan namun sejajar dengan waktu satu sistem jalanraya telah memudahkan penduduk-penduduk kampung seberang untuk berurusan namun begitu perahu tambang tetap merupakan satu penghubung yang paling dekat dan murah sentiasa digunakan.
Masyarakat-masyarakat yang mendiami kampung tersebut juga sentiasa mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ramai penduduk Melayu yang mendiami kampung-kampung Melayu yang lain di kawasan Bandaraya Kuching dan sekitarnya.
Apabila mengungkai sejarah nama kampung-kampung ini adalah tidak adil sekiranya kita tidak menceritakan dimanakah bermulanya pembukaan kampung-kampung ini kerana ianya berkait rapat dengan imigrasi masyarakat Melayu Jawa daripada kabupaten-kabupaten di Indonesia suatu ketika dahulu. Kesemua ini berlaku ketika kabupaten-kabupaten ini dibawah pemerintahan Kolonial Belanda yang sebenarnya banyak memusnahkan sistem kerajaan kabupaten-kabupaten yang berada di tanah Indonesia suatu waktu dahulu.
Seperti yang diketahui, masyarakat Jawa adalah satu masyarakat yang kuat bekerja daripada mengusahakan sawah bendang sehinggalah kepada bidang-bidang yang memerlukan hasil kerja yang kreatif seperti pembinaan rumah dan sebagainya. Ini dapat dibuktikan sejak di zaman awal pembukaan Negara Brunei lagi dibawah Sultan yang pertama iaitu Awang Alak Betatar, masyarakat Jawa telah diiktiraf kepandaiannya di dalam kerja pertanian sehingga dibawa ke negara Brunei untuk mengajar bercucuk tanam.
Jadi ianya tidak menghairankan mengapa satu masyarakat yang kuat bekerja ini berimigrasi daripada tanah asal mereka iaitu kabupaten-kabupaten di Indonesia untuk menabur keringat mereka sehingga ke Sarawak Bumi Kenyalang suatu waktu dahulu.
Menurut Bancian Penduduk Kuching 1947 melalui satu kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia melalui kertas kerjanya menyatakan bahawa terdapat kira-kira 2397 orang masyarakat Jawa telah bermastautin di Kuching pada masa itu. Masyarakat Jawa ini sebenarnya telah dibawa masuk oleh sebuah agensi pekerjaan Belanda melalui hubungan perniagaan dengan Keluarga Brooke yang memerintah Sarawak Kingdom pada masa itu ketiga iaitu Rajah Charles Vyner Brooke.
Mereka yang dibawa masuk ini telah diambil daripada pelbagai kabupaten-kabupaten di seluruh Indonesia bagi dijadikan buruh dan bekerja di Sarawak. Kabupaten-kabupaten yang terlibat adalah Kabupaten Gresik. Ramai masyarakat Jawa yang menghuni Kabupaten Gresik ini telah mendaftarkan diri dan menjadi buruh dan seterusnya diikuti oleh masyarakat Jawa yang lain daripada Surabaya dan Semarang.
Selain daripada itu kita mungkin agak musykil apakah pula hubungan Boyan dengan kabupaten-kabupaten masyarakat Jawa di Indonesia. Bagi kaitan Boyan pula menurut sejarahnya adalah Boyan berasal daripada suku kaum yang mendiami Pulau Bawean iaitu salah satu pulau di dalam provinsi Kabupaten Gresik itu sendiri. Kebanyakan suku kaum yang mendiami Pulau Bawean adalah suku-suku kaum daripada Pulau Jawa, Madura, Kalimantan, Sulawesi dan Sumatera.
Selepas beberapa ketika tinggal bersama mereka telah membentuk suku kaum mereka sendiri yang dikenali sebagai Suku Bawean yang lebih senang menggelar diri mereka dengan nama Boyan. Suku Boyan ini juga antara mereka yang telah mendaftarkan diri sebagai masyarakat Jawa yang juga berminat untuk mencari rezeki serta pengalaman hidup di Sarawak pada masa itu.
Setelah masyarakat Jawa ini dibawa ke Sarawak pada masa itu, mereka ini telah diletakkan di bawah jagaan industry-industri yang memerlukan mereka malah mereka telah diberikan kebebasan untuk memilih penempatan-penempatan mereka sendiri agar lebih bercampur gaul dengan masyarakat peribumi Sarawak yang lain.
Dan kerana itulah kita di Kuching sudah biasa melihat masyarakat Jawa yang bukan sahaja berada di suatu penempatan sahaja malah ada yang telah bermastautin di kampung-kampung seperti Kampung Segedup, Kampung Haji Baki dan banyak lagi. Cuma pembukaan asal kampung-kampung seperti Kampung Gersik, Kampung Boyan, Kampung Surabaya dan Kampung Semarang adalah sebenarnya bermula daripada masyarakat Jawa yang datangnya daripada kabupaten-kabupaten yang disebutkan tadi dan akhirnya setelah beberapa ketika masyarakat Melayu Jawa ini menjadi Melayu Sarawak yang akhirnya memperturunkan legasi adat dan budaya daripada rumpun yang sama iaitu rumpun Melayu Nusantara.
Inilah sekelumit sejarah tentang nama-nama kampung yang berada di seberang Tebingan Sarawak yang dikenali dengan nama Kampung Gersik, Kampung Boyan, Kampung Semarang dan Kampung Surabaya di Kuching Sarawak. Walau apapun yang berlaku dan walau dimana juga kita berasal, kita sekarang adalah satu bangsa yang sama tidak mengira kelompok suku mana kita berasal kerana kita tetap bangga dilahirkan sebagai Anak Sarawak, Bangsa Sarawak.