ETNIK TATAU, SARAWAK, BORNEO
ETNIK TATAU, SARAWAK, BORNEO
Etnik Tatau atau Orang Tatau merupakan salah satu daripada etnik minoriti yang merupakan salah satu pembentuk Kaum Orang Ulu, Sarawak. Kawasan populasi mereka ramai tertumpu di daerah Tatau, Bintulu dan juga Balingian, Sibu. Mungkin ramai bangsa Sarawak sendiri tidak pernah mendengar nama mahupun mengenali budaya etnik ini memandangkan amat kurang pendedahan mengenai mereka.
Jika berdasarkan kepada laporan populasi etnik Tatau juga amat payah untuk ditemui dan yang terakhir dikeluarkan pada tahun 1988 yang menunjukkan hanya sekitar 118 orang etnik Tatau yang ada di Sarawak sekarang. Selain daripada itu, satu laporan yang dikeluarkan pada tahun 2010 pula mengatakan diantara etnik Tatau yang tinggal di Sarawak pada masa kini dikatakan hanya 8 orang daripada mereka yang benar-benar Asli Tatau atau berdarah 100% etnik Tatau.
Di dalam laporan itu juga menyatakan untuk baki jumlah etnik Tatau yang ada di Sarawak sekarang kebanyakan daripada mereka adalah separuh etnik Tatau. Ini kerana budaya perkahwinan campur antara etnik Tatau dengan antara etnik yang lain di Sarawak telah memungkinkan agak sukar untuk mencari etnik Tatau yang berdarah Tatau asli.
Etnik Tatau mempunyai beberapa sub-etnik tersendiri iaitu dikategorikan melalui kawasan penempatan mereka iaitu di Sungai Anap, Bintulu dan juga Sungai Balingian, Sibu.
Sub-etnik Tatau adalah seperti berikut:
1. Tatau Murung Data - mendiami kawasan Legan, salah satu cabang Sungai Anap 2. Tatau Murung Tugang – mendiami kawasan Bukit Mayu, cabang Sungai Buan diantara Penyarai dan Daerah Tatau, 3. Tatau Murung Legan – mendiami kawasan antara Sungai Buan dan Gerugu 4. Tatau Murung Muput – mendiami kawasan cabang Sungai Muput. 5. Tatau Murung Kakus – mendiami kawasan Sungai Kakus 6. Tatau Murung Balio – mendiami kawasan Sungai Rejang
Jika dilihat daripada asal keturunannya, etnik Tatau ini berasal daripada kawasan legenda Apo Kayan yang juga merupakan penempatan legenda bagi setiap etnik yang membentuk Kaum Orang Ulu, Sarawak. Kehadiran mereka di bumi Sarawak juga adalah untuk mencari tanah pamah yang subur dan hidup dengan aman dan akhrinya telah membawa mereka untuk mendiami kawasan seperti Tatau, Bintulu dan Balingian.
Jika berkata tentang perkahwinan campur yang diamalkan oleh etnik Tatau ini sebenarnya sudahpun diamalkan ketika mereka bersama-sama dengan satu lagi etnik minoriti iaitu etnik Baketan berhijrah beratus-ratus tahun dahulu. Oleh kerana adanya perkahwinan campur iaitu antara Raja Baketan dengan puteri Raja Tatau pada masa dahulu menyebabkan ada sesetengah budaya dan adat resam mereka hampir sama.
Dari segi bahasa Etnik Tatau mempunyai bahasanya yang tersendiri yang dikenali sebagai Bahasa Tatau. Bahasa Tatau tidaklah sukar untuk dipelajari kerana sebahagian kosa katanya, terutama dari segi bunyi mudah diingat, selain mempunyai persamaan sebutan dengan bahasa etnik Ukits. Secara amnya bahasa Tatau dikategorikan sebagai rumpun bahasa Austronesian, Malayao-Polynesian, North Borneo, Melanau-Kajang, Kajang.
