top of page

LOMBONG ARANG BATU GUNUNG NGELI, SIMUNJAN


LOMBONG ARANG BATU GUNUNG NGELI, SIMUNJAN


Gunung Ngeli, Simunjan merupakan salah satu daripada puncak yang terdapat di kawasan Simunjan, Sarawak. Selain daripada terkenal dengan khazanah hutannya lebih-lebih lagi adanya tapak “peninjo” atau peninjau di dalam bahasa standard yang boleh memberikan seribu kepuasan kepada pendakinya untuk melihat panorama alam daripada puncak. Selain daripada masyarakat tempatan Simunjan mungkin ramai bangsa Sarawak sendiri tidak mengetahui bahawa di Gunung Ngeli ini sendiri sebenarnya tersimpan satu sejarah perlombongan arang batu yang pernah gah suatu waktu dahulu.


Sekitar tahun 1920an, pihak pentadbiran Kerajaan Sarawak Kingdom telah mengusahakan satu lombong arang batu di Gunung Ngeli ini yang dinamakan Simunjan Coal Mines. Pada ketika itu sejajar dengan kontrak yang telah ditandatangani sejak dahulu lagi iaitu dengan memberikan setiap ekplorasi perlombongan akan diusahakan oleh Borneo Company Limited bersama-sama dengan Kerajaan Sarawak Kingdom maka ianya telah mengubah corak persekitaran Gunung Ngeli pada waktu itu.


Dengan adanya keberadaan industri perlombongan arang batu pada masa itu maka ramailah masyarakat di persekitaran Simunjan telah datang bekerja di lombong tersebut. Dan kerana itulah satu kawasan yang dahulunya hanya menjalankan kerja pertanian dan menangkap ikan sebagai sumber ekonomi telah bertukar wajah kepada satu pekan yang sibuk dengan pelombong-pelombong arang batu.


Menurut sejarahnya sewaktu di awal pembukaannya, Kerajaan Sarawak Kingdom dan juga Borneo Company Limited telah menggalakkan pelombong-pelombong dari Kaum Cina Sambas untuk sama-sama menjadi tenaga buruh di lombong arang batu ini. Dan ramai antara mereka seterusnya menjadi penduduk tempatan berdasarkan perkahwinan campur yang diamalkan dengan masyarakat tempatan lebih-lebih lagi etnik Iban di Simunjan.


Dikatakan jenis arang batu yang dikeluarkan oleh Lombong Arang Batu Gunung Ngeli adalah jenis arang batu yang terbaik dan sentiasa menjadi komuditi yang bernilai suatu waktu dahulu. Jadi eksplorasinya walaupun menggunakan kaedah separuh konvensional tetap memberikan pulangan yang baik kepada Kerajaan Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu.


Diketika kerancakan industri perlombongan arang batu itu semakin membuahkan hasil akhirnya Sarawak Kingdom turut sama terlibat di dalam Perang Dunia Ke-2. Sekitar tahun 1941 maka jatuhlah Sarawak sebagai antara jajahan takluk pihak tentera Jepun. Pada masa ini juga pentadbiran tentera Jepun turut membuka semula lombong ini dengan menggunakan kaedah teknologi perlombongan yang dilakukan oleh Jepun.


Di ketika inilah banyak machinery yang dibawa masuk seperti “boiler” serta kegunaan rel lokomotif untuk membawa keluar arang batu daripada kawasan lombong. Selain daripada itu lombong arang batu ini di ketika pendudukan Jepun ini juga dikatakan menjadi antara tempat untuk Jepun membuat hukuman keatas pesalah-pesalahnya seperti penggunaan buruh paksa. Dan tidak menghairankan menurut cerita oral masyarakat tempatan Simunjan, sehingga sekarang kawasan bekas lombong arang batu ini adalah “keras” kerana sering dilihat atau didengar sesuatu yang mengerikan ada di kawasan sekitarnya.


Setelah Jepun kalah dan menyerahkan Sarawak kepada askar Australia pada tahun 1945, lombong ini juga menerima nasib yang tidak memberangsangkan kerana ianya juga turut ditutup. Setelah Sarawak pada tahun 1946 diserahkan menjadi tanah jajahan Koloni British oleh Rajah C.V Brooke, sekali lagi lombong ini dibuka semula kerana ianya masih lagi mampu mengeluarkan arang batu yang boleh memberikan keuntungan kepada Kerajaan Koloni British Borneo pada ketika itu.


Namun lama-kelamaan, setelah dikorek dan diangkut hasilnya akhirnya pada tahun 1960an, akibat daripada kos yang tinggi serta kurangnya hasil maka lombong arang batu ini terus ditutup buat selama-lamanya. Siapa tahu mungkin hasil daripada lombong arang batu di Gunung Ngeli ini yang sebenarnya menjadi dana untuk membina bangunan-bangunan gah di Kota London yang kita ketahui sekarang.


Walaupun, lombong arang batu Gunung Ngeli tidak lagi beroperasi namun sehingga ke hari ini tinggalan sejarah perlombongan arang batu ini masih lagi dijaga rapi buat tatapan generasi mendatang. Salah satu lagi tinggalan sejarah zaman perlombongan di daerah Simunjan adalah kereta suar. Kereta suar ini adalah pelantar yang berukuran 4’ x 8’ yang dibina daripada papan dan diletak atas sepasang roda keretapi lalu digerakkan di landasan keretapi dengan ditolak atau ‘disuar’ menggunakan sebatang kayu sepanjang tiga meter oleh pemandu.


Dikatakan bahawa kereta suar ini adalah direka untuk kegunaan sebagai alat utama untuk mengangkut barangan keperluan dan juga penumpang dari kawasan Gunung Ngeli ke Pekan Simunjan pada awal tahun 1960an kerana tiadanya jalinan jalanraya pada waktu itu. Sesiapa bekas pelajar SMK Gunung Ngeli (sekarang SMK Sri Sadong) pada sekitar tahun 60-an dan awal 70-an mungkin mempunyai pengalaman menaiki kereta suar ini kerana ianya adalah pengangkutan utama untuk ke sekolah.


Tinggalan sejarah kereta suar ini masih lagi terpelihara di Kampung Sual, Simunjan sehingga ke hari ini malah ianya masih digunakan sekali sekala oleh penduduk kampung untuk mengangkut padi dari sawah ke rumah panjang yang berdekatan.



bottom of page