LEGENDA SANG NAGA DAN GERHANA MATAHARI
LEGENDA SANG NAGA DAN GERHANA MATAHARI
Menurut cerita orang-orang tua dari masyarakat Penan, beratus-ratus tahun dahulu tinggallah seorang lelaki dari etnik Penan bernama Beluluk. Mata pencarian si Beluluk ini adalah mencari pokok sagu untuk diproses menjadi tepung sagu di tebing sungai bernama Sungai Peresek.
Pada suatu hari, ketika Beluluk sedang sibuk memproses sagu untuk dijadikan tepung bersama-sama dengan isterinya dan seorang anak lelaki tiba-tiba hari yang cerah dan panas terus menjadi mendung dan tiada lagi cahaya matahari seperti hari-hari sebelumnya. Malah seluruh alam telah bertukar menjadi gelap seakan-akan malam.
Melihat kepada kejadian itu, Beluluk yang merasa tidak selamat dan bimbang akan keselamatan anak dan isterinya telah bertindak mengarahkan isteri dan anaknya berlari dengan cepat menuju ke penempatan mereka. Maka berlarilah mereka menyelamatkan diri kerana takut akan dirasuk oleh roh-roh jahat. Di dalam perlarian itu lah juga si Beluluk sempat mendongak ke langit dan dia sendiri melihat bagaimana bebola api yang sentiasa memberikan cahaya di waktu siang ini telah diselaputi oleh gegelang kuning.
Apabila sampai di kawasan penempatan mereka, Beluluk segera memanggil seluruh warga Penan di dalam penempatan itu berkumpul dan ternyata bukan Beluluk dan keluarganya sahaja yang merasa ketakutan malah kesemua warga Penan juga begitu. Mereka duduk pegun sambil berpelukan diantara satu sama lain dan sekali sekala memandang langit dan keadaan sekeliling.
Di dalam mereka asyik bercerita tentang kejadian pelik ini tiba-tiba suasana menjadi cerah kembali dan sekali lagi mereka ini merasa bimbang dengan kejadian ini kerana takut tempat tinggal mereka akan terus bergelap sehingga menyusahkan mereka untuk memburu di hutan, menangkap ikan di sungai ataupun membuat sagu yang mana merupakan makanan ruji masyarakat Penan.
Kebimbangan mereka ini dipanjangkan Beluluk dan lelaki Penan yang lain kepada ketua mereka iaitu Nyagung. Nyagung bukanlah sembarangan orang kerana Nyagung juga merupakan dukun yang amat pandai di dalam dunia mistik. Beluluk dan penduduk Penan yang lain telah memohon Nyagung untuk berkomunikasi dengan dunia mistik bagi meminta apakah caranya untuk memastikan keselamatan mereka kelak apabila hal seperti ini berulang kembali.
Nyagung pun mulalah membuat meditasi hendak berkomunikasi dengan dunia mistik bagi mencari punca masalah tersebut. Dipendekkan cerita, ketika Nyagung di dalam alam mistik ini rupa-rupanya dia telah mendapat alamat bahawa sebenarnya roh-roh jahat memang suka menyusahkan masyarakat Penan untuk mencari rezeki.
Dan roh-roh jahat ini akan cuba untuk menggelapkan hari siang mereka kerana pada waktu itulah kebanyakan masyarakat Penan sibuk mencari rezeki bagi meneruskan penghidupan mereka. Mendengar kepada kata-kata Nyagung itu, maka marahlah Beluluk dan warga Penan pada masa itu dan berazam untuk menentang roh-roh jahat ini kerana menganggu pekerjaan mereka.
Di dalam kata-kata Nyagung itu hanya satu sahaja yang boleh membantu mereka agar masa siang mereka tidak terus malap seperti malam iaitu dengan memanggil Naga Penjaga Alam. Naga ini hanya akan bangun dari tidurnya sekiranya ada yang menyerunya memohon bantuan. Melalui semburan api daripada mulut Naga ini, bebola cahaya akan dapat menyinarkan cahayanya kembali dan tidaklah mereka akan terus berada di dalam kegelapan.
Maka gembiralah Beluluk dan warga Penan pada waktu itu kerana sudah ada jalan penyelesaian untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup di hutan. Sejak daripada itu dikatakan bahawa masyarakat Penan yang hidup nomad sudah tidak berada di dalam ketakutan kerana pada masa itu sekiranya berlaku kegelapan di waktu siang, mereka akan sentiasa membawa kain yang dicelupkan dengan madu dan kemudiannya akan dijadikan colok bagi menerangi suasana mereka.
Dan kemudiannya pembakaran colok ini akan membangunkan Sang Naga daripada tidurnya dan sang Naga akan terus menghamburkan apinya ke arah matahari untuk menyahkan roh-roh jahat yang cuba untuk mengelapkan bebola api tersebut.