Sebelum kedatangan agama di Sarawak, etnik Tatau juga seperti etnik yang lain juga mengamalkan kepercayaan animesme atau pagan. Namun sekarang setelah adanya kedatangan agama akhirnya rata-rata etnik Tatau telah menganut agama kristian sebagai pegangan hidup mereka. Namun begitu sesetengah adat dan budaya mereka yang dahulu tidak bercanggah dengan Kristianiti tetap dilestarikan.
Etnik Tatau walaupun sekarang sudah mengikuti arus pemodenan namun begitu mereka merupakan etnik yang masih lagi mengamalkan budaya mereka yang zaman berzaman diwarisi iaitu penggunaan denda jika tidak mematuhi pantang larang yang ditetapkan. Pantang larang ini kebanyakannya digunapakai bagi mereka yang mendiami rumah panjang etnik Tatau.
Pelanggaran adat atau pantang larang etnik Tatau ini dianggap sesuatu yang serius dan perlu didenda. Malah perlakuan itu amat ditakuti kerana percaya bahawa ianya boleh mengakibatkan berlaku sesuatu yang buruk atau tidak diingini. Contohnya jika ada kematian di kalangan penduduk rumah panjang itu, mayat tidak segera dikebumikan.
Sebaliknya mayat itu disimpan dalam keranda di rumah si mati selama lapan hari tujuh malam bagi lelaki, manakala tujuh hari enam malam bagi wanita. Antara faktor mayat disimpan agak lama di rumah, antaranya bagi membolehkan sanak saudara yang tinggal jauh sempat diberitahu dan menziarah, selain menunggu kubur untuk menanam mayat disiapkan. Selesai dikebumikan pantang larang berkabung akan berkuatkuasa untuk keseluruhan yang mendiami rumah panjang seperti tidak boleh bersukaria dan melakukan sesuatu yang menghiburkan.
Pantang larang paling keras yang perlu dipatuhi orang dari rumah panjang atau tempat lain ialah sewaktu ‘berbayoh’ atau berdukun bagi mengubati penyakit dihidapi penduduk rumah panjang. Sekalipun kini ada pusat perubatan daerah di pekan Tatau atau mereka boleh membeli ubat-ubatan moden di kedai ubat di pekan itu, tradisi mengubat penyakit menggunakan khidmat bomoh masih diamalkan oleh etnik Tatau.
Antara pantang larang sewaktu berbayoh ialah kesemua penduduk rumah panjang tidak boleh keluar rumah atau sekitarnya dalam masa satu hari satu malam. Malah dikala itu juga mana-mana orang luar yang bukan mendiami rumah panjang etnik Tatau tidak boleh datang ke rumah kami dalam tempoh berkenaan.
Sebagai panduan bagi menunjukkan pantang sewaktu berbayoh ini adalah tanda seperti daun kayu akan diikat pada pondok di pangkalan atau laluan utama masuk ke rumah panjang ini. Ianya adalah satu simbolik pada tetamu bahawa pantang larang berbayoh sedang digunapakai.
Sewaktu wanita etnik Tatau mengandung pula, tidak kurang pantang larang yang perlu dipatuhi sama ada si suami mahupun si isteri. Kedua-duanya perlu sentiasa beringat supaya tidak melanggar sebarang pantang larang tersebut. Antara hal yang dilarang keras dilakukan kedua-dua pihak ialah menyembelih ayam atau haiwan berdarah, apatah lagi membunuhnya.
Pantang larang ini perlu dipatuhi kerana mereka percaya perbuatan seumpamanya boleh menyebabkan anak dilahirkan cacat atau si ibu mengalami kesukaran beranak. Dan pantang larang sewaktu mengandung ini tidak diamalkan selama-lamanya, sebaliknya hanya sehingga ke anak kelima. Bagi anak keenam dan seterusnya, ia tidak lagi terikat dengan larangan ini.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta!