top of page

FROM SERIAN WITH LOVE


FROM SERIAN WITH LOVE


Bahagian Serian merupakan salah satu bahagian baru yang digazetkan sebagai satu bahagian pada tahun 2015. Ianya juga merupakan pintu masuk untuk ke negara jiran Kalimantan, Republik Indonesia melalui bandar sempadannya iaitu Tebedu/Entikong. Dengan keluasan hampir 2,039.9 kilometer persegi, Bahagian Serian adalah salah bahagian ke-12 yang menjadi pembentuk Sarawak Bumi Kenyalang.


Bahagian Serian sebenarnya terletak kira-kira 65 kilometer daripada ibukota Sarawak iaitu Kuching. Selain daripada menjadi pintu masuk untuk ke Indonesia, Bandar Serian itu merupakan bandar persinggahan yang pertama sebelum memulakan perjalanan untuk ke bahagian-bahagian lain di Sarawak Bumi Kenyalang.


Seperti keseluruhan bandar-bandar besar di Sarawak, masyarakat yang mendiami Serian juga terdiri daripada pelbagai kaum dengan didominasi oleh etnik Bidayuh diikuti oleh masyarakat Cina Sarawak, Iban, Melayu dan banyak lagi. Sesuai dengan produksi buah durian yang merupakan banyak terdapat di kebun-kebun hakmilik masyarakat di Serian maka buah Durian menjadi ikon buah-buahan bagi Daerah Serian.


Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Chang (2004) dinyatakan bahawa mengikut sejarahnya Serian sebenarnya mendapat nama daripada sebatang sungai yang mengalir di kawasan tersebut. Sungai Rian merupakan antara nadi kepada penduduk-penduduk suatu waktu dahulu seperti menangkap ikan serta menjadi pengangkutan air antara masyarakat Serian ke kampung-kampung mereka. Kerana suatu waktu dahulu ianya masih belum mempunyai nama rasmi maka seringkali masyarakat di Serian menamakan Sungai Rian sebagai menunjukkan nama kawasan tersebut dan lama-kelamaan ianya sinonim dengan pertuturan masyarakat lalu dipanggil Serian.


Uniknya Serian ini selain daripada adanya kawasan perkelahan seperti Ranchan Pool dan Taman Danu, Serian juga dihiasi dengan keunikan sejarahnya melalui masyarakat yang mendominasi jumlah penduduknya iaitu dari etnik Bidayuh. Rata-rata etnik Bidayuh yang mendiami Serian adalah dari sub-etnik yang dikenali sebagai Bidayuh Bukar/Sadong.


Mengikut sejarahnya Bidayuh Bukar/Sadong atau Bisadong sebenarnya berasal daripada Bugau dan Sungkung dari Kalimantan Barat ke Tembawang Tampun sejak lebih kurang 600 tahun dahulu. Daripada penghijrahan Bisadong inilah adanya pecahan sub-sub etnik Bisadong iaitu Bukar, Sambat, Mentu, Sumpas, Temong, Taup, Engkeroh, Riih, Gahat, Suntas, Kujang, Prangkan, Sangai, Daha dan Tepo/Biannah.


Masyarakat Cina Sarawak yang ramai mendiami Serian juga tidak kurang dengan sejarah penghijrahan mereka. Menurut apa yang difahami di dalam jurnal-jurnal sejarah Sarawak Kingdom iaitu ketika Sarawak masih lagi diperintah oleh Rajah Brooke selama 100 tahun ada menyatakan bahawa masyarakat Cina telah dibawa masuk oleh Rajah Brooke untuk mendiami Serian sebagai antara pelopor penanaman lada hitam di Serian.


Namun sebenarnya sekiranya berbalik kepada penemuan sejarah kuno melalui bukti artifak yang dijumpai di Bukit Sandung iaitu satu kawasan di Balai Ringin pula menyatakan penemuan artifak tembikar biru dan putih adalah merujuk kepada ceramic yang dibawa oleh saudagar-saudagar dari Tembok Besar China dari zaman dinasti Sung. Ini menunjukkan bahawa masyarakat Cina Sarawak di Serian telahpun wujud di bumi Serian lebih lama daripada itu.


Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa jalan darat yang menghubungkan Kuching/Serian sebenarnya pernah terbengkalai sewaktu Rajah Ketiga iaitu Rajah Charles Vyner Brooke memerintah kerana kurangnya dana untuk tujuan tersebut. Setelah berlakunya Perang Dunia Kedua, Sarawak juga turut ditakluki oleh Jepun pada masa itu telah memungkinkan Jalan Kuching/Serian ketika itu dibina semula.


Namun begitu yang menjadi ianya semakin menjadi sejarah yang unik apabila dikatakan bahawa pembinaan Jalan Kuching/Serian itu sebenarnya adalah hasil daripada buruh paksa daripada masyarakat Cina Serian yang telah ditangkap oleh tentera Jepun pada zaman Perang Dunia Kedua itu berlaku. Disinilah banyak cerita suka duka masyarakat Cina Sarawak yang menjadi buruh paksa yang terpaksa menerima nasib siksaan keras daripada tentera Jepun ketika itu.


Ketika di era komunis bermaharajalela dengan munculnya kembali PARAKU atau Pasukan Rakyat Kalimantan Utara iaitu sayap bersenjata di bawah naungan NKCP atau North Kalimantan Communist Party pada tahun 1965, masyarakat Cina di Serian juga menghadapi nasib yang kurang baik kerana mereka antara masyarakat yang menjadi “target” untuk PARAKU di Serian mendapatkan sumber makanan.


Bagi membendung kegiatan ini terus berlaku, maka pada tahun itu juga pihak pemerintah Sarawak bersama-sama dengan pemerintah pusat Gagasan Malaysia telah berganding bahu untuk membina jaluran dawai besi di kawasan sekitar Siburan terutamanya kawasan tempat penanaman sayur-sayuran bagi masyarakat Cina Serian pada masa itu. Pembinaan jaluran dawai besi ini adalah satu langkah bijak bagi membendung aktiviti komunis terus berleluasa di Serian pada waktu itu.


Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.


‪#‎KamekSayangSarawakBah


bottom of